Berkongsi Ikan Dengan Bunian Sungai Sekayu

Sepanjang sejarah aktiviti kaki pancing, setidak-tidaknya sekali pasti tersasar ke alam paranormal. Pengalaman ini dianggap menyeramkan disebabkan ramai yang menyedari bumi ini tidak dihuni sesiapa kecuali insan bernama manusia sedangkan sebaliknya dikongsi bersama makhluk alam lain.

Bunian-Sekayu
Gambar hiasan.

Cuma, realiti kewujudan mereka mustahil dapat disaksikan dengan mata kasar. Pertembungan dengan makhluk itu kami alami pada suasana hening petang musim kemarau Mac 2005 lalu.

Itulah kali pertama aku melangkah ke Sekayu, Hulu Terengganu untuk melabuhkan kail. Sebelumnya, puluhan kali sudah aku ke sana tetapi untuk tujuan berkelah bersama keluarga.

Untuk menduga isi sungai, kali ini tidak mungkin aku injak kaki ke zon perkelahan yang berkocak dan hiruk-pikuk dengan pengunjung. Justeru, aku mencari sebatang anak sungai berair tenang di persekitaran yang sunyi.

Beraksi dengan ditemani bekas muridku, tidak mengundang rasa gusar lantaran lokasi itu ialah laluan menuju kompleks chalet Majlis Daerah Hulu Terengganu.

Terdapat sebuah jambatan konkrit kira-kira 10 meter yang dilalui pelanggan chalet yang berkereta dan bermotosikal.

Air anak sungai selebar lebih kurang 9 meter itu hanya separas lutut. Di beberapa tempat, batu kelikir dan pasir timbul akibat ancaman kemarau.

Namun, airnya yang tetap jernih menjadi petanda bebas daripada sebarang bentuk pencemaran. Paras air yang secetek itu sedikitpun tidak menggusarkanku.

“Ada ikan ke air macam ni?” Fahim bersuara sangsi. Aku sekadar tersenyum.

Aku pasti di bawah daun kering, reba atau batu bersembunyi ikan yang kami buru. Sikang atau dikenali sebagai trout Malaysia yang lemak rasanya sudah lama tidak menjadi hidangan.

Lebih kuharapkan, sentapan sikang yang cukup bertenaga dan mengagumkan dan dengan mempertaruhkan mata kail terkecil iaitu nombor 8, aku mula membuat percaturan.

Sikang spesies yang pemalu. Kalau sambaran kali pertama gagal menelan umpan, ikan eksotik ini menjadi sensitif dan jarang beraksi dalam jangka masa pendek.

Jadi, pengail kena pastikan dengan sekali ragut, mangsa mesti didaratkan malah untuk menawan sikang, batu ladung tidak perlu kerana tabiatnya yang gemar menyambar benda terampai.

Pengalamanku bermain dengan sikang membolehkan pada minit berikutnya satu demi satu sikang bersaiz lebih sejengkal panjangnya menggelupur di atas pasir lunak. Perolehan Fahim juga cukup memberangsangkan.

Baru dia tahu yang sikang tidak memerlukan air yang banyak untuk hidup. Malah dia kagum dalam air yang secetek itu tetap tersembunyi banyak rezeki.

Dalam keseronokan melayan kerenah sikang, aku terdengar suara riuh-rendah di dusun rambutan yang bersemak-samun di tepi sungai itu.

Aku tidak acuhkan hal itu. Ku kira keluarga pemilik dusun memetik rambutan. Fahim mahu bercakap hal itu, tetapi aku mengingatkan usah ambil tahu.

“Kita ke mari nak cari sikang!” tegasku.

Adat orang mengail, apabila sambutan ikan di lubuk terawal tidak menggalakkan, lebih baik beredar. Itu yang kami lakukan dengan beranjak ke hilir lagi kerana mendambakan sentapan lebih bermakna. Tanpa jemu, aktiviti diteruskan.

Aku harap mendung yang kian gelap mencetuskan semacam keghairahan bagi sikang untuk merentap umpan.

Aku masih ingat bagaimana galaknya sikang merentap umpan dalam renyai gerimis di Sungai Menerong.

Tatkala aku mengintai lubuk di hilir, pandanganku tertampan benda berapung dibawa arus. Benda itu memang biasa– kulit rambutan muda berserta bijinya.

Akan tetapi situasinya menjadi luar biasa disebabkan bukan satu dua, tetapi dalam jumlah yang besar. Malah aku sedari semakin lama semakin banyak.

“Siapa pula meratah putik rambutan di hulu ni?” aku dengar rungutan Fahim.

“Ini tak lain kerja budak-budak di dusun tu,” sahutku acuh tak acuh.

Tatkala aku berpaling ke sisi kanan, terdapat lebih banyak sampah serupa di sepanjang batang kayu tumbang tempat aku melabuhkan punggung.

Ini bermakna, si pembuat sampah berada di hulu dan di hilir kami malah, terdapat lebih banyak sisa aneh di darat.

Mulanya kulihat hanya sedikit namun seperti yang terapung tadi, semakin lama semakin banyak. Mataku sendiri menyaksikan benda itu dari seminit ke seminit.

Sah, ada sesuatu yang sedang meratahnya. Benakku segera mencongak mereka tentu ramai.

Fahim turut cepat tersedar fenomena yang sedang kami lalui ketika itu. Tidak semena-mena saja bulu tengkukku meremang.

Fahim memandangku dengan cemas berbaur hairan. Di samping berhemat-hemat mengawal mulut daripada bersuara, aku memberikan isyarat Fahim supaya diam.

Nampaknya ketika itu tepian sungai bukan hak kami berdua. Dalam diulit seram, aku tetap ternanti-nanti perkembangan selanjutnya.

Fahim tiba-tiba menuding sesuatu, baru aku sedar di atas pasir di depan kami ada beberapa ekor sikang menggeletek.

Tiada kesan pancingan. Kami baru meninjau lubuk di sini tetapi ikan sudah bergelimpangan di darat.

Fahim sekali lagi menuding ke tengah sungai. Pandanganku tertumpu ke situ.

Alur yang terdalam di situ terempang dengan batu sungai. Kami tahu apa tujuannya dan pihak mana melakukannya.

“Nampaknya kita sama-sama menggemari sikang!” desis hatiku.

Congak punya congak, aku memutuskan lebih selamat kami berundur. Semua peralatan ku kemas segera.

“Mujur ‘budak-budak’ tu tak ikut kita balik!” ujarku lega mengurut dada.

Ketika pulang Fahim meluahkan kemusykilan, “Betul ke Sekayu juga menjadi perkampungan bunian?”

“Bunian?” aku menjegilkan mata.

“Dari mana kamu dengar cerita ni?” Aku sengaja menduga. Namun sebenarnya aku tersentak dengan pertanyaan itu.

Rupa-rupa Fahim peka akan kejadian yang kami alami. Sebelum mengakui hal itu, aku cuba membalikkan ingatan.

Berdasarkan cerita lisan orang tua-tua Kampung Bukit Diman, pada lebih tiga dekad lalu, sekeluarga bunian di Kampung Bukit Diman iaitu tempat tinggalku sekarang ‘dibuang’ ke Betong, dekat Belukar Bukit.

Aku rasa generasi asal itu beranak-pinak dan berkelana hingga ke Sekayu sementelahan kedua-dua air terjun itu berjiran.

Malah, kes kehilangan ahli Pengakap Kelana secara misteri selama dua minggu beberapa tahun lalu, menurut tilikan pawang dikaitkan dengan bunian di Gunung Bewah, Tasik Kenyir.

Dikatakan bunian di situ juga berasal dari Belukar Bukit dan dari kalangan yang baik.

Hal ini terbukti kerana mereka menghantar ahli pengakap pulang ke rumahnya di Kampung Buloh, Kuala Berang.

“Mujur kita bertembung dengan bunian baik!” ujarku.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com