SBDJ Siri 164: Dendam Tok Guru

Mungkin kerana mahu memburu masa atau tidak rela ditimpa kecelakaan memaksa orang kanan dan perempuan suruhan mencakar-cakar timbunan tanah di kiri kanan lubang. Deraman tetap tenang mengkais-kais longgokan tanah di bibir lubang dengan menggunakan cangkul.

Toyol jadi-jadian

Maziah tidak ambil peduli apa yang berlaku sekelilingnya. Dia tekun dengan tugasnya membancuh simen.

"Haaaa!"

Mulut saya terlopong. Dua tiga kali kelopak mata saya pejam-celikkan. Bibir di gigit dan nafas dilepaskan perlahan-lahan dan hati kecil bertanya, apakah aku kini berada di alam nyata atau di alam fantasi?

Akhirnya, saya sedar bahawa saya bukan berkhayal. Apa yang terjadi di depan mata adalah benar.

Memang, jari jemari perempuan suruhan dan orang kanan luar biasa sekali. Ruas jari-jemari mereka panjang dan bentuknya macam ruas ranting buluh kuning, manakala kuku di jari bertukar menjadi seperti kuku beruang.

"Sudah, cukup tu."

Saya lihat mahaguru angkat tangan kanan. Dia sudah dapat merasakan bahawa lubang yang ditimbus sudah sama rata dengan paras bumi dia berdiri.

Jari jemari dan kuku orang kanan serta perempuan suruhan kembali normal. Mereka berdiri sambil mengibas-ngibas telapak tangan ke kiri dan ke kanan membuang tanah yang lekat.

Di wajah mereka terpamer kepuasan yang amat sangat lalu mereka berbalas senyuman dengan mahaguru.

"Sekarang tugas kamu taruh simen sampai rata. Boleh kamu buat kerja yang senang ni?" muka Maziah ditenung oleh mahaguru.

"Boleh tok guru."

"Bagus, bila kerja tu selesai, kita berkumpul di bawah pokok mempelam. Sekarang kami pergi dulu. Kami tunggu kamu di situ. Cepat buat kerja tu masa dah suntuk, awan hitam dah dekat nak sampai ke bulan," mahaguru dongakkan mukanya ke langit.

Mahaguru segera mengajak orang kanannya, perempuan suruhan dan Deraman ke tempat yang dimaksudkan.

Mereka membiarkan Maziah terkial-kial di situ. Aneh sungguh, kenapa saya tidak dipelawa untuk ikut serta? Timbul pertanyaan dalam diri. Dan saya jadi cemas semacam.

Di tengah-tengah kedinginan malam itu, badan Maziah terus dibasahi peluh. Dia bekerja bagaikan orang gila.

Dalam waktu yang cukup singkat permukaan tanah (permukaan lubang kubur) selesai diturap dengan simen.

Maziah tersenyum puas. Maklumlah dapat menunaikan arahan mahaguru dengan sempurna.

BEREDAR

Sebelum beredar menuju ke arah kumpulan mahaguru di bawah pokok mempelam, Maziah terlebih dahulu menyapu peluh di dahi dan muka dengan kain hitam tiga segi yang dikeluarkan dari rusuk sebelah kiri.

Tanpa menoleh ke arah saya, dia pun memulakan langkah menuju arah mahaguru dan kumpulannya.

Saya makin resah ditinggalkan sendirian. Termanggu macam orang bodoh. Apakah saya harus bertahan di situ. Wajarkah saya buat macam orang bodoh untuk ikut campur dalam kumpulan mahaguru?

Saya dongakkan kepala ke langit, bintang dan bulan masih ada. Gumpalan awan hitam terus bergerak. Bunyi deru angin terus menyumbat gegendang telinga. Badan terasa dingin sekali.

Suasana demikian membuat saya merasa mengantuk dan tersengguk-sengguk.

Dari bawah pokok mempelam terdengar mahaguru memberi arahan kepada Deraman dan Maziah yang diselang seli dengan bacaan mantera yang bunyi hampir menyamai Bahasa Urdhu dan Jawa Kuno bercampur aduk dengan bahasa Sanskrit.

Begitulah antara tidur dan terjaga, saya terlihat simen diatas kubur Osman Garing merekah. Kelihatan semut-semut berwarna putih sebesar jari kelingking bermunculan dari rekahan simen itu.

Di bahagian kepala dan kaki (kubur) keluar kabus nipis. Serentak dengan itu terdengar suara cengkerik cukup kuat. Boleh memekakkan telinga. Saya ketakutan.

"Allahhu Akbar..." saya menjerit sekuat hati.

Dan pada saat itu juga bahu kiri saya dipaut dari belakang dengan kasar sekali. Saya jatuh terlentang. Bila cuba bangun kepala terasa pening dan saya rebah kembali.

Dengan mata yang terbuka saya menatap bulan, bintang dan awan gemawan yang bergerak lemah di dada langit. Dada rasa seperti dihempap benda berat yang menyekat gerak tubuh saya.

"Bakal anak murid tu mesti duji," terdengar bisikan suara dari sebelah telinga kiri.

Tidak diketahui dengan pasti apakah suara bisikan itu ditujukan kepada saya atau orang lain. Tidak mungkin untuk saya.

"Tarik," terdengar pekikan yang kuat.

Belum pun sempat dipastikan dari arah mana suara itu datang, sepasang kaki saya dipegang oleh sepasang tangan berbulu.

Bentuk dan rupa makhluk tangan berbulu tidak dapat dilihat. Bunyi tarikan dan hembusan nafas jelas kedengaran dan baunya hancing sekali.

"Cepat tarik."

Suara perintah kian lantang. Sukar dikesan dari arah mana suara itu muncul. Dan saya pun ditarik macam menarik bangkai anjing yang mati dilanggar lori balak.

Kerana diheret dengan kasar daging punggung dan paha terasa seperti mahu bercerai dengan anggota tubuh.

Setiap sendi bagaikan mahu tercabut. Setiap kali saya mengerang kesakitan saya diejek dengan ketawa. Suara ketawa bergerak mengikut arah angin.

Bila saya merayu agar ditarik dengan cermat muka saya di simbah dengan air yang bercampur selut (tanah liat hitam) akibatnya mata saya terasa pedih.

Mungkin kerana terlalu banyak bercakap, mulut saya disumbat dengan seketul batu sebesar penumbuk orang dewasa.

Saya sudah tidak berdaya. Saya pasrah pada Allah. Dalam keadaan sakit yang tidak tertahan-tahan itu saya terus menyebut nama Allah berulang kali.

Akhirnya, bahagian pangkal kemaluan saya dipijak-pijak. Sakitnya, Allah saja yang mengetahui.

"Sudahlah tu..."

Sepasang tangan berbulu melepaskan sepasang kaki saya yang diseret. Hati terasa lega tetapi, rasa pedih yang perit di bahagian belakang, punggung dan paha tetap terasa.

Bila saya mengerang kesakitan, tangan berbulu segera menggosok bahagian yang sakit hingga rasa sakit hilang. Tetapi, saya tetap gagal untuk melihat wajah tangan yang berbulu itu.

"Tinggalkan calon baru itu di situ."

Terdengar suara ghaib sekali lalu. Beberapa saat kemudian terdengar bunyi telapak kaki orang berjalan di sebelah kanan.

Bunyi yang kuat itu beransur perlahan dan akhirnya terus hilang. Suasana terasa sepi sekali.

Kerana rasa sakit sudah hilang, saya pun terus duduk dan pada saat itu juga saya teringatkan mahaguru dan kumpulannya.

Usaha saya tidak sia-sia, mahaguru dan puaknya tersengih merenung ke arah saya. Rupanya makhluk tangan berbulu mengheret saya ke arah kawasan pokok mempelam.

Kerana perempuan suruhan pernah bercakap dan melayani saya. Tentu tidak salah kalau saya mendekatinya.

Saya yakin dia telah melihat apa yang saya alami. Fikir saya sendirian. Saya pun cuba menginsut kearahnya.

"Jangan bergerak, duduk bersila di situ," pekik orang kanan mahaguru sekuat hati.

Perempuan suruhan ketawa terkikih tetapi mahaguru dan Maziah diam terpaku kecuali biji mata saja yang bergerak merenung pergerakan saya.

"Kamu tidak boleh melepasi garisan putih," sambung orang kanan.

Saya tidak dapat buat apa-apa, terpaksa patuh pada arahan yang dikeluarkan. Jarak saya dengan kumpulan mahaguru (di bawah pokok mempelam) kira-kira sepuluh kaki.

Dipisahkan oleh garisan putih (garisan itu dibuat dari kapur) yang membentuk sebuah bulatan.

Mahaguru dan puaknya berada dalam bulatan. Mereka duduk atas peti (kotak) susu mengelilingi mahaguru sedangkan mahaguru yang berada ditengah-tengah duduk atas bangku kecil yang diperbuat daripada buluh kuning.

Antara mereka dan saya terdapat perbezaan yang cukup ketara. Saya berada diluar garisan.

Mereka duduk atas peti susu dan bangku sedangkan saya disuruh duduk mencangkung dengan sepasang tangan memeluk betis, tidak ubah macam orang tawanan perang.

Saya hanya mampu menelan air liur, setiap kali mereka meneguk kopi panas. Tidak dapat dipastikan siapakah yang menyediakan air kopi panas untuk mereka.

Barangkali air kopi memang sudah ada di dalam sebuah peti susu yang tidak diduduki oleh sesiapa.

Keadaan peti itu juga agak ganjil, dicat dengan warna hitam dan ditutup dengan kain kuning.

Walau apa pun, aroma (bau) kopi membuat saya pejam celik dan kepingin untuk menikmatinya.

Dalam keadaan perasaan yang serba tertekan itu, sayup-sayup gegendang telinga menangkap suara kokok ayam.

Nyanyian burung hantu yang menyeramkan masih bergema datang dari arah puncak bukit yang tertegun kaku.

Rasa dingin terus menggigit setiap kulit tubuh, saya menggigil tetapi, mahaguru bersama puaknya menghangatkan tubuh dengan minum air kopi panas.

Dalam usaha menghalau kedinginan saya mengigit bibir. Ternyata usaha itu tidak memberi kesan, saya terus menggigil dan gigi pun berlaga sama sendiri.

Angin terus merempuh dedaun hutan hingga bergesel sesama sendiri dan bulu roma terus berdiri.

Betapa tidak? Hasil sentuhan itu melahirkan bermacam-macam bunyi aneh. Ada suara orang menangis, ketawa dan menjerit. Begitulah silih berganti.

LEMAH

Angin yang mulanya bertiup lemah, tiba-tiba bertukar menjadi keras. Langit yang cerah mula dilitupi awan-awan hitam tebal. Saya kira tidak lama lagi bumi pasti disirami hujan.

"Kamu harus ingat. Apa yang kamu tengok tadi, tetap menjadi rahsia diri kamu seumur hidup. Biar rahsia itu pecah di perut, jangan pecah dimulut."

Memang tidak salah lagi. Itu adalah suara mahaguru dalam nada yang cukup serius. Saya pun angkat kepala dan merenung ke arahnya.

Mahaguru melepaskan renungan tajam ke wajah Maziah dan Deraman penuh makna dan rahsia tersendiri.

"Kamu berdua mesti merahsiakan tempat kamu menuntut ilmu ini, jangan beritahu sesiapa tentang diri aku, tentang orang kanan dan perempuan suruhan.

"Kalau ada orang bertanya bentuk tubuh dan muka kami, jangan beritahu. Faham?" sambung mahaguru.

"Faham," sahut Maziah dan Deraman serentak.

"Kalau ada orang yang bertanya, kemana hilangnya Osman Garing? Apa kamu nak jawap?" orang kanan kemukakan pertanyaan.

"Mati dalam laut, kena ribut," jawab Deraman.

"Kamu, apa jawapan kamu, Maziah?"

"Saya beritahu orang yang bertanya, saya tidak begitu rapat dengannya. Saya tak tahu langsung tentang hal dirinya."

"Kedua-dua jawapan boleh dipakai. Tetapi, sebaiknya jawapan mesti sama, jangan bertelagah antara satu dengan lain," orang kanan memberi pandangan.

"Kami ikut nasihat orang kanan," kata Deraman.

Senyum megah terukir di kelopak bibir orang kanan.

Seterusnya mahaguru mengingatkan Deraman (Wan) dan Maziah jangan sekali-kali melakukan pemujaan dan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya.

Ada syarat tertentu yang membolehkan pemujaan dan pembunuhan dilakukan.

Pertama, orang itu mempunyai ilmu dunia yang berlawanan dengan apa yang mereka (Maziah dan Deraman) tuntut. Bila dicabar harus bertindak. Musnahkan mereka.

Kedua, orang yang menolak atau enggan menunaikan permintaan mereka, walaupun sudah dipujuk dan sudah banyak tolak ansur.

Ketiga, orang yang sudah mengetahui tipu muslihat mereka. Contohnya mereka dapat memukau orang ternama dan kaya hingga orang terbabit mengikut telunjuk mereka.

Tetapi, disaat akhir rahsia penipuan dapat dikesan oleh orang yang bakal menjadi mangsa mereka. Pada saat itu, mangsa harus diculik dan dihukum di tempat pemujaan.

Keempat, orang yang gila menuntut ilmu batin untuk jadi kebal, menuntut ilmu penggerun atau mahu mencari kekayaan dengan mudah dan taksub dengan dukun atau bomoh.

"Kamu berdua juga harus ingat, orang yang mahu dikorbankan untuk pemujaan, jangan terus dibunuh.

"Mesti dipukau terlebih dahulu, jangan dibunuh di kawasan lapang atau di tempat terbuka seperti apa yang kamu tengok tadi. Itu cuma contoh saja untuk kamu."

"Habis kemana kami nak buat kerja tu?" tanya Maziah dengan sepasang mata yang bercahaya di bawah sinar pelita minyak tanah.

"Buat dalam rumah atau pondok. Sebaiknya rumah atau pondok tu jangan ada tiang. Kalau ada tiang buat bilik dibawah rumah dan korek lubang.

"Pokoknya, mayat mesti ditanam dalam kawasan rumah, darah mesti menitik atas bumi. Ditanam dan permukaan mesti disimen.

"Kalau tak ada simen, longgokkan kayu dan bakar atas kubur hingga tak ada orang menyangka dibawah unggun api ada mayat manusia. Cara memotongnya sudah aku tunjukkan tadi."

"Iya, kami dah faham."

"Bagus," kata mahaguru dengan senyuman yang memanjang.

Kehadiran saya diluar garisan, seolah-olah tidak wujud sama sekali. Saya dibuat endah tak endah saja.

Rasa dingin mula berkurangan dan saya boleh mengerakkan jari-jemari dan tidak perlu memeluk kedua belah lutut.

Saya terus bangun dan melakukan senaman untuk memanaskan darah. Saya melompat dan membuka bunga silat untuk memanaskan dan menegangkan urat di setiap sendi.

"Duduk," jerit perempuan suruhan.

Belum sempat saya menjawab, seketul tanah hitam sebesar buah ciku (sawo) dilontar tepat ke bahu kanan.

Serta merta sendi lutut saya jadi lemah dan tidak mampu berdiri. Saya terus jatuh terduduk disitu.

"Duduk diam-diam disitu," sambung perempuan suruhan.

"Pulihkan sendinya," orang kanan keluarkan perintah.

Perempuan suruhan segera melompat melepasi garis putih menuju ke arah saya. Hidung saya dicuitnya dengan ibu jari kaki kirinya.

Kedua belah sendi lutut kembali berfungsi dengan baik. Kerana sudah dilarang jangan bergerak kemana-mana, saya terus diam di situ.

Mahaguru memetik ibu jari kiri ke arah orang kanannya. Saya lihat orang kanan angguk kepala.

Dari gerak-geri tersebut, saya mula faham, tugas selanjutnya di serahkan kepada orang kanan.

"Darah pertama biarkan menitik atas bumi, darah selebihnya kamu ambil dan sapukan kemuka, terutama bagi orang perempuan, dengan itu kulit muka lambat kecut, sentiasa nampak awet muda. Tadi sudah aku terangkan," orang kanan memulakan kuliahnya.

"Iya. Saya ingat," sahut Maziah

"Kamu kesal Osman Garing jadi korban pemujaan?"

Maziah tidak menjawab.

"Bagaimana dengan kamu Deraman?"

Saya lihat Deraman resah semacam. Mahaguru menggigit bibir, di wajah terbayang keraguan.

Dia merasa sangsi terhadap dua orang anak muridnya yang sudah ditauliahkan itu. Dia segera memberi isyarat kepada orang kanan supaya menyerahkan tugas itu kepadanya kembali. Orang kanan anggukkan kepala.

PUCAT

Mahaguru genggam penumbuk, sementara tangan kirinya menarik lawi ayam yang terselit di pinggang sebelah kanan.

Dua tiga kali dia menumbuk angin, sebelum lawi ayam yang berulukan gading gajah bertukar tempat. Dari telapak tangan kiri melompat ke talapak tangan kanan.

Lawi ayam dikeluarkan dari sarungnya. Dua tiga kali lawi ayam diacukan ke batang leher Maziah dan Deraman.

"Jangan khianat aku."

Saya lihat muka Maziah dan Deraman pucat lesi.

"Saya cakap kamu suka atau tidak Osman Garing dibunuh."

"Suka tok guru."

"Humm... Kamu berdua suka aku bertindak kasar dan biadab?"

"Maafkan kami tok guru."

"Hummmm.."

Malam kian tua, awan hitam masih bergerak lemah di dada langit. Suara burung hantu jarang kedengaran. Angin bagaikan penat mahu menyentuh dedaun di hujung reranting.

Ayam bagaikan sudah bosan mahu berkokok. Tetapi, cahaya dari pelita minyak tanah tetap setia menerangi tempat mahaguru dan pengikutnya berkumpul.

Begitulah, ditengah-tengah kelesuan malam yang kian tua, kemarahan yang pada mulanya membara dalam dada mahaguru terus padam.

Dengan secara sepontan mahaguru membuka rahsia.

"Kamu berdua tak tahu, atau sengaja pura-pura tidak tahu yang si Osman Garing tu ada ilmu. Hari pertama aku tengok ekor matanya, aku dah tahu. Dia bukan datang dengan dada kosong."

"Dia beritahu saya, dia tak ada apa-apa. Dadanya kosong, dia datang ke sini semata-mata nak tuntut ilmu. Nak belas dendam dengan orang yang buat jahat padanya," kata Deraman.

"Memang begitulah cara dia menipu kamu. Itu cara dia minta simpati dengan kamu. Eh! Kamu tak sedar dia ada hati dengan Maziah.

"Malah nak jadikan Maziah bininya. Dia nak tengok siapa handal berkayuh sampan atas katil," tutur mahaguru bersama senyum sinis.

Biji mata Deraman terbeliak. Dia tidak menduga sampai sejauh itu Osman Garing mahu bermain serong dengannya.

"Tapi, dia nampak cukup baik tok guru," Maziah pula bersuara.

Mendengar kata-kata yang diungkapkan oleh Maziah itu, mahaguru ketawa terbahak-bahak. Dua tiga kali dia gelengkan kepala.

"Orang nak pekenakan kamu, kamu kata baik Maziah. Kamu tak tahu dia datang ke sini nak menguji aku dan aku pula berazam nak menjadikan dirinya mangsa pemujaan.

"Kerana dia rela jadi anak murid aku, senanglah aku menguasainya. Kalau dia datang nak berlawan dengan aku, sulit juga aku dibuatnya," mahaguru menarik nafas panjang.

Maziah dan Deraman berpandangan sesama sendiri. Orang kanan dan perempuan suruhan mengikuti cerita dari mahaguru penuh minat.

"Tak mengapa, semuanya sudah selesai," cetus mahaguru lagi dengan perasaan yang cukup lega sekali.

Buat beberapa minit mereka tidak berkata-kata. Masing-masing termenung panjang. Barangkali mereka sedang membuat rumusan tersendiri tentang cerita yang dituturkan oleh mahaguru itu.

"Tak lama lagi ada orang muda yang nak aku jadikan korban pemujaan. Itupun kalau orang muda itu berhasrat nak mencabar aku," suara mahaguru memecahkan suasana bungkam yang menguasai kawasan bawah pokok mempelam.

"Siapa orangnya tok guru?" dengan lantang Maziah bertanya.

KORBAN

Ternyata cara yang dilakukan oleh Maziah itu dianggap keterlaluan oleh orang kanan dan perempuan suruhan.

Kerana mahaguru tidak memperlihatkan sebarang reaksi mereka tidak dapat berbuat apa-apa.

"Sabar dulu anak muridku yang setia. Terpaksa ambil masa, tak boleh terburu-buru," dengan nada suara yang lembut mahaguru bersuara.

Matanya tertumpu ke sumbu pelita minyak tanah yang terbakar.

"Aku rasa kamu berdua tak sempat nak tengok upacara pemujaan itu," tambah mahaguru.

"Kenapa pula?" desak Deraman.

"Sebabnya esok atau lusa kamu berdua nak tinggalkan tempat ini. Kau orang dah tamat buat apa duduk sini.

"Orang yang mahu dikorbankan itu bergantung kepada keadaan. Bila ada murid yang sudah tamat menuntut dan mahu diberi tauliah, barulah korban dan pemujaan dibuat.

"Sekarang kau dah faham kenapa aku tak beritahu nama orang dan masanya?"

"Kami faham mahaguru," sahut Maziah dan Deraman serentak.

Sebaik sahaja mahaguru selesai bercakap, darah saya tersirap kerana pada hemat saya orang yang dimaklum oleh mahaguru laknat itu adalah batang tubuh saya.

"Maziah," teriak orang kanan.

"Kalau kamu mahu kulit anu dan hatinya untuk dibuat bedak atau jamu awet muda, bolehlah aku simpan."

"Boleh juga tolong simpankan."

Selesai saja Maziah menjawab pertanyaan dari orang kanan mahaguru, terdengar bunyi petir yang amat kuat bersama sinaran cahaya kilat.

Gerakan jantung bagaikan terhenti dan saya terlihat pohon enau (kabung) yang berada tidak jauh dari kawasan saya dan anak buah mahaguru duduk terbakar.

Api terus menjilat bahagian atas pokok kabung. Kawasan sekitar terang benderang. Dahan mempelam sebelah kiri terus sekah.

Mahaguru dan pengikutnya bernasib baik kerana dahan mempelam tidak menghempap kepala mereka.

Mungkin kerana terkejut membuat mereka melompat dan berada diluar garisan bulat.

Bahang panas mula tersebar. Kulit muka terasa seperti dibakar. Dan serentak dengan itu hujan turun mencurah curah. Keadaan menjadi kelam-kabut.

"Berteduh dalam rumah, cepat masuk."

Dalam hujan lebat dengan pakaian yang basah kuyup, mahaguru mengeluarkan arahan kepada anak buahnya. Arahan itu segera dipatuhi.

Dalam usaha mencari tempat selamat, saya segera berpatah balik ke arah 'batang mayat' tempat tubuh Osman Garing dikerat.

Darah yang bercampur dengan air hujan meleleh di batang mayat sebelum menitik ke atas permukaan bumi.

Dalam cahaya kilat yang muncul sekali sekala saya sempat melihat simen di permukaan (tempat Osman Garing ditanam) tanah dibawa oleh air hujan sedikit demi sedikit ke kawasan rendah.

Suasana sekitar gelap-gelita (semua jamung dan pelita minyak tanah padam akibat ditimpa hujan).

Sebaik saja saya berlindung di bucu 'batang mayat', terdengar bunyi petir yang membuat telinga terasa pekak dan bumi terasa macam bergegar.

"La haula walla..."

Itu yang terpancut dari kelopak bibir saya, bila melihat pokok mempelam (tempat mahaguru dan orangnya berkumpul) dipanah petir.

Batangnya terkopak dua. Daun dan ranting hangus dimakan api. Pangkal dan akar pokok tercabut dari bumi dan pokok terus tumbang kaku.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 164/284

BACA: SBDJ Siri 163: Mayat Dalam Guni
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com