Apa Itu e-Dompet (e-Wallet)?

Perkhidmatan e-wallet atau dompet digital telah berkembang pesat sejak beberapa tahun yang lepas dengan lebih daripada 40 lesen e-wallet telah dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, yang merupakan antara inisiatif bank negara untuk mengubah Malaysia sebagai negara tanpa tunai atau cashless nation menjelang tahun 2020 dengan pembayaran mudah alih.

Apa Itu e-Dompet

E-wallet, e-Dompet, electronic wallet atau dompet digital, adalah sebuah aplikasi yang berfungsi sama seperti dompet fizikal iaitu menyimpan wang, kad debit, kad kredit dan juga maklumat akaun bank kita dalam bentuk aplikasi digital.

E-Dompet berfungsi sama seperti debit card, namun perbezaannya ialah, semua individu boleh mendaftar secara online dan percuma.

Manakala untuk mendapatkan kad kredit/debit, kebiasaannya anda perlu memohon melalui bank.

E-Wallet atau e-Dompet bertujuan untuk menggantikan dompet fizikal supaya kita tidak perlu lagi membawa wang tunai atau beg tangan ke mana-mana.

Kelebihan E-Wallet (E-Dompet):
  • Mengurangkan jumlah wang tunai yang perlu dibawa dalam poket.
  • Tidak perlu beratur panjang untuk mengeluarkan wang di mesin ATM.
  • Transaksi menjadi lebih pantas.
  • Boleh menyimpan rekod perbelanjaan, tidak perlu menyimpan resit.
  • Banyak peluang untuk mendapat pulangan wang dan diskaun.

Kekurangan E-Wallet:
  • Sukar digunakan jika sambungan internet kurang stabil dan tidak laju.
  • Risiko penipuan, sama seperti penggunaan perbankan internet.
  • Terlalu banyak e-wallet di pasaran, tidak tahu hendak pilih yang mana satu.
  • Sesetengah peniaga hanya menerima e-Dompet tertentu.

Bagaimana Menggunakan E-Wallet (E-Dompet)?

Mungkin ada sedikit perbezaan untuk setiap e-wallet, tetapi prosesnya mudah dan lebih kurang sama.

Selepas memuatnaik e-wallet, pengguna hanya perlu memasukkan sejumlah wang ke dalam aplikasi tersebut untuk digunakan.

Sesetengah e-wallet juga membenarkan maklumat kad kredit atau akaun bank dihubungkan melalui aplikasi itu sendiri.

Pengeluaran bergantung kepada kemudahan setiap e-wallet. Sebagai contoh, GrabPay membenarkan pengguna untuk menggunakan baki yang ada untuk membayar tambang Grab, manakala Boost membolehkan pengguna membeli apa-apa saja di KK Speedmart.

Hanya imbas kod QR dan anda sudah berjaya melakukan pembayaran.

Baki wang di e-wallet akan ditolak, dan anda boleh memasukkan (deposit) seberapa banyak jumlah wang pada bila-bila masa jika baki tidak mencukupi.

Cara Deposit Wang Ke Dalam E-Dompet:
  • Deposit terus dari akaun e-Dompet. Anda perlu login terlebih dahulu. Biasanya, butang Deposit/Withdraw/Transfer akan dipaparkan.
  • Transfer dari e-Dompet orang lain.
  • Melalui kaunter bank dan Kiosk terpilih.

Senarai E-Wallet Yang Ada Di Malaysia

Berikut adalah senarai e-wallet yang ada di Malaysia. Setiap e-Dompet ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya masing-masing:
  • Boost
  • GrabPay
  • WeChat Pay
  • Touch n Go Wallet
  • BigPay
  • FavePay
  • SamsungPay
  • Paypal
  • VCash
  • MPay
  • KiplePay
  • RazerPay
  • Ipay88
  • Payfy
  • MCash
  • Setel
  • UOB Mighty

Isu Perlindungan Data Peribadi

Merujuk kepada terma dan syarat e-Tunai Rakyat:

Untuk melayakkan diri menyertai program ini, pemohon perlu mengemukakan bukti pengenalan diri menggunakan kad pengenalan Malaysia yang sah, berdasarkan kepada rekod JPN.

Pemohon yang layak akan menerima pembayaran RM30 secara ‘one-off’ apabila tuntutan telah diluluskan, dan akan dikreditkan ke dalam e-Wallet pemohon dalam tempoh lima hari.

Sebagai tambahan kepada Notis Privasi Data, peserta bersetuju dan membenarkan pihak pengendali, Kerajaan Malaysia dan agensi/syarikat berkaitan untuk mengumpul, menyimpan, menggunakan, memproses dan mendedahkan Data Peribadi peserta, yang termasuk, tetapi tidak terhad kepada:
  • Nama, nombor kad pengenalan
  • Alamat, nombor telefon mudah alih
  • Butiran akaun bank, penyata bank
  • Maklumat transaksi pembelian

Perkongsian dan pendedahan Data Peribadi peserta e-Tunai Rakyat adalah dibenarkan untuk tujuan seperti berikut, antaranya:
  • Pengesahan kelayakan permohonan dan pengesahan tuntutan insentif dengan penyedia perkhidmatan e-dompet lain.
  • Memproses sebarang aduan, dan menghantar sebarang notis atau berkomunikasi.
  • Mengumpul data dan maklumat transaksi perbelanjaan ketika menggunakan insentif ini.
  • Membolehkan Data Peribadi peserta digunakan oleh penyedia perkhidmatan pihak ketiga bagi memastikan keberkesanan program ini.

Tidak dinafikan insentif ini boleh merancakkan penggunaan e-tunai dalam transaksi harian, seterusnya meningkatkan kecekapan dan transparensi dalam usaha pendigitalan ekonomi yang lebih meluas.

Namun timbul persoalan adakah pengguna memahami implikasi daripada perkongsian data peribadi ini, dan apakah jaminan tidak berlaku penyelewengan terhadap penyimpanan dan pemprosesan data (termasuk prinsip keselamatan), sebagaimana yang terkandung dalam Akta Perlindungan Data Peribadi 2010?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: pepitih