Asal-usul Minyak Pugai Balabak Dan Rahsia Cara Membuatnya

Kali ini kami akan bercerita tentang àsal-usul minyak pugai (minyak pengasih) dari sebuah pulau di daerah Kudat utara negeri Sabah, yang dikatakan sangat 'power' untuk memikat teruna atau dara idaman.

Asal-usul Pugai Balabak

Minyak pugai ini lebih dikenali sebagai Pugai Balabak, adalah bersempana dengan nama suku kaum Balabak yang membuat minyak pengasih ini.

Cara menggunakannya sama juga seperti minyak pengasih lain, iaitu dengan mencalit dibahagian kening.

Pulau Banggi

Tempat untuk membuat pugai ini terletak di Pulau Banggi dan menurut cerita, cuma ada dua tempat disitu yang dikatakan ada membuat minyak pugai ini. Satu di kampung Miliu dan satu lagi di kampung Dambaran.

Menurut cerita orang-orang disitu, sudah tidak ramai yang tahu membuat minyak pugai Balabak kerana ramai pembuatnya sudah meninggal dunia.

Bagaimana Pugai Balabak Dihasilkan?

Bahan untuk membuat pugai ini antaranya ialah kelapa, macam kebanyakan minyak pengasih lain juga kecuali minyak dagu. Mungkin sebab minyak dari kelapa itu sendiri sebagai bahan asas.

Proses pembuatan minyak pugai Balabak bermula dengan mencari sejenis akar di hutan rimba.

Dan untuk mendapat akar yang dinamakan pugai ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana akar pugai ini hanya boleh didapati di Pulau Banggi.

Dan dikatakan bahawa, akar pugai ini dikawal oleh Jin dan orang yang ingin mendapatkan akar pugai ini perlu berpuasa untuk memudahkannya berhubung dengan jin penunggu.

Cara untuk mendapatkan akar ini juga bukan dengan cara memujuk rayu jin penunggu, tetapi dengan cara mencurinya ketika Jin itu sedang tidur atau ketika sedang bersembang dengannya.

Kayu (Akar) Balabak

Ciri-ciri kayu ini ialah ianya tumbuh menjalar dan pucuknya akan bertaut semula dengan pangkal akarnya seperti tunduk menyembah bumi.

Walaupun pokok ini menjalar dan membesar, pucuk pokok ini akan terus berpaut pada akarnya sehingga mati.

Pokok ini hanya berdaun dihujung dan daunnya runcing serta berbunga putih dan hanya akan berbunga sekuntum sahaja setiap 10 tahun dan bunganya berputik dan mekar cuma dalam tempoh satu malam sahaja.

Keesokan harinya, kuntum bunga pokok balabak akan ghaib dengan sendirinya. Oleh itu amat sukar untuk menemui kuntum bunga yang menjadi ramuan utama pugai balabak ini.

Kemudian, jika berjaya mendapat akar atau bunga pugai itu, pembuat minyak pugai perlu mendapatkan beberapa biji buah kelapa dan perlu diambil pada waktu malam.

Kelapa yang diperlukan ialah kelapa tua sebanyak tujuh biji dan ketika memanjat pokok, tidak dibenarkan memandang ke bawah.

Sebelum kelapa dipetik, mentera akan dibacakan dan buah yang diambil tidak boleh dibiarkan jatuh ke tanah. Jadi, ia perlu diturunkan satu persatu dan perlu dilakukan dengan tertib.

Kemudian, akar pugai dan air kelapa tua akan dicampurkan ke dalam periuk besar bersama dengan sepuluh lagi jenis ramuan termasuklah cendana dan kayu tunggal.

Proses membuat minyak pugai Balabak ini akan mengambil masa selama tiga hari, tiga malam.

Selama tempoh itu, penanak minyak pugai tidak boleh bergerak kemana-mana. Makan, minum, tidur dan sebagainya hanya boleh dilakukan di situ.

Kemudian, minyak pugai yang telah siap ditanak akan di seru nama bakal pemiliknya sebelum diserahkan.

Pantang Larang

Walau bagaimanapun, untuk memiliki minyak pugai balabak mempunyai pelbagai rintangan dan dugaan.

Ini kerana antara pantang larang pugai ini ialah ia tidak boleh dibawa keluar dari pulau asalnya dan sekiranya pugai ini dibawa keluar merentasi laut, ribut taufan akan datang melanda.

Selain itu haiwan seperti ikan yu dan burung camar juga akan datang menyerang dan sekiranya berjaya dibawa keluar dari pulau, haiwan di darat juga akan tertarik dengan pugai ini.

Haiwan seperti lipan dan ular akan sering memasuki rumah sekiranya minyak pugai ini diletakkan di dalam rumah. Oleh itu antara pantang pugai Balabak ini ialah jangan disimpan dalam rumah.

Selain untuk memikat hati untuk percintaan, minyak pugai balabak juga sering digunakan untuk tujuan pelaris perniagaan dan juga menguatkan pengaruh politik.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com