10 Pekerjaan Paling Tinggi Risiko Penyebab Kemurungan, Paling Teruk Menjadi Gila!

Ada beberapa kerjaya yang lebih berisiko menyebabkan manusia menghadapi tekanan perasaan. Menurut Dr. Deborah Legge, seorang kaunselor kesihatan mental dari Buffalo, Amerika Syarikat, ada beberapa aspek dalam setiap pekerjaan yang boleh menyumbang kepada kemurungan atau membuatkan penyakit itu bertambah buruk.

Kemurungan dalam kerja

Berikut adalah 10 bidang kerjaya (daripada 21 kategori utama kerjaya) di mana para pekerjanya mempunyai risiko dan kebarangkalian tinggi untuk menghadapi kemurungan.

1. Pekerja pusat penjagaan (warga emas/kanak-kanak)

Pekerja di rumah atau pusat penjagaan mengungguli carta di mana hampir 11% daripada mereka yang berkecimpung dalam bidang ini melaporkan menghadapi kemurungan yang kronik.

Dr. Christopher Willard iaitu seorang pakar psikologi klinikal dari Tufts University memberitahu, tugas harian mereka di tempat kerja termasuklah memberi makan, memandikan dan menjaga orang lain yang "tidak mampu mengucapkan rasa berterima kasih atau memberikan penghargaan disebabkan mereka terlalu tua atau terlalu muda."

Keadaan ini membuatkan seseorang sangat tertekan kerana tidak banyak peneguhan positif diterima dari persekitaran.

2. Pekerja khidmat makanan

Pelayan di restoran atau kedai makan kebiasaannya menerima gaji yang tidak begitu tinggi dan perlu bekerja dengan teruk sambil terpaksa melayani pelbagai kerenah pelanggan tanpa henti-henti. Dilaporkan sekitar 10% pekerja dalam sektor ini menghadapi kemurungan kronik.

Dr. Legge menyatakan yang kerjaya ini jarang menerima ucapan terima kasih. Hal ini mungkin disebabkan pelanggan sendiri mengharapkan pelayan mengucapkan terima kasih kepada mereka.

Tidak dilupakan ada juga pelanggan yang selalu bersikap kasar dan biadap terhadap para pelayan.

Apabila anda menggunakan banyak tenaga semasa bekerja ditambah dengan tekanan emosi sedemikian, agak sukar untuk mempunyai tenaga positif dan motivasi dalam diri.

3. Pekerja sosial

Pekerja sosial perlu berhadapan dengan pelbagai masalah luar seperti kanak-kanak yang didera atau keluarga yang sedang menghadapi krisis.

Persekitaran yang sedia ada negatif itu ditambah buruk pula dengan kerenah birokrasi yang sering menyulitkan keadaan.

Ada sejenis budaya kerja yang menyatakan jika anda ingin melakukan sesuatu kerja dengan baik, anda perlu bekerja dengan keras dan sentiasa membuat pengorbanan.

Disebabkan pekerja sosial sering dikelilingi mereka yang kurang bernasib baik, ia agak sukar untuk berhati keras dengan tidak banyak berkorban.

Golongan ini kerap dan amat mudah mengalami sindrom burnout (keletihan fizikal, emosi dan mental) akibat menerima tekanan berunsur negatif secara berpanjangan.

4. Pekerja bidang penjagaan kesihatan

Kategori ini termasuklah doktor, jururawat, ahli terapi dan pelbagai profesion lain yang melibatkan golongan yang "sentiasa memberi khidmat" sehingga diri sendiri terabai.

Pekerja dalam sektor ini sering mempunyai waktu bertugas yang panjang dan tidak menentu. Adakalanya ke tandas pun tidak punya masa. Diselang-selikan pula dengan saat-saat genting di mana nyawa manusia lain berada dalam tangan mereka.

Kesimpulannya, tahap tekanan pekerja bidang penjagaan kesihatan adalah sangat tinggi. Mereka perlu berhadapan dengan pelbagai jenis sakit, trauma dan kematian. Tidak dilupakan mereka perlu berurusan dengan ahli keluarga pesakit yang meninggal dunia.

Kesemua faktor ini boleh menyumbang kepada kemurungan kerana ia boleh membuatkan minda mereka tertumpu kepada ruang lingkup pemikiran yang kecil bahawa dunia ini adalah suatu tempat yang sangat menyedihkan.

5. Karyawan (artis, penghibur, penulis)

Kerjaya dalam bidang ini kebiasaannya mempunyai pendapatan yang tidak tetap, masa kerja yang tidak menentu selain sering bersendirian mengasingkan diri daripada orang ramai.

Golongan kreatif seumpama ini juga mempunyai kadar gangguan mood yang tinggi iaitu sekitar 9% kes kemurungan yang dilaporkan.

Bagi orang lelaki, inilah kategori kerjaya yang membuatkan mereka berisiko tinggi untuk menghadapi episod kemurungan kronik.

Selama tempoh 25 tahun merawat pesakit dengan masalah kesihatan mental, Dr. Legge mendapati satu lagi penyakit yang sering terjadi pada penghibur dan artis adalah kecelaruan bipolar.

6. Perguruan

Beban kerja guru pada hari ini bukanlah seperti 20-30 tahun yang lalu. Guru kini bukan sahaja terlibat dalam sesi pembelajaran dan pengajaran semasa waktu sekolah, malah mereka juga perlu membawa pulang lambakan kerja untuk disiapkan di rumah selain terlibat dengan pelbagai rancangan serta aktiviti yang membabitkan pelajar.

Ditambah dengan ketiadaan bajet dari pihak atasan untuk menyediakan bahan pengajaran sewajarnya untuk anak-anak murid, mereka pula terpaksa berkorban wang poket sendiri semata-mata ingin melihat pelajar cemerlang dan berjaya.

Golongan akademik ini perlu berhadapan dengan pelbagai tekanan - melayani kerenah pelajar seramai 30-40 orang setiap kelas, memenuhi kehendak ibu bapa dan pada masa yang sama perlu mencapai sasaran serta standard yang ditetapkan pihak sekolah.

Tidak cukup dengan itu, apabila dibuka media sosial, dibaca pula pelbagai kecaman dan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada mereka.

Hal-hal seperti ini boleh menyebabkan para guru sukar melakukan tugas mereka dengan sempurna sehinggakan terlupa apa tujuan utama mereka menyertai bidang kerjaya ini.

7. Pekerja sokongan pentadbiran

Pekerja dalam sektor ini boleh menderita akibat permintaan yang tinggi dan ketiadaan kawalan.

Mereka sering berada di barisan hadapan dan menerima pelbagai arahan dari semua arah serta dari semua peringkat. Walau bagaimanapun, mereka sendiri merupakan pekerja peringkat bawahan yang tidak mempunyai kuasa untuk 'menepis' atau 'mengawal' arahan-arahan ini.

Selain terpaksa melayan pelbagai kerenah manusia yang ingin berlagak seperti seorang bos, kerjaya dalam bidang ini juga kurang diberikan penghargaan atas segala tugas yang disempurnakan (walaupun tugas-tugas itu telah memudahkan hidup orang lain).

8. Pekerja pembinaan dan penyelenggaraan

Tiada siapa yang suka jika mereka hanya dipanggil apabila terjadi sesuatu masalah. Namun, itulah yang perlu dihadapi oleh pekerja penyelenggaraan hampir setiap hari.

Mereka juga perlu bekerja pada masa yang tidak menentu, tidak mengira musim atau cuti dan seringkali perlu bekerja malam.

Bayaran yang diterima juga kebiasaannya dilaporkan tidak setimpal kerana tugas mereka adalah 'membersihkan tahi' yang orang lain lakukan.

Kerjaya ini juga mempunyai kadar keluar masuk pekerja yang tinggi. Situasi pekerja saling silih berganti ini menyebabkan mereka sering terpinggir. Persekitaran tempat kerja seperti ini boleh membahayakan kesihatan mental seseorang.

9. Akauntan dan penasihat kewangan

Tekanan. Tekanan. Tekanan. Kebanyakan orang tidak suka menguruskan wang simpanan atau akaun pelaburan sendiri kerana ia melibatkan nombor dan pelbagai kemungkinan yang sukar dibaca.

Jadi, bolehkah anda bayangkan jika anda menguruskan akaun bernilai ribuan atau jutaan ringgit yang dimiliki orang lain?

Ia merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas kerana melibatkan perihal kewangan orang lain dan pada masa yang sama ketiadaan kuasa untuk mengawal pasaran ekonomi.

Selain diselubungi rasa bersalah apabila klien mengalami kerugian, mereka mungkin terpaksa berhadapan dengan jeritan, cacian dan pelbagai ugutan.

10. Bidang jualan

Ramai jurujual yang memperolehi pendapatan mengikut komisyen. Ini bermakna, anda tidak tahu bilakah bayaran berikutnya akan dimasukkan ke akaun anda. Mereka perlu bergerak ke sana ke mari dan adakalanya terpaksa berjauhan dengan rumah, keluarga dan rakan-rakan.

Jika mereka bekerja sendiri, faedah yang diterima juga agak terhad. Apabila diambil kira kesemua faktor ini, suasana kerja dalam sektor jualan boleh menjadi punca kepada tercetusnya kemurungan.

Walau bagaimanapun, usah khuatir untuk memilih kerjaya-kerjaya ini jika anda berminat melakukannya atau cenderung ke arahnya.

Menurut Dr. Deborah, anda mampu mengawal kerjaya bertekanan tinggi ini jika anda sentiasa menjaga diri dengan baik dan cuba dapatkan bantuan yang sewajarnya.

Bagi pembaca yang sering berurusan dengan individu yang tergolong dalam kategori kerjaya ini, cubalah sesekali senyum dan ucapkan terima kasih sebagai tanda penghargaan.

Siapa tahu, anda mampu mengubah hidup mereka menjadi lebih baik.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi