Hanya Mereka Yang 'Terpilih’ Akan Melihat Kota Ghaib Gunung Santubong

Sampai sahaja di kawasan Santubong yang terkenal sebagai antara destinasi pelancongan di Sarawak, orang ramai yang melihat pasti terpegun ketika memandang Gunung Santubong yang tersergam indah namun, di sebalik keindahan gunung tersebut, tersimpan kisah misteri yang hanya diketahui oleh sesetengah warga Santubong, Pasir Salak dan Pasir Panjang sahaja.

Kota Ghaib Gunung Santubong

Menurut cerita orang tua-tua di kawasan berkenaan, Santubong secara azalinya mempunyai sebuah kota ghaib yang didiami makhluk selain manusia.

Kota tersebut dikatakan dihuni golongan bunian dan jin. Kota itu kononnya berada di Gunung Santubong, namun ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Hanya orang yang mempunyai keistimewaan tersendiri saja dapat melihatnya, yang dikatakan cukup indah dan bercahaya seperti kristal.

Kota ini dikatakan dijaga dengan rapi oleh beberapa pengawal yang cukup handal dan tegas dalam kalangan bunian dan jin. Mereka diberi amanah menjaga dan mengawasi kawasan kaki gunung hingga ke puncak gunung.

Sebab itulah kalau hendak mendaki Gunung Santubong, perlu mematuhi setiap pantang larang yang ditetapkan.

Yang paling penting mulut jangan celupar dan jangan membuat sebarang kekotoran, jika tidak anda mungkin berdepan masalah yang tidak diingini.

Jin Penjaga Pantai

Di pantai-pantai sekitar Santubong seperti Pantai Damai, Pantai Pasir Panjang dan Pantai Pasir Pandak, ia juga dikatakan turut dihuni oleh makhluk-makhluk seperti jin.

Mereka dikatakan diberi amanah untuk menjaga kawasan persekitaran pantai, namun jin-jin ini realitinya tidak mengganggu manusia.

Tetapi awas, anda janganlah membuat perkara tidak senonoh atau membuat sebarang maksiat di pantai kerana jin mungkin akan marah dan menyebabkan mereka bertindak di luar dugaan.

Pernah terjadi seorang remaja dirasuk di situ, kerana dikatakan kencing di Pantai Pasir Panjang.

Lirik lagu Puteri Santubong

Puteri Santubong puteri sejenjang,
Penjaga gunung negeri Sarawak,
Manis sik ada dapat dilawan,
Anak dak dewa turun kayangan (syair),
Ooo… puteri santubong,
Menenun kain… siang,
Ooo… puteri sejenjang,
Menumbuk padi… malam,
Satu hari nya duak kelayi,
Beranok-anok sik renti-renti,
Sorang madah dirik bagus agik,
Sorang sik ngalah sampei ke mati,
Yalah kisah duak ‘rang puteri,
Suka kelayi setiap hari,
Lalu disumpah raja kayangan,
Menjadi gunung Negeri Sarawak.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar