Fakta Kenapa Harga Rumah Di Malaysia Bukan Mampu Milik!

Tulisan kali ini adalah merupakan rumusan daripada laporan yang telah dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Khazanah Nasional, menerusi satu kajian yang dilakukan menggunakan data dari tahun 2000 hingga 2014, di mana laporan ini diterbitkan.

Rumah Di Malaysia Bukan Mampu Milik

Kami harap dengan rumusan ini, akan membantu anda memahami dengan lebih jelas daripada perspektif seorang warganegara atau bakal pembeli rumah khasnya, situasi yang sedang membelenggu negara kita.

Kadar pemilikan rumah di Malaysia

Sebenarnya, kadar pemilikan kediaman di negara kita berada pada tahap yang tinggi - melebihi negara seperti Australia, UK dan Amerika Syarikat.

Bagi tahun 2010, sebanyak 72.5% rakyat negara kita memiliki kediaman sendiri sama ada secara sah atau tidak sah.

Tidak sah ini bermaksud rumah yang didirikan secara setinggan atau dikawasan-kawasan terlarang.

Jadi, jangan tertipu dengan angka yang tinggi itu pula ya. Angka yang tinggi itu sebenarnya banyak dibantu oleh pemilikan di kawasan luar bandar dan setinggan.

Bagi masyarakat urban atau bandar, kadar pemilikan kediaman sendiri jauh lebih rendah berbanding angka yang disebutkan.

Purata pemilik kediaman sendiri di kawasan luar bandar adalah 81.2% sementara bagi kawasan bandar hanyalah 69.1%.

Singapura mencatatkan peratusan tertinggi, dengan 87.2% warga mereka memiliki kediaman, Australia 68.1%, UK 67.4% dan Amerika Syarikat 66.5%.

Kenaikan harga dari tahun ke tahun

Sejak dari tahun 2000 sehinggalah tahun 2014, dapat dilihat wujud kenaikan yang konsisten apabila dibandingkan nilai kediaman yang dijual secara purata dan kenaikannya pula agak melampau, dengan tahun 2009 hingga 2014 menjadi tempoh di mana kenaikan tertinggi dicatatkan.

Dalam tempoh 3 tahun sahaja dari 2012 hingga 2014, berlaku kenaikan purata harga jualan kediaman daripada RM248,514 kepada RM331,888. Gila kan? Bagaimana kenaikan gaji kita mampu mengejar angka sebegitu?

Antara negeri paling terjejas teruk disebabkan kenaikan harga melampau ini adalah Sabah, Kuala Lumpur, Terengganu, Pahang, Pulau Pinang dan Perlis.

Pembeli di Sabah menerima kesan paling buruk, apabila semua jenis kediaman yang dijual di dalam tempoh 14 tahun dari tahun 2000 hingga 2014, mengalami kenaikan 3 kali ganda harga jualan dalam tempoh tersebut, jauh meninggalkan Kuala Lumpur dan Selangor, yang dikatakan memiliki nilai kediaman lebih tinggi.

Kediaman Di Malaysia Memang Tidak Mampu Milik!

Ini adalah persoalan yang seringkali diperdebatkan. Benarkah rakyat Malaysia benar-benar tidak mampu menjadi pemilik rumah?

Statistiknya, purata pendapatan penduduk negara kita dengan kenaikan nilai hartanah sebenarnya seiring, jadi apabila kita hanya melihat angka, tidak ada masalah untuk seorang rakyat Malaysia memiliki kediaman.

Bagaimanapun, perbandingan purata pendapatan dengan purata harga kediaman saja tidak mampu menjelaskan realiti sebenar yang dihadapi masyarakat.

Jadi, KRI menggunakan indikator yang dinamakan sebagai indikator median pelbagai bagi mengenalpasti beza sebenar di antara pendapatan dengan nilai rumah yang dijual.

Formulanya jelas, sekiranya harga rumah berada pada kadar 3 kali median pendapatan purata rakyat Malaysia, ini menandakan harga rumah memang benar-benar seiring dengan purata pendapatan.

Simulasi yang dijalankan pihak KRI mendapati wujud trend keseimbangan pada dua-dua faktor yang dibandingkan, akan menandakan dalam pasaran negara kita kedudukan indikator kemampuan pembeli mesti seimbang 3 kali nilai median purata pendapatan tahunan kita iaitu RM4,585 sebulan, bagi tahun 2014.

Dengan menggunakan angka tersebut, amat jelas sekali harga kediaman di negara kita berada di luar kemampuan majoriti masyarakat.

Realiti Sebenar Nilai Hartanah Kediaman di Malaysia

Data yang diperolehi sejak tahun 2000 menunjukkan masyarakat kita tidak pernah mengalami situasi di mana harga jualan kediaman seiring dengan 3 kali jumlah median pendapatan penduduk.

Pada tahun 2000, mediannya adalah RM24,558 tetapi harga purata ketika itu RM100,000.

Bermula pada tahun 2009, angka ini semakin melebar dengan nilai median RM43,512 tetapi purata harga kediaman sudah mencecah RM149,000.

Pada tahun terakhir data dipungut, indikatornya sudah terlalu jauh untuk dikejar dengan nilai purata kediaman mencecah RM242,000 sementara pendapatan pula hanya berada pada tahap RM55,020.

Ini bermakna sejak tahun 2000, indikator harga kediaman mestilah berada pada kadar 3 kali ganda nilai median pendapatan tahunan tidak pernah tercapai, dengan angka 4 kali ganda pendapatan diperlukan hanya untuk menyaingi kenaikan harga rumah yang mendadak.

Negeri Paling Terjejas

Dengan menggunakan indikator 3 kali median pendapatan tahunan sebagai penanda aras, KRI berjaya mengkategorikan semua negeri di Malaysia kepada empat kumpulan berbeza;

Kumpulan pertama adalah negeri yang mana nilai indikator yang dicatatkan melebihi 5 kali ganda perbezaan median pendapatan dengan nilai harga kediaman.

Negeri paling teruk terjejas adalah Terengganu kerana secara puratanya pendapatan masyarakat negeri itu jauh lebih rendah berbanding negeri lain, walaupun harga kediaman di sana antara yang paling rendah.

Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Sabah menemani Terengganu, dengan kesemua negeri mencatatkan keperluan untuk mempunyai 5 kali nilai median, hanya untuk membeli kediaman.

Kumpulan kedua adalah negeri yang mencatatakan skor 4.1 ke 5.0 dari segi indikatornya.

Secara puratanya, negara kita mencatatkan skor 4.4, yang menandakan sukarnya rakyat negara kita untuk membeli kediaman berikutan purata pendapatan yang tak seiring.

Pahang, Kelantan, Perak, Perlis dan Johor berada dalam kelompok ini.

Kumpulan ketiga adalah negeri yang mencatatkan indikator 3.1 ke 4.0 di mana harga jualan kediaman ditakrifkan sebagai tidak mampu dimiliki secara moderat.

Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kedah tergolong dalam kumpulan ini walapun secara amnya, Negeri Sembilan, Sarawak dan Kedah mempunyai harga kediaman antara yang rendah di negara kita.

Hanya satu negeri saja diisytiharkan mempunyai median pendapatan dan median harga kediaman yang seiring, iaitu Melaka.

Melaka mencatatkan skor 3.0 betul-betul di atas penanda aras, menunjukkan hanya di Melaka harga jualan kediamannya benar-benar mencerminkan kemampuan sebenar pembeli.

Pemaju kediaman di Melaka juga harus dipuji kerana berjaya menawarkan kediaman-kediaman yang benar-benar bersifat mampu milik.

Jadi kami harap artikel ini dapat menjawab persoalan anda, adakah kediaman di Malaysia dijual pada harga tidak masuk akal?

Jawapannya ya. Hanya Melaka saja menawarkan kediaman pada harga yang layak dikatakan berpatutan mengikut kemampuan poket orang kita. Tahniah Melaka!

Oleh itu, jika ada pak menteri atau kononnya pakar ekonomi cuba mempertikaikan data diatas, sila gam mulutnya kerana dia sedang berbohong.

Dan agak menarik juga untuk dibincangkan, suatu ketika dahulu majalah Mastika pernah menyiasat masalah ini dan jawapannya tidaklah begitu mengejutkan.

Rasuah, antara faktor utama kenapa harga rumah di Malaysia dijual terlalu mahal.

Macamana nak benteras kalau sistem pemerintahan kita juga dikelilingi rasuah. Sampai kiamat masalah ini tidak akan pernah selesai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi