Artikel ini disiarkan myMetro pada : Khamis, 25 Ogos 2016 @ 2:20 PM
Papar: Pembantu jualan di pasar raya ditahan polis selepas disyaki terbabit dengan kes penemuan mayat bayi lelaki di tapak pembuangan sampah di pasaraya berhampiran Kilometer Dua Jalan Papar, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan George Abd Rakhman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dilakukan 9.10 malam tadi dan wanita berusia 26 tahun berkenaan kini ditahan reman mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, suspek yang juga ibu tunggal ditahan di sekitar pekan Papar.
"Hasil soal siasat terhadap wanita itu, dia mengaku melahirkan anaknya di dalam tandas berkenaan dan mendakwa bayi terbabit sudah meninggal dunia sebaik dilahirkan.
"Suspek kemudiannya membungkus mayat bayi itu di dalam plastik sebelum memasukkannya ke dalam kotak yang difahamkan ditinggalkan suspek berhampiran tapak pembuangan sampah di lokasi terbabit," katanya.
George berkata, dengan tertangkapnnya wanita terbabit polis menyelesaikan kes berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam, mayat bayi lelaki masih bertali pusat itu ditemui dalam keadaan rentung di tapak pembuangan sampah terbabit.
Sumber : myMetro