SBDJ Siri 167: Wanita Di Rumah Batu

Semua biji mata tertumpu ke arah kotak yang berada di kedua belah telapak tangan Koyan. Dari gerak mata dan air muka datuk, ternyata dia cukup berminat dengan kotak-kotak tersebut.

Toyol jadi-jadian

"Semuanya untuk Haji Bagus," soal datuk.

"Tidak," balas Koyan.

Dia renung ke kiri dan ke kanan, macam ada sesuatu yang diawasinya. Bila dia yakin semuanya dalam keadaan baik dan aman, barulah dia merenung muka Tuk Aji dengan renungan yang tajam.

"Bungkusan yang dibuat dengan kain hijau untuk Haji Bagus sendiri. Dan yang dibalut dengan kain merah untuk kawannya dari Tanah Melayu."

"Yang dibalut dengan kain putih untuk siapa?" tanya Andi Kamarool.

"Ha, yang itu untuk cucu orang dari Tanah Melayu. Kepada siapa barang-barang ini nak saya serahkan?"

"Berikan kepada saya," datuk segera menghulurkan tangan untuk mengambil barang yang dimaksudkan.

Dan Koyan dengan wajah yang tenang bersedia mahu menyerahkan barang-barang tersebut.

"Jangan."

Tuk Aji menjerit dan terus melompat dan menolak tubuh datuk ke kiri.

Dan dia segera mengambil tempat datuk berdiri tadi. Sudah pasti, perbuatan Tuk Aji itu menimbulkan persoalan dalam kepala datuk.

Rasa kurang senang terpamer diwajahnya tetapi, Tuk Aji tetap bersikap seperti biasa. Dua tiga kali datuk gosok hujung dagu dengan ibu jari kiri.

Dia cuba mengawal perasaan dan datuk menyedari perbuatan Tuk Aji itu mempunyai muslihat tertentu, datuk tidak ambil hati.

"Kenapa awak tolak dia, biarlah dia ambil barang-barang itu dari saya," Koyan jegilkan sepasang biji mata ke arah muka Tuk Aji. Saya lihat Tuk Aji tersenyum.

"Saya tua darinya, eloklah saya ambil."

"Hummm..." keluh Koyan dan wajahnya tidak dapat menyembunyikan rasa terkejut.

Gerak anak matanya seolah-olah menyimpan keraguan terhadap Tuk Aji.

"Bukan kerana sesuatu muslihat?"

"Tidak," jawap Tuk Aji.

"Kalau begitu, nah ambil," Koyan segera menghulurkan bungkusan tersebut kepada Tuk Aji.

Tuk Aji seperti keberatan mahu menerimanya. Lagi sekali datuk merasa terkejut oleh perbuatan Tuk Aji itu.

Saya dan Andi Kamarool berpandangan. Hati kecil saya turut merasa hairan dengan sikap Tuk Aji itu.

"Begini, awak letak saja bungkusan itu di tepi masjid. Lagi pun awak dah terangkan nama pemiliknya mengikut warna," dalih Tuk Aji.

"Awak lidah bercabang," rungut Koyan.

"Maafkan saya, kalau awak tersinggung."

"Hiss..." terkeluar dari mulut Koyan.

HILANG

Mungkin Koyan tidak mahu perkara itu berlarutan, meskipun hatinya sakit, dia segera menuju ke tepi sebelah ruang makan. Di situ tersedia sebuah rak untuk meletakkan sepatu para jemaah.

"Boleh saya letakkan di sini saja?" Koyan renung Tuk Aji.

"Boleh," Datuk pula menjawab.

"Jangan lupa, beritahu pada Haji Bagus perkara yang saya sebutkan kepada awak tadi."

"Iya, kami faham," angguk Tuk Aji.

"Baguslah, kalau dah faham. Tapi, saya harapkan awak jangan amalkan cakap berdolak dalik. Perbuatan macam itu tak bagus. Boleh hilang sahabat," Koyan senyum sambil anak matanya tertumbuk ke wajah Tuk Aji.

Satu sindiran yang cukup tajam. Peliknya, Tuk Aji masih boleh mempamerkan senyum.

"Selamat jalan Koyan," kata datuk.

Koyan pun anggukkan kepala tetapi, ekor matanya masih menjeling ke arah Tuk Aji.

Koyan pun melangkah meninggalkan kami.

Bila sekujur tubuh Koyan hilang dari penglihatan, datuk segera mendekati Tuk Aji.

"Kenapa saya tak boleh ambil barang-barang dari Koyan?" dengan sopan datuk ajukan pertanyaan kepada Tuk Aji.

Orang tua yang sentiasa nampak tenang itu mengukir senyum. Tanpa mahu menjawab pertanyaan yang datuk kemukakan, Tuk Aji terus bergerak menuju ke rak kasut lalu mengambil barang (bungkusan) yang diletakkan oleh Koyan tadi.

Semua bungkusan yang diambil segera diletakkan oleh Tuk Aji di atas tanah di halaman masjid.

Bungkusan itu disusun sederet. Tuk Aji terus mencangkung menghadapi ketiga-tiga bungkusan itu.

"Ketiga-tiga bungkusan ini bertujuan untuk membunuh orang yang menerimanya," Tuk Aji memalingkan mukanya ke arah datuk, Andi Kamarool dan saya.

"Biar aku tunjukkan buktinya," sambungnya sambil membuka ketiga-tiga ikatan kain pembungkusan kotak tersebut.

Dengan menggunakan ranting kayu Tuk Aji menolak dengan hati-hati penutup ketiga-tiga kotak tersebut.

"Semua mari dekat aku," panggil Tuk Aji.

Kami segera mendekatinya. Datuk berdiri sebelah kanan, saya sebelah kiri manakala di sebelah saya pula Andi Kamarool. Semua penutup kotak sudah terbuka.

"Kamu nampak isi dalam kotak?"

"Nampak," sahut saya.

Dua tiga kali datuk pejam celikkan kelopak mata sambil mengedutkan kening. Akhirnya, datuk senyum, bila didapati semua kotak tersebut diisi dengan pasir hitam yang halus disamping beberapa kuntum bunga tanjung dan cempaka.

"Kamu senyum kerana kamu tahu muslihat sebenarnya," Tuk Aji renung biji mata datuk.

"Tapi kamu tak tahu, barang-barang yang kamu tengok ini, kalau disentuh dengan jari, seluruh badan kamu jadi hitam," tambah Tuk Aji.

Datuk tersentak mendengar penjelasan itu. Biji matanya terbeliak. Dua tiga kali dia tarik nafas sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Orang yang mengirimkan bungkusan ini nak membunuh kamu, cucu kamu dan Haji Bagus. Biar aku tunjukkan buktinya. Sekarang kamu pergi ambil ranting yang ada daun dan serahkan pada aku," Tuk Aji keluarkan arahan untuk saya. Perintahnya segera saya patuhi.

"Nah, Tuk Aji."

"Terima kasih Tamar."

Tuk Aji segera menyambut tiga ranting mempelam yang saya hulurkan kepadanya. Dua tiga kali dia melurut ketiga-tiga ranting mempelam dengan pasir hitam dalam kotak.

"Tunggu dan lihat," Tuk Aji segera duduk bersila di halaman masjid.

Kami juga turut bersila, semua biji mata tertumbuk ke arah kotak dan tanting mempelam.

Walaupun panas mula terik tetapi, kami tidak merasai bahang kepanasan itu menggigit kulit. Mata, hati dan fikiran tertumpu ke arah tiga kotak di hadapan.

"Ahhhhh..."

Mulut saya separuh terbuka. Tidak sampai beberapa minit, ranting mempelam mengeluarkan asap nipis.

Bila asap nipis itu lesap, ranting mempelam menjadi arang.

Tiga letupan kecil kedengaran dan ketiga-tiga kotak di depan kami pecah berkecai dan kain pembungkusnya terbakar jadi abu. Dan akhirnya bersatu dengan tanah halaman masjid.

MATA

"Kamu sudah tengok dengan mata kepala kamu sendiri. Aku sudah buktikan apa yang aku katakan. Itulah sebabnya aku tak bagi kamu sentuh barang-barang itu. Orang itu mengirim racun untuk membunuh," Tuk Aji segera bangun.

Kami juga turut bangun dan bergerak menuju ke bahagian belakang masjid. Kami duduk di bangku panjang yang ada di situ.

"Saya faham sekarang, terlalu tinggi permainan ilmu hitam mereka," datuk memulakan percakapan, memecahkan suasana yang kami hadapi.

"Memang hebat," celah saya.

"Kamu jangan campur, kamu dengar saja," datuk mengherdik saya bersama dengan jelingan yang amat tajam sekali. Tindakan datuk itu membuat saya rasa malu.

"Kenapa kamu marahkan dia? Aku fikir dia berada di pihak yang betul. Dia kagum dengan kebolehan orang itu," kata-kata yang diungkapkan oleh Tuk Aji membuat saya rasa megah.

Dia membela saya, secara tak langsung memberikan sokongan moral yang tiada nilainya.

"Sekuat mana dan sehebat mana ilmu hitam yang dipelajari dari iblis akhirnya pasti kalah juga dengan kebesaran Allah," Tuk Aji bersuara setelah menyedari yang datuk menerima pandangannya.

"Maksud Tuk Aji?" Andi Kamarool minta kepastian.

"Mudah saja. Aku percaya dengan apa yang dikatakan oleh Koyan tadi. Gelanggang Munah Supandi dan anak buahnya dipanah petir. Cuba kamu ingat apa yang terjadi waktu subuh tadi?"

Apa yang dituturkan oleh Tuk Aji membuat saya termenung sejenak. Tidak dinafikan, sekitar jam lima pagi tadi berlaku hujan lebat, bersama petir sabung menyabung.

"Agaknya bomoh handal tu dah mampus kena petir," Andi Kamarool bersuara dalam nada keriangan.

"Belum tentu, barangkali yang mati itu pengikutnya," celah datuk.

"Boleh jadi pengikutnya, boleh jadi dirinya sendiri tapi, ilmu jahat susah disekat," saya lihat wajah Tuk Aji gusar sekali.

Dia merenung ke langit sambil menelan air liur berkali-kali. Datuk menggigit bibir.

"Orang yang balik ke Tanah Melayu tu mungkin membawa bencana orang di sana. Percayalah cakap aku.

"Ramai orang akan jadi korban terutama orang-orang politik yang mahu cepat berkuasa, peniaga yang tamak dan mahu cepat kaya," sambung Tuk Aji.

"Orang tamak haloba, gila kuasa, kurang iman dan jahil agama tentu masik perangkap mereka," celah Andi Kamarool.

"Pendapat kamu tu mungkin betul Andi," sahut datuk sambil menggosok-gosok mata kirinya. Mungkin mata datuk dimasuki habuk.

"Aku tak mahu kata apa-apa, kita semua ada otak untuk berfikir dan kemudian boleh buat kesimpulan sendiri. Tapi..." Tuk Aji berhenti bercakap.

Dia agak terkejut bila melihat datuk melekapkan telapak tangan kiri ke mata kanan, Manakala telapak tangan kanan menutup mata kiri.

Kira-kira sepuluh minit datuk berbuat demikian. Kemudian barulah sepasang tangannya dijatuhkan lalu dihayun ke depan dan ke belakang beberapa kali.

Bila datuk berhenti menghayunkan sepasang tangan, dia berdehem dua kali berturut-turut sambil sepasang kelopak matanya dipejam celikkan beberapa kali hingga matanya berair.

Dengan hujung lengan baju, datuk sapu air mata yang melelah di pipi. Kelopak matanya dibuka luas-luas dan dengan senyum terukir di kelopak bibir, datuk menatap wajah Tuk Aji.

"Ada petua tersendiri mengeluarkan habuk dalam mata?"

"Sekadar untuk diri sendiri, tak usah tanya tentang petua itu. Lupakan saja, sambung balik cakap yang terputus," datuk bersuara.

"Itu yang kamu nak tahu? Bukan apa-apa. Aku tak suka bincang tentang bomoh tu, sebenarnya aku lebih suka bincang tentang rancangan kita."

"Rancangan? Rancangan apa?" Datuk membeliakkan biji matanya. Rasa hairan dan terkejut terpamer di wajahnya.

Saya dan Kamarool saling berpandangan. Hati kami terus berdebar. Mungkin ada sesuatu yang mahu dirahsiakan dari saya dan Andi Kamarool. Tetapi, kini perkara yang dirahsiakan itu tidak dapat dipertahankan lagi.

"Saya tak dapat menangkap maksudnya. Masih samar-samar."

"Hum... kamu cepat sangat lupa," Tuk Aji terus tepuk bahu kanan datuk dua tiga kali. Mereka sama-sama ketawa.

Semuanya itu membuat hati saya dan Andi Kamarool berdebar.

"Kau lupa?" ulang Tuk Aji.

"Iya, saya benar-benar lupa."

"Kamu pernah cakap yang kamu nak ikut aku ke Tanah Kerinci. Kata kamu di Kerinci masih terdapat kaum keluarga kamu. Lagi pun dari Kerinci ada yang berhijrah ke Tanah Melayu."

"Allahhu Akbar. Baru saya ingat sekarang. Tadi saya tak ingat langsung," dua tiga kali datuk gelengkan kepalanya. Tuk Aji tersenyum melihat telatah datuk yang agak melucukan itu.

"Bagaimana? Sekarang kamu dah ingat?" usik Tuk Aji.

Datuk anggukkan kepala.

"Kamu bersedia nak ke sana?"

"Sudah tentu! Bila kita nak pergi?"

Jawapan dari datuk membuat Tuk Aji menggaru-garu hujung hidungnya dengan jari kelingking beberapa kali.

Dia renung kiri kanan, macam ada sesuau yang difikirkannya.

"Hari ini hari Senin, esok Selasa. Macam mana kalau kita bertolak dari sini pagi Rabu?"

"Saya mengikut saja," balas datuk dengan senyum.

"Kalau dah begitu, kamu semua kena buat persiapan."

"Ikut jalan laut atau darat?"

TAJAM

Pertanyaan itu membuat Tuk Aji membeliakkan sepasang biji matanya. Muka datuk ditatap tajam.

Kemudian wajah saya dan Andi Kamarool menjadi sasaran. Kenapa Tuk Aji berbuat demikian? Saya sendiri pun tak tahu.

"Kenapa kamu tanya macam tu?"

"Bukan apa-apa. Kalau ikut perjalanan darat kena buat persiapan cara jalan darat. Begitu juga dengan jalan laut."

"Hum... Aku fikirkan pertanyaan yang kamu buat tadi sebagai usaha kamu berdalih tak mahu pergi."

"Insya-Allah. Kalau sudah berjanji tetap saya tepati."

"Maafkan aku," Tuk Aji hulurkan tangan.

Datuk segera menyambutnya. Mereka berpelukan. Beberapa minit kemudian kami pun berpisah.

Tuk Aji pulang ke rumah Tuk Siak sementara saya, datuk dan Andi Kamarol menuju ke rumah Haji Bagus.

Di rumah Haji Bagus, datuk melahirkan rasa bangganya kerana rancangan untuk ke Tanah Kerinci sudah berada di ambang jaya.

Haji Bagus dan isteri merestui perjalanan kami bertiga (saya, datuk dan Andi Kamarool). Dia yakin perjalanan kami tidak akan menghadapi sebarang masalah.

"Dia selalu berulang alik Kerinci-Jambi dan Jambi ke Kerinci. Dia bagi tahu kamu nak pergi ke sana nak ikut jalan sungai atau jalan darat?" tanya Haji Bagus.

"Dia tak bagi tahu Abang Haji," jawab datuk sambil mengerutkan dahinya seperti ada keresahan bermain dalam kepala datuk.

"Biasanya, dia ikut jalan sungai separuh dan separuh lagi ikut jalan darat. Tak kira ikut jalan mana, pokoknya kamu semua beruntung dapat pergi ke Kerinci bersama Haji Ahmad Basilam.

"Dia orang lama, umurnya dah dekat seratus tahun tapi masih tegap dan gagah. Dia banyak menyimpan cerita Tanah Kerinci," kata Haji Bagus.

Pagi Rabu yang cerah, saya dan Andi Kamarool bersilat di halaman masjid untuk mengeluarkan peluh. Haji Basilam dan datuk masih berada di dalam masjid.

Saya kira mereka sedang berbincang tentang perjalanan yang ditetapkan. Walau apa pun, saya tidak bimbang semua keperluan untuk perjalanan sudah siap sedia.

Beg yang memuatkan beberapa helai pakaian saya dan datuk terletak di kepala tangga masjid. Begitu juga dengan pakaian Andi Kamarool.

"Sudah."

Serentak saya dan Kamarool menoleh ke arah suara tersebut. Haji Basilam (Tuk Aji) dan datuk berdiri di kaki tangga. Mereka tersenyum ke arah kami.

"Mengapa mesti membuang tenaga, nanti letih," usik Haji Basilam.

"Sekadar nak melembutkan urat," sahut Andi Kamarool. Mereka berdiri didepan kami, melihat peluh yang mercik di kening dan dahi.

"Kamu berdua dah sedia, kalau dah sedia kita mulakan," tutur Haji Basilam.

"Kamu berdua tunggu kami di kepala simpang, aku nak ambil barang di rumah Tuk Siak, datuk kamu ikut aku."

"Baiklah," kata saya.

"Pergi ambil barang-barang kamu," sambung Haji basilam.

Saya dan Andi Kamarool bergegas menuju ke kepala tangga masjid mengambil beg pakaian dan meneruskan perjalanan menuju muara jalan.

Sementara menanti kedatangan Haji Basilam dan datuk, saya dan Andi kamarool berdiri di bawah pohon ketapang.

Matahari pagi terus memancar sinar bersama-sama dengan kicau beburung. Orang-orang kampung yang ramah terus melemparkan senyum ke arah kami tidak kira sama ada mereka berjalan kaki atau naik basikal.

"Andi, kamu pernah pergi ke Kerinci?"

"Belum pernah. Kata orang alamnya cantik, banyak sejarahnya dan banyak pula misterinya."

"Bila sampai Kerinci apa yang kamu mahu tengok Andi?"

"Aku nak tengok kolam air panas di Sumurup dan Sungai Medang. Kata orang airnya sentiasa berasap. Aku nak rebus telur di kolam air panas tu. Kamu pula nak cari apa disana Tamar?"

"Aku nak jumpa orang pendek yang ganjil dalam hutan Kerinci. Tubuhnya tegap, berjalan tegak, mukanya bulat berjanggut panjang.

"Tingginya antara 80-100 cm. Badannya penuh dengan bulu warna coklat dan hitam. Bila berjalan tapak kakinya terbalik. Aku teringin benar nak melihat makhluk ganjil ini."

"Lagi, apa yang ingin kamu cari di sana?" tanya Andi Kamarool lagi.

"Aku teringin nak jumpa dengan keturunan manusia harimau. Kalau jumpa yang perempuan dan cantik serta muda pula aku nak jadikan dia isteri," kata saya.

"Bila kamu tidur dengannya dia terus baham kamu," balas Andi Kamarool.

Kami terus ketawa terkekeh tanpa mempedulikan orang yang lalu lalang di jalanan.

"Apa yang kamu berdua ketawakan hingga nak pecah perut?"

Tanpa disedari datuk muncul dari belakang dan Haji Basilam menyongsong dari sebelah kanan. Saya tergamam, tetapi Andi Kamarool dapat mengawal keadaan. Dia tenang sekali.

"Tamar ni, bila sampai di Kerinci dia nak jumpa keturunan manusia harimau," Andi Kamarool buka rahsia. Datuk gelengkan kepala sambil berkata.

"Kamu bercakap ikut sedap mulut sahaja, Tamar."

"Tak mengapa, kalau kamu berhajat Tuk Aji boleh bawa kamu jumpa mereka," sahut haji Basilam.

"Bergurau dengan cucu saya?"

"Tidak, saya cakap perkara yang benar. Kalau awak nak jumpa pun boleh saya bawakan. Soal perkara itu benar atau tidak terpulang pada diri masing-masing."

"Di mana mereka tinggal Tuk Aji?" saya pula menyoal.

"Usah tanya di mana, sampai masanya aku temukan keturunan tu dengan kamu," penuh semangat Haji Basilam bersuara.

Dua tiga kali belakang saya di tepuknya. Andi Kamarool hanya tersenyum sahaja.

Di bawah hembusan angin dan sinaran matahari pagi yang telah melepasi pokok ketapang, kami pun bergerak meninggalkan muara jalan menuju ke pengkalan (jeti).

Sesekali, Haji Basilam menceritakan pengalaman silamnya yang menarik ketika dia mendaki Gunung Kerinci.

"Nama Kerinci selalu dikaitkan dengan kapal iaitu Kapal Kerinci, pada hal nama Kerinci diambil dari nama Gunung Kerinci," sambil melangkah Haji Basilam membuka tentang sejarah bumi kelahirannya. Dan saya terus pasang telinga.

Bagi saya nama Kerinci bukanlah sesuatu yang asing dan secara kebetulan pula di kampung saya terdapat ramai orang yang berasal dari Kerinci.

"Pada hemat aku, Kerinci itu boleh jadi berasal dari perkataan KERING CAIR yang bermaksud danau yang kering," Haji Basilam bercerita kembali.

"Kerana proses alam dasar danau terangkat atau naik ke atas menjadi dataran tanah yang tinggi.

"Tanah kering sebelah utara menjadi Gunung Kerinci manakala yang berair sebelah selatan menjadi danau Kerinci."

Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi, sama ada benci atau suka bila mendengar cerita Haji Basilam.

Datuk nampak bersahaja dan tenang. Mungkin dia pernah ke sana dan merasakan apa yang dituturkan oleh Haji Basilam itu sebagai perkara biasa saja.

Berlainan kami berdua, apa yang keluar dari mulut lelaki tua itu, adalah perkara baru membuat kami mendengar penuh minat dan sekali-sekala anggukkan kepala.

Haji Basilam terus bercerita dan perjalanan ke jeti yang agak jauh terasa dekat. Panas yang beransur terik juga turut juga tidak terasa.

Haji Basilam tetap macam tadi, bercerita dan terus bercerita dan akhirnya kami sampai ke pengkalan.

Tanpa membuang masa kami segera menaiki salah satu bot penambang menyeberang Sungai Batang Hari menuju ke kota Jambi.

MENJERIT

"Kamu tunggu di sini, jangan kemana-mana. Kami berdua ada urusan, tunggu di sini," Haji Basilam mengingatkan saya dan Andi Kamarool sebaik saja kami duduk di sebuah bangku panjang depan sebuah kedai.

Haji Basilam dan datuk terus menghilangkan diri. Keadaan kota Jambi hari itu cukup sibuk. Kenderaan dan manusia bertali arus.

Di saat saya dan Kamarool melihat gelagat manusia yang lalu di hadapan kedai, sebuah kereta berhenti.

"Masuk."

Haji Basilam jengukkan muka dari dalam kereta.

"Kenapa tersengih-sengih, masuk saja. Orang suruh masuklah," kata datuk yang berada di bahagian belakang (di kusyen belakang) kereta.

Saya buka pintu, tanpa membuang masa terus meluluskan diri ke dalam kereta. Pemandu kereta yang berkulit hitam berwajah garang menjeling tajam ke arah kami.

Kereta yang ditumpangi terus meluncur ke depan. Setiap kali ada orang melintas jalan pemandunya membunyikan hon kereta.

"Tamar, Andi, ini anak saudara aku. Dia selalu berulang-alik dari Jambi ke Sungai Penuh. Cara kebetulan dia mahu kesana. Kita naik kereta dia, cepat sikit sampai," Haji Basilam memperkenalkan pemandu kereta kepada kami.

Si pemandu hanya tersenyum, misai tebalnya turut bergerak tetapi sinar matanya tajam menyorot wajah kami.

Saya agak cemas melihat perangainya yang memandu laju dengan sebelah tangan. Hon keretanya terus menjerit.

Sesekali dia memarahi kenderaan lain yang memotong keretanya. Datuk, hanya diam saja.

"Dari Jambi ke Sungai Penuh, berapa kilometer Tuk Aji?" Andi bertanya. Haji Basilam terdiam.

"Lebih kurang 434 kilometer. Kamu tahu tak Sungai Penuh ibu Negeri Kerinci?" si pemandu menjawab dalam nada suara yang keras.

Dia masih memandu dengan sebelah tangan. Bila ada lembu atau kambing melintas jalan, hon keretanya terus memekik.

Sesekali dia menekan brek kecemasan, membuat kami yang ada dalam kereta tersengguk-sengguk.

Perjalanan yang cemas dan membosankan itu sampai ke sebuah bandar yang disebut Muarabungo.

Kerana kami sudah hampir dengan waktu zuhur, Haji Basilam menyuruh anak saudaranya berhenti di sebuah masjid.

Setelah menunai sembahyang zuhur, kami menjamu selera di sebuah gerai kepunyaan orang Padang.

Datuk hanya makan tiga suap nasi dan minum air putih. Setelah itu perjalanan menuju ke negeri Kerinci–Sungai Penuh diteruskan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 167/284

BACA: SBDJ Siri 166: Lelaki Dari Kerinci
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com