Legenda Cleopatra: Firaun Wanita Paling Berkuasa Dalam Sejarah Mesir Purba

Cleopatra, Cleopatra Ptolemy VII, Cleopatra VII Thea Neotera atau Cleopatra Philopator, lahir pada Januari 69 SM – 12 Ogos 30 SM, dikenali sebagai wanita paling berbahaya dalam sejarah, penggoda yang telah berjaya memikat lelaki paling berkuasa di dunia ketika itu.

Legenda Cleopatra
Cleopatra VII.

Cleopatra adalah firaun terakhir yang memerintah Mesir di fasa Dinasti Ptolemaic, yang mempunyai darah keturunan dari Ptolemy I Soter, jeneral tentera berdarah Yunani Macedonia yang sentiasa menjadi peneman Alexander the Great ketika perluasan empayar, kemudian mengasaskan Dinasti Ptolemaic sebagai pemula kepada Zaman Hellenistik selepas kemangkatan Alexander.

40 tahun sebelum kelahiran Nabi Isa, Cleopatra telah menggugat kekuasaan Empayar Rom yang sedang berkuasa, berbanding kuasa lain di dunia ketika itu.

KEHIDUPAN AWAL KE PERLANTIKAN MENJADI FIRAUN

Cleopatra VII adalah puteri kedua dari enam adik beradik hasil perkahwinan ayahandanya, Firaun Ptolemy XII dan ibunya yang masih kabur identitinya.

Berkemungkinan besar ibu Cleopatra adalah Cleopatra VI Tryphaena, juga dikenali sebagai Cleopatra V Tryphaena.

Semasa remaja, Cleopatra mempelajari seni dan falsafah Yunani di institusi Musaeum dan Perpustakaan Alexandria.

Firaun berketurunan Ptolemy diberi takhta oleh organisasi paderi bernama High Priest of Ptah yang mana tradisi kenaikan takhta mempunyai campuran budaya antara Mesir dan Yunani Macedonia.

Dinasti Ptolemy menubuhkan sistem beraja Hellenistik dan menggunakan bahasa Yunani dalam urusan kerajaan.

Walaupun para firaun Ptolemy memerintah Mesir, mereka tidak ingin mempelajari bahasa Mesir Purba yang sekian lama menjadi simbolik ketamadunan orang Piramid ini.

Berlainan dengan Cleopatra di zaman remaja, dia mempelajari bahasa Mesir Purba, menjadikannya sebagai firaun Ptolemy pertama mempelajari lebih satu bahasa.

Cleopatra juga mahir berbahasa Ethiopia, Hebrew, Arab, dialek Syriac, Media, Parthia dan Latin.

Pada tahun 58 SM, Cleopatra pernah menemani ayahandanya ketika pengusiran ke Rom setelah berlaku pemberontakan yang membenarkan Berenice VI, kakak sulung Cleopatra menaiki tahkta.

Pada 55 SM, firaun Ptolemy XII dapat mengembalikan takhtanya dengan bantuan tentera dari Rom yang diketuai oleh jeneral Aulus Gabinius dengan menggulingkan pemerintahan anak sulungnya.

Pada 51 SM, Cleopatra dilantik menjadi firaun selepas kemangkatan ayahandanya.

Di fasa awal pemerintahannya, Cleopatra mengalami banyak dugaan yang menimpa seperti kebuluran akibat kemarau berpanjangan dan hasil pertanian yang tidak berhasil akibat ketidak-kawalan terhadap paras air Sungai Nil.

Cleopatra juga terpaksa menghadapi kerenah askar Gabiniani, iaitu sebilangan askar Rom yang diperintah oleh jeneral Gabinius, bertugas menjaga ayahanda Cleopatra atas sebab perlindungan setelah firaun Ptolemy XII mendapat takhtanya dari tangan pengkhianat.

Dan lagi, Cleopatra harus melangsaikan hutang ayahnya kepada Rom sebanyak 17.5 juta drachmas.

PERANG SIVIL

Pada 29 Ogos 51 SM, Cleopatra menjadi pemerintah tunggal mengikut rekod penulisan bersama bukti bahawa dia tidak mengiktiraf adik lelakinya, Ptolemy XIII sebagai pemangku serta menolak perkahwinan sesama mereka.

Perkahwinan sesama adik-beradik adalah tradisi yang diamalkan sejak pemerintahan Firaun Ptolemy II, di mana baginda berkahwin dengan kakaknya, Arsinoe II.

Ptolemy yang tidak berpuas hati dengan tindakan Cleopatra itu membina pengaruhnya dengan mengajak Potheinos, seorang sida, penasihat dan pengurus harta; komander perang iaitu Achillas, dan gurunya Theodotus of Chios bersatu menentang Cleopatra.

Pada 49 SM, Ptolemy XIII memulakan perlantikan dirinya sebagai pemerintah dan berperang dengan Cleopatra di kota Alexandria.

Di akhir peperangan, Cleopatra terpaksa berundur ke Thebes atas kekalahannya menentang adik sendiri.

Pada musim luruh 48 SM, Cleopatra pergi ke Syria, salah satu jajahan Rom bersama adik perempuannya, Arsinoe IV bagi mengumpul kekuatan tentera untuk menumbangkan Ptolemy XIII sekali lagi.

Namun, kempen peperangan ke Alexandria terhenti kerana terpaksa berhadapan dengan askar Gabiniani dan askar adiknya, memaksa Cleopatra membina kubu di timur delta Sungai Nil.

Di Greece, empayar Rom juga mengalami perang sivil terbesar iaitu Perang Sivil Caesar dan Perang Pharsalus, melibatkan tentera kedua-dua jeneral perang berpengaruh, Julius Caesar dan Pompey pada 9 Ogos 48 SM.

Tentera Pompey mengalami kekalahan teruk dan terpaksa berundur ke kota Tyre yang terletak di Lubnan.

Kemudian, Pompey memilih Mesir untuk memulihkan kekuatan tenteranya. Sebab? Dia mempunyai hubungan erat dengan kerabat diraja Ptolemy.

Penasihat Ptolemy XIII yang mengetahui misi Pompey itu, menyatakan rasa tidak selesa dengan kehadiran Pompey dan bala tenteranya.

Maka, misi membunuh Pompey dilaksanakan dengan rancangan jeneral Theodotus.

Pada mulanya, surat jemputan dihantar kepada Pompey untuk berlabuh di perlabuhan berdekatan kota Pelousion, seterusnya menyerang gerombolan Pompey dan memancung kepalanya.

Dengan kepala Pompey yang dipancung, Ptolemy XIII dapat menunjukkan kuasanya dengan menyerahkan kepala tersebut kepada Caesar.

Tindakan Ptolemy XIII mengundang kemarahan Caesar dan memaksa Ptolemy dan Cleopatra untuk berdamai di hadapan Caesar di istana kerajaan dinasti Ptolemy.

CLEOPATRA BERSAMA JULIUS CAESAR

Cleopatra cuba menghantar utusan sebagai wakilnya dalam pertemuan damai itu namun apabila mendengar khabar bahawa Caesar lebih selesa berurusan dengan kerabat diraja wanita, Cleopatra datang bersemuka dengannya sendirian.

Menurut sejarahwan Rom bernama Cassius Dio melalui penulisan rekodnya, Cleopatra tidak memaklumkan kehadiran dalam pertemuan itu, sebaliknya menyeludup masuk ke istana dengan memasuki gulungan tilam, bertemu Caesar berdua-duaan dengan memakai pakaian menjolok mata dan menggoda dengan kebijaksanaannya.

Ptolemy XIII menyedari tindakan kotor Cleopatra dan mula menghasut penduduk Alexandira untuk memberontak.

Caesar mengesan tindakan gila Ptolemy itu dan telah menangkapnya, sebelum menenangkan orang ramai dengan kepetahan pidatonya.

Pada akhir pertemuan ini, Cleopatra menang dengan kelayakannya sebagai pemerintah Mesir melalui wasiat ayahandanya.

Ptolemy XIII tidak berpuas hati dan meminta pertolongan adiknya yang memerintah kerajaan Cyprus, Arsinoe IV membawa pasukan tentera seramai 20,000 orang untuk menawan Alexandria.

Caesar dan Cleopatra yang tidak dapat melawan Ptolemy XIII terperangkap dalam istana seperti banduan sehinggalah 47 SM.

Antara bulan Januari dan Mac 47 SM, bantuan ketenteraan Rom tiba ke Alexandria kemudian memaksa Ptolemy XIII dan Arsinoe IV berundur ke Sungai Nile.

Ptolemy XIII lemas dalam percubaan melarikan diri menggunakan bot manakala Arsinoe IV ditangkap kemudian dibawa ke ibu kota Rom, kemudian mendapat hukuman buangan ke kuil Artemis yang bertempat di Ephesus.

Walaupun Caesar berjaya menghapuskan kebangkitan pemberontakan Ptolemy XIII, namun status Caesar sebagai ahli konsul telah tamat pada akhir 47 SM.

Pegawainya iaitu Antony berjaya membantu Caesar mendapat lantikan sebagai Dictator, nama bagi ahli majistret republik Rom dan mendapat kuasa bagi menyelesaikan konflik di Mesir.

Bagi memastikan Cleopatra tidak keterlaluan dalam memerintah seperti apa yang kakaknya lakukan, Caesar melantik adik lelaki Cleopatra iaitu Ptolemy XIV sebagai pemerintah kedua melalui perkahwinan sesama adik-beradik.

Perkahwinan ini hanya sebagai langkah politik dan tiada hubungan cinta antara Cleopatra dan adiknya.

Yang benar ialah, Caesar dan Cleopatra menjalin hubungan cinta secara sulit.

Pernah Caesar mengikuti rombongan Cleopatra berlayar di Sungai Nil bagi melihat monumen-monumen Mesir Purba kerana Caesar ingin mengetahui lebih lanjut tentang sungai ini.

Tetapi sejarahwan sepakat bahawa, rombongan ini hanyalah pertemuan romantik Caesar dan Cleopatra, tidak lebih dari itu.

Hasil dari hubungan sulit mereka berdua, lahirlah anak lelaki bernama Caesarion atau ‘Firaun Caesar’ pada 23 Jun 47 SM.

Caesar tidak ingin anak hasil dari ratu Mesir diketahui sesiapa terutamanya isteri ketiganya iaitu Calpurnia namun berlainan dengan Cleopatra, berkali-kali mengumumkan kelahiran Ceasarion di khalayak ramai.

Lebih memeranjatkan, Cleopatra bersama Ptolemy XIV, membawa Caesarion pergi melawat di Rom bagi bertemu dengan Caesar.

Selepas lawatan itu, Caesar dibunuh pada 15 Mac 44 SM dalam satu konspirasi yang dirancang ahli senat yang khuatir kekuasaan Caesar bakal melahirkan pemerintahan diktator.

Beberapa bulan kemudian, Ptolemy XIV mati diracun oleh Cleopatra dan mengangkat Caesarion yang berumur 3 tahun menggantikan tempat adiknya.

CLEOPATRA DAN PERANG SAUDARA LIBERATORS

Akibat dari pembunuhan Caesar, perang saudara berlaku pada 42 SM bagi membela kemangkatan Caesar oleh persekutuan Second Triumvirate menentang para pembunuh Caesar.

Kedua-dua pihak iaitu Gaius Cassius Longinus, salah seorang pembunuh Caesar dan Publius Cornelius Dollabella, wakil konsul di Syria dan pegawai setia Caesar, menulis surat memohon bantuan tentera daripada Cleopatra.

Sudah semestinya Cleopatra berpihak kepada pembela Caesar, maka Cleopatra secara sopan menolak permintaan Cassius dengan alasan kerajaan sendiri juga mengalami konflik dalaman padahal dia secara senyap menghantar 4 gerombolan tentera legion yang Caesar tinggalkan kepada Cornelius.

Di akhir peperangan, pada 42 SM, pembela Caesar memenangi peperangan dalam Perang Kota Philippi dan membawa kepada pembunuhan Cassius dan seorang lagi pembunuh Caesar, Marcus Junius Brutus.

Pada musim panas 41 SM, setelah Second Triumvirate menguasai seluruh empayar Rom, salah seorang ahli persekutuan iaitu Marcus Antonius atau Antony, menubuhkan ibu pejabat Tarsos di Anatolia dan mengajak Cleopatra untuk bertemu dengannya melalui surat.

Pada mulanya Cleopatra menolak ajakan Antony namun setelah dipujuk oleh utusan Antony iaitu Quintus Dellius, baginda pergi ke Tarsos dengan kapal mewahnya.

Pertemuan ini memberi peluang kepada Cleopatra untuk menerangkan salah sangka bahawa baginda memihak kepada para pembunuh Caesar, setelah berkali-kali bantuannya lambat tiba berjuang bersama tentera pembela.

Namun yang sebenarnya, Antony telah lama berkenan dengan Cleopatra dan ingin memulakan hubungan cinta mereka walaupun dia sendiri mempunyai isteri ketiga bernama Fulvia yang turut berjuang dalam politik Rom.

CLEOPATRA BERSAMA ANTONY

Pada November 41 SM, Antony tiba di Alexandria atas jemputan Cleopatra. Dia menaiki kapal mewah Cleopatra dan mendapat sambutan baik dari penduduk Mesir kerana kehadirannya sama seperti Caesar, tidak membawa rombongan tentera Rom.

Cleopatra menerima cinta Antony bukan kerana cinta semata. Antony seperti Caesar, ahli politik yang berpengaruh.

Dia adalah calon terbaik bagi Cleopatra untuk melahirkan pewaris yang kuat seperti mana hubungan sulitnya dengan Caesar.

Sepanjang bersama Antony, dia dapat merampas mana-mana tanah bekas jajahan dinasti Plotemy seperti Cilicia dan Cyprus (masa itu milik Rom) dan mengembalikannya kepada Cleopatra menggunakan kuasanya sebagai ahli sekutu Triumvirate.

Pada musim bunga 40 SM, Antony harus meninggalkan Mesir bagi berhadapan dengan konflik dalaman di jajahan Syria.

Cleopatra membantu Antony dengan memberikan 200 buah kapal bagi memudahkan ekspedisi ke Syria.

3 tahun mereka berdua berpisah namun Cleopatra tidak terputus hubungan dengan kekasihnya itu.

Pada akhir 40 SM, Cleopatra melahirkan pasangan kembar berlainan jantina, bernama Alexander Helios dan Cleopatra Selene II.

Cleopatra menamakan anaknya Helios (bermaksud matahari) dan Selene (bermaksud bulan) dari nama dewa-dewi Yunani kerana mengharapkan, inilah petunjuk bahawa pada masa akan datang, Antony berupaya menakluk empayar Parthia seperti Alexander The Great lakukan dulu.

Setelah Fulvia meninggal dunia, Antony dipaksa membuktikan kesetiaannya kepada Octavian dengan mengahwini adik perempuan Octavian.

Pada 37 SM, Antony bertemu Cleopatra dan memohon untuk menampung perbelanjaan kempen peperangan Antony menentang Kerajaan Parthia.

Sebagai balasan, dia bersetuju menyerahkan kawasan timur Mesir termasuklah Cyprus, Crete, Cyrenaica (Libya), Jericho dan sebahagian besar Syria dan Lubnan.

Cleopatra bersetuju dan mereka tinggal bersama lagi sebagai kekasih, sehinggalah Cleopatra melahirkan anak lelaki kedua bernama Ptolemy Philadelphos pada 36 SM.

Walaupun memperoleh bantuan Cleopatra bagi melancarkan perang, Antony kalah teruk di tangan Parthia.

Antony memutuskan penceraian dengan adik perempuan Octavian dan kembali ke Mesir untuk bertemu Cleopatra.

Pada tahun 34 SM, ketika Rom mengadakan sambutan "Donations of Alexandria", Antony mengumumkan bahawa Caesarion adalah anak Caesar dan layak memerintah Rom berbanding Octavian yang cuma berstatus anak angkat.

Perkara ini mengundang kepada perang propaganda antara Antony dan Octavian, di mana bagi pihak Octavian, Antony telah dipengaruhi oleh Cleopatra demi menjadikan Mesir sebagai ibu kota Rom.

Pada akhir tahun 32 SM, Senat melucutkan semua jawatan Antony dan Octavian mengisytiharkan peperangan kepada Cleopatra.

DI AKHIR KEHIDUPAN CLEOPATRA

Pada 2 September 31 SM, bala tentera Octavian telah mengalahkan gabungan tentera pimpinan Antony dan Cleopatra dalam Perang Actium.

Kapal perang Cleopatra meninggalkan perang tersebut dan kembali ke Mesir bersama Antony dengan beberapa buah kapal lain.

Ketika Alexandira diserang oleh tentera Octavian pada 30 SM, Cleopatra terpaksa memalsukan kematiannya dan membawa berita ini kepada Antony.

Setelah mendengar khabar tersebut, Antony membunuh diri dalam kekalahan dan tewas dalam mengekalkan kekuasaan Cleopatra.

Octavian memberi peluang kepada Cleopatra untuk tunduk kepada Rom namun dia berkeras dan mengurung dirinya di bilik tidur bersama dua orang pembantunya.

Dalam pengurungan, Cleopatra mendengar berita bahawa dia dan keluarganya akan dibawa ke Rom, lalu mengambil keputusan untuk membunuh diri.

Dikatakan, melalui Plutarch, Cleopatra membenarkan dirinya digigit oleh sejenis ular berbisa Asp yang berkait dengan simbol keabadian.

Mungkin atas dasar mengekalkan keabadian diri selamanya, dia berbuat sedemikian.

Octavian begitu marah namun dia harus menunaikan permintaan terakhir Cleopatra iaitu kuburnya ditanam bersebelahan dengan Antony.

Caesarion pula berhijrah ke Utara Mesir dan memerintah selama 18 hari, kemudian terpaksa menerima hukuman mati pada 29 Ogos 30 SM di Alexandira kerana berhadapan dengan tuduhan palsu tentang pelantikan dirinya sebagai raja yang dipersetujui oleh Octavian.

Dengan ketiadaan pewaris keturunan Ptolemy, Octavian mengistiharkan Mesir berada dalam jajahan Rom.

Maka, Octavian menjadi Maharaja Rom pertama dengan gelaran Augustus. Cleopatra cuma berumur 39 tahun ketika kemangkatannya dan telah memerintah Mesir selama 22 tahun.

Cleopatra boleh dikatakan sebagai wanita besi walaupun bersikap Machiavellianism kerana baginda mampu mempertahankan kemerdekaan Mesir selagi mana dia bergelar Firaun dan mempunyai tanggungjawab kepada rakyatnya, walaupun terpaksa menggoda dua tokoh politik terkenal.

Baginda juga mampu mempertahankan sebuah tradisi Mesir Purba bernama ma’at – keseimbangan dan keharmonian – selagi mana tradisi tersebut masih dipraktikan.

Walaupun Cleopatra bukan berdarah Mesir, namun dia adalah simbolik kewanitaan yang mempunyai sumbangan terbesar dalam sejarah tamadun Mesir Purba.

Kini, legasi Cleopatra diabadikan dalam dunia dokumentasi sejarah Mesir Purba seperti National Geographic dan Ancient History.

Tidak ketinggalan dunia perfileman juga menyiarkan kehidupan Cleopatra dalam politik 'godaan' dalam filem Cleopatra (1963) arahan Joseph L. Mankiewicz.

Di Jepun, syarikat Design Works yang mencipta mobile game Fate/Grand Order – video permainan mengenai Perang Holy Grail, peperangan antara ahli sihir bersama penemannya berupa roh tokoh sejarah bernama Servant – menerapkan watak Cleopatra sebagai Servant dengan kelasnya sebagai Assassin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots