5 Tips Mencegah Jangkitan Virus Influenza

Masih ada dikalangan rakyat Malaysia yang keliru dalam membezakan antara influenza dan demam selesema biasa, yang hakikatnya flu lebih berbahaya malah dapat menimbulkan pelbagai komplikasi berbanding selesema biasa kerana boleh membawa maut.

Mencegah Jangkitan Influenza

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kira-kira 1 bilion kes influenza berlaku setiap tahun dan daripada angka itu, antara tiga hingga lima juta dalam kategori serius hingga mengakibatkan 650,000 kematian di seluruh dunia.

Kebiasaannya, influenza lebih berbahaya kepada wanita hamil, kanak-kanak dibawah usia lima tahun, dewasa melebihi 65 tahun dan individu bermasalah kesihatan seperti asma, penyakit pulmonari obstruktif kronik, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Flu atau influenza adalah jangkitan hidung, tekak dan paru-paru yang disebabkan oleh virus influenza dan ia mudah berjangkit serta merebak terutama ketika cuaca sejuk.

Tidak seperti di negara beriklim sederhana, di negara tropika seperti Malaysia, musim puncak bagi influenza berlaku dari Oktober hingga Januari dan April hingga Jun setiap tahun dengan jangkitannya berlaku sepanjang tahun.

Secara umumnya, virus influenza boleh terbahagi kepada beberapa jenis:
  • Jenis A: Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, epidemik sangat teruk dan berbahaya.
  • Jenis A (H1N1): Boleh menjangkiti manusia dan haiwan, kadangkala pandemik (seperti pada 2009 dan 2013) dan amat berbahaya.
  • Jenis B: Boleh menjangkiti manusia kerana ia sering berlaku dan kesannya berubah-ubah di mana ada kalanya tidak teruk, ada kalanya berbahaya dan tidak pandemik.
  • Jenis C: Boleh menjangkiti manusia. Ringan, jarang berlaku dan bukan epidemik.

Mudah Tersebar

Virus influenza boleh berjangkit melalui pembawaan udara dan mudah berlaku di negara bercuaca sejuk.

Virus influenza tersebar melalui pembawaan udara terutamanya di tempat sesak dan tertutup, manakala ia juga berlaku melalui hubungan secara langsung dengan titisan cecair yang tersebar semasa batuk dan bersin serta tangan yang tercemar.

Virus influenza yang paling biasa adalah virus influenza A dan Influenza B. Ia adalah penyakit berjangkit yang disebarkan melalui titisan udara sama ada melalui percakapan, bersin dan batuk.

Dipercayai, virus Influenza ini boleh disebarkan dalam jarak kira-kira dua meter dari individu pembawa.

Kenali gejala Influenza

Orang yang dijangkiti akan mengalami demam tinggi, batuk, sakit otot dan kelesuan yang teruk. Kebanyakan pesakit akan mengalami kekurangan air dalam badan.

Perkara Perlu Dibuat Jika Dijangkiti Virus Influenza

Doktor akan memberi ubat anti virus dan rawatan simptomatik lain seperti paracetamol, ubat batuk dan antihistamin.

Pesakit juga akan disarankan until menghabiskan ubat antiviral yang diberikan.

Ujian

Jangkitan influenza hanya boleh disahkan melalui sampel cecair hidung, namun adakalanya ujian saringan sedemikian tidak 100 peratus tepat.

Tempoh pulih

Pemulihan biasanya berbeza bagi setiap individu. Biasanya ia mengambil masa seminggu untuk pulih, tetapi anda mungkin masih merasa lemah sehingga beberapa minggu.

Punca kes meningkat di Malaysia

Malaysia terletak di khatulistiwa, oleh itu tiada musim Influenza yang jelas, sekali gus bermakna negara ini akan terdapat virus influenza sepanjang tahun.

Dipercayai, akhir tahun adalah musim kemuncak rakyat Malaysia melancong dan melawat negara lain dan pada masa itulah mereka akan membawa virus ini masuk ke dalam negara.

Berikut antara 5 tips yang boleh diikuti supaya tidak dijangkiti virus influenza:

1. Jaga kebersihan

Sering kali kita terlihat, ramai orang yang menutup mulut atau hidungnya ketika bersin dan juga batuk.

Tetapi, perlu diingatkan juga supaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih yang mengalir supaya kuman di telapak tangan tidak tersebar di merata tempat.

Secara tidak langsung dapat mengelakkan virus influenza ini dijangkiti.

2. Pakai topeng muka

Tutup mulut atau hidung dengan tisu kering apabila batuk atau bersin. Selain itu, pakai topeng muka supaya titisan cecair dari mulut dan hidung tidak tersebar ke orang lain.

3. Jauhi tempat sesak

Apabila terkena jangkitan selesema ataupun flu, jauhkan diri daripada tempat yang sesak, elakkan diri daripada mendekati orang-orang yang batuk atau selesema dan hindari bersentuhan dengan orang luar negara atau pelancong asing yang dijangkiti influenza atau flu burung.

Memakai penutup muka (face mask) dapat mengelakkan titisan cecair dari mulut dan hidung tersebar pada orang lain.

4. Pemakanan dan diet sihat

Jamah hidangan mengikut piramid makanan seimbang dan tidak membeli makanan luar yang terdedah di persekitaran kotor.

Selain itu, galakkan diri untuk lebih aktif bergerak dan berpeluh dalam kehidupan seharian.

5. Vaksin flu

Ibu bapa perlu prihatin terhadap anak-anak yang berumur di bawah lima tahun kerana kelompok itu lebih berisiko berbanding kategori yang lain.

Kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan lebih banyak udara, makanan dan minuman mengikut kuantiti pembesaran serta pertumbuhan diri.

Cara paling berkesan untuk mengubatinya ialah melalui vaksinasi kerana ia lebih selamat dan berkesan untuk kanak-kanak, malah pendekatan itu sudah digunakan sejak lebih 60 tahun.

Mencegah itu lebih baik

Kelompok remaja dan dewasa dinasihatkan supaya sentiasa sedar dan menjaga kesihatan agar tidak dijangkiti virus influenza.

Apabila imuniti badan rendah, kita senang dijangkiti penyakit. Imuniti badan boleh rendah jika kita kurang rehat, stres, pemakanan dan diet yang tidak seimbang serta waktu tidur yang tidak cukup.

Sehubungan itu, ibu bapa dan penjaga perlu ingat jika keimunan kanak-kanak dibawah lima tahun dan warga tua berusia 65 tahun ke atas ini pada tahap rendah, akan lebih senang dijangkiti demam, juga batuk dan selesema.

Jadi, amalkan gaya hidup sihat, dapatkan vaksin supaya kita dapat kurang komplikasi dan tidak mudah dijangkiti virus influenza.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar