Terbukti Harga Minyak Tidak Menjadikan Barangan Lebih Murah!

Umum berasa ceria apabila mengetahui harga minyak menjadi semakin murah susulan beberapa kali harga minyak jatuh berbanding kadar harga tertinggi pada Mac 2020 lalu, berpandukan kepada Brent Crude Oil Price yang menjunam kepada harga dibawah AS$30 per barrel atau setong sebelum ini.

Minyak turun barang naik

Ramai pakar ekonomi meramalkan harga minyak mentah global akan terus menjunam ke satu paras terlampau rendah yang bukan sekadar diakibatkan global lockdown dan kuarantin yang melesukan aktiviti perekonomian tapi dijumudkan lagi oleh persepsi mengenai kemelesetan ekonomi yang lebih teruk sifatnya berbanding 2008 The Great Depression.

Justeru, kerajaan tiada pilihan kecuali mengemaskini setiap minggu kadar harga petrol dan diesel dipam selari dengan kejatuhan harga minyak mentah global.

Bagaimanapun, selepas beberapa minggu kejatuhan kadar harga petrol RON95, RON97 dan diesel, kita masih tercari cari di manakah impaknya terhadap harga barang yang masih tidak turun, malah semakin mahal.

Sejarah harga barang naik tercetus di dalam abad ke-21 apabila harga minyak mentah global mendaki tinggi khasnya pasca Tragedi September 11 lalu dengan meletusnya ledakan harga barang yang meluap-luap sifatnya.

Tak sampai sehari dua harga minyak naik, belum pun stok lama habis terjual, usahawan ghairah menaikkan harga barang mereka dan bersenandung betapa kenaikan harga berpunca kos pengeluaran naik, kos pengangkutan naik dan kos buruh naik yang dinatijahkan oleh kenaikan harga minyak.

Maka usah disalahkan rakyat jika terlahirnya konklusi yang tersemat di minda mereka bahawa faktor turun naik harga minyak ini juga adalah sebagai penentu besar kepada faktor turun naik harga barang.

Justeru, apa lagi punca mutlak lain yang membantutkan kalangan usahawan untuk menjatuhkan dan memurahkan harga barang mereka?

Mengapa selepas harga minyak jatuh sehingga berpuluh peratus tetapi harga barang tidak pula jatuh malah makin naik?

Peniaga Tamak

Maka sudah terang lagi bersuluh ramai usahawan kita tidak tergamak untuk berkorban sedikit keuntungan untuk rakyat dan negara.

Mereka bukannya takut rugi, tetapi takut keuntungan besar yang diraih berkurangan sedikit.

Tidak cukup dengan harga minyak jatuh, kerajaan menggagaskan pula inisiatif demi kesenangan usahawan mengharungi kemelesetan ekonomi seperti kemudahan pembiayaan, caj utiliti dikurangkan, cukai dan KWSP ditangguhkan, subsidi upah pekerja, penstrukturan semula pinjaman dan sebagainya yang pastinya menjana lebihan pendapatan yang mencipta angka positif di dalam aliran tunai perniagaan mereka.

Usahawan sewajarnya menginsafi serta mensyukuri fenomena yang terjadi hari ini, sudahlah harga minyak jatuh teruk, kerajaan sanggup menghulurkan bantuan dan permintaan masih tinggi, justeru apa lagi alasan konkrit membuktikan harga barang naik?

Seperti biasa, sikap usahawan yang suka menyalahkan dan memburukkan rakan usahawan lain seperti pengilang, pembekal dan pengangkut membawa tafsiran suka lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab.

Berpandukan apa berlaku hari ini apabila harga barang naik, maka eloklah kerajaan menguatkuasakan mekanisme penentuan harga barang di kilang atau diimport dari luar negara, harga barang ditawar pembekal dan harga barang termasuk pengangkutan.

Ini menjadi penanda aras pemantauan harga barang secara apungan harga setiap minggu dan lebih realistik sebab harga barang dicerminkan mengikut harga minyak dengan tepat.

Daripada mekanisme ini, setiap usahawan akan diwajibkan mematuhi penanda aras ini dan kawalan harga dapat dilaksanakan lebih efektif terhadap seluruh spektrum jualan barang merangkumi pengilang, pembekal, pengangkut dan peniaga.

Cuma, kerajaan melalui SPRM wajib menghapuskan rasuah seboleh-bolehnya menghampiri angka sifar terlebih dahulu. Rasuah di Malaysia sangat teruk dikalangan ahli politik. Mereka punca utama negara hampir muflis. Tak kisahlah pihak mana pun.

Kerajaan juga dituntut untuk merangka pendekatan baharu mewujudkan skim kestabilan penawaran harga barang yang bersifat keperluan asas.

Ia tidak semestinya makanan saja malahan barang lain seperti ubat-ubatan, penjagaan diri, penjagaan rumah dan sebagainya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro