SBDJ Siri 157: Wanita Bermata Syaitan

"Perkara yang nak saya sebutkan tadi, ialah tentang perangai orang kita yang suka mendampingkan senjata dengan benda-benda ghaib atau benda halus. Perbuatan begini banyak buruk dari baiknya," nada suara datuk amat perlahan.

SBDJ siri 139

Dia nampak begitu cemas sekali, macam ada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedang memerhatikan gerak-geri datuk.

"Bila tuan punya senjata itu mati, benda halus meresap atau terus sebati dengan senjata tu. Tidak menganggu orang lain, hanya berbunyi sendiri atau bersuara seperti suara tuannya. Hal ini berlaku dalam waktu tertentu. Tetapi..."

Kami yang mendengar penerangannya terpinga-pinga kerana secara mendadak datuk berhenti bercakap.

Rasa terpinga-pinga itu berlalu begitu saja bila datuk menyambung kembali kata-kata yang terhenti itu.

"Tetapi bila ada orang cuba memulihkannya dengan kemenyan putih, membasuh mata senjata dengan air limau, melumurkan bahagian hujung senjata dengan darah gagak waktu senja, benda-benda halus akan memperlihatkan dirinya dan bersedia bertuankan kepada orang yang membuat pengasapan atau melanggir senjata tersebut.

"Kalau tak diusik, dibiarkan tertinggal senjata itu reput dan makhluk yang menunggunya terus meninggalkannya, lebih-lebih lagi kalau ada penduduk yang membaca yasin," terbayangkan kepuasan yang amat sangat di wajah datuk, bila dia mengakhiri ceritanya.

Apa yang diutarakan oleh datuk diakui kebenarannya oleh Tuk Siak. Hal yang sama juga pernah dinyatakan oleh ayahnya.

Sesungguhnya, serba sedikit Tuk Siak juga tahu tentang senjata yang didampingi oleh makhluk halus kerana ayahnya juga tukang buat senjata yang handal di kampung itu.

"Peliknya, kenapa lembing tadi boleh jadi begitu, macam ada penunggunya. Kalau mahu dikira penunggunya sudah tak ada lagi," keluh Tuk Siak.

"Saya juga berfikir macam tu," sahut datuk.

"Barangkali ada sesuatu yang tak kena. Boleh jadi juga ada orang yang menghantar makhluk halus menyusup ke dalam semangat besi untuk merosakkan orang yang memegang lembing itu," sahut Haji Bagus.

Datuk hanya tersenyum sebaik saja Haji Bagus selesai meluahkan pandangannya. Datuk tidak mahu memberikan sebarang komentar.

Begitu juga dengan Tuk Siak yang saya kira bagaikan harimau sembunyi kuku. Banyak perkara yang dia tahu tetapi, dia pura-pura tidak tahu.

"Lupakan saja perkara tu," tiba-tiba Tuk Siak bersuara.

"Aku juga fikir begitu, teruskan kerja-kerja kamu nak membersihkan rumah ini. Bila semuanya dah dibersihkan, malam ini kamu bertiga bolehlah tidur disini. Tapi satu perkara yang mesti kamu ingat..."

"Apa dia Abang Aji," potong datuk.

"Makan tengah hari dan malam, di rumah aku. Esok kalau kamu nak masak sendiri atau nak makan di rumah aku, terserah kepada kamu bertiga."

"Kalau begitu, tengah hari dan malam kami makan di rumah Abang Aji. Esok kami masak sendiri," sahut datuk.

"Tak apalah, biar aku balik dulu," Haji Bagus pun melangkah ke pintu.

Tuk Siak menurut dari belakang. Sampai di ambang pintu Tuk Siak berhenti melangkah. Dia merenung ke arah datuk.

"Aku fikir kamu boleh menyelesaikan segala masalah yang datang," itu yang Tuk Siak tuturkan kepada datuk.

"Dengan izin Allah, dapatlah saya selesaikan," sahut datuk.

Tuk Siak dan Haji Bagus terus memijak mata tangga.

ALMARI

Datuk, saya dan si baju hitam meneruskan kerja-kerja yang tergendala. Kali ini kami tidak berminat untuk menjenguk bilik senjata lama.

Masing-masing menjauhkan diri dari mendekati bilik tersebut.

Kerana sudah dibuat keputusan untuk menginap di rumah lama, sudah tentu bilik tidur kami berikan perhatian yang lebih.

Terdapat sebuah bilik tidur lama yang tersedia dengan katil besi dan almari. Saya memutuskan untuk tidur dibilik itu dengan si baju hitam.

Datuk sudah memutuskan untuk tidur di ruang tengah.

Saya membuat rancangan unuk meminjam bantal dan tikar dari rumah Haji Bagus . Bila perkara ini saya ajukan kepada datuk, dia hanya membenarkan saya meminjam tikar saja.

"Bantal tak mustahak, kamu tidur berbantalkan lengan atau kayu bulat. Ini untuk kebaikan kita. Tidur di rumah lama selalu didatang mimpi-mimpi yang menakutkan. Bila pakai bantal melambatkan seseorang bangun dari tidur," itu alasan yang datuk berikan. Saya tak ada pilihan dan terpaksa menerima arahannya.

Pembersihan tahap pertama selesai menjelang zuhur. Selesai sembahyang dan makan kerja disambung semula.

Tahap kedua ialah membuang sawang dan meletakkan sesuatu pada kedudukan asalnya. Kerja itu selesai menjelang waktu asar.

Tahap ketiga boleh dikatakan tidak ada kerja berat yang dilakukan, kecuali datuk yang sibuk menentukan arah dan sudut mana untuk melakukan sembahyang sunat dan membaca Quran sepanjang malam.

Saya lihat datuk memilih tempat berehat (tidur) di sudut sebelah kanan pintu bilik menyimpan senjata lama.

LEMAH

Setelah membersihkan badan di perigi rumah lama, saya dan si baju hitam terus berehat di bilik tidur.

Si baju hitam terus baring atas katil tua, sedangkan saya duduk di bangku goyang yang di perbuat dari kayu.

Mungkin kerana keletihan saya terdengar dengkur si baju hitam. Datuk pula sudah sepuluh minit turun dari rumah lama.

Tidak pula diceritakan kepada saya kemana dia mahu pergi.

Sambil duduk di kerusi goyang saya merenung keluar menerusi tingkap. Saya melihat dedaun jambu air, mempelam dan daun ciku bergerak lemah ditolak angin.

Pada saat yang sama saya terkenangkan kebaikan Nurulhayat.

Sebagai orang muda saya bayangkan saat-saat yang menyeronokkan bersama Nurulhayat. Saya khayalkan saya sedang memadu cinta dengan Nurulhayat hingga menimbulkan rasa ghairah dalam diri.

Dengan perlahan-lahan saya pejamkan sepasang kelopak mata, tidak dapat saya gambarkan bagaimana nikmatnya merangkum pinggang Nurulhayat sambil menekan hujung hidung ke pipinya.

Bila kelopak mata saya buka, saya jadi gementar Nurulhayat terpacak di pintu bilik tidur.

"Nurul, kamu datang," kata saya.

Nurul mengangguk.

"Macam mana kamu datang, apa ayah kamu tahu yang kamu ke mari," kata saya sambil cuba bangun dari kerusi goyang.

Saya tidak boleh bangun. Punggung saya bagaikan melekat di kerusi.

Nurulhayat tidak menjawap semua pertanyaan saya kemukakan. Dia tersenyum sambil mengoyakkan bajunya. Mempamirkan kulit dan buah dadanya yang tegang.

"Jangan Nurul," jerit saya.

Ternyata larangan saya tidak dipedulikan. Kali ini wajahnya sentiasa dihias senyum bertukar menjadi garang. Dia melangkah dan kian rapat dengan saya.

Tanpa diduga, Nurulhayat melepaskan penampar di muka saya. Rasa sakit yang menjalar di muka, saya tanggung sendiri. Kulit muka saya rasa bagaikan tersiat.

Keadaan makin cemas, kalau tadi punggung bagaikan melekat di kerusi, kini sepasang tangan saya tidak boleh digerakkan.

Tulang-tulang sendi tangan dirasakan amat sakit seperti dicucuk dengan benda tajam. Saya menoleh ke arah baju hitam yang sedang berdengkur.

"Andi, tolong aku," dengan sekuat hati saya menjerit. Si baju hitam terjaga.

Sebelum bangun si baju hitam menggeliat dua tiga kali. Dia tidak pula merenung ke arah saya.

Sukar untuk saya menerangkan kepadanya apa yang sedang saya alami. Dengan rasa hampa, saya alihkan pandangan ke arah Nurulhayat.

Kali ini dia berdiri dengan membelakangi saya. Tanpa diduga, dia melangkah tenang menuju ke pintu.

Pada saat itu punggung saya tidak lagi melekat di kerusi, sendi tangan tidak lagi merasa sakit.

Tanpa membuang masa saya melompat dari kerusi lalu menerpa ke katil dan menarik si baju hitam hingga dia terjatuh di lantai.

"Kenapa Tamar."

"Aku rasa pelik sekejap tadi ada perempuan yang aku kenal datang ke sini. Lebih pelik lagi dia tampar muka aku."

"Mana dia?" suara si baju hitam meninggi.

Dia terus berdiri sambil mengepal-ngepalkan penumbuk.

"Itu dia."

Segera saya tunjukkan sekujur tubuh perempuan yang membelakangi kami. Kerana saya yakin perempuan itu Nurulhayat, namanya saya panggil berkali-kali.

Malangnya dia tidak menoleh malah terus memijak anak tangga. Si baju hitam terpaku.

"Kamu kenapa Andi?"

"Aku rasa aku kenal perempuan tu, dari bentuk tubuhnya dan cara dia melangkah aku yakin aku kenal mesra dengannya."

Penjelasan dari si baju hitam membuat seluruh tubuh terasa lemah. Tidak pernah terfikir selama ini bahawa Nurulhayat yang bersopan itu pernah mengenali malah bermesra dengan lelaki lain sebelum saya. Dia sudah berdusta.

"Perempuan itu yang menarik aku menjadi pengikut Munah Supandi. Aku bagaikan dipukau, mendengar dan mengikut saja cakapnya.

"Semua kerana kelemahan aku sendiri, kalau aku tidak tidur bersamanya mungkin aku tak mengalami nasib buruk ini," ratap si baju hitam.

MENGALAH

Saya gelengkan kepala, tidak mungkin Nurulhayat memperdayakan si baju hitam. Dia tidak sejahat itu.

Saya menolak tanggapan si baju hitam tetapi, dia tetap berkeras mengatakan perempuan yang masih berdiri di tangga itu adalah perempuan yang menjahanamkan hidupnya.

Kerana masing-masing tidak mahu mengalah, kami bertengkar dan hampir mencetuskan perkelahian.

"Tak guna kita berkelahi, sekarang kita jumpa," kata saya.

"Ayuh," jawab si baju hitam.

Kami berlari menuju ke muka pintu. Malangnya bila kami sampai di situ, perempuan itu hilang.

"Itu dia," si baju hitam menuding jari telunjuk ke arah perempuan itu yang berdiri di tepi belukar. Dia masih juga membelakangi kami.

Tanpa membuang masa saya dan si baju hitam berkejaran di tepi belukar mendekati perempuan itu.

Kami cuba memaut bahunya dari belakang, malangnya tangan kami tidak boleh terangkat.

Beratus-ratus kali saya menyebut nama Nurulhayat tetapi perempuan itu tidak juga mahu menoleh.

"Kita ikut saja ke mana dia pergi, bila penat tentu dia berhenti, lagi pun kemana dia nak pergi, kiri kanan semuanya hutan.

"Kalau dia berjalan ke depan sampai ke kaki gunung, kita ikut saja," si baju hitam memberi cadangan.

"Aku setuju," balas saya.

Disaat asyik mengekorinya, saya tercium bunga tanjung. Bila saya amati sekitar kawasan yang dilalui memang tidak terdapat pokok bunga tanjung.

Si baju hitam memberitahu saya dia terhidu bau tahi binatang buas. Kami tidak dapat memastikan dengan tepat sudah sejauh mana kami mengekori perempuan itu.

Apa yang pasti, bila saya dongak muka ke langit, saya terlihat beburung terbang untuk pulang ke sarang.

Matahari kian merendah dan sinarnya kian redup. Tanpa diduga perempuan yang kami buru berhenti melangkah betul-betul di depan pokok besar. Dia memegang akar yang berjuntaian dari hujung pokok besar.

"Aku rasa kita sudah masuk perangkapnya, Tamar."

"Perangkap siapa?"

Si baju hitam nampak cemas sekali. Wajahnya jadi pucat. Sesekali dia mendongakkan wajahnya ke dada langit, merenung sekawan gagak yang sedang berlegar-legar diangkasa sambil berbunyi.

Beburung gagak itu seperti di arah terus singgah di dahan pokok besar. Berbunyi bersahut-sahutan.

Suasana terasa seram dan saya mula terasa ada berpuluh-puluh biji mata berwarna merah dan hijau muncul dari celah-celah akar yang berjuntaian di dahan pokok.

Sukar untuk menentukan, apakah mata yang banyak itu mata manusia atau mata binatang.

"Aku tidak dapat berjumpa dengan datuk kamu, agaknya inilah petang kematian aku, Tamar," suara si baju hitam terketar-ketar.

Dia seperti mahu menangis. Saya jadi panik, tidak tahu apa yang patut saya lakukan bagi membantu si baju hitam.

Pada hemat saya, tidak wajar saya tinggalkan dia di sini semata-mata untuk mencari datuk bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi ini.

"Masa kematian aku sudah tiba, Tamar," ulang si baju hitam.

"Aku tak faham dengan maksud cakap kamu."

"Perempuan yang kita ikut itu sebenarnya bomoh wanita, bekas guru aku."

"Dia mahu membalas dendam kerana aku berpaling tadah. Sudah aku katakan selagi aku tak mati di tangannya, dia tak akan puas," hiba sungguh suara si baju hitam. Saya bertambah panik.

"Kamu maksudkan Munah Supandi, Andi."

"Iya, Tamar," jawab si baju hitam.

"Laknat dia," kata saya spontan.

Serentak dengan itu perempuan yang membelakangi kami segera memusingkan badannya.

Kami bertentang wajah tetapi, si baju hitam hanya melihat wajah perempuan itu untuk beberapa detik saja sebelum memalingkan mukanya ke arah lain.

Saya tidak mahu mengalah. Wajah perempuan itu saya tentang.

Suara gagak terus berbunyi dengan hebat.

Dahan-dahan pokok besar bagaikan bergegaran, macam ada sesuatu yang menggoyangkan perdu pokok besar.

Walau apapun yang berlaku atau berbunyi saya nekad tidak akan mengalihkan pandangan saya dari menatap wajah perempuan itu.

Pada mulanya, saya masih dapat melihat raut wajah Nurulhayat di wajahnya tetapi, lama kelamaan wajah itu bertukar menjadi wajah yang cukup asing bagi saya.

Kerlingannya cukup tajam. Sesekali dia menggigit bibir dan mengeluarkan lidahnya macam mahu menjilat sesuatu. Saya menjadi cemas.

"Cuba kau lihat mukanya, Andi," kata saya.

Si baju hitam tidak ambil kisah dengan apa yang saya katakan. Dia tetap tidak mahu melihat wajah perempuan yang di dakwanya bekas gurunya.

Si baju hitam terus merapatkan tubuhnya ke badan saya.

ANTARA

Antara kami bagaikan ada persefahaman secara batin, masing-masing berikrar mencari jalan untuk melarikan diri dari perempuan tersebut.

Saya jadi tambah resah kerana perempuan tersebut melangkah perlahan-lahan ke arah saya. Suara gagak terus kedengaran.

"Hati-hati Tamar, ilmu sihirnya cukup tinggi. Dia boleh menipu pandangan mata kita. Muka dan badannya boleh berubah. Boleh jadi perempuan, boleh jadi lelaki malah boleh jadi binatang," bisik si baju hitam.

"Bagaimana kita nak menentangnya, Andi."

"Gunakan ilmu yang datuk kamu berikan kepada kamu," nada suara baju hitam agak tinggi dan keras.

Mungkin kata-kata itu dapat ditangkap oleh gegendang telinga perempuan yang berada di depan saya. Dan untuk kesekian kalinya dia menjegilkan biji matanya ke arah saya.

"Kau harus menentangnya atau aku cari datuk kamu minta tolong," dalam nada terketar-ketar si baju hitam bersuara.

"Jangan tinggalkan aku sendirian," kata saya sambil memegang lengan kanan si baju hitam dengan erat sekali.

"Kamu lihat ke kaki langit, Tamar."

Cakap si baju hitam saya patuhi, sepasang biji mata saya arahkan ke kaki langit. Apa yang saya lihat ialah warna awan yang kemerah-merahan, tanda hari sudah mahu masuk ke tahap senja.

"Selalunya waktu begini ilmunya cukup menjadi dan dia kadang-kadang bertindak di luar batas kemanusiaan.

"Kalau kita dapat mengalahkan dirinya waktu begini, dia akan susah sepanjang hayat. Ilmunya tak akan menjadi," ujar si baju hitam.

"Huhhhh..." suara perempuan di depan saya keras.

Dengan pantas dia merenung ke arah awan dan matahari yang sudah menjadi bulat sebesar talam dan warnanya merah menyala, macam bola api.

Perempuan itu mengangkat kedua belah tangannya ke atas. Dia mula menjerit, memekik dan meraung macam serigala berdepan dengan musuh. Suara lolongannya meremangkan bulu roma saya.

"Andi," kata saya dalam suara lolongan anjing yang kian hebat itu.

"Kenapa Tamar?"

"Mukanya cukup menakutkan, cuba kamu tengok sendiri Andi," saya terus mendesak dan si baju hitam tetap macam tadi juga, tidak mahu melihat wajah perempuan itu.

Macam ada sesuatu rahsia yang mahu disembunyikan dari saya.

"Memang jadi pantang kamu Andi."

Si baju hitam tertegun (membelakangi saya dan perempuan misteri) terus gelengkan kepala.

"Kamu simpan rahsia dari aku, Andi?"

Masih macam tadi juga, si baju hitam tetap gelengkan kepala.

"Cakap dengan jujur dan ikhlas, kenapa kamu tidak mahu tengok muka bekas guru kamu?" sengaja saya tinggikan nada suara.

Si baju hitam terus membisu, pada ketika itu juga saya terdengar bunyi desiran angin menyentuh dedaun.

Beberapa helai daun tua dan kering melayang-layang di udara sebelum jatuh ke bumi. Bau harum kian keras menusuk lubang hidung.

Perempuan misteri masih berdiri di tempatnya tetapi, wajahnya kembali normal. Tidak menakutkan.

Dia kelihatan bertambah cantik dan ayu bersama senyum yang tidak pernah putus berlari di bibirnya.

Wajah Nurulhayat tidak dipamerkannya tetapi, bentuk badannya masih menyerupai wajah Nurulhayat.

"Kenapa kamu tak mahu tengok dia Andi?" ulang saya lagi.

"Tamar," si baju hitam tidak meneruskan percakapan.

"Teruskan Andi,"

"Begini Tamar. Kalau matanya dapat memandang anak mata aku secara mengejut aku jadi lemah dan melutut kepadanya.

"Itulah sebabnya aku tak mahu renung mukanya, bukan kerana pantang atau ada rahsia.

"Kamu tahu antara kita berdua memang tak ada rahsia apa-apa," si baju hitam buka rahsia.

Dan saya tidak mahu bertanya lagi tentang hal tersebut. Dia bercakap jujur yang sekali gus membayangkan harapan agar saya bersedia melindunginya.

"Kalau itu kelemahan kamu, jangan renung mukanya. Biar aku saja berdepan dengannya Andi," saya mula naik semangat.

Walaupun saya dan si baju hitam berdiri membelakangi antara satu dengan lain dan bercakap agak perlahan dan kadangkala tenggelam dalam suara salakan anjing, ternyata perempuan misteri dapat memahami apa yang saya tuturkan kepada si baju hitam berpandukan dari gerak mulut saya.

Buktinya setiap kali bibir saya berhenti bergerak, perempuan aneh itu gelengkan kepala sambil menggigit jari.

Kemudian dia memberi isyarat dengan menggerakkan ibu jari kirinya berkali-kali, seolah-olah menyuruh saya meneruskan percakapan. Bila percakapan diteruskan, wajahnya nampak ceria sekali.

"Biar aku tentang dia Andi," bisik saya dan perempuan aneh itu tersenyum lalu menggamit saya. Dia bagaikan mengalu-alukan keputusan yang saya buat.

"Jangan terburu-buru nanti kamu binasa Tamar," itu yang diungkapkan oleh si baju hitam dengan nada yang amat perlahan sekali.

Saya lihat muka perempuan itu bertukar menjadi garang. Dia menggenggam penumbuk. Saya kira hatinya membara kerana si baju hitam menasihati saya.

"Biar aku pergi sekarang," darah muda saya tidak dapat dikawal lagi dan baru melangkah setapak, si baju hitam terus menghalang.

"Jangan terburu-buru Tamar."

"Andi, kalau begini keadaannya, masalah kita tak akan selesai," saya cuba menolak si baju hitam ke tepi. Tetapi dia tetap bertahan.

Saya jadi serba salah, samada mahu meneruskan atau mendengar saja cakap-cakap si baju hitam.

Paling mengejutkan, pada saat itu juga perempuan aneh hilang dari pandangan saya hanya untuk beberapa detik.

Kemudian dia muncul kembali dalam keadaan asal iaitu mengangkat sepasang tangannya ke langit. Dia menjerit dan memekik dan meraung macam serigala lapar.

"Dengarlah cakap aku Tamar," rayu si baju hitam.

Saya membisu dan terpegun dengan suasana ganjil yang terjadi di depan mata. Macam-macam perasaan timbul dalam hati.

Rasa berani, takut dan cemas silih berganti menguasai diri.

MENJERIT

"Biarkan dia menyalak hingga penat, kalau masa dia menyalak kamu dekati dia, kamu hancur Tamar.

"Aku anak muridnya, aku tahu apa yang mahu di buatnya. Kita nampak dia mengangkat kedua belah tangannya sambil menghala mukanya ke langit.

"Sebenarnya dia tak buat semuanya itu, kamu sangka suaranya yang menjerit, pada hal itu bukan suaranya. Suara tu datang dari hutan," si baju hitam buka rahsia bekas gurunya. Saya mengigit bibir dan mengedutkan dahi.

"Kita kena hati-hati Tamar, jangan ikutkan perasaan nanti kita yang jahanam. Dia cuba mempengaruhi kita dengan bermacam-macam cara.

"Sekarang dia menunjukkan kehebatan ilmunya kepada kamu dengan harapan kamu ingin berguru kepadanya," sambung si baju hitam.

Saya anggukkan kepala, ternyata si baju hitam gembira sekali.

"Sekarang cuba kamu kesan dari mana datangnya salakan anjing tu, Tamar?"

Kata-kata si baju hitam segera saya patuhi.

Sudah jelas, suara salakan anjing itu datangnya dari arah kiri dan kanan hutan kecil. Apa yang pasti saya rasakan, salak anjing itu makin lama makin hampir dengan saya.

Diri seolah-olah dikelilingi oleh kumpulan anjing yang ganas dan garang. Pada hakikatnya, tiada seekor pun anjing yang mendekati diri saya.

Apa yang tumbuh dalam otak saya ialah anjing di kiri, anjing di kanan. Anjing di depan dan dibelakang.

Semuanya membuka dan mengangakan mulut menunjukkan gigi yang tajam bersama lidah merah terjelir. Anjing-anjing itu bersedia mahu membaham saya.

Kenapa perasaan sedemikian muncul dalam kotak fikiran saya.

"Andi, aku rasa lain macam."

Si baju hitam yang masih tidak mahu melihat wajah perempuan aneh itu terus membisu. Sikapnya itu membuat saya naik darah.

Bila saya fikirkan suara lolongan anjing yang menyebabkan si baju hitam tidak dapat menangkap kata-kata yang saya luahkan, kemarahan saya segera menurun.

"Andi, aku rasa lain macam," ulang saya.

Dia masih macam tadi, membisu seribu bahasa. Tanpa membuang masa saya segera menoleh ke arahnya. Bahu si baju hitam segera saya goyang berkali-kali.

"Aku juga macam kamu Tamar," suaranya bergetar.

Jawapan yang diberikan membuat saya tidak berminat untuk melaporkan apa yang saya lihat kepadanya. Pandangan segera saya arahkan kembali kepada perempuan aneh.

"Eh, perempuan tu dah hilang, ke mana dia pergi?" jerit saya.

Tanpa membuang masa si baju hitam segera memusingkan badan, menghala muka ke tempat kosong (tempat perempuan aneh itu berdiri).

Salakan dan lolongan anjing tetap macam tadi, tidak ada tanda-tanda beransur reda.

"Kemana dia pergi, Andi?"

"Entah, yang aku tahu menghilangkan diri waktu macam ini memang menjadi kegemarannya," sahut si baju hitam.

Lolongan anjing kian rancak. Pepokok renek sekitar tempat saya berdiri bergerak macam dilanggar binatang buas.

Dari sebelah kanan saya terdengar bunyi orang menarik dan melepaskan nafas tercungap-cungap.

Orangnya tidak kelihatan. Apa yang boleh saya lakukan ialah merenung muka si baju hitam dan dia pula merenung muka saya.

Warna merah di kaki langit kian menipis. Suasana sekitar beransur-ansur samar. Senjakala sudah datang.

Beberapa ekor kelawar yang luar biasa besarnya mula berterbangan mengelilingi saya dan si baju hitam sambil berbunyi nyaring.

Giginya yang halus tajam menyeringai ke arah kami. Lebih dari sepuluh minit kelawar luar biasa itu mengelilingi kami dan akhirnya bergayut di dahan pokok asam (di tempat saya disebut pokok jawa) yang rendang. Kelawar luar biasa itu terus berbunyi nyaring.

"Ada darah menitik di pipi kamu Tamar," si baju hitam menuding jari telunjuk ke muka saya.

Tanpa membuang masa darah di muka segera saya kesat dengan telapak tangan. Memang benar apa yang dikatakan oleh si baju hitam.

"Kamu tak rasa apa-apa Tamar."

"Ada terasa macam air jatuh ke pipi. Aku tak fikir pula darah yang datang," kata saya cemas lalu mengubah kedudukan dari bawah pokok asam ke bawah pokok petai yang batangnya lebih dari sepemeluk besarnya.

Si baju hitam turut sama. Kami kira di bawah pokok petai adalah tempat yang paling selamat.

"Aku rasa pelik Andi, darah dari mana menitik atas pipi aku," kata saya sambil membelek-belek kesan darah di telapak tangan dalam warna samar senja yang kian berat itu.

Saya cium telapak tangan. Bau hanyir dari darah tersebut membuat tekak saya loya dan mahu muntah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 157/284

BACA: SBDJ Siri 156: Misteri Senjata Lama
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com