6 Varieti Avocado Di Malaysia

Avocado ialah sejenis tumbuhan buah-buahan dari keluarga Lauraceae yang dimakan sebagai buah segar atau untuk diproses bagi pelbagai kegunaan dan dipercayai berasal dari Puebla, Mexico. Sejarah menanam dan memakan buah avocado telah bermula semenjak beribu-ribu tahun dulu lagi oleh kaum Aztek di lembah Andes yang mempunyai tamadunnya tersendiri.

Gambar buah Avocado

Tanaman avocado tidak popular disemua negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Thailand tetapi popular di Filipina dan Indonesia.

Orang Malaysia kurang meminat makan buah avocado tidak seperti di beberapa negara Amerika Latin, Caribbean, Indonesia dan Filipina yang amat menggemari buah avocado.

Cara makan buah avocado juga mudah iaitu dengan membelah buah kepada dua dan ambil isinya kemudian masukan dalam cawan di campur dengan susu dan sedikit gula.

Negara Pengeluar Utama

Tanaman Avocado popular di beberapa negara dengan pengeluaran dunia sebanyak 3.2 juta metrik tan pada tahun 2010.

Negara-negara membangun menyumbang sebanyak lebih 82% pengeluaran tersebut di kawasan Amerika Latin dan Caribean.

Mexico merupakan pengeluar utama avocado dunia dengan lebih 1.1 juta mt setahun diikuti dengan Indonesia (263,000 mt/tahun) dan Amerika Syarikat (214 mt/tahun).

Beberapa negara pengeluar utama lain seperti Colombia, Brazil, Chile, Peru, China dan Ethiopia.

Kawasan Asia Pasifik dan Asia Tenggara menyumbang lebih 11% pengeluaran avocado dunia melibatkan Indonesia, Filipina, Vietnam dan Australia.

Ciri-ciri morfologi

Pokok avocado merupakan pokok yang tumbuh menegak dengan ketinggian sehingga 20 meter (70 kaki).

Pokoknya bercabang dengan daun berwarna hijau gelap berukuran 12-25 cm panjang dan berkilat di bahagian atas permukaan daun.

Bahagian bawah daun agak cerah keputihan yang mempunyai pelbagai bentuk seperti lanseolat, ekliptik, bujur, ovat dan juga bentuk obovat.

Buah Avocado mempunyai bentuk 'pear' yang agak tirus di bahagian pangkal buah seakan bulat dan oval berukuran 7-33 cm panjang dan 15 cm diameter.

Kulit berwarna hijau kekuningan, hijau gelap, merah ungu atau ungu gelap dan agak kehitaman apabila cukup masak.

Kadang-kala ada juga yang mempunyai titik-titik kuning dan mempunyai ketebalan kulit kira-kira 6 mm.

Bunga Avokado berwarna hijau kekuningan yang ada 2 pusaran serta 3 lobus periant dengan 9 stamen dan 2 kelenjar nektar berwarna jingga.

Kaedah atau cara pendebungaan pokok avocado ada dua cara iaitu kaedah 'A' dan kaedah 'B'.

Kaedah 'A' adalah dimana organ betina akan terbuka pada waktu pagi dan debunga dikeluarkan tengahari sementara keadah 'B' iaitu debunga dikeluarkan pagi dan organ betina dibuka waktu tengahari.

Daripada 11 spesis avokado, sebanyak 5 spesis mempunyai bunga jenis A dan 6 spesis jenis B.

Khasiat

Avokado adalah sejenis buah berkhasiat yang mengandungi protein, zat besi, fosforus, kalsium, sodium, potasium, vitamin A dan C dan niasin.

Sebiji avocado dipercayai mengandungi kira-kira 300 kalori, dengan 88% daripadanya terdiri daripada lemak.

Ia bertindak dengan berkesan sebagai pelincir semula jadi bagi membolehkan sendi-sendi tulang bergerak bebas terutamanya di bahagian leher, siku, pergelangan tangan, pinggul dan lutut sekali gus dapat menghindarkan penyakit sengal-sengal tulang.

Di samping itu, amalan memakan buah ini setiap hari boleh menurunkan paras kolesterol di samping mengekalkan paras lipoprotein iaitu sejenis kolestrol baik yang bertindak melindungi seseorang itu daripada diserang sakit jantung.

Isi avocado yang kaya dengan vitamin A, minyak dan riboflavin amat berkesan untuk memulihkan kesegaran dan kelicinan kulit serta mengatasi masalah kulit kering.

Spesis

Terdapat 4 spesis utama tanaman avokado iaitu Guatemalan (Persia nubigena var. guatemalanisi L Wims), Mexican (Persea americana var drymifolia Blake), West Indian ( Persea americana) dan kacukan antara ketiganya.

Terdapat dua lagi spesis yang berkait rapat dengan tanaman avocado iaitu Covo (Persea schiedeana Nees) dan juga Anay (Beilcshmiedia anay Konter m).

Kultivar

Antara kultivar yang terdapat adalah Avocado Hass, Avocado Gwen, Avocado Pinkerton, Avocado Reed (Kategori A).

Bagi kultivar kategori B pula ialah kultivar Avocado Bacon, Avocado Ettinger, Avocado Fuerte, Avocado Sharwil dan Avocado Zutano.

Kultivar lain yang ada termasuk Avocado Spinks dengan jenama Challange, Dickinson, Kist, Queen, Sharpless, Rey, Royal dan Tatt.

Klon dan kultivar yang terdapat di Malaysia dibawa masuk dari Mexico tetapi banyak kultivar yang disesuaikan dengan keadaan di Indonesia dan Filipina.

Klon tanaman avokado

Di Malaysia terdapat tujuh varieti yang telah didaftarkan untuk tanaman avokado. Walaupun tanaman avocado di Malaysia tidak begitu popular tetapi sejak zaman kolonial terdapat usaha membangunkan tanaman ini yang di majukan di Stesen-stesen Pertanian.

Pokok avokado (Persia americana) adalah varieti yang ditanam di Malaysia.

Jabatan Pertanian Malaysia telah mendaftarkan beberapa klon avokado semenjak tahun 1953 dan menyimpan sebahagian daripada pokok-pokok tersebut di beberapa pusat pertanian sekitar Malaysia.

Di pusat pertanian Tangkak, Ledang, Johor contohnya terdapat beberapa pokok yang masih dijaga dan mengeluarkan hasil sehingga kini.

Usaha untuk menyimpan pokok tersebut sebagai sumber janaplasma perlu dijalankan.

1. Avocado Klon A7

Avocado jenis ini di panggil sebagai "Haji Abu" yang didaftarkan pada 5.10.1953 dari Pusat Pertanian Ampang Tinggi , Negeri Sembilan. Klon ini didaftarkan oleh pegawai pertanian pusat tersebut.

Buah jenis ini berbentuk 'pear' dengan saiz yang sederhana dan mempunyai kulit berwarna hijau.

Buah ini senang di kupas apabila telah matang. Isinya berwarna kuning, lembut dan bijinya senang tertanggal dari isi.

2. Avocado Klon A10

Jenis avocado klon A10 yang di daftarkan pada 1956 di dapati di Lot 2835, Selama, Perak oleh Jabatan Pertanian.

Buah klon ini bersaiz besar, berwarna merah padam dan mempunyai kulit yang nipis. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini. Isinya lembut dan mempunyai mutu serta rasa yang sederhana.

3. Avocado Klon A16

Bagi buah klon avocado A16 yang didaftarkan pada 18.5.1957 ini ditanam di Pusat Pertanian, Selama, Perak yang didaftarkan oleh Jabatan Pertanian.

Buahnya mempunyai kulit yang hijau kekuningan dengan bentuk agak panjang dan membengkok, meruncing di bahagian tangkai. Isinya pucat dan rasa buah adalah sederhana sedap.

4. Avocado Klon A25

Klon avocado A25 tiada nama tempatan dan didaftarkan pada tahun 1958 oleh pegawai pertanian. Pokok induk masih ada di Pusat Pertanian Tangkak, Ledang, Johor.

Buahnya bila matang berwarna merah hati dengan saiz buah sederhana. Isinya tebal dan berbiji kecil dengan ira isinya yang halus dan rasa yang sangat sedap.

5. Avocado Klon A27

Klon ini didaftarkan pada 10.6.1958 oleh pegawai di Jabatan Pertanian Serdang. Tidak ada nama tempatan untuk klon ini.

Klon ini menghasilkan buah kecil yang kulitnya berwarna jingga gelap. Isinya agak nipis dibahagian tepi tetapi tebal di bahagian atas dan bawah biji. Mutu dan rasa klon A27 adalah dikategorikan sederhana.

6. Avocado Klon A30

Avocado ini telah di daftarkan pada 1.6.1958 oleh pegawai Jabatan Pertanian yang bertugas di Pusat Komoditi Jabatan Pertanian Serdang, Selangor.

Klon ini mempunyai buah yang besar dengan kulit berwarna jingga. Isinya adalah tebal, halus serta berwarna 'cream'. Mutu buah adalah sangat baik.

Penanaman

Penanaman menggunakan biji benih atau keratan yang dipilih dari pokok induk yang dikenalpasti.

Jarak penanaman disyorkan ialah 6m x 6m atau lebih jauh bergantung kepada keadaan tanah dan kultivar. Lubang penanaman diisikan dengan baja organik dan MOP sebelum ditanam dengan anak benih.

Jalankan penyiraman peringkat awal dan sebaiknya bubuh sungkupan. Tanaman selingan seperti pisang , jagung atau lain-lain tanaman kontan boleh ditanam di antara barisan. Kawal rumpai dan jalankan program cantasan pembentukan.

Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan mengikut kadar disyorkan. Baja buah NPK 12:12:17:2 dan baja organik juga diberikan ikut syor.

Pokok avocado dewasa mampu menghasilkan sebanyak 1,200 biji buah sepokok setahun. Purata hasil avocado yang di tanam secara komersil sebanyak 7-20 metrik tan sehektar setahun.

Kawasan dusun avocado yang dijaga dengan baik di negara strategik mampu menghasilkan sehingga 20 mt sehektar setahun.

Pokok avocado memang mempunyai masalah penghasilan berbuah dwimusim iaitu pengeluaran puncak dan pengeluaran kurang berlaku berselang tahun.

Isu ini menyebabkan harga buah avocado di pasaran kadang-kadang terlalu tinggi dan terlalu murah akibat fenomena ini.

Ciri-ciri ideal avocado

Ciri-ciri buah avocado yang dikehendaki oleh pengguna mestilah buah yang bersaiz kecil dan saiz sederhana untuk pengeluaran secara komersial di kawasan kotaraya.

Buah yang terlalu besar atau terlalu kecil digunakan untuk keluarga yang besar.

Kulit buah avocado sebaiknya licin, nipis atau sederhana nipis serta berwarna kehijauan memang diminati pengguna.

Isinya tidak ada serat, mengandungi minyak yang rendah serta rasa yang sedap. Biji sebaiknya bersaiz kecil dan tidak mengganggu isi buah semasa proses penghantaran, penggredan dan pengendalian lepas tuai.

Hanya beberapa negara sahaja di dunia yang mempunyai iklim dan cuaca dikehendaki untuk tanaman avocado bermutu iaitu di Selatan Sepanyol, Crete dan Levant, Peru dan Afrika Selatan.

Kawasan lain yang sesuai seperti di Selatan India , Sri Lanka, Australia, New Zealand , Filipina, Malaysia, Indonesia, Amerika Tengah, Caribean, Arizona , Mexico, New Mexico, Texas, Florida dan Ecuador. Setiap kawasan mempunyai kultivar tersendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia