Apa Itu Pas Sementara Sabah (PSS)?

PSS atau Pas Sementara Sabah adalah dokumen terbaru Jabatan Imigresen yang akan dikeluarkan kepada pendatang asing, bagi menggantikan dokumen sedia ada iaitu IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci.

Pas Sementara Sabah

Pemberian PSS diputuskan susulan keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing pada 6 September, 2019 dan diumumkan kemudian oleh Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama.

Pemegang IMM13 ialah pelarian Filipina yang melarikan diri ke Sabah pada 1970-an. Ia terjadi ketika meningkatnya keganasan puak pemisah di rantau Mindanao yang menyaksikan ramai pelarian daripada rejim Marcos.

Pendatang ekonomi, sebaliknya diberikan Kad Burung-Burung pada tahun 1980-an dan kad Sijil Banci diberikan oleh Pasukan Petugas Khas Persekutuan pada 1990-an.

IMM13 dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen, manakala kad Burung-Burung oleh Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan sijil banci oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada masa ini, terdapat 51,645 pemegang IMM13; 47,518 pemegang Sijil Banci dan 39,892 pemegang kad Burung-Burung.

Di bawah PSS, kerajaan akan membatalkan dokumen-dokumen ini sebaik sahaja PSS dikeluarkan bagi menyusun proses birokrasi bertindih dan membolehkan dokumentasi pendatang yang lebih baik di Sabah.

PSS adalah inisiatif kerajaan untuk menangani masalah pemalsuan dokumen di Sabah.

PSS dikeluarkan dalam bentuk kad dengan ciri keselamatan biometrik, termasuk cap jari dan gambar pemegangnya, ciri-ciri yang tidak ada pada ketiga-tiga dokumen IMM13, Sijil Banci dan kad Burung-Burung.

PSS boleh diperbaharui setiap tiga tahun sekali dengan bayaran sebanyak RM120.

Adakah PSS akan melayakkan seseorang menjadi warga negara?

Tidak, ia tidak akan membolehkan pendatang atau rakyat asing memperolehi taraf kerakyatan. Ini jelas ditegaskan pada kenyataan Kementerian Dalam Negeri.

"Kerajaan ingin menegaskan bahawa PSS bukan untuk memberikan kewarganegaraan.

"Kerajaan juga menegaskan bahawa status pemegang PSS adalah kekal sebagai warga asing dan bukan satu jaminan untuk diberikan Permit Masuk, Taraf Pemastautin Sementara, Pemastautin Tetap atau Kewarganegaraan," kata kenyataan itu.

Mengapa PSS menjadi perhatian di Sabah?

PSS dianggap oleh sebahagian rakyat Sabah, sebagai cara untuk membolehkan pendatang mendapat kerakyatan.

Kerisauan ahli politik tempatan adalah, ketakutan berulangnya Projek IC yang terkenal pada tahun 1990-an yang telah menimbulkan rasa marah rakyat Sabah, terutama masyarakat Kadazan, Dusun dan Murut (KDM).

Di bawah 'projek IC' banyak pendatang tanpa izin beragama Islam dikatakan diberi kewarganegaraan untuk mengubah keseimbangan penduduk di Sabah bagi memihak kepada masyarakat bumiputera Islam.

Walaupun penduduk Sabah yang berjumlah 648,693 pada tahun 1970 dan meningkat secara beransur-ansur kepada 1.01 juta pada tahun 1980, demografi negeri itu meningkat secara mendadak kepada 2.6 juta pada menjelang tahun 2000.

Bagaimanapun, penduduk Sabah berubah dengan kumpulan terbesar, KDM merosot daripada 37 peratus pada tahun 1960-an menjadi 23 peratus pada tahun 2006.

Seorang aktivis dan bekas ahli politik Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Chong Eng Leong mendakwa pada 2012, terdapat 700,000 warga negara daripada projek IC dan 200,000 daripada mereka adalah pengundi.

Tun Mahathir dan timbalannya Anwar Ibrahim ketika itu dituduh sebagai dalang di sebalik projek IC ini.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai masalah pendatang asing di Sabah dalam laporannya menegaskan bahawa tiada pihak kerajaan atau parti politik terlibat dalam pengeluaran kerakyatan kepada migran yang tidak layak di negeri itu.

Ia menangkis dakwaan yang tersebar luas bahawa agensi persekutuan dan pemimpin Umno mengeluarkan kerakyatan demi mendapatkan undi bagi menewaskan lawan mereka dalam rancangan yang digelar 'Projek IC'.

Sebaliknya, laporan RCI itu mengenalpasti sindiket melibatkan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang didakwa mengeluarkan kerakyatan secara haram untuk bayaran jutaan ringgit.

Bagaimana maklum balas ahli politik tempatan terhadap PSS?

Parti pembangkang yang berdasarkan KadazanDusun Murut di Sabah, seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Progresif Sabah (SAPP), Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Kerjasama Anak Negeri Sabah (Anak Negeri) membantah pelaksanaan PSS.

Mereka mendakwa PSS tidak selaras dengan kehendak Akta Imigresen bahawa orang asing mesti mengemukakan pasport apabila memasuki Malaysia.

NGO tempatan, Pertubuhan Penambahbaikan Pendidikan Orang Awam Sabah (Pipa) dan Solidariti Rakyat Sabah (Sorak) pula berkata, pihaknya akan mengadakan bantahan terhadap PSS di bandar Membakut di Kimanis sebelum pengundian pada PRK Kimanis.

Shafie Apdal turut menolak tuduhan mengatakan PSS adalah idea baik yang berasal daripada Joseph Pairin Kitingan sendiri.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Mohd Azis Jamman berkata, PSS yang dikeluarkan tidak akan melebihi bilangan pemegang berdaftar IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci berjumlah 136,055 orang di negeri ini.

Naib Presiden Warisan Peter Anthony yang juga Presiden KDM Malaysia berkata, masyarakat Kadazandusun Murut memahami kewajaran disebalik pengeluaran PSS dan tidak semudahnya dimanipulasi.

Bantahan Rakyat Sabah

Isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang kerajaan Pakatan Harapan jadikan sebagai dasar kononnya untuk membantu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) pastinya menjadi duri dalam daging dan mampu meruntuhkan kerajaan Warisan di Sabah.

Untuk makluman pembaca, sama seperti Projek IC sebelum ini yang sememangnya diakui wujud dan benar-benar berlaku, PSS juga dianggap satu lagi projek rahsia kerajaan untuk memberikan kerakyatan secara tidak sah kepada pendatang asing.

Rakyat Sabah menolak sepenuhnya perlaksanaan PSS pada Jun 2020 ini kerana bimbang ianya akan menyebabkan kebanjiran warga asing terutamanya dari Filipina ke Sabah.

Di samping itu, rakyat Sabah juga bimbang, warga asing akan menjadikan PSS sebagai dokumen sokongan untuk mendapatkan taraf Permastautin Tetap (PR) ataupun taraf sebagai warganegara Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini