Cara Supaya Mulberi Berbuah Lebat!

Pokok mulberi adalah jenis pokok renek berkayu lembut dan bercabang dan ia sangat rajin berbuah jika anda pandai mengolah semula pokok-pokoknya.

Mulberi
Gambar hiasan.

Tetapi, bagaimanakah caranya supaya pokok mulberi yang anda tanam sentiasa menghasilkan buah?

Bagi mereka yang belum mempunyai pokok mulberi, elok rasanya mendapatkan sepokok mulberi di nusery-nusery yang ada menjualnya.

Jika saiz pokok mulberi anda masih diperingkat pertumbuhan, elok biarkan terlebih dahulu pokok mulberi anda membesar sebulan dua atau sehingga tingginya melebihi 1 meter.

Daripada dahan atau batang pokok mulberi anda, potong dan tinggalkan batangnya lebih kurang 7 inci ke 10 inci atau sekurang-kurangnya mempunyai 6 hingga 9 mata tunas yakni tempat keluarnya tunas pada pangkal daun pokok mulberi anda.

Bahasa mudahnya 'trim' dahan pokok mulberi anda dan seterusnya tanggalkan daun bersama tangkainya dengan hanya menariknya ke bawah dengan kuat (boleh abaikan jika anda tidak mahu pokok mulberi tersebut menjadi botak).

Dahan-dahan pokok mulberi yang dipangkas jangan dibuang, potong semula dahan mulberi tersebut lebih kurang 7 atau 8 inci dan tanam atau semai semula dalam polibag.

Anda juga boleh menanam terus keratan pokok mulberi tersebut pada tanah, seelok-eloknya ketika hujan supaya ia mudah bercambah.

Sekiranya perlu, bubuh baja organik di sekeliling pokok dengan 2 genggam baja untuk sepokok mulberi. Siram dengan air secukupnya (boleh juga jika anda abaikan aktiviti pembajaan).

Selepas 1 minggu, kita boleh melihat tunas-tunas dari bekas pangkal daun akan mula muncul. Selepas 3 minggu pula tunas sudah kelihatan beberapa daun beserta bunga berwarna putih berbulu kasar pada pangkal daun-daun muda.

Sebenarnya, itu adalah buah pokok mulberi yang keluar seiring dengan tunas baharu. Biarkan tunas-tunas ini membesar untuk mendapatkan buah yang sehat, segar dan manis.

Genap 1 bulan 1 minggu, buah berbulu putih akan beransur-ansur bertukar wajah kepada warna hijau dengan bulu-bulu berwarna putih itu kian kering.

Masa ini anda sudah boleh melihat bentuk buahnya yang seakan-akan mengerutu sedikit, namun buah tersebut belum boleh dituai atau dimakan.

Dalam tempoh 2 bulan 2 minggu pula, buah tersebut sekali lagi akan bertukar warna kepada kemerah-merahan secara perlahan-lahan, menghakis warna hijau tersebut.

Sebab itu, kadang-kadang kita akan dapati terdapat buah disebelahnya merah manakala sebelahnya pula hijau dan akan beransur-ansur menjadi merah terang sepenuhnya.

Pada tempoh tersebut buah pokok mulberi anda masih dalam proses matang tetapi tidak boleh dimakan. Buah pada masa ini masih terasa masam.

Pada usia 1 bulan 3 minggu ke atas kita akan dapati buah sekali lagi, bertukar daripada warna kemerah-merahan kepada ungu gelap.

Dalam masa 2 hingga 3 hari saja sebiji buah pokok mulberi sudah bertukar warna kepada ungu. Tibalah masa untuk menuai hasil buah pokok mulberi yang telah matang yakni berwarna ungu.

Untuk mendapatkan buah mulberi yang manis, lemak berkrim dan segar, tunggu buah tersebut berubah sepenuhnya menjadi ungu gelap.

Apabila buahnya sudah mencecah 2 bulan ke atas, buah mulberi akan kecut dan mula memburuk. Kualitinya agak kurang disebabkan sudah terlalu masak. Oleh itu setelah menjadi ungu tuailah dengan cepat.

Anda boleh mengutip buah berwarna ungu dengan memetiknya. Sebelum dimakan elok dibasuh terlebih dahulu.

Jika buahnya banyak, anda boleh membuat jem mulberi dengan memasaknya dengan api sederhana dan tuang sedikit air serta tambah gula atau gula perang.

Masak sehingga buah mulberi hancur dan menjadi likat. Simpan jem mulberi anda dalam bekas atau botol kedap udara dan guna jika anda membakar roti keping. Sesuai dimakan ketika sarapan kepada anak-anak kita.

Setelah pokok mulberi anda dituai sepenuhnya, tunggu atau biarkan pokok mulberi anda dalam masa 1 hingga 2 minggu.

Seterusnya, lakukan pemangkasan semula seperti yang diterangkan di atas.

Pokok mulberi anda sekali lagi menghasilkan tunas baharu bersama buah-buah yang segar.

Lakukan sedemikian sehingga anda muak memakannya, senang cerita, selagi anda pangkas pokoknya selagi itulah pokok mulberi anda akan berbuah lebat.

Kaedah pembuahan di atas juga sesuai kepada pokok mulberi yang ditanam dalam pasu, cuma buahnya agak kecil sedikit berbanding yang ditanam di tanah.

Jadi, apa tunggu lagi hasilkan buah mulberi dengan melakukan pemangkasan pokok mulberi anda dilaman rumah dan nikmati hasil buahnya genap 1 hingga 2 bulan kemudian.

Selamat bertani.

BACA INI JUGA: Cara Paling Mudah Menanam Pokok Mulberi

Sumber: tanomkinotuan