Postbiotik: Bahan Perangsang Pertumbuhan Haiwan

Industri ternakan haiwan sudah sebati dengan Akta Makanan Haiwan 2009 yang diluluskan Parlimen Malaysia, hanya membenarkan penggunaan bahan antibiotik sebagai ubat untuk merawat penyakit haiwan.

Postbiotik Haiwan
Gambar hiasan.

Namun, ia dilarang untuk digunakan sebagai bahan perangsang pertumbuhan malah larangan itu sudah lama dipraktikan di Eropah.

Sebelum penguatkuasaan akta itu, industri ayam sering mencampurkan bahan antibiotik dalam bahan makanan sebagai agen perangsang pertumbuhan haiwan ternakan.

Ia bagi memastikan kesihatan haiwan dalam keadaan baik dan membesar dalam masa singkat.

Namun, ia juga mempuanyai kesan sampingan apabila dicampurkan dalam makanan kerana antibiotik akan tertinggal dalam haiwan dan persekitaran sekali gus patogen (mikroorganisme parasit) menjadi lebih kuat, dan ini bermaksud tiada ubat yang dapat membunuh patogen itu.

Justeru, sepasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) membangunkan bahan perangsang pertumbuhan haiwan dikenali Postbiotik.

Bahan tambahan makanan untuk ternakan dan ikan itu menggunakan dana penyelidikan berjumlah RM4 juta.

AQUAmate

AQUAmate adalah salah satu jenama produk yang dihasilkan secara khas sebagai agen perangsang pertumbuhan ikan.

Projek penyelidikan diketuai pensyarah Jabatan Teknologi Bioproses Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul UPM, Profesor Madya Dr Foo Hooi Ling dan turut dibantu ramai pakar berpengalaman.

Ia turut merangkul pelbagai anugerah dalam dan luar negara dan turut dipatenkan di Eropah, Amerika Syarikat, Brazil, Australia, India, China dan Vietnam.

Menurut Dr Foo, penyelidikan ini adalah berkaitan bahan tambahan untuk ternakan dan ikan.

AQUAmate boleh digunakan sebagai pengganti antibiotik untuk merangsang pembesaran haiwan secara semula jadi.

Penyelidikan sejak 1999 itu adalah berkaitan makanan tambahan haiwan yang mesra alam dan semula jadi.

Ia dihasilkan sekumpulan bakteria dikenali sebagai Bakteria Asid Laktik dengan konsep sama seperti digunakan dalam minuman kultur dan penapaian makanan.

Menyentuh mengenai permulaan projek itu, ia dikhususkan untuk mencari bakteria berguna yang boleh menghasilkan bahan postbiotik baik dan berfaedah tinggi.

Postbiotik juga sudah digunakan kepada ayam daging dan ayam telur yang turut menunjukkan kesan sama seperti ikan.

Rumusan yang dapat dibuat adalah produk ­postbiotik ini sesuai untuk pelbagai jenis haiwan dan pasarannya cukup besar.

Untuk mendapatkan inovasi yang baik, sejati dan rintang kepada ujian pasaran, pastinya ia memerlukan tempoh penyelidikan yang panjang.

Oleh itu, perkara pertama yang dilakukan oleh pengkaji adalah mencari sumber bakteria yang baik dan boleh menghasilkan bahan yang berfaedah dari segi ciri-ciri.

Kemudian, ciri-ciri kebaikan bahan yang dihasilkan itu di uji sama ada ia berguna atau sebaliknya.

Aplikasi bahan penyelidikan postbiotik sudah dilakukan terhadap tikus (kajian tikus) dengan menunjukkan tanda-tanda positif.

Kesannya, ia menurunkan kolesterol darah, pertumbuhan baik, lebih cantik dan makanan yang kurang diperlukan untuk mendapat pertumbuhan yang elok dalam tempoh singkat.

Bulu haiwan lebih cantik, ayam sihat daripada aspek luar dan dalam, serta merangsang sistem imun yang tinggi.

Selain diuji pada ayam daging, ayam telur dan ikan, sel kanser menunjukkan kesan pada luaran (in vitro).

Postbiotik akan membunuh sel kanser secara khusus dengan cara yang diingini tanpa mengganggu sel badan yang baik.

Sumber Postbiotik
  • Cuka sari epal.
  • Mentega dan keju.
  • Spirulina.
  • Grape marc (sisa-sisa buah anggur, zaitun atau buah-buahan lain, bubur dan kulit).
  • Cendawan.
  • Kefir.
  • Acar.

Selain itu, kebanyakan Bakteria Asid Laktik diperoleh daripada makanan tertapai seperti tapai ubi, tapai pulut dan tempe.

Meskipun bakteria itu wujud dalam persekitaran termasuk makanan, usus manusia dan haiwan, pemilihan makanan tertapai kerana ia membabitkan isu halal.

Kajian telah mengkaji 200 jenis bakteria (kultur) dan mendapati terdapat enam jenis yang boleh menghasilkan bahan postbiotik yang baik untuk penggunaan bagi manusia dan haiwan.

Bagi mendapatkan postbiotik, bakteria daripada tapai dipencil, disaring, disimpan dan ditumbuhkan dalam bioreaktor melalui proses fermentasi.

Tempoh 24 jam digunakan untuk menghasilkan produk berkenaan dan selepas itu sel dipisahkan untuk mendapatkan postbiotik dalam bentuk cecair tanpa sel hidup.

Proses fermentasi sangat ringkas dan mudah dijalankan dalam industri, selain kos yang kurang dalam penghasilan produk, malah sangat setimpal dengan antibiotik yang biasa digunakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro