Apa Itu Wawasan Kemakmuran Bersama 2030?

Kerajaan persekutuan telah melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) yang menurut Tun Mahathir, tumpuan paling besar dan utama adalah kepada Bumiputera kerana mereka paling ramai miskin.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030

Ia adalah untuk semua rakyat, keutamaan diberikan kepada orang miskin yang tidak dapat bahagian mereka dalam kekayaan negara.

Tumpuan perlu diberi kepada golongan ini supaya dapat mengejar mereka yang sudah menjadi kaya.

Dan berikut ialah panduan ringkas berkenaan dokumen WKB2030 188 halaman itu.

Apakah dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030?

WKB2030 ialah dokumen yang menggariskan matlamat sepuluh tahun untuk penstrukturan semula ekonomi ekonomi kemahiran rendah Malaysia kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, dengan rakyat menikmati standard kehidupan yang baik.

Berikut takrifan rasmi WKB2030:

"Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 adalah iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang terus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif pada semua peringkat kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan.

"Iltizam ini akan diteruskan ke arah mengukuhkan kestabilan politik dan meningkatkan kemakmuran negara serta memastikan rakyat bersatu padu tanpa prasangka dengan meraikan kepelbagaian bangsa dan budaya sebagai asas penyatuan negara bangsa."

Adakah ia satu rancangan yang spesifik?

Seperi dasar ekonomi sebelum ini seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), WKB2030 ialah dokumen dasar kerajaan, bukan panduan kaedahnya.

Ia akan menjadi panduan untuk kerajaan merangka dasar ekonomi untuk sepuluh tahun akan datang.

Kementerian dan jabatan kerajaan perlu merangka dan melaksana perancangan untuk mencapai sasaran itu.

Strategi pelaksanaan mungkin akan digariskan dalam Rancangan Malaysia akan datang.

Apa justifikasi WKB2030?

Pertumbuhan ekonomi Malaysia ketinggalan berbanding Asia Timur kerana kebergantungan terhadap komoditi eksport yang harganya tidak stabil.

Tidak seperti ekonomi Asia Timur, penggunaan teknologi tinggi di Malaysia masih rendah.

Kerajaan juga berdepan jurang pendapatan yang semakin melebar antara majikan dengan pekerja, kelas, wilayah dan kaum.

Penyertaan bumiputera masih tidak memadai dalam sektor profesional, perusahaan kecil dan sederhana dan sumbangan pendapatan langsung dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sumbangan bumiputera kepada KDNK, jika tidak mengambil kira syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dilaporkan pada kadar 28 peratus pada 2014.

Apakah prinsip di sebalik WKB2030?

Sementara DEB menumpukan untuk merapatkan jurang kekayaan dan peluang sama rata, prinsip di belakang WKB2030 ialah pertumbuhan ekonomi melalui "kesaksamaan keberhasilan".

Menurut dokumen itu, DEB ialah dasar afirmatif yang menambahkan kekayaan sejumlah bumiputera tetapi tidak mencapai matlamat asalnya.

"Ketirisan dalam pelaksanaan dasar (DEB), penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan cabaran utama dalam mencapai kesaksamaan keberhasilan dalam agenda bumiptera.

"Sehubungan itu, pendekatan dasar, intervensi dan program yang lebih komprehensif dalam mencapai kesaksamaan keberhasilan adalah penting bagi mencapai matlamat WKB kepada semua kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan."

Bagaimanapun, kesaksamaan keberhasilan hanyalah satu daripada 15 prinsip panduan WKB2030.

Sebesar mana jurang pendapatan antara kaum?

Dari segi pendapatan penengah isi rumah, nisbah antara bumiputera dengan kaum Cina ialaih 0.74:1. Nisbah antara India dengan Cina pula ialah 0.81:1.

WKB2030 ingin mengurangkan jurang tersebut kepada hampir setara (0.9:1:1).

Apakah pelan strategi WKB2030?

Ada tujuh teras strategik dan sejumlah cadangan bagaimana ia dapat dilaksana. Dokumen itu juga menggariskan lapan "pemboleh daya" berkenaan cara kerajaan boleh berperanan untuk mencapai strategi itu.

Adakah dokumen itu khusus untuk bumiputera?

Bab sembilan khusus untuk "keberhasilan bumiputera".

"Keberhasilan bumiputera perlu diberi keutamaan serta diterapkan secara sistematik dalam setiap teras strategik dan pemboleh ubah untuk mencapai matlamat WKB.

"Golongan bumiputera perlu mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan minda dan sikap yang drastik dengan menunjukkan iltizam yang kuat bagi meningkatkan produktiviti bumiputera."

Dalam aspek hala tuju, matlamat WKB2030 adalah untuk kerajaan merangka dasar bagi menangani amalan diskriminasi terhadap pekerja bumiputera dalam sektor swasta dan perniagaan bumiputera.

Matlamat lain termasuk memecahkam monopoli, menggalakkan pemilikan hartanah di kawasan bandar dan pembangunan ekonomi di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Adakah ia menetapkan lebih banyak tindakan afirmatif?

Tidak. Istilah "tindakan afirmatif" hanya disebut dua kali dalam dokumen itu, dan dengan nada negatif.

Bagaimanapun, salah satu prinsip panduan WKB2030 ialah "pendekatan ekonomi keperluan", yang mengutamakan perangkaan dasar berasaskan target demografik yang khusus.

Secara spesifik, pendekatan ini memerlukan penakrifan semula "kemiskinan".

Siapa yang merangka dokumen WKB2030?

Ia dirangkan Kementerian Hal Ehwal ekonomi dan Institut Masa Depan Negara, dan dibentang di kabinet pada 15 September 2019.

Bumiputera Penerima Manfaat Terbesar WBK2030

Bumiputera bakal menjadi penerima manfaat terbesar dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030), kerana golongan itulah yang paling ramai dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40), iaitu merangkumi 70 peratus.

Maka, Bumiputera sebagai kelompok teramai dalam kumpulan B40 adalah antara golongan yang bakal menerima manfaat paling utama.

Malah, keberhasilan Bumiputera secara keseluruhannya merupakan antara intipati penting wawasan ini.

Pada masa sama, golongan bukan bumiputera juga akan menerima manfaat, yang merangkumi 30 peratus lagi dalam kumpulan B40.

Berbeza dengan dasar ekonomi sebelum ini yang melihat jurang ekonomi dari sudut kaum, WBK2030 melihat masalah itu dari sudut yang lebih meluas, merangkumi kelas pendapatan, wilayah dan rantaian bekalan.

Majlis pelancaran disempurnakan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad. Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Berdasarkan dokumennya, WKB2030 antara lain menumpukan pengagihan ekonomi yang "adil, saksama dan inklusif".

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2