Kisah Bagaimana Malaysia Mengekang Kezaliman Israel Terhadap Palestin

Pada 22 Disember 2016, Mesir ketika itu dijadualkan untuk mengemukakan resolusi anti Israel kepada Majlis Keselamatan (UNSC), tetapi disebabkan tekanan yang terlalu besar, Presiden Abdel Fatah Al-Sisi kemudiannya telah menangguhkan pembentangan resolusi tersebut – satu khabar gembira buat Israel.

Resolusi 2334 Malaysia

Dengan kata lain, Mesir kalah sebelum berjuang dan Israel ketika itu menganggap tidak ada lagi negara yang berani mengemukakan usul anti mereka.

Keadaan ketika itu amat genting. Tempoh tamat keanggotaan negara anggota UNSC pada penggal tersebut adalah pada 31 Disember 2016. Pihak Sepanyol pula selaku pengerusi UNSC memutuskan untuk menamatkan mesyuarat pada 24 Disember 2016. Hanya 2 hari sahaja tinggal untuk mana-mana negara mempertahankan Palestin di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sebeginilah, Wisma Putra berjaya memainkan peranan luar biasa dengan mengadakan pakatan 4 negara untuk memulakan proses kelulusan usul anti Israel.

Akhirnya pada 23 Disember 2016, Malaysia bersama sama 3 negara anggota Majlis Keselamatan lain – New Zealand, Senegal dan Venezuela telah mengemukakan Resolusi 2334.

Resolusi ini bermaksud untuk mengecam penempatan haram Israel di bumi Palestin dan mendesak Israel menghentikan kekejaman tersebut.

Resolusi ini diluluskan dengan keputusan 14-0 dengan AS sebagai negara yang sering memveto keputusan UNSC berkenaan Israel (42 kali) akhirnya mengambil keputusan berkecuali. Ini adalah kali pertama resolusi mengecam Israel dalam pendudukannya di Palestin diluluskan semenjak Resolusi 446 pada tahun 1979.

Resolusi ini membolehkan mana-mana pihak untuk membawa Israel atau warganya yang terlibat di dalam penempatan haram dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia juga menyebabkan segala pendudukan Israel di bumi Palestin selepas garisan sempadan tahun 1967 dikira haram dan tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Disebabkan usul yang dikemukakan ini juga dibuat dalam waktu yang tidak dijangka, Israel tidak cukup masa untuk melobi negara negara UNSC lain termasuk AS.

Apatah lagi Israel menjangkakan tidak ada negara lain yang berani mengemukakan resolusi ini selepas berjaya menundukkan Mesir untuk menghentikan proses usul tersebut sehari sebelumnya

Kejutan resolusi ini menyebabkan Israel memanggil pulang dutanya daripada Senegal dan New Zealand serta mengecam Presiden Barack Obama kerana gagal ‘mempertahankan’ Israel.

Israel juga membatalkan pelbagai program diplomatik dengan negara-negara UNSC termasuk lawatan Perdana Menteri Ukraine ke negara mereka.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga menerima tekanan politik dalaman negara apabila dikecam oleh pemimpin utama pembangkang Isaac Herzog.

The Times of Israel pula menyifatkan tindakan panik Benjamin Netanyahu tersebut sebagai cubaan untuk berperang dengan seluruh dunia.

Kejayaan resolusi ini menunjukkan bagaimana kehebatan Malaysia mengadakan diplomasi tahap tinggi dengan semua kuasa kuasa besar dunia bagi membolehkan wujudnya pembelaan ke atas Palestin.

Perancis contohnya memuji resolusi tersebut dengan katanya, "inilah kali pertama Majlis Keselamatan melakukan sesuatu yang betul di dalam konflik ini," sementara Russia pula secara terbuka menyatakan kekaguman mereka dengan cara resolusi tersebut dikemukakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots