Apa Itu Sistem Pendidikan Vernakular?

Sistem sekolah vernakular yang ditubuh berdasarkan bahasa ibunda masing-masing bagi setiap kaum, sering menjadi kontroversi, kerana dikatakan menjadi punca utama kegagalan pembangunan ideologi nasional yang cuba dibangunkan pemimpin kita sekian lama sejak merdeka, gagal dipenuhi.

Sistem Pendidikan Vernakular

Ini kerana sekolah vernakular didakwa mengasingkan pelajar ke dalam beberapa aliran, sehinggakan setiap pelajar mempunyai corak ideologi yang berbeza-beza serta menanam sikap tiada toleransi antara satu sama lain; dalam hal berkaitan bangsa dan agama.

Kelebihan Dan Keburukan

Sistem pendidikan yang wujud pada masa pemerintahan British mempunyai empat sistem persekolahan utama iaitu sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina, sekolah vernakular Tamil dan sekolah Inggeris.

Setelah merdeka, kerajaan telah memperkenalkan sekolah kebangsaan yang bertujuan untuk menggabungkan seluruh bangsa ke dalam satu sekolah agar perpaduan kaum dapat dicapai.

Namun begitu, sistem vernakular ini tetap diteruskan dengan kewujudan sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Sistem pendidikan vernakular mempunyai kelebihan dan keburukannya yang tersendiri. Antara kebaikannya ialah, pelajar mendapat peluang menguasai banyak bahasa.

Sebagai contoh, pelajar Melayu yang bersekolah di Sekolah Pendidikan Cina dapat menguasai sekurang-kurangnya dua Bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Cina.

Ini akan memberikan kelebihan kepada pelajar tersebut di masa hadapan apabila memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, ia juga dapat memperkasakan bahasa ibunda kepada penuturnya dan mengelakkan ianya daripada ditelan zaman.

Keburukan pendidikan vernakular pula ialah, ia akan mewujudkan jurang perkauman yang luas di antara kaum.

Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama lebih 60 tahun, masih ada lagi segelintir kumpulan dari setiap kaum yang bersifat rasis disebabkan perpaduan kaum tidak dapat dicapai.

Manakan tidak, dari mereka kecil lagi sudah dikelaskan mengikut kaum.

Malah ada juga segelintir individu yang masih tidak fasih berbahasa Kebangsaan walaupun telah mencapai umur dewasa.

Hal ini disebabkan penggunaan bahasa ibunda yang berbeza-beza di sekolah pendidikan mengikut kaum masing-masing manakala bahasa kebangsaan disisihkan.

Setiap kaum selesa bergaul dalam bahasa ibunda masing-masing menyebabkan timbulnya rasa kekok apabila bergaul dengan kaum lain kerana terpaksa bertutur dalam bahasa lain.

Bahasa yang berbeza ini jugalah kadang-kadang menimbulkan syak wasangka diantara kaum sehingga menyebabkan pergaduhan.

Setiap kaum di Malaysia ini sepatutnya disatukan sejak dari kecil lagi agar persefahaman diantara kaum itu dapat dipupuk di awal usia.

Apabila setiap kaum saling memahami antara satu sama lain, ianya akan menjadikan negara berada dalam suasana yang aman dan harmoni.

Sejarah Pendidikan Vernakular di Malaysia

Kerajaan British pada awalnya tidak berniat pun untuk memajukan bidang pendidikan semasa memerintah Tanah Melayu.

Ramai pegawai British berpendapat bahawa pendidikan terutamanya untuk orang Melayu tidak mendatangkan faedah namun sebaliknya akan menimbulkan kesedaran pada golongan terdidik untuk menentang kerajaan.

Walau bagaimanapun, atas desakan pembesar Melayu iaitu Sultan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, pihak pemerintah British merasakan ada baiknya memberikan pendidikan setakat pendidikan rendah untuk orang Melayu.

Oleh yang demikian, kerajaan British telah membina secara beransur-ansur sekolah rendah vernakular Melayu sejak pertengahan abad ke-19 sehinggalah berlaku Perang Dunia Kedua.

Vernakular yang bermaksud "bahasa pengantar ibunda", menjadi dasar British yang memberikan kelonggaran dalam hal penubuhan sekolah telah menyebabkan penubuhan sekolah Inggeris oleh pendakwah Kristian, sekolah vernakular Cina oleh masyarakat Cina dan sekolah vernakular Tamil oleh pemilik ladang kopi dan getah.

Justeru itu, sudah sememangnya ciri utama pendidikan pada zaman pemerintahan British ialah ketiadaan matlamat dan objektif dalam bidang pendidikan.

Seterusnya, perkara ini menimbulkan ketidakseragaman dalam orientasi dan kurikulum pendidikan yang seterusnya menimbulkan masalah yang rumit khususnya dari segi perpaduan kaum, apabila negara ini mencapai kemerdekaan.

Sekolah Melayu

Pada mulanya, sekolah Melayu ditubuhkan di Negeri-negeri Selat atas usaha Blundell, Gabenor Negeri-negeri Selat.

Sekolah-sekolah ini diberikan bantuan kewangan oleh kerajaan British.

Sekolah pertama yang ditubuhkan ialah di Teluk Belanga, Singapura, diikuti oleh sekolah-sekolah lain di Melaka dan juga di Pulau Pinang.

Tetapi, sekolah-sekolah ini tidak mendapat sambutan daripada ibu bapa Melayu.

Untuk menggalakkan anak-anak Melayu Bersekolah, A.M. Skinner mengubahsuai sekolah-sekolah ini, supaya pelajaran sekular diajar pada waktu pagi dan petang pula pengajian al-Quran diadakan.

Kerajaan British membiayai guru yang mengajar bahasa Melayu, tetapi ibu bapa murid-murid bertanggungjawab membiayai gaji guru yang mengajar agama Islam, iaitu al-Quran.

Pada mulanya, sekolah-sekolah ini tidak mendapat sambutan yang baik, kerana orang-orang Melayu tidak menyokong pendidikan sekular kerana bebanan yang mereka hadapi dari segi kewangan kerana mereka perlu tanggung gaji guru-guru agama.

Di Selangor, denda berbentuk wang dikenakan ke atas ibu bapa yang tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Ganjaran turut diberikan kepada pelajar yang menghadiri ke sekolah dengan baik dan menunjukkan usaha.

Akhirnya, satu enakmen dikeluarkan di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan yang mewajibkan kehadiran anak-anak Melayu yang berumur tujuh hingga empat belas tahun di sekolah (Awang Had Salleh, 1980). Tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa yang tidak berbuat demikian.

Di bawah pentadbiran British, peluang untuk anak-anak Melayu di desa untuk mendapat peluang pendidikan lebih terhad dan mereka kekurangan guru-guru terlatih.

Hanya empat tahun pelajaran sekolah rendah diberikan kepada kebanyakan pelajar Melayu.

Pelajaran di sekolah Melayu meliputi aspek-aspek pertanian, berkebun di sekolah dimulakan untuk memberi pengalaman dan pengetahuan pertanian kepada murid. Pelajaran seperti anyaman bakul juga diperkenalkan.

Dalam usaha menyelaraskan pelajaran Melayu, jawatan Nazir Sekolah Melayu juga diperkenalkan.

Buku-buku Melayu yang baru dicetak dan guru-guru sekolah Melayu mula diberi latihan apabila Maktab Perguruan Sultan Idris ditubuhkan pada tahun 1922.

Sekolah Cina

Dengan pertambahan penduduk Cina di negeri-negeri Melayu, sekolah-sekolah Cina mula dibina.

Sekolah Cina ditubuhkan oleh masyarakat Cina secara bebas dan tanpa bantuan British.

Sekolah Cina dijalankan mengikut corak sekolah-sekolah sekolah di negeri China. Buku-buku dan guru dari negeri China dibawa masuk sebagai bahan dan tenaga pengajar.

Pada peringkat awal, kesemua sekolah Cina memberi pendidikan hingga tahap sekolah rendah sahaja.

Pada tahun 1913, seorang peniaga Cina, Tan Kah-kee menubuhkan Sekolah Menengah Cina yang pertama, yang dikenali sebagai ‘Nanyang Overseas Chinese School’.

Pendidikan untuk anak-anak perempuan Cina yang pertama adalah Sekolah Kuen Cheng yang mula mengambil murid-murid perempuan pada tahun 1908.

Selepas revolusi 1911 di China, pengaruh unsur-unsur politik negara China terserap di sekolah-sekolah Cina.

Perkembangan ini mendesak kerajaan Brisith mengambil peranan yang lebih langsung dan aktif dalam usaha mengawal perkembangan pendidikan Cina di Tanah Melayu.

Kerajaan mula mendaftar sekolah-sekolah Cina sebagai langkah untuk mengawal sekolah-sekolah ini.

Kerajaan British mula membiayai sekolah-sekolah Cina dan Pengarah Pelajaran diberi kuasa untuk menutup sekolah-sekolah yang tidak mengikuti peraturan-peraturan berkenaan dengan sukatan pelajaran.

Untuk menyekat aktiviti-aktiviti politik dan ideologi komunis di sekolah-sekolah Cina, Gabenor Cecil Clementi Smith telah mengharamkan aktiviti ‘Kuomintang’ di sekolah-sekolah Cina.

Bantuan kewangan hanya diberikan kepada sekolah yang menggunakan loghat-loghat Cina selain mandarin. Bahasa Inggeris juga mula diajar sebagai satu mata pelajaran.

Sekolah Tamil

Bagi kaum India, pendidikan awal hanya diberikan dalam bahasa Tamil, kerana orang Tamil adalah kumpulan penduduk India yang terbesar di Tanah Melayu.

Perkembangan pendidikan Tamil tidak dapat dipisahkan dengan perusahaan ladang-ladang di Tanah Melayu.

Dengan kedatangan imigran dari India, sekolah-sekolah Tamil juga dimulakan di ladang-ladang.

Kelas-kelas diadakan di bangunan-bangunan lapuk dan diajar oleh orang-orang yang tidak terlatih seperti kerani-kerani ladang atau ‘mandor’.

Sekolah-sekolah ini tidak mempunyai sukatan pelajaran yang tertentu dan kebanyakan buku-buku yang digunakan adalah dari India.

Pada tahun 1920, Kerajaan British melantik tiga orang sebagai Penolong Nazir Sekolah Tamil di Perak dan seorang di Selangor.

Langkah ini tidak dapat meningkatkan mutu sekolah-sekolah Tamil. Kadar keciciran adalah sangat tinggi dan kebanyakan pelajar tidak dapat menyempurnakan persekolahan mereka iaitu selama empat tahun.

Di kawasan- kawasan bandar, badan-badan agama mengusahakan pembinaan sekolah-sekolah Tamil.

Kurikulum, buku teks dan guru dibawa dari India. Pihak British tidak mengawal atau mementingkan sekolah-sekolah Tamil.

Pada tahun 1923, Kod Buruh diluluskan. Dengan ini, ladang-ladang yang mempunyai lebih dari 10 orang anak antara 7 hingga 14 tahun diwajibkan menyedia kemudahan persekolahan bagi mereka.

Ia akan dibiayai oleh majikan ladang-ladang tersebut dan pada amnya, mutu sekolah Tamil sangat rendah, pelajaran hanya diberikan selama empat tahun.

Oleh sebab buku-buku dan guru dibawa dari India, sekolah-sekolah ini lebih berorientasikan India seperti sekolah-sekolah Cina yang berorientasi kepada ideologi China.

Sejarah Pendidikan Sekolah Kebangsaan

Keburukan Sistem Vernakular

Pendidikan adalah salah satu cara terbaik untuk membentuk dan seterusnya menyuburkan semangat cintakan negara serta perasaan kekitaan antara kaum.

Namun begitu, kerana latar belakang sistem pendidikan yang berbeza-beza antara kaum, maka matlamat itu sukar untuk dicapai.

Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, mereka mulai menyedari masalah ini. Oleh itu, mereka telah mengambil inisiatif untuk mengatasinya dengan menubuhkan beberapa jawatankuasa yang berfungsi menyelidiki masalah ini dan mengutarakan pendapat dan cadangan bagi mengatasinya.

Antara jawatankuasa yang terawal dibentuk ialah Jawatankuasa Barnes pada tahun 1950.

Pengerusinya L.J Barnes mengambil kesimpulan bahawa perpaduan boleh dicapai melalui pendidikan pada peringkat rendah lagi iaitu dengan mengutarakan pendidikan satu aliran yang dinamakan Sekolah Kebangsaan dengan menggunakan bahasa Melayu dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Serentak dengan ini semua sekolah berasaskan kaum harus ditutup untuk memastikan matlamat perpaduan dapat dicapai.

Walau bagaimanapun, cadangan seperti ini sukar dilaksanakan kerana setiap kaum belum bersedia melakukan demikian.

Hasilnya penyata Fenn-Yu menyarankan agar dikekalkan sahaja sekolah sedia ada dengan bahasa pengantar masing-masing.

Masalah pendidikan ini telah mendapat perhatian serius bukan sahaja dari kerajaan malahan juga dari segenap lapisan masyarakat.

Kerajaan Parti Perikatan yang diberi peluang mentadbir Tanah Melayu apabila memenangi pilihan raya tahun 1955.

Keprihatinan kerajaan Perikatan terserlah apabila Menteri Pendidikan, Dato’ Abdul Razak bin Hussien mengetuai satu jawatankuasa bagi mengkaji situasi pendidikan semasa.

Hasilnya pada tahun 1956, mereka telah mengemukakan satu laporan yang dikenal sebagai Laporan Razak.

Jawatankuasa ini mencadangkan satu bentuk pendidikan yang menyeluruh. Bagaimanapun, ia tetap mengekalkan sekolah rendah Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris menggunakan bahasa pengantar masing-masing.

Sesuatu yang baru dari jawatankuasa ini adalah sistem pendidikan sekolah menengah yang sama untuk semua kaum.

Ini bermakna tiada lagi sekolah berasaskan kaum dan penggunaan bahasa pengantar berbeza-beza pada peringkat sekolah menengah.

Cadangan daripada jawatankuasa ini telah diterima pakai oleh kerajaan Perikatan dan hingga sekarang pun sistem pendidikan kita mewarisi cadangan tersebut walaupun bukan sepenuhnya lagi.

Nampaknya hasrat untuk mewujudkan satu sistem pendidikan bersepadu melampaui sempadan perkauman masih tidak kesampaian sehingga hari ini.

Dengan ketiadaan satu semangat nasionalisme yang membawa kesepaduan rasa kesetiaan diiringi perasaan kekitaan yang tinggi maka sukar sistem pendidikan yang tunggal dapat dilaksanakan.

Malah, perasaan takut kehilangan identiti kaum masing-masing menjadi penghalang dalam mewujudkan sistem pendidikan yang berteraskan satu bahasa sahaja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sejarahnusantaraef