Misteri Gadis Dalam Bot Pukau Pemancing

Memburu udang galah bersepit biru kadang kala berdepan dengan bahaya terutama sang bedal bermata merah yang menunggu dalam air, namun bahaya itu masih boleh dielakkan dengan syarat pemancing tidak mengganggu ketenteraman reptilia itu.

Misteri Gadis Dalam Bot
Gambar hiasan.

Apapun, reptilia yang menghuni lubuk mahupun tebing sungai itu tetap bertindak ganas dan berbahaya jika kita sengaja mengacaunya.

Pemancing udang galah sudah maklum hakikat ini justeru, mereka sentiasa mengamalkan petua terbaik sebelum turun memancing.

Hari itu hujung minggu. Sekumpulan empat orang dari Tanjung Malim, Perak bergegas ke Kampung Bertam (bukan nama sebenar) terletak di pinggir Sungai Perak.

Tok Alang penyewa lima bot pancing untuk pelanggan yang berminat memancing udang.

Kumpulan empat orang yang berhasrat untuk memburu udang galah hampir kecewa kerana bot sudah habis dibawa pelanggan yang turun memancing lebih awal pagi minggu itu.

Alang Atan yang mengetuai kumpulan empat orang itu terpaksa menunggu satu jam bagi membolehkan dua sampan pulang ke jeti kerana disewa pemancing malam Sabtu.

Alhamdulillah, hasrat mereka tercapai apabila dua sampan yang baru saja tiba sudah disambar kumpulan Alang Atan.

Bersama Alang Atan ialah seorang anak muda berketurunan Orang Asli bernama Pandak. Yazid dan Hisham pula menaiki sampan yang satu lagi.

Pandak sudah biasa dengan keadaan sungai berkenaan, malah beliau boleh membilang lubuk yang banyak udang dan mengarahkan Yazid supaya tidak berpisah jauh dalam apa juga keadaan.

Lubuk pertama mereka singgah lalu memulakan aktiviti memancing dengan menggunakan empat batang joran kecil setiap seorang.

Lubuk ini kurang menjadi. Cuma beberapa ekor yang berjaya didaratkan dengan saiz kecil yang tidak langsung menarik minat.

Pandak mengajak pindah ke lubuk kedua yang agak jauh ke hulu sungai.

Sedangkan lima bot yang lebih awal sudah tidak kelihatan. Pandak mencari pedoman sekeliling melalui pengalamannya yang luas di hutan mahupun di sungai.

Lubuk ditemui dan keadaan sekitarnya dirasakan berlainan. Tetapi sikap berani Pandak membuatkan mereka tidak merasa terlalu takut.

Lubuk berkenaan menarik minat mereka dengan udang galah bersepit biru bersaiz L. Satu demi satu udang didaratkan.

Mereka rasa terhibur malah Yazid dan Hisham yang berlabuh jauh sedikit turut mengaut rezeki yang banyak.

Namun, dalam keadaan yang ghairah itu cuaca bertukar dengan tiba-tiba. Hujan panas turun dengan lebat. Ini petanda kurang baik, kata Pandak kepada Alang Atan.

Dalam masa yang begitu pantas, sebuah sampan dengan dua orang wanita cantik mendekati sampan Yazid sambil mempelawa Yazid mengikutnya.

Yazid dan Hisham bagaikan terpukau mengikut saja sampan wanita itu yang memecut laju ke hulu sungai.

Pandak dan Alang Atan turut terpaku beberapa minit dan kemudian menyedari keadaan pelik itu lalu mengikut arah sampan Yazid tetapi sampan sudah hilang daripada pandangan. Pandak terus mengejar tetapi gagal.

Hujan panas masih turun. Mereka mula bimbang cerita Alang Atan. Hulu sungai sudah bertambah kecil dan cetek.

Mereka berpatah balik dan di pertengahan perjalanan mereka menjumpai sampan yang dinaiki Yazid dan Hisham yang hilang entah ke mana. Hilang bagaikan misteri sehingga hari ini.

Alang menamatkan cerita dengan wajah sayu malah kecewa dan terkilan atas kehilangan dua rakan karibnya.

Hilang tanpa kesan, mati tanpa kubur namun yang hidup terus mencari rezeki dan udang galah bersepit biru terus diburu.

Renungan

Begitulah lumrahnya alam ciptaan Allah yang maha mengetahui, setiap yang hidup pasti merasai mati, manakala yang hidup terus membina kehidupan yang diredhai Allah semoga mendapat rahmat dan keberkatan – InsyaaAllah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com