6 Penyedut Minuman Alternatif Pengganti Straw Plastik

Bagi mereka yang mengalami masalah ekoran larangan penggunaan penyedut minuman plastik dan menetap atau berkhidmat di mana-mana Wilayah Persekutuan, besar kemungkinan anda sedang menghadapi kesulitan.

Di sini kami senaraikan 6 pilihan lain yang mampu membantu anda menangani masalah penggunaan straw plastik.

1. Penyedut kertas

Penyedut-kertas

Faedah terbesar penggunaan penyedut kertas adalah ianya mudah dilupuskan, selain rupanya yang dihasilkan dengan lebih cantik, kerana kertas lebih mudah untuk dicetak corak yang diingini.

Selain harganya yang berpatutan, dalam ujian yang dijalankan, penyedut kertas mampu bertahan lebih empat jam sekiranya direndam dalam air.

Jadi, besar kemungkinan, penyedut anda mampu kekal bentuknya bagi anda menghabiskan minuman kegemaran

2. Penyedut besi

Penyedut-besi

Bagi mereka yang benar-benar mengamalkan pengambilan air dengan penyedut, pastikan anda memiliki penyedut yang diperbuat daripada besi.

Warna rekaannya walaupun terhad berbanding straw kertas, ketahanannya sudah pastilah tidak boleh dipertikaikan.

Disarankan untuk setiap individu memiliki sekurang-kurangnya satu penyedut besi yang mampu dibawa ke mana-mana.

Walau demikian, ekoran bahan pembuatannya yang diperbuat daripada besi, memang mustahil anda mampu menduga sama ada terdapat kekotoran terlekat di dalam, jadi pastikan anda rajin mencucinya.

3. Penyedut kaca

Bagi mereka yang mahu mempunyai kelainan berbanding alternatif besi, straw kaca patut menjadi pilihan anda.

Ini kerana penyedut kaca boleh datang dalam pelbagai warna dan lebih selesa digunakan berbanding besi, untuk sesetengah individu.

Walaupun begitu, bahannya tetap kaca jadi penjagaan semasa penggunaannya perlu diberikan perhatian lebih terutamanya semasa membawanya ke mana-mana.

4. Penyedut buluh

Penyedut-buluh

Jika anda merasakan mahu kelihatan old-school, penyedut buluh patut menjadi pilihan. Memang dibuat daripada batang buluh yang berdiameter kecil, saiz penyedut di antara satu sama lain mungkin berlainan, selain bentuknya juga berbeza-beza.

Bagaimanapun, kelemahan ketara penyedut buluh adalah bentuknya tidak boleh diubah.

Sekiranya anda suka penyedut yang melengkung di bahagian atas untuk memudahkan sedutan, mungkin penyedut buluh bukan untuk anda.

Selain itu, penyedut buluh juga mampu membuatkan anda merasakan diri seperti seekor beruang panda.

5. Penyedut tembaga

Dengan warna asli tembaga, sesiapa yang menggunakan penyedut ini sudah pastilah akan menarik perhatian ramai serta kelihatan cool.

Bahan tembaga juga tahan lama selain tahan lasak, namun bagi mereka yang meminati warna penyedut ini, anda perlu ingat tembaga merupakan pengalir haba yang sangat baik.

Jadi, pastikan anda berhati-hati semasa hendak minum kerana besar kemungkinan suhu minuman anda akan sangat terasa pada bibir, tak kiralah air panas atau sejuk. Kita tidak mahu ada kejadian bibir melecur kerana penyedut berlaku.

6. Penyedut silikon

Penyedut-silikon

Salah satu alternatif baru yang semakin mendapat tempat adalah penyedut yang diperbuat daripada silikon.

Penyedut silikon mempunyai beberapa faedah besar berbanding bahan penyedut lain dalam senarai ini. Yang pertama, ia mudah dibentuk dan warnanya juga pelbagai.

Faedah paling besar penyedut silikon? Oleh kerana diperbuat daripada silikon, penyedut itu akan kekal berada pada suhu bilik walaupun direndam dalam air panas atau sejuk, jadi masalah bibir melecur tidak akan berlaku.

Selain itu, bahannya yang lembut memudahkan sedutan berbanding alternatif lain dalam senarai ini yang keras serta tidak mudah lentur.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi