Suku Kaum Wanita Apatani, Berwajah Hodoh Dan Pelik

Suku kaum wanita Apatani atau Tani di daerah Arunachal Pradesh, India sengaja mencacatkan wajah sendiri untuk nampak hodoh bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa nafsu lelaki, namun dengan tatu bergaris di muka, dagu dan memakai penyumbat hidung, mereka dianggap suku kaum yang mempunyai wajah paling pelik.

Suku Kaum Wanita Apatani

Mengikut cerita lama, wanita Apatani pada asalnya terkenal dengan kecantikan paras rupa hingga menjadi dambaan lelaki suku kaum lain menyebabkan ada yang sanggup menceroboh masuk ke kampung dan melarikan mereka.

Sebagai taktik melindungi diri, golongan tua dalam masyarakat itu mengarahkan semua wanita tidak kira sama ada muda atau tua, perlu mencacah muka mereka dengan tatu dan memakai penyumbat hidung.

Penyumbat hidung itu disumbat pada kedua-dua hidung mereka dan biasanya dipotong mengikut saiz lubang hidung masing-masing.

Ia kelihatan agak ngeri apabila hidung yang digunakan untuk bernafas, disumbat pula dengan objek seperti kayu.

Namun, lama-kelamaan ia menjadi satu kebiasaan buat masyarakat itu atas faktor menjaga keselamatan diri sendiri daripada menjadi mangsa culik dan seterusnya hilang tanpa khabar berita.

Kawasan terpencil yang menjadi tempat tinggal sejak beberapa abad lalu, membolehkan mereka meneruskan kesinambungan tradisi dalam tempoh sebelum 1970-an selain mengamalkan agama Donyi-Polo yang menyembah matahari dan bulan.

Bagi wanita muda pula, adat pelik itu wajib dilakukan ketika usia mereka mencapai akil baligh sebagai simbol memasuki ke alam dewasa.

Seorang jurugambar warga Britain, Pete Oxford sempat membidik beberapa keping gambar yang menunjukkan keanehan rupa paras suku kaum Apatani itu.

Dia yang dipetik The Sun melaporkan, ia adalah pengalaman pertama dia melihat perkara seperti itu dan keadaan mereka agak mengejutkan.

“Pada mulanya saya terkejut dan pelik dengan keadaan mereka. Namun, saya tidak mengambil masa lama untuk membiasakan diri dan mengambil gambar wanita yang disumbat penyumbat kayu dalam hidung.

“Saya difahamkan, hampir setiap wanita suku kaum ini yang berusia 40-an mempunyai wajah pelik seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, generasi lebih muda yang lahir selepas 1970-an pula tidak lagi meneruskan adat pelik itu kerana tidak sanggup kelihatan hodoh, malah adat itu dianggap akan merencatkan masa depan mereka sekiranya ingin berhijrah dan keluar bekerja di bandar.

Kerajaan India dilaporkan mengharamkan amalan itu pada 1970-an menyebabkan ia lama-kelamaan semakin terhapus.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro