SBDJ Siri 151: Misteri Kain Hitam

Beberapa orang yang lalu di depan kedai runcit segera menegur Fuad Hassan. Walaupun saya dan datuk tidak ditegur sapa, kami tetap mempamerkan senyum. Saya merasa kurang enak bila orang yang menegur Fuad Hassan menjeling ke arah saya dan datuk.

SBDJ siri 139

"Begini, kita minum dulu," kata Fuad Hassan bila menyedari saya dan datuk kurang senang berada di depan kedai runcit.

"Di mana?" tanya datuk.

"Di hujung sana tu," jawap Fuad Hassan, sambil menuding jari telunjuk ke arah yang dimaksudkannya.

Jarak antara kedai runcit dan kedai kopi cuma selang tiga buah kedai saja. Terletak di hujung deretan kedai.

"Mari," ajak Fuad Hassan.

Kami segera melangkah ke arah kedai tersebut. Sebagai orang yang sudah arif dengan perangai datuk yang tidak suka minum di kedai, merasai pelik dan aneh bila datuk memenuhi permintaan Fuad Hassan.

Mungkin datuk berbuat demikian kerana mahu menghormati hati seorang kawan. Kami segera ke kedai kopi.

Meja paling hujung jadi pilihan Fuad Hassan. Di situlah kami berlabuh.

"Baru datang," tegur pemilik kedai.

Fuad Hassan anggukkan kepala. Mereka berbalas senyum dan saya tumpang jeling ke arah Nurul Hayat yang tunduk merenung dada.

"Ini kawan saya," Fuad segera memperkenalkan datuk dengan pemilik kedai. Mereka bersalaman.

Saya lihat pemilik kedai berusia sekitar empat puluhan, berkulit hitam dan rambut keriting cukup peramah.

Senyum sentiasa bermain di bibir dan saya merasa cemburu yang amat sangat, bila Nurul Hayat membalas senyumnya.

"Nak minum apa?" tanyanya.

"Saya teh susu," tentang Fuad Hassan memberi jawapan.

"Encik minum apa?" pemilik kedai renung muka datuk.

"Beri saya air panas saja."

"Air panas," ulang pemilik kedai dang merasa agak aneh dengan permintaan datuk itu. Fuad Hassan juga terkejut dengan karenah datuk itu.

"Saya memang begini, suka minum air biasa bila di kedai," datuk membunuh keraguan dan rasa hairan yang tumbuh di hati Fuad Hassan dan pemilik kedai.

"Ada pantang larang agaknya," pemilik kedai cungkil rahsia. Datuk tersengih sambil gelengkan kepala.

"Memang tak ada pantang larang. Datuk saya ni memang sejak dulu macam tu. Suka minum air biasa bila singgah di kedai kopi," kata saya, secara tiba-tiba.

Fuad Hassan anggukkan kepala tetapi, pemilik kedai pamerkan senyum yang saya kira tersembunyi seribu persoalan.

"Kamu juga nak minum air biasa?" pemilik kedai ajukan pertanyaan kepada saya.

"Saya mahu kopi susu."

"Awak pula nak air apa?" pertanyaan untuk Nurul Hayat.

"Saya tak minum apa-apa."

"Hai! Agaknya nak jaga kecantikan," usik si pemilik kedai. Hati saya makin membara.

Pemilik kedai meninggalkan kami dan datang kembali bersama dengan barang-barang yang dipesan.

Mungkin kerana kenal mesra dengan Fuad Hassan atau mahu menarik perhatian Nurul Hayat, pemilik kedai yang saya anggap separuh gatal terus duduk dekat Fuad Hassan.

"Baru kali pertama datang ke sini?" pemilik kedai renung muka datuk.

Fuad Hassan yang sedang menatang cawan teh segera meletakkan cawan atas meja kembali.

"Dia orang jati di sini, tetapi sudah lama merantau dan balik sekali sekala saja. Awak tak kenal asal keturunannya kerana awak bukan anak jati di sini.

"Awak orang luar, orang Acheh yang mencari rezeki di sini," sampuk Fuad Hassan.

"Oh, maafkan saya kalau tersinggung," tutur pemilik kedai.

"Tak mengapa, ini perkara biasa. Usahkan awak, anak jati di sini terutama yang baru tak berapa kenal dengan saya," kata datuk merendahkan diri.

Fuad Hassan terus menghirup air teh. Begitu juga dengan saya. Ekor mata Nurul Hayat menyorot setiap gerak-geri saya.

Hati saya amat gembira sekali, bila pemilik kedai meninggalkan meja kami untuk melayani pelanggan lain yang baru masuk ke kedainya.

Bila Fuad Hassan mahu membayar harga minuman, pemilik kedai tidak mahu menerimanya.

Alasannya, kerana dia mahu meraikan kehadiran orang luar (maksudnya datuk) yang sudah singgah di kedai.

Berkali-kali datuk mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya. Kami pun keluar dari kedai.

"Hati-hati sikit, orang di sini suka menguji ilmu dan kepandaian orang, terutama orang yang berdagang di sini," Fuad Hassan mengingatkan datuk sebaik saja berada di depan kedai minum.

"Ini kisah baru, sebelum ni hal macam ni tak pernah terjadi," balas datuk.

"Begitulah adat hidup, sentiasa berubah. Dulu lain, sekarang lain. Kita cuma terjaga-jaga sudahlah, jangan sampai kita terjebak," lanjut Fuad Hassan lagi. Dan datuk akur dengan nasihat itu.

RENUNGAN

Dalam renungan beberapa orang yang lalu lalang di depan kedai sederet itu, datuk dan Fuad Hassan terus bersalam untuk sekian kalinya.

Mereka berpisah mengikut kemahuan hati masing-masing. Nurul Hayat dan ayahnya menghala ke utara, manakala saya dan datuk menuju ke selatan.

Kira-kira dalam jarak dua ratus kaki dari kedai minum, saya dan datuk membelok ke kanan memasuki jalan enam kaki.

Suasana terasa agak sunyi. Bayu petang yang bertiup menyentuh kulit muka membuat badan terasa segar. Kami terus melangkah.

Sambil melangkah, saya merenung ke kiri dan kanan jalan enam kaki yang ditanam dengan ubi kayu.

Dedaun ubi kayu yang hijau kelihatan bergerak lembut mengikut arah angin bertiup.

Kebanyakan rumah didirikan di sebelah kanan jalan, letak atau jarak antara satu sama lain agak berjauhan.

Rata-rata atap rumah di situ dari daun rumbia. Dindingnya dari papan dan ada juga dari tepas.

"Jauh ke lagi tuk?" tanya saya tercungap-cungap.

Rasa sudah terlalu jauh saya menghayun sepasang kaki hingga terasa penat dan kaki pula lenguh.

"Lepas selekoh di depan sampailah kita," kata datuk sambil menuding telunjuknya ke arah selekoh tajam. Di sebelah selekoh tersebut terdapat pokok jati berdaun lebat.

Saya meneruskan perjalanan dalam sinar matahari petang yang kian runduk. Lebih kurang dalam jarak 50 meter mahu sampai ke selekoh tajam, saya seperti terlihat sesuatu yang melintas jalan.

Bentuk benda yang saya lihat keadaannya menyerupai kanak-kanak yang berusia sekitar tujuh tahun.

Kulitnya hitam legam dan agak kurus. Kepalanya gondol. Tiba-tiba saja bulu tengkok saya meremang.

Cepat-cepat saya menarik hujung baju datuk hingga langkahnya terhenti.

"Kenapa Tamar?"

"Saya nampak macam ada budak kecil melintas jalan dekat selekoh."

"Ah! Kamu jangan merepek," datuk segera menepis tangan saya bersama dengan kerlingan yang tajam.

Dia meneruskan perjalanan dan saya pun meneruskan langkah yang terhenti. Sambil berjalan saya toleh kiri dan kanan.

Sesekali saya merenung ke belakang. Entah mengapa, perasaan saya jadi cemas dan takut semacam.

Sebaik saja sampai ke selekoh tajam, lebih tepatnya dekat pokok jati besar yang berdaun lebat, badan saya terus menggigil dengan serta merta tanpa sebab.

Saya tidak boleh melangkah macam ada sesuatu yang memegang kedua belah kaki saya. Tulang-tulang sendi terasa lembik dan saya terus rebah ke bumi.

"Tamar, kenapa kamu?"

Datuk segera memeluk saya.

"Kenapa kamu Tamar?" ulangnya lagi.

Saya cuba menjawab pertanyaan datuk tetapi, suara tidak keluar. Mulut mula berbuih. Kerongkong terasa kering dan pedih. Seluruh kulit badan terasa amat panas bagaikan terkena bara api.

Sinar matahari petang yang kian meredup (saya kira pada masa itu lebih kurang pukul lima setengah petang) terus menyimbah wajah.

Kelopak mata amat sakit dan air mata terus mengalir.

Datuk terus menggosok kedua belah tempurung lutut saya dengan ibu jari kirinya berkali-kali.

Datuk berhenti menggosok tempurung lutut. Dia termenung, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Kalau tak silap aku, dari sini tak jauh lagi nak sampai ke rumah kaum kerabat. Memang tak salah lagi, aku sekarang berada di sempadan tanah kaum kerabat.

"Ada baiknya aku rawat di rumah saudara mara, ini lebih baik lagi," saya terdengar datuk berkata sendirian.

Tanpa membuang masa lagi, datuk terus mendukung saya.

"Sekarang kita pergi Tamar."

Datuk pun memulakan langkah dengan berlari anak. Kenapa datuk berbuat demikian?

Timbul pertanyaan dalam hati. Mungkin datuk dapat mengesan sesuatu yang kurang baik.

DUKUNG

Semasa berada dalam dukungan datuk, telinga saya dapat menangkap bermacam-macam bunyi aneh.

Pada mulanya saya dapat menangkap bunyi desiran angin yang lembut. Kemudian bertukar bunyi ribut bersama dengan dentuman petir.

Saya juga mendengar bunyi pokok tumbang, jeritan gajah dan ngauman harimau. Malangnya, apa yang saya dengar tidak dapat saya sampaikan kepada datuk kerana saya tidak boleh bercakap. Suara saya hilang.

Datuk berhenti berlari anak. Tubuh saya diletakkannya atas rumput di sebelah jalan enam kaki.

Datuk tinggalkan saya di situ dan dia terus berlari ke tengah jalan enam kaki. Berdiri di situ sambil berpeluk tubuh.

Dan sepasang matanya tertumpu ke arah pokok besar tanpa berkedip. Saya hanya melihat saja apa yang datuk lakukan.

Sepasang kaki segera dikangkang. Jarak kaki kiri dengan kaki kanan kira-kira dua belas inci.

Kedudukan kaki kanan ke depan sedikit dari kaki kiri.

Berulang kali datuk menggerakkan lehernya dari kanan ke kiri sambil ekor matanya melirik tajam ke arah pepohon renek sebelah kiri jalan enam kaki yang kelihatan bergoyang seperti dilanda ribut.

Dedaun kering, reranting kering dan dahan-dahan yang ada disitu terus terangkat lalu berterbangan.

Pelik sungguh, semua yang berterbangan itu menuju ke arah datuk.

Setap kali dahan atau ranting kayu menyentuh tubuh datuk saya seperti terdengar suara orang berteriak keriangan.

Ternyata datuk tidak ambil kisah dengan semuanya itu. Dia tidak mengelak dan juga tidak menepis.

Dia merelakan dedaun, reranting dan dahan kayu menghujani tubuh badannya.

Datuk menggerakkan tubuhnya dengan mengangkat kedua belah tangannya. Begitu juga dengan kakinya.

Keadaan datuk seperti mahu memulakan langkah silat yang teratur. Perlahan-lahan dia memusingkan tubuhnya lalu membelakangi pokok besar.

Aneh! Semua benda-benda yang berterbangan tadi berpatah balik ketempat asalnya. Keadaan kembali aman dan tenang.

Dan saya secara tak sengaja merenung ke langit, saya terlihat dua ekor burung helang terbang rendah sambil matanya merenung ke arah saya yang terlentang di bumi.

Burung helang bagaikan bersedia mahu membenamkan paruhnya ketubuh saya. Mahu mengoyakkan kulit badan saya. Tentu saja saya menjadi cemas.

Datuk segera mengarahkan kembali sepasang biji matanya ke arah pokok besar. Di saat datuk menumpukan seluruh perhatiannya ke batang pokok besar, kelihatan sehelai kain hitam entah dari mana datangnya melayang-layang di udara.

Tiba-tiba kain itu mengibas ke arah susuk kiri datuk. Saya mencari siapakah yang mengibas kain hitam ke arah datuk itu. Usaha saya gagal. Tidak ada apa yang saya lihat.

Apa yang pasti libasan kain hitam yang nampak lembut itu memberikan kesan yang hebat kepada datuk.

Saya lihat datuk tersungkur ke bumi. Bahagian belakang bajunya terbelah dua.

Datuk mengeliat seperti menahan rasa sakit yang amat sangat. Datuk berjaya bangun dalam keadaan membongkok.

Dia memeluk lutut sambil menekan kepalanya ke celah paha. Barangkali itu petua atau taktik datuk bagi menyelamatkan kepalanya dari terkena libasan kain hitam aneh.

Disaat datuk bergelut melindungi kepalanya, libasan kedua pula menyusul. Ternyata libasan kali kedua lebih berbisa, menghasilkan api lalu membakar bahagian tepi baju datuk.

Sebelum api itu marak dan melarat ke bahagian lain, datuk berhasil memadamnya. Belum pun hilang penat, libasan ketiga dari kain hitam datang lagi.

Datuk menggolekkan tubuhnya di atas jalan enam kaki, macam kucing mandi pasir. Usaha yang datuk lakukan berhasil. Libasan kain hitam tidak mengenai sasarannya.

BANGUN

Datuk terus bangun. Berdiri dengan gagah sambil mendepangkan sepasang tangannya. Bersedia menanti apa saja.

Bak kata orang, membujur lalu melintang patah dan serangan ke empat terjadi serta merta.

Kerana datuk sudah bersedia dengan tangkas dia menyambar hujung kain hitam. Dengan sepenuh tenaga datuk berusaha menarik kain hitam ke arahnya.

Usaha datuk tidak berhasil, sebaliknya datuk seperti ke arah hujung yang bertentangan dengan arah datuk.

Saya amati hujung kain (yang bertentangan dengan arah datuk) muncul dari rimbunan pokok senduduk.

Hujung kain itu diikat pada ranting sebesar jari kelingking. Kalau difikirkan dengan fikiran yang waras, mustahil ranting sebesar itu tidak patah bila ditarik oleh datuk dengan sepenuh tenaga.

Mesti ada tenaga ghaib yang menarik atau menahan kain hitam itu dari dikuasai oleh datuk. Kain hitam yang terentang itu cukup tegang.

Datuk berhempas pulas mempertahankan dirinya dari ditarik oleh kain hitam itu ke arah rimbunan pokok senduduk.

Muka datuk nampak merah padam. Peluh bagaikan mandi menguasai tubuhnya. Datuk tercungap-cungap tetapi, dia masih lagi dapat bertahan dari tempat dia mula berdiri.

Mungkin kerana terlalu kuat menarik kain hitam menyebabkan sepasang telapak tangannya luka.

Darah merah segera bercucuran de bumi dan sebahagiannya meresap ke kain hitam yang dipaut.

Saya terharu melihat keadaan datuk. Apakah daya, saya tidak boleh membantunya. Mahu menjerit suara saya tiada.

Mahu membantunya, saya tidak boleh bangun kerana tulang temulang sendi saya tidak berfungsi sama sekali. Datuk terus bertarung.

Tiba-tiba datuk terus melaungkan azan. Suaranya nyaring dan lantang. Bergema keseluruhan.

Dengan serta merta kain hitam yang teregang (tegang) menjadi kendur. Ranting tempat kain hitam melekat segera patah dan kain hitam yang terentang terus ghaib entah kemana.

Tetapi sebahagian dari kain hitam yang berada di tangan datuk tidak pula hilang sebaliknya bertukar warna menjadi seperti tepung gandum bertaburan atas tanah merah.

Datuk pun mengesat kesan darah di telapak tangannya dengan cebisan bajunya. Bila kerja itu selesai dia terus menatap sepasang telapak tangannya dengan teliti.

Tiap garis dan lekuk di telapak tangan ditenung dengan tepat. Datuk membaca sesuatu, setiap jari dihembus.

"Ahhhh...." datuk menjerit.

Serentak itu dia terus membongkok. Sepasang telapak tangannya ditepuk di permukaan jalan tanah merah sebanyak tiga kali berturut-turut.

Datuk duduk bersila atas jalan sambil menghalakan muka dan dadanya ke arah pokok senduduk.

Apa yang dilakukan oleh datuk selanjutnya amat mengejutkan saya. Dia mengoyakkan bajunya yang dipakai. Dadanya terserlah lalu terkena pancaran matahari petang yang redup.

Datuk menumbuk bahagian dada sebelah kiri dengan tangan kanan sebanyak enam kali.

Kemudian, datuk menumbuk bahagian dada sebelah kanan dengan tangan kiri sebanyak lima kali. Datuk menarik nafas dalam-dalam.

"Sekarang aku bersedia, kalau syaitan tunjuk rupa kamu. Kalau kamu manusia datanglah kita bersalam," jerit datuk sekuat hati.

Dia mengulangi kata-kata itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

Datuk terus berada di dada jalan. Dia tidak mengubah posisi kedudukannya. Lebih dari sepuluh minit datuk berada di situ.

Bila datuk yakin cabaran yang dibuat, tidak menerima tindak balas, dia segera bangun lalu memetik beberapa lembar daun dari pokok renek. Datuk mendekati saya.

Daun yang dipetik segera diramas dan digosok di setiap sendi tubuh saya. Kemudian datuk suruh saya bersenam ala kucing baru bangun tidur.

Setelah selesa melakukan apa yang disuruh, seluruh tubuh saya berpeluh. Dan gegendang telinga tidak lagi didatangi bunyi bunyi yang aneh.

Malah, saya boleh bangun dan melangkah. Keadaan diri saya kembali normal.

"Sekarang apa rasa badan kamu, Tamar?"

"Saya rasa sihat tuk."

"Boleh kita teruskan perjalanan?"

"Boleh," jawap saya dengan penuh semangat dan keakinan.

Datuk pun memulakan langkah dan saya mengekorinya. Baru lima enam tapak melangkah, datuk berhenti berjalan.

"Kenapa tuk?"

"Tak ada apa-apa, kamu jalan dulu, aku ikut dari belakang."

"Saya jalan dulu tuk?" tanya saya penuh keraguan. Hati dan perasaan mula berdebar. Wajah datuk saya tatap.

"Jalan, apa tunggu lagi," desak datuk.

'Saaaayyy...," kata saya gementar.

Semasa saya mengekorinya tadi, saya terlihat benda-benda aneh yang menakutkan. Bila disuruh menjadi kepala jalan, tentu perkara yang lebih aneh dan dasyat dari itu akan saya alami.

"Kenapa saya, tidak datuk?" saya memberanikan diri memberi protes secara sopan.

"Ikut saja cakap aku, jangan banyak soal jawap," datuk jegilkan biji mata.

"Oh, kalau gitu saya jalan dulu tuk," kata saya tersengih.

Datuk anggukkan kepala bersama segaris senyum yang terukir di bibir. Hatinya senang kerana saya patuh dengan cakapnya.

TOLEH

Tiga empat langkah berjalan, saya toleh ke belakang. Tentu saja, cara yang saya lakukan itu kurang disenangi oleh datuk.

"Jalan terus, jangan toleh-toleh ke belakang," suara datuk meninggi.

Cuping telinga saya terasa pedih dijentik oleh datuk. Kalaulah yang melakukan perbuatan itu bukan datuk, pasti saya maki atau kena penumbuk saya.

"Ular."

Saya menjerit dan terus melompat. Seekor ular hitam melintang jalan. Menghalang perjalanan saya dengan datuk.

Dengan pantas datuk menolak saya. Dia ke depan mengambil tempat saya.

Datuk menghadapi ular hitam yang secara perlahan-lahan panggungkan kepala. Datuk tumpukan perhatian kepada gerakan kepala ular itu.

Disaat ular itu mahu melepaskan patukan, bagaikan kilat datuk menangkap kepala ular. Badan ular dihempas ke dada jalan.

Kemudian ular hitam dihumbankan ke dalam semak samun di seberang jalan.

"Susah sungguh hidup ni kerana manusia tidak pernah jujur. Balik ke kampung halaman sendiri pun masih ada yang mahu menguji," rungut datuk.

Rasa kesal tergambar di wajahnya. Datuk menggigit bibir, macam ada sesuatu yang difikirkannya.

"Tamar."

"Iya tuk, ada apa?"

"Buka beg pakaian yang kamu bawa."

Perintahnya segera saya akur. Datuk tukar baju koyak dengan baju baru, masih memakai seluar lama.

"Nampaknya, aku tak boleh mengalah Tamar. Aku terpaksa berkeras," ujar datuk sambil menyingsing kedua belah lengan bajunya.

Dia bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Datuk pun memberi isyarat tangan agar saya beredar dari sisinya.

Saya pun beredar dan mencari tempat perlindungan yang agak selamat. Dari gerak-gerinya ternyata datuk akan menerima tetamu yang tidak diundang.

Datuk juga bagaikan tahu dari arah mana tetamu itu akan muncul. Dia pun berdiri betul-betul di hadapan sebuah busut jantan.

Semua gerak geri datuk saya ikuti dengan teliti dari tempat persembunyian di balik sebatang pokok jejawi besar yang berjuntai dengan akar sebesar lengan budak berusia tujuh tahun.

"Prraaaappp..."

Bunyi ranting kering di pijak. Saya jadi resah dan serba salah. Apakah saya mesti terus bersembunyi atau keluar dari tempat persembunyian untuk mendekati datuk.

Saya tergamam. Dari balik busut jantan muncul sesusuk tubuh dalam pakaian serba hitam. Kaki kanan orang yang memakai serba hitam memijak busut jantan.

Dia berpeluk tubuh. Kepalanya juga dibalut dengan kain hitam. Manakala bahagian pinggang diikat dengan kain kuning.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 151/284

BACA: SBDJ Siri 150: Di Tawan Dara Kubu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com