Asal-usul Perayaan Hantu Lapar Masyarakat Cina

Istilah Perayaan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival) dikatakan adalah rekaan istilah orang British semasa mereka menjejakkan kaki ke negara-negara Timur Asia dan hasil dari itu sambutan perayaan ini diberi satu gambaran sebagai sesuatu yang menakutkan.

Festival Hantu Lapar

Menurut Routledge Encyclopedia of Religious Rites, Rituals and Festivals (Religion and Society), hlm. 92, perayaan ini dikenali sebagai Yulanhui atau Yulanpen dalam hari ke-15 pada bulan ke-7 mengikut kalendar Buddha.

Sementara itu, istilah sebenar sambutan hantu lapar adalah Zhongyuan Jie, Gui Jie atau Yulan Festival (Yú lán pén jié), adalah sebuah perayaan yang disambut oleh penganut Buddha dan Tao di negara Asia.

Yu Lan adalah perkataan asing yang bermaksud "nasib malang orang yang digantung terbalik di dalam neraka", manakala Pen adalah mangkuk.

Yu Lan Pen dilihat sebagai: mangkuk yang disediakan makanan di dalamnya untuk para sami, dengan niat untuk menyelamatkan nasib moyang mereka yang "digantung terbalik" di dalam neraka.

Perayaan Hantu Lapar ini dikatakan bermula pada sekitar kurun ke-7 (antara 601-700 Masihi).

ASAL-USUL

Sambutan Festival Hantu Lapar adalah berbeza kerana penganut Tao, menumpukan perhatian untuk menenangkan roh-roh yang sedang berkeliaran kerana dilepaskan dari neraka, sementara bagi para penganut Buddha pula adalah lebih kepada membina nilai bakti anak-anak kepada orang tua mereka.

1. Buddhisme

Kebanyakan orang mengetahui tentang kisah perayaan ini melalui tukang cerita profesional, yang menceritakan sebuah kisah bertajuk "The Transformation Text on Mu-lien Saving His Mother from the Dark Regions".

Kisahnya tentang seorang pengikut Siddhratha Gautama Buddha bernama Mu-Lien (sanskrit: Maudgalyayana), yang mempunyai kebolehan untuk melihat alam ghaib, serta misinya untuk mencari kedua ibu bapanya yang telah meninggal dunia.

Kisah ini juga tertulis di dalam Ullambana Sutra (juga dikenali Yulanpen Sutra, dipercayai ditulis antara 266- 313 Masihi).

Maudgalyayana beri ibu makan
Maudgalyayana datang memberi makanan kepada ibunya di neraka.

Sejarahnya bermula daripada kisah ibu Maudgalyayana yang menyembunyikan derma kepada kuil dan kemudiannya menjadi hantu lapar di neraka.

Ini adalah balasan kepada ibunya kerana tidak membelanjakan wang peninggalan suaminya dengan memberikan makanan kepada orang ramai sepertimana diwasiatkan oleh suaminya itu.

Ketika Maudgalyayana sedang bertapa, dia ternampak ibunya sedang merana di dalam neraka akibat daripada balasan amalan buruk semasa hidup.

Ibunya telah menjadi hantu lapar dengan memiliki perut yang besar tetapi dengan leher yang sempit, menyebabkan ia sukar untuk menelan makanan, manakala perut yang besar menyebabkan perut selalu kosong dan selalu kelaparan.

Ibu Mu Lien diberi makan
Ibu Mu Lien diberi makan di neraka, yang memiliki leher kecil tetapi perut yang besar.

Hal ini membuatkan Maudgalyayana berasa sedih, terseksa dan bertekad untuk menyelamatkan ibunya.

Dia telah mengurangkan seksaan ibunya itu dengan meminta tunjuk ajar daripada Buddha, cara untuk memberi makan kepada ibunya itu.

Buddha mengarahkannya untuk meletakkan makanan di atas pinggan yang bersih dan membaca mantera tertentu sebanyak tujuh kali, dan memetik jari untuk memanggil roh yang telah meninggal lalu meletakkan makanan itu di atas lantai yang bersih.

Perbuatan Maudgalyāyana ini telah dapat menyelamatkan ibunya, yang kemudian telah menjelma menjadi anjing yang dijaga oleh sebuah keluarga bangsawan.

Dia lalu meminta bantuan Buddha sekali lagi untuk menghidupkan semula ibunya menjadi manusia.

Buddha pun menetapkan suatu hari (iaitu hari ke-14 bulan ke-7 tahun lunar) di mana Maudgalyāyana perlu memberi makan kepada 500 bhikkhu (para sami), sehingga ibunya dapat dihidupkan kembali dalam bentuk manusia.

Ada juga sebahagian sarjana berpendapat bahawa perayaan tradisi ini diamalkan sebelum kedatangan agama Buddha dan ia adalah lebih kepada kepercayaan kuno (Chinese folk religion) yang merangkumi seluruh daerah.

Namun, asal-usulnya tidak dapat dipastikan kerana budaya ini terdapat di negara-negara Asia dan India sehinggakan di Kemboja dan Jepun juga mempunyai perayaan yang hampir serupa dan diraikan pada bulan berkenaan.

2. Taoisme

Mengikut kepercayaan Tao, pintu neraka terbuka pada hari pertama bulan 7 dan hantu lapar akan bebas untuk mencari makanan ataupun membalas dendam kepada mereka yang berbuat jahat.

Mengikut satu cerita lain, Raja Yama (Raja Neraka) membuka pintu neraka dan membenarkan hantu liar untuk menikmati penyembahan pada hari pertama pada bulan 7.

Pintu akan ditutup pada hari terakhir pada bulan berkenaan agar hantu ini balik ke neraka, dan masyarakat Cina percaya pintu syurga juga terbuka pada bulan berkenaan, lalu mereka menyembah nenek moyang serta dewa-dewi yang datang daripada syurga.

Secara tradisinya pada bulan ini, para agamawan Taoisme akan melaksanakan upacara dan membuat persembahan makanan, sementara para penyembah akan mengunjungi kuil, serta berdoa untuk kebahagiaan dan menghindarkan bencana.

PERAYAAN

Walaupun Festival Hantu Lapar berbeza antara Tao dan Buddha, akan tetapi sambutan ini diamalkan bersekali (sinkretis) oleh masyarakat Cina di Malaysia pada hari ini.

Ketika sambutan perayaan ini, kuil, biara dan masyarakat cina akan melakukan sembahyang dan membuat persembahan makanan dan membakar kertas yang dibuat pakaian, keperluan harian dan juga barangan mewah kertas yang lain.

Mereka juga akan membuat persembahan opera Cina untuk menghiburkan hantu-hantu, akan tetapi trend telah beralih ke arah muzik Cina Moden dikenali sebagai Gei Tai. Ada juga sebahagian tempat disertakan dengan tarian dan joget.

Pada majlis tersebut, kerusi bahagian hadapan akan dibiarkan kosong untuk membenarkan hantu-hantu duduk disitu dan kerusi itu tidak dibenarkan untuk peserta mendudukinya.

Acara itu berakhir dengan makan malam untuk semua peserta, dan lelongan diadakan untuk mengumpulkan dana untuk badan amal.

Oleh itu, sementara upacara-upacara itu bertujuan untuk meraikan roh-roh yang melawat alam manusia, aktiviti-aktiviti ini juga memberi manfaat kepada masyarakat yang kurang bernasib baik melalui lelongan amal.

KESIMPULAN

Perayaan ini merupakan perayaan masyarakat Cina, kerana kepercayaan tentang roh adalah sangat menebal dan kompleks sehingga mewujudkan perayaan-perayaan yang membentuk 'penyelamatan' kepada orang yang sudah meninggal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: askislam