Ayam pun diterapi Al Quran, Dah jadi RM14/kg


Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pernah menyuarakan sebelum ini yang agama digunakan untuk melariskan jualan, Serbuk pencuci pun dibacakan 30 juzuk al-Quran – Dr Maza.
Kini timbul pula “ayam terapi Al Quran” sehingga boleh dijual RM14 untuk satu kg berbanding harga biasa RM7 per kg.
Menurut laporan Harian Metro, ayam terapi dijual sekitar ibu kota serta dipromosikan di media sosial.
“Selepas semua ayam ini siap disembelih dan dibersihkan, kita akan simpan dalam bilik sejuk beku dan ketika ini, ayam berkenaan akan melalui proses terapi dengan alunan bacaan ayat al-Quran dan ruqyah,” kata salah seorang peniaga dipetik HM.
“Ruqyah” merupakan istilah digunakan untuk perubatan alternatif berunsur Islam, antaranya menggunakan ayat al-Quran.
Peniaga ayam terapi tersebut turut mendakwa bahawa elemen ruqyah ayam tersebut boleh mencegah bala dan penyakit.
“Tujuan kita adalah untuk menyelesaikan masalah umat Islam yang sering berdepan dengan unsur syubhah dalam pemakanan dan kita cuba membantu dengan cara yang lebih Islamik,” tambah peniaga tersebut.
Laporan itu juga menyebut, ayam tersebut juga akan menggunakan bahan makanan terkawal dan tidak mengandungi sisa haiwan lain.
Selepas ayam disembelih dengan “semula jadi”, organ dalamannya akan diasingkan sebelum ayam dicelur untuk proses pembersihan.
“Tindakan peniaga yang menggunakan promosi agama semata-mata untuk melariskan perniagaan bertentangan dengan prinsip Islam. Keadaan ini boleh menimbulkan unsur penipuan serta terdapat pihak yang mengambil kesempatan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emiritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin kepada HM lagi.

Sumber : http://www.ekeleh.com/

Related Posts