SBDJ Siri 88: Mayat Berdiri

"Kerana kau waris terdekat pada si sakit, kau berhak mengambilnya dan berhak membuat keputusan,” Datuk jeling ke arah guru silat. Muka guru silat terus jadi pucat. Dia seperti mahu mengelak dari menyentuh bungkusan tersebut.

Toyol jadi-jadian

“Tak payah,” katanya.

“Mana boleh cakap macam tu, awak ada hak, ambillah.”

“Eh, saya tak mahu, nanti bala datang pada saya.”

“Ambillah, tak mengapa.”

“Saya tak mahu,” guru silat undur tiga tapak ke belakang. Datuk jadi serba-salah.

“Kalau kau mahu aku berikhtiar menyembuhkan orang yang sakit, kau harus mendengar cakap aku,” nada suara Datuk mula keras.

Guru silat melangkah tiga tapak ke depan. Berdiri di sisi Datuk.

“Macam mana? Kau setuju nak ambil bungkusan ni, kalau kau tak mahu biar aku tanam semula,” Datuk minta satu kepastian yang muktamad.

Kelopak mata guru silat terkebil-kebil. Dia masih buntu untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, Datuk terus bersuara:

“Bagaimana? Mahu atau tidak.”

“Mahu,” jawab guru silat.

“Bagus,” Datuk tersenyum.

“Boleh saya ambil sekarang?”

“Nanti dulu.”

“Hum, ah...,” guru silat bagaikan mengeluh.

Datuk terus mengambil sehelai daun rambai kering. Daun rambai itu diramasnya hingga hancur. Guru silat terpegun melihat gerak-geri Datuk.

Saya dongakkan kepala melihat putik rambai yang berjuntaian di dahan dan nampak terbuai-buai dirempuh angin.

“Ke mari,” Datuk panggil guru silat.

“Kenapa?”

“Marilah, jangan banyak cakap.”

Guru silat segera menghampiri Datuk. Saya agak terkejut, bila Datuk terus menyambar tangan kiri guru silat lalu dipulas ke belakang, anehnya guru silat tidak bertindak. Menyerahkan diri pada keadaan seperti kena pukau.

Dalam keadaan diri guru silat berada antara sedar dengan tidak itu, Datuk segera mengepal tanah lalu digaulkan dengan daun rambai yang sudah diramasnya itu.

Kedua belah telapak tangan guru silat segera dilumurkannya dengan tanah dan daun rambai.

“Sekarang, kau ambillah bungkusan itu.”

Guru silat segera mendekati pangkal pokok rambai. Direnungnya bungkusan yang kelihatan seketul itu. Guru silat masih ragu-ragu untuk bertindak selanjutnya.

“Ambillah, jangan tangguh lagi,” perintah Datuk.

“Saya takut.”

“Jangan takut, ambillah.”

“Tak ada bala yang dalang.”

“Tak ada, jangan buang masa lagi,” Datuk mula marah.

Direnungnya muka guru silat dengan renungan yang tajam. Tanpa membuang masa lagi, guru silat terus ambil bungkusan tersebut.

Datuk suruh guru silat letakkan bungkusan sebesar penumbuk itu atas daun rambai kering. Semuanya dipatuhi oleh guru silat dengan tenang dan teratur sekali.

“Sekarang kamu langkah bungkusan itu dua kali,” itu arahan Datuk yang dipatuhi oleh guru silat.

Datuk tersenyum dan terus menghampiri guru silat. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga guru silat.

Saya lihat guru silat tersenyum dan anggukkan kepala beberapa kali. Guru silat terus duduk mencangkung menghadapi bungkusan sebesar penumbuk.

Saya segera mendekati. Kain pembalut bungkusan itu ternyata berwarna hitam pekat dan diikat dengan tali guni yang juga dilumur dengan warna hitam. Tanah yang melekat pada bungkusan itu nampak lembap dan berair.

“Buka,” kata Datuk.

Guru silat terus membukanya, saya terlihat kain berwarna kuning.

“Buka lagi, biasanya ada tiga lapis kain dan tiga warna,” lanjut Datuk dengan penuh keyakinan.

Guru silat terus membukanya. Kain kuning terbentang atas daun kering. Saya renung kain putih yang membalut bungkusan itu. Saya kira kain putih itu adalah kain lapisan yang terakhir.

Guru silat buka kain putih, saya terlihat kain warna biru dan bau hapak mula menusuk lubang hidung dan saya renung muka Datuk. Dia kelihatan tersengih dan menyuruh guru silat membuka kain warna biru.

Bila kain warna biru dibuka dari ikatannya, darah gemuruh mula menguasai urat saraf saya. Dua tiga kali saya pejam celikkan kelopak mata. Saya terlihat bulu burung tersusun.

Kepala burung dibalut dengan kain merah. Badan burung yang sudah dicabut bulunya kelihatan kering. Di bahagian paha burung yang sudah dicabut bulunya kelihatan kering.

Di bahagian paha burung yang sudah kering itu terdapat beberapa bilah jarum di samping kulit limau nipis yang sudah kering.

“Ke tepi,” kata Datuk.

Guru silat dan saya ke tepi memberi ruang untuk Datuk bertinggung sambil melihat badan burung.

Datuk ambil sebatang ranting. Badan burung ditolaknya hingga badan burung tersebut terlentang dengan kedua belah kakinya menghala ke dada langit.

Saya terlihat pada bahagian burung itu, terdapat kesan jahitan.

“Perut burung ni dibelah kemudian dijahit semula,” kata Datuk sambil menekan perut burung itu. Bau hapak kian terasa.

Setiap kali Datuk tekan hujung ranting, kelihatan air keluar dari celah jahitan.

Datuk menyuruh saya mencari pucuk keladi rimba. Saya tidak dapat memenuhi permintaan Datuk itu, mana mungkin mencari daun keladi rimba di tengah kampung.

“Tak apa, kau pergi ambil mengkuang di bawah rumah,” ujar Datuk sambil menunjuk ke arah sesikat mengkuang di bawah rumah si sakit.

Saya segera ke situ. Datang kembali pada Datuk dengan sehelai mengkuang berduri. Datuk ambil daun mengkuang.

Tanpa minta pertolongan dari saya dan guru silat, Datuk terus ambil bangkai burung terus diletakkan atas daun mengkuang.

Bila daun mengkuang itu dilipatkan untuk dijadikan pembalut pada badan burung tersebut, saya lihat daun mengkuang menikam kulit burung, ketika itu juga kami terdengar jeritan si sakit dari arah rumahnya.

Suaranya lantang bagaikan menahan kesakitan yang amat sangat. Datuk tidak menghiraukan jeritan itu.

Datuk terus membalut badan burung dengan daun mengkuang, dilipat jadi tiga segi macam kuih koci. Setelah itu Datuk tindih dengan besi yang dibawanya.

Suara jeritan si sakit terus sambung-menyambung. Datuk terus menutup bungkusan itu dengan daun-daun kering. Kemudian Datuk bakar.

Suara jeritan si sakit terus berkurangan. Tidak sampai sepuluh minit bulu dan badan burung terus menjadi abu.

Apa yang menghairankan saya, kain yang jadi pembalut badan burung tidak dibakar oleh Datuk. Dilipat tiga segi dan dibalut dengan daun rambai muda. Datuk isi dalam saku seluarnya.

Lubang yang dikorek oleh Datuk segera ditimbus kembali, tanpa meninggalkan sebarang kesan, memang sukar untuk dijejaki oleh orang lain.

Datuk terus mengajak kami pulang. Tindakan Datuk itu menimbulkan keraguan dalam diri guru silat.

Pada sangkaan guru silat, tentulah Datuk pergi ke rumah si sakit, bertanya khabar kenapa si sakit menjerit.

“Tak pergi ke rumah si sakit?” guru silat memberanikan diri bertanya.

“Tak payah.”

“Kenapa?”

“Usah banyak tanya, mari kita balik,” kata-kata terakhir itu mematikan semangat guru silat untuk bertanya selanjutnya.

Waktu kami melintasi halaman rumah, isteri si sakit sudah pun berdiri di muka pintu sambil melaung-laung nama guru silat dan Datuk berkali-kali.

“Singgahlah dulu, tengok perangai suami saya yang lain macam ni,” suara isteri si sakit lantang.

“Minta maaf, kami dah lambat,” sahut guru silat.

“Singgah sekejap aje, tengok muka suami saya yang hitam sebelah dan suka menjilat-jilat lantai.”

“Sabar, lepas senja, hitam di mukanya akan hilang dan dia berhenti menjilat lantai,” balas Datuk tanpa memperlahankan langkahnya.

Jawapan dari Datuk itu amat menghampakan hati isteri si sakit. Dia tidak terdaya untuk melanjutkan kata-kata, hanya kelihatan kecil saja yang terungkap dari kedua belah kelopak bibirnya.

Saya hanya tunduk merenung rerumput di tepi jalanan dalam warna hari yang beransur samar-samar itu. Di hujung langit sudah kelihatan warna kemerah-merahan.

Beburung kelihatan terbang sekawan demi sekawan pulang ke sarang. Bunyi gemeresik angin yang menyentuh dedaun di hujung ranting jelas kedengaran.

Sesekali terdengar pekik gagak yang pulang senjakala. Saya terus melangkah tanpa mahu merenung ke kiri dan ke kanan.

Saya tahu pemandangan sekitar saya memang tidak menarik, penuh dengan pepohon yang tidak dapat memberikan sebarang keindahan.

Saya dapat mengesan perangai Datuk berkeadaan lain macam. Kelihatan seperti dilanda keresahan yang tidak menentu. Macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

Wajahnya, membayangkan rasa tidak aman yang memanjang. Bila Datuk berada dalam keadaan demikian, saya rasa jalan paling selamat yang wajar saya pilih ialah membisu seribu bahasa dan patuhi saja apa yang diperintahkannya.

Kami terus melangkah dalam cuaca yang beransur gelap. Agas dan nyamuk terasa menyerang pipi dan batang hidung.

Langkah kaki sering saja terhenti akibat tersepak akar dan tunggul kayu di tepi jalan. Kicau burung tidak kedengaran lagi.

“Ah sial, tak ada tempat lain kamu nak cari makan,” saya merungut lalu menampar pipi sebelah kiri.

Aduh! Kepala sakitnya, nyamuk tak mati, pipi sendiri yang terasa pedih. Hati saya terus membara dan marah tidak tentu arah.

Bagi melepaskan geram, saya sepak sepotong kayu di tepi jalan dengan sekuat hati. Guru silat segera menoleh ke arah saya.

“Kenapa?” tanyanya perlahan.

“Jemu,” sahut saya perlahan.

“Kejap lagi kita sampai,” guru silat cuba menenangkan perasaan saya.

Ketika itu juga, Datuk berhenti melangkah. Sepasang matanya merenung tajam ke arah saya, memancarkan rasa marah.

“Ada apa Tamar?”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Aku dengar kamu macam merungut, cakap apa yang kamu tak puas hati.”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Hum,” suara Datuk parau dan terus berhenti merenung wajah saya.

Apa yang dialami sebentar tadi, bagaikan mengingati diri saya supaya hati-hati. Jangan mengeluh tidak tentu fasal. Perbuatan begitu boleh mengganggu diri Datuk.

“Oh uuuuuuuuppppppppppp.”

Guru silat segera melompat. Langkah saya dan Datuk terus kaku. Mata kami tertumpu ke dada jalan. Seekor katak puru merayap dengan tenang ke gigi jalan, kemudian menghilangkan diri dalam rimbunan rerumput di situ.

Saya melihat Datuk tersenyum. Hatinya terusik dengan telatah guru silat yang mudah terperanjat. Datuk segera menghampiri guru silat.

“Orang macam awak ni, sebaik-baiknya jangan mudah terkejut dan melatah. Cubalah kawal perasaan,” Datuk memberikan nasihat.

Guru silat terus menarik nafas dalam-dalam. Ekor matanya masih menjeling ke arah saya.

“Saya cuba mengatasinya.”

“Cubalah. Pendekar kalau mudah melompat dan terkejut tak baik nanti pihak lawan tahu sejauh mana kekuatan kita.”

“Saya faham,” suara guru silat lemah.

Datuk terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Saya berhenti melangkah dan terus menggeliat dua tiga kali. Pangkal belikat dan pangkal paha mula terasa sakit. Guru silat segera menghampiri saya.

“Tak jauh lagi, tak usah berhenti, jalan saja,” bisiknya ke telinga saya.

“Paha saya sakit.”

“Tak apa, kejap lagi sampailah,” guru silat terus menarik tangan saya.

Datuk menjeling tajam ke arah saya. Tidak ada pilihan lain untuk saya, melainkan meneruskan perjalanan.

Saya merenung tajam ke depan. Nampak berbalam bentuk rumah peninggalan arwah orang tua guru silat. Hati saya riang.

Pada hemat saya, lebih kurang lima minit lagi sampailah ke rumah tersebut dengan syarat tidak berhenti di mana-mana.

“Ha, langkah panjang-panjang biar cepat sampai,” usik guru silat.

“Langkah pendek pun sampai, dah dekat,” balas saya sambil tersenyum.

Guru silat ketawa kecil sampai menepuk bahu kanan Datuk dua tiga kali. Datuk segera merenung ke arahnya.

“Kenapa?” tanya Datuk.

“Tak ada apa-apa.”

“Kalau tak ada apa-apa, buat apa ditepuk?” Datuk seperti kesal tetapi, guru silat terus tersenyum lebar.

“Aku rasa malam ni, semuanya selesai,” cetus Datuk ketika memasuki halaman rumah pusaka.

Saya menelan air liur dan tertanya-tanya dalam hati maksud dari kata-kata yang diluahkan oleh Datuk.

“Apa yang awak cakapkan tadi,” guru silat menyoal lalu merempuh saya yang berdiri tidak jauh dari Datuk.

Saya terdorong ke sebelah kiri. Marah juga rasa hati melihat sikap guru silat yang main langgar tanpa memikirkan tentang orang lain.

“Maafkan aku Tamar, aku tak sengaja terlanggar kamu.”

“Tak apa,” balas saya dengan sedikit rasa kesal dalam hati.

Guru silat terus mendekati Datuk yang sudah hampir dengan kaki tangga. Muka Datuk direnungnya.

“Apa yang awak katakan tadi? Saya tak dapat dengar jelas,” nada suara guru silat merendah.

Datuk menarik nafas panjang. Matanya masih tertumpu ke wajah guru silat.

“Malam ni, semuanya selesai,” Datuk senyum.

“Maksud awak.”

“Dengan izin Allah yang kuasa, orang yang sakit beransur sihat dan orang yang berbuat jahat akan menerima padahnya,” cukup tenang Datuk melafazkan kata-kala itu.

“Awak bergurau?” guru silat minta kepastian.

“Saya tak bergurau, dengan izin Allah semuanya berjaya.”

“Ha...” mulut guru silat terlopong.

“Dengan izin Allah,” ulang Datuk.

Guru silat segera mengatupkan mulutnya kembali. Wajahnya seperti orang dungu.

Geli rasa hati melihat telatahnya.

Saya mengharapkan guru silat mengeluarkan berbagai-bagai pertanyaan. Apa yang saya harapkan tak menjadi kenyataan. Guru silat terus termenung.

Bila guru silat tidak mahu bertanya, ertinya saya tidak ada peluang untuk menerima cerita dari Datuk.

Guru silat terus duduk di anak tangga bongsu. Merenung ke arah pepohon di kiri kanan halaman yang kaku dalam suasana kelam yang kian mencengkam.

“Biar kita ke telaga dulu, mandi dan ambil air sembahyang,” Datuk terus melangkah.

Lagi sekali guru silat tergamam dan terkejut dengan apa yang Datuk lakukan.

Kenapa Datuk tidak mahu menggunakan air paip seperti selalu? Kenapa mesti menggunakan air perigi?

Timbul pertanyaan dalam diri saya. Cepat-cepat saya renung muka guru silat.

“Kenapa Datuk kamu Tamar? Lain macam saja hari ini.”

“Entah, saya tak tahu sebabnya.”

“Pelik juga air paip ada, kenapa air telaga yang dicari.”

“Biarkan, Datuk saya dengan caranya.”

“Ah, pelik, banyak perkara pelik yang dibuatnya,” keluh guru silat sambil merenung wajah saya sejenak. Kami berbalas senyum.

“Biar saya pergi ke bilik air dulu,” kata saya pada guru silat yang masih termenung panjang.

Agaknya, ia masih memikirkan tentang tindak-tanduk Datuk yang dianggapnya agak luar biasa.

“Pergilah Tamar.”

“Baiklah.”

PULAS

Saya pun terus menuju ke bilik air yang terletak di bahagian belakang rumah. Saya pulas kepala paip dan terus basuh muka.

Dari basuh muka ada baik mandi terus, fikir saya dan terus membuka baju dan seluar. Beberapa saat kemudian seluruh badan saya dibasahi dengan air paip. Badan terasa segar dan bertenaga.

Sebaik sahaja saya keluar dari bilik air, guru silat pula masuk. Datuk masih lagi berada di perigi. Saya terus duduk di anak tangga bongsu, merenung hari yang kain gelap.

Tidak lama lagi saya kira, suara azan pasti berkumandang menguasai seluruh kampung.

Saya terus mengelamun dan menyusun rancangan dalam kepala. Saya bercadang petang esok, saya mahu minta izin dan Datuk untuk ikut kawan-kawan ke Kuala Juru, melihat perahu nelayan.

Lamunan saya terganggu oleh suara guru silat di kamar mandi. Saya tidak tahu kenapa nada suara guru silat meninggi.

Mungkin ada sesuatu yang kurang menyenangkan hatinya, fikir saya sendirian sambil memanjangkan leher meninjau ke arah bilik air.

Tiba-tiba secara mendadak guru silat keluar dari bilik air. Berlari ke arah saya dengan wajah yang cemas.

“Kenapa?”

“Aku macam ternampak mayat orang berdiri dekat pintu bilik air, bila aku pandang lagi sekali, mayat itu hilang.”

“Ah, pandangan mata saja tu, maklumlah kita letih,” saya menenteramkan perasaan guru silat.

Ternyata perasaan guru silat tidak tenteram dengan kata-kata yang saya luahkan. Rasa takut masih dapat dikesan di wajahnya.

Saya terus mengajak guru silat naik ke rumah. Sebaik saja, saya duduk di bangku usang, Datuk pun sampai dengan wajah yang amat tenang.

“Kita jemaah di surau?” Datuk ajukan pertanyaan pada guru silat.

Saya lihat guru silat mengerutkan dahi, buah halkumnya nampak bergerak bila ia menelan air liur.

“Saya nak sembahyang di rumah,” jawab guru silat.

“Kalau begitu, biar aku dengan Tamar ke surau, kau sembahyang seorang di rumah.”

“Eh, begini saja, biar saya dan Tamar sembahyang di rumah, awak seorang saja pergi ke surau.”

“Tak apa, saya ikut cakap awak,” jawapan Datuk itu ternyata amat menggembirakan hati guru silat.

Datuk tukar pakaian. Tanpa mengucapkan sesuatu ia terus meninggalkan saya dan guru silat.

Sebaik saja Datuk sampai dekat pohon jati, suara Azan terus berkumandang. Datuk mempercepatkan langkahnya.

Saya dan guru silat sembahyang di rumah. Setelah selesai sembahyang, saya disuruh oleh guru silat ke dapur untuk memasak air panas.

Hasrat guru silat itu tidak saya bantah, setelah menyalakan api dan meletakkan cerek atas tungku. Saya kembali duduk di sisi guru silat.

“Malam ni, kita makan di rumah, aku masak lauk dan nasi,” kata-kata yang amat menyenangkan dari guru silat.

Saya segera terfikir, lauk apa yang mahu dimasaknya? Ikan bilis, ikan goreng? Semuanya bahan-bahan ini tidak ada dalam simpanan guru silat.

“Ikan tak ada, sayur tak ada, nak masak apa?” tanya saya, guru silat menggigit bibir sambil memperkemaskan silanya.

“Ada Tamar.”

“Ada di mana?”

“Ada saya beli semalam, saya simpan dalam almari, saya beli ikan kurau kering, kita buat masak lemak, biar pecah perut kita malam ni. Dah kenyang makan baru kita pergi ke rumah si sakit. Kau setuju Tamar.”

“Setuju,” jawab saya cepat dan tegas.

“Bagus,” guru silat tegakkan ibu jari kanannya.

“Sekarang, kamu pergi basuh beras dan letakkan periuk nasi atas tungku,” satu arahan terkeluar secara spontan dari kedua belah kelopak bibir guru silat.

Kali ini, saya agak keberatan untuk mematuhi perintahnya itu. Masak nasi kerja leceh. Guru silat bagaikan tahu apa yang ada dalam hati saya.

“Kau tak suka masak nasi, Tamar?”

“Ya, kerja leceh."

“Tak apa, kau buat kopi sudahlah, masak nasi dan lauk biar saya buat. Kau setuju bukan?”

“Setuju,” suara saya riang dan terus bangun menuju ke ruang dapur untuk membuang kopi.

Baru lima langkah, saya melangkah guru silat segera mendekati saya. Cepat-cepat Ia menarik tangan saya. Perbuatannya itu amat mencemaskan hati saya.

“Kenapa?”

“Kau tengok tu,” guru silat meluruskan jari telunjuknya ke arah dinding.

Saya kerutkan dahi. Dua tiga kali kelopak mata saya pejam celikkan. Saya yakin, apa yang saya lihat di depan mata bukannya hanya sekadar tersilap pandang, saya yakin, saya sedang melihat sesuatu yang benar. Dada saya jadi berdebar.

“Kau nampak Tamar?”

“Nampak.”

“Kau sendiri tengok aku membuangnya ke dalam sungai, siang tadi.”

“Ya, pelik macam mana tongkat yang dah dibuang ada dalam rumah semula. Siapa yang membawanya?”

“Itulah yang memeningkan kepala aku sekarang,” guru silat seperti mengeluh.

Ia terus menarik tangan saya mendekati tongkat yang tersandar di dinding. Saya hanya menurut saja tetapi, saya rasa gementar dan cemas tetap berada dalam hati.

“Cuba kau tengok Tamar.”

Saya terus membongkok dan menatap tongkat tersebut. Memang itulah tongkat yang dicampakkannya ke dalam sungai. Anehnya, macam mana boleh berada di rumah kembali.

“Cuba kau pegang Tamar.”

“Tak mahu, pak gurulah pegang.”

“Cubalah Tamar.”

“Minta maaf, pak guru,” ujar saya dengan nada suara yang lembut bersama wajah yang minta dikasihi.

Guru silat terus mengambil kain pelekat yang berada tidak jauh darinya.

Kain pelekat dicampakkan oleh guru silat ke arah tongkat tersebut. Kain pelekat terus melekat di kepala tongkat dan terus memberat ke kanan.

Tongkat itu terus jatuh berdentum. Bunyinya cukup kuat tidak padan dengan bentuk dan berat tongkat.

“Kau berani pegang Tamar?”

“Minta maaf pak guru.”

“Kalau kau tak berani biar aku pegang tapi, kau mesti tunggu di situ."

“Baik pak guru.”

Guru silat terus mendekati tongkat yang berbalut dengan kain pelekat. Dalam jangkaan saya, sudah pasti guru silat terus memegang tongkat yang berada dalam kain itu.

Jangkaan saya salah. Guru silat terus menyentap kain pelekat dengan sekuat hati hingga kain pelekat terpisah dengan tongkat.

Tongkat pun tergolek di tepi dinding. Kepalanya yang berbentuk dua kepala ular itu mengarah pada saya dan guru silat. Saya tiba-tiba merasa seram.

“Saya rasa tak ada apa-apa pak guru, cuba pegang,” saya terus mengajukan cadangan.

Guru silat menggigit bibir. Ia masih bimbang dan ragu untuk melakukan dengan apa yang saya katakan.

Guru silat menggenggam penumbuk. Matanya tertumpu ke wajah saya. Perlahan-lahan guru silat mendekati tongkat tersebut.

“Cubalah pak guru.”

“Ya, aku cuba, kalau syaitan kita binasa.”

“Nanti dulu.”

“Kenapa Tamar.”

“Cuba pak guru baca beberapa ayat dan Quran...,” kata saya mengingatkan guru silat.

Saya jadi hampa dan agak kecewa kerana saranan saya tidak diterima oleh guru silat.

“Tak payah,” katanya pendek.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Apa yang mampu saya buat ialah melihat dengan sepasang mata tindak-tanduk guru silat yang kian ghairah untuk memegang tongkat.

Guru silat terus menyambar tongkat tersebut. Dalam sekelip mata saja tongkat aneh itu sudah berada dalam tangan guru silat. Saya lihat wajahnya cukup riang.

“Memang benar, tongkat ini tongkat pusaka,” suara guru silat penuh keriangan.

Ia terus menarik tangan saya untuk menjamah badan tongkat. Saya menolak. Cepat-cepat saya menarik tangan saya yang dipegangnya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 88/284

BACA: SBDJ Siri 87: Tongkat Berukir Kepala Ular
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM