Apa Punca Stres Dan Bagaimana Cara Mengatasinya?

Stres atau tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan, dikategorikan sebagai tekanan, bebanan, keletihan, panik, kebimbangan, tidak bermaya dan hilang semangat.

Apa Punca Stres

Apa yang perlu di buat apabila stres ialah cuba menanganinya, kerana ia boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit dan simptom-simptom yang tidak baik untuk tubuh badan kita.

Kebaikan Dan Keburukan Stres

Apabila tahap stres rendah, hasil kerja juga rendah kerana kurangnya motivasi dan tumpuan kepada kerja.

Apabila tahap stres berada di peringkat tinggi, seseorang itu akan mengalami tekanan dan menunjukkan tanda-tanda stres.

Stres di peringkat sederhana adalah yang paling baik kerana ia akan meningkatkan motivasi dan perkembangan hidup seseorang itu.

Dalam jangka masa panjang, stres yang teruk dan tidak dirawat boleh memberi kesan yang teruk kepada diri anda.

Anda perlu mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini, sekiranya tidak, ia akan memberi kesan seperti, mudah keletihan dan cepat penat, kekecewaan dan hilang semangat (burn out).

PUNCA STRES

1. Stres Ancaman (survival)

Berlaku apabila anda berada dalam keadaan terancam sama ada dari segi emosi, fizikal dan perasaan seperti takut untuk mengatasi ancaman yang sedang dihadapi.

2. Stres dalam diri sendiri

Di mana anda adalah seorang yang mempunyai personaliti jenis A iaitu bercita-cita terlalu tinggi, berkehendakkan kesempurnaan dalam semua kerja, terlalu mementingkan kerja dan mengharapkan hasil yang tinggi.

5 harapan kesempurnaan yang tidak realistik oleh seseorang itu adalah:
  • Anda mengharapkan orang lain mengagumi dan menyayangi anda.
  • Anda menggagap diri anda kompeten setiap masa.
  • Anda mempercayai orang lain yang menyebabkan segala kegagalan anda.
  • Anda mengharapkan setiap kerja yang di hasilkan adalah sempurna yang dikehendaki oleh anda dan orang lain perlu mengikut kata-kata anda.
  • Anda mempercayai pengalaman buruk yang lepas akan mempengaruhi masa depan anda.

3. Stres persekitaran tempat kerja anda

Stres disebabkan persekitaran:
  • Ruang tempat kerja yang sempit.
  • Ruang dan keadaan kerja yang tidak sesuai.
  • Bising.
  • Kawasan yang kotor dan tidak selesa.
  • Pencemaran.
  • Pengurusan persekitaran yang tidak cekap.

Stres disebabkan bahan kimia dan pemakanan:
  • "Caffeine" boleh menyebabkan hormon stres dalam badan anda meningkat, sukar hendak tidur dan menyebabkan anda tidak selesa.
  • Peningkatan kandungan gula dalam darah dari pengambilan makanan yang manis dan coklat boleh memberi tenaga berlebihan kepada diri anda dalam masa yang singkat. Keadaan ini menyebabkan badan anda menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi kandungan gula itu. Ia boleh memberi kesan ke atas penurunan tenaga yang mendadak selepas kenaikan kadar gula yang tinggi.
  • Pengambilan garam yang berlebihan juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan meletakkan badan anda mengalami stres disebabkan berlebihan bahan kimia.

4. Stres disebabkan Cara Hidup dan Pekerjaan

Faktor yang menyumbang kepada stres jenis ini ialah:
  • Beban kerja yang tinggi atau terlalu kurang.
  • Dibebani oleh tanggungjawab di luar keupayaan dan pengalaman anda.
  • Menghadapi banyak rintangan yang tidak sepatutnya diselesaikan oleh anda.
  • Tekanan dari segi masa dan tarikh luput kerja yang perlu disiapkan.
  • Kurang kemampuan untuk mengikuti peredaran masa.
  • Perubahan dasar dan prosedur di tempat kerja.
  • Kurang mendapat maklumat, nasihat dan sokongan yang bersesuaian.
  • Tidak jelas tentang objektif yang hendak dicapai.
  • Tidak jelas tentang kehendak ketua terhadap peranan anda.
  • Dibebani dengan tanggungjawab terhadap orang bawahan, sumber kewangan dan peralatan.

Tekanan perkembangan kerjaya seperti:
  • Dalam tempoh percubaan, kecewa dan jemu terhadap pekerjaan sekarang.
  • Kenaikan pangkat di luar kemampuan diri.
  • Tidak jelas tentang perkembangan kerjaya pada masa akan datang.
  • Tiada peluang kenaikan pangkat.
  • Tiada jaminan pekerjaan.

Tekanan daripada organisasi atau pelanggan seperti:
  • Tekanan dari pihak atasan.
  • Campur tangan terhadap bidang tugas.
  • Tuntutan berlebihan daripada pelanggan.
  • Gangguan terhadap perancangan kerja.
  • Gangguan telefon.

Tekanan atas diri sendiri dan keluarga seperti:
  • Masalah kewangan.
  • Masalah hubungan dengan keluarga.
  • Penyakit yang dialami.
  • Perubahan hidup seperti kelahiran, kematian, perkahwinan dan perceraian.

INI ANTARA KESAN BURUK KEPADA KESIHATAN JIKA STRES TIDAK DIURUS DENGAN BAIK

1. Sistem imun menjadi lemah

Stres yang tidak dikawal boleh mengakibatkan sistem imun badan menjadi lemah, menyebabkan badan mudah dijangkiti penyakit.

Stres yang berpanjangan akan memperlahankan proses penyembuhan luka serta menyebabkan penyakit kulit yang teruk.

2. Penyakit Jantung (Kardiovaskular)

Stres boleh menyebabkan terganggunya sistem arteri di dalam badan kita. Ini berkait rapat dengan jantung, dan sekiranya tidak ditangani dengan baik, risiko untuk menghidapi denyutan jantung tidak normal, masalah darah beku, arteri mengeras, serangan jantung mengejut dan lain-lain penyakit pun akan meningkat, seterusnya boleh membawa kepada kehilangan nyawa.

Stres yang kronik boleh mengakibatkan arteri menjadi sempit, paras kolesterol meningkat ataupun strok.

3. Mengganggu Sistem Penghadaman

Stres yang kronik akan mengganggu sistem penghadaman kita dan kesannya, tubuh akan menghadapi simptom-simptom seperti makanan susah dihadam, mual, perut berangin, cirit-birit atau sembelit.

Sekiranya kita menghadapi simptom seperti ini, pastinya akan mengurangkan kualiti hidup kita dan keluarga.

4. Organ Pembiakan

Kurang subur (fertiliti rendah) juga boleh dikaitkan dengan stres. Bagi lelaki adalah masalah lemah tenaga batin, manakala bagi wanita akan mengalami masalah ketika hamil.

Stres menjadi lebih bahaya bagi wanita mengandung, kerana anak yang akan dilahirkan berisiko tinggi menghidapi penyakit asma dan alergik.

Pastinya anda tidak ingin bayi menghidapi penyakit walaupun hanya sekadar demam biasa.

Jadi, mulai sekarang anda semua perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat supaya tidak dibebani stres.

5. Sistem Pernafasan Terjejas

Antara kesan diakibatkan oleh stres yang tidak terkawal adalah sistem penafasan anda akan terganggu, yang boleh mengakibatkan asma dan masalah paru-paru.

Semasa menghadapi stres, seseorang itu akan bernafas dengan cepat sehingga terasa seperti sesak nafas dan jika tidak diubati, keadaan ini akan mengakibatkan paru-paru mudah dijangkiti penyakit.

6. Penyakit Kulit

Jerawat tumbuh di muka juga salah satu simptom yang akan dialami oleh seseorang yang mengalami stres.

Sudah tentu bagi mereka yang pentingkan penampilan, dengan tumbuhnya jerawat di muka akan menyebabkan kurangnya keyakinan diri anda.

Bagi mereka yang menghidapi penyakit kurap, penyakit itu akan menjadi lebih teruk.

MENCEGAH STRES

Begitulah antara kesan-kesan buruk akibat stres yang jika tidak dicegah ataupun dirawat, akan memberi kesan negatif di dalam kehidupan anda dan keluarga.

Namun, masih ramai di antara kita yang kurang pendedahan tentang bahayanya stres di dalam kehidupan.

Sekiranya anda menghadapi simptom di atas, apa yang anda perlu buat ialah cuba untuk mengurus stres yang anda alami dengan berjumpa pakar kesihatan, amalkan cara hidup yang sihat dan cuba elakkan perkara atau suasana yang boleh menyebabkan anda stres.

Mungkin dengan sedikit usaha anda akan dapat mengurangkan stres di dalam kehidupan, walaupun kita tidak mampu lari dari stres kerana hidup ini tak lekang dari masalah.

Tetapi, apa yang kita mampu lakukan adalah belajar mengawal dan mengurangkan stres supaya tidak menjejaskan kualiti hidup kita bersama orang yang tersayang.

RAWAT STRES

Apa yang perlu dilakukan untuk mengurangkan stres adalah, anda perlu menerima kenyataan yang anda sedang mengalami stres dan berjumpalah dengan pakar dan dapatkan bantuan mereka.

Selain itu, jangan pendam perasaan anda berseorangan, lakukan perkara yang kita minat dan bergaullah dengan kawan-kawan yang positif.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com