Bahaya Ombak 'Arus Tempur' Dan Cara Menghadapinya Agar Tidak Lemas

Ombak yang beralun tenang di permukaan laut sentiasa menggamit hati pengunjung untuk mandi-manda di dalamnya namun, ia bukanlah petanda pantai itu selamat untuk aktiviti air kerana ada banyak faktor yang boleh mengancam keselamatan nyawa.

Ombak Arus Tempur

Walaupun laut tenang, di dasarnya ada arus karau atau 'rip current' yang sangat berbahaya dan boleh menjadi ‘perangkap maut’ kepada pengunjung.

Dan walaupun pengunjung mungkin tahu berenang, situasi cemas akan menyebabkan mereka panik dan gagal menyelamatkan diri.

WHO

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 372,000 orang lemas setiap tahun di seluruh dunia dan daripada jumlah itu, kira-kira 90 peratus kes lemas berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Laporan itu juga menyebut, lebih 40 kes lemas dilaporkan setiap jam dan dalam kebanyakan kes berlaku pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Malaysia juga tidak terkecuali, yang mana pada musim cuti persekolahan, kes lemas meningkat sama ada di pantai atau air terjun mahu pun kawasan riadah berkaitan dengan air.

Selain fenomena kepala air yang berlaku di kawasan air terjun dan sungai yang boleh menyumbang tragedi lemas, arus tempur atau "rip current" yang terjadi di pantai juga menyebabkan insiden lemas.

Punca Arus Tempur

Arus tempur terjadi apabila ombak yang pecah di pantai menarik masuk ombak ke tengah laut dan pecah dua yang membentuk laluan di tengah-tengahnya.

Dalam keadaan biasa, ombak mengalir selari dengan pantai namun dengan adanya tiupan angin, akan terjadinya arus tempur yang melintang.

Kebiasaannya, ombak datang secara senget dan tidak menegak tetapi arus tempur bergerak terus ke pantai, pecah kepada dua bahagian dan menarik semula air masuk ke laut.

Tanda-tanda Arus Tempur

Antara tanda arus tempur adalah warna air lebih gelap, air laut nampak tenang dan tidak berombak, serpihan sampah sarap dan rumpai laut di pantai.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, arus tempur dikenal pasti antara penyebab utama kematian dan pihak berkuasa pantai di negara itu menyediakan panduan dan papan tanda khusus mengenai aspek keselamatan dan ancaman arus tempur.

Apabila terkena arus tempur, orang yang sedang berenang atau bermain air di pantai akan ditarik arus itu.

Apa perlu dilakukan jika disedut arus tempur?

Mangsa yang panik apabila terperangkap dalam arus itu akan cuba berenang ke pantai, tetapi sebenarnya mereka berenang melawan arus dan akan ditarik jauh dari pantai.

Akibatnya, mangsa kepenatan dan hilang ditelan ombak.

Jika kita mengalami keadaan ditarik arus tempur, tidak boleh berenang melawan arus sebaliknya berenanglah ke kiri atau ke kanan arus itu untuk keluar dari aliran arus berkenaan.

Ketika ini, tiada kajian ilmiah khusus dijalankan untuk mengesan kejadian arus tempur yang boleh berlaku di mana-mana kawasan pantai di negara ini.

Bagaimanapun, pengamatan mendapati arus tempur kerap berlaku ketika perubahan angin monsun.

Papan Tanda Amaran

Kejadian 'ditelan' arus tempur boleh dielakkan jika pengunjung dapat mengesan dan mengenal pasti fenomena itu.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan dan pihak yang bertanggungjawab dengan kawasan pantai sepatutnya menyediakan papan tanda untuk memaklumkan mengenai arus tempur serta cara menyelamatkan diri.

Kerajaan juga sepatutnya mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat di pantai yang sering dikunjungi bagi mengurangkan risiko kejadian mati lemas.

Sekurang-kurangnya, pengunjung akan lebih berwaspada dengan amaran yang diberikan.

Pertolongan cemas juga lebih mudah diberikan dengan pantas sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini.

Sudah tiba masanya juga sekolah-sekolah memberikan pendedahan kemahiran berenang atau keselamatan di air kepada pelajar terutamanya negeri pesisir pantai.

Ini kerana secara logik, mereka seharusnya memiliki kemahiran itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian