Polis mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Unit Forensik Hospital Port Dickson untuk dibedah siasat
PORT DICKSON - Dua sahabat yang hendak melepaskan ‘hajat’ di tandas rumah simpan mayat milik sebuah persatuan penganut Buddha terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki terbaring di ruang hadapan rumah berkenaan di Kampung Arab petang, semalam.
Susulan penemuan mayat itu, dua sahabat berkenaan kemudiannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah berkata, mangsa yang meninggal dunia itu adalah seorang lelaki berbangsa Cina berusia awal 70-an yang merupakan penjaga rumah simpan mayat berkenaan.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati mangsa mengalami kecederaan di tangan kanan dipercayai untuk menahan atau mempertahankan diri ketika diserang suspek.
“Dalam kejadian ini, suspek dipercayai menyerang mangsa menggunakan sebatang kayu api yang diambil dari kawasan rumah ini juga.
“Mangsa juga mengalami kecederaan di telinga dan kepala bahagian kiri serta lehernya mempunyai kesan arang dari kayu api yang digunakan suspek.
“Mangsa dipukul beberapa kali sebelum maut,” katanya.
Adzli berkata, polis juga berjaya mengenal pasti suspek yang merupakan seorang lelaki dan yakin akan dapat menahannya dalam masa terdekat.
“Polis juga telah menemui kayu yang digunakan suspek dalam kejadian ini di kawasan belukar kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian,” katanya.
Jelasnya, motif kejadian dikenal pasti sebagai samun berikutan rantai emas yang sering digunakan mangsa dan sejumlah wang tunai didapati hilang.
“Mangsa masih bujang dan tinggal di rumah ini sebagai penjaga,” katanya.
Sumber : SinarHarian