Misteri Keranda Jenazah Bomoh Terbang Mengganas Di Kampung

Sewaktu Aina menerima berita kematian saudaranya, ia pantas membawa kotak memori gadis berusia 28 tahun itu menerjah peristiwa pahit sekitar tiga tahun lalu, saat ayahnya menghembuskan nafas terakhirnya.

Gambar keranda terbang
Gambar hiasan.

Sepatutnya Aina sekeluarga bersedih menangisi pemergian insan tersayang itu, namun tangisan mereka turut berbaur ketakutan.

Manakan tidak, ayah Aina, Long Yunus merupakan bomoh yang agak dikenali di Dungun, Terengganu.

Beberapa minggu sebelum kematian Long Yunus, ibu Aina, Kak Zizah ada bertanya mengenai semua saka belaan suaminya.

Kata ayahnya, dia sudah menyerahkan semua 'hantu' dan ilmu yang dimilikinya kepada bapa saudara Aina, Pak Ucu yang juga seorang bomoh di Tumpat, Kelantan.

Apa yang pelik, Pak Ucu menghilangkan diri empat hari sebelum kematian Long Yunus.

Ujar isterinya, Pak Ucu ke selatan Thailand pada waktu itu dan langsung tidak dapat dihubungi.

Pada malam kematian, sekitar pukul 11 malam, Aina sekeluarga mendengar bunyi burung hantu yang agak kuat, seolah-olah ia singgah di atas atap rumah.

Salakan anjing juga tidak berhenti sehinggalah Long Yunus sesak nafas sekitar pukul dua pagi. Dia sememangnya menghidap angin ahmar dan mula sakit tenat kira-kira dua bulan lalu.

Aina, emak, adik beradik serta saudara maranya ada disisi Long Yunus sebelum lelaki itu menggembuskan nafas terakhir tepat pukul 2.40 pagi.

Sewaktu adik-adik Aina sedang meraung dan menangis, ibu saudaranya yang juga adik Long Yunus mengambil sehelai kain untuk menutup wajah arwah.

Pada ketika itu jugalah mereka semua terperanjat apabila jendela di ruang tamu terbuka dengan sendiri dan deruan angin mula menerpa masuk. Langsir juga berkibar kuat disusuli bunyi petir di langit.

“Astagfirullah, Astagfirullah...” ujar Kak Zizah cemas sambil mengusap dada.

Semua mula panik, mereka tahu mengenai kerja-kerja Long Yunus sebagai bomoh sepanjang hidupnya, jadi tidak hairanlah jika gangguan mula terjadi sejurus kematiannya.

Adik lelaki Aina dalam ketakutan terpaksa bergegas menghidupkan motor dan disuruh memaklumkan mengenai kematian ayahnya kepada penghulu dan orang kampung.

Sekitar 10 minit, adiknya pulang. Selain penghulu, beberapa orang kampung turut datang menaiki motorikal masing-masing.

Wajah mereka kelihatan pucat. Malah, mulut mereka kelihatan terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran.

“Apa dah jadi ni Zizah, hantu arwah laki kau dah mula mengganas,” ujar Jali sambil menongkatkan motorsikalnya.

Ujar Jali, mereka semua dikejutkan dengan jelmaan aneh setinggi pohon kelapa sewaktu dalam perjalanan ke rumah Long Yunus namun, penghulu Samad pantas menenangkan Jali dan menyuruh dia bersabar.

Air mata ibu Aina dan adik-adiknya semakin laju apabila mendengar kata-kata orang kampung.

Tidak semena-mena mata mereka semua terpandang sesuatu yang pelik dari arah jalan.

“Allahuakhbar...” teriak Jali sebelum dia melompat ke atas tangga rumah Aina tanpa membuka selipar yang dipakainya.

Mahu tercabut jantung apabila mata mereka melihat sebuah keranda terawang-awang bagaikan sedang terbang di atas jalan.

Mujurlah ada penghulu Samad, dia sememangnya seorang yang alim dan banyak ilmu di dada. Mulutnya kelihatan laju membaca ayat-ayat al-Quran.

Dia pantas menyuruh Haji Yahya, bilal kampung supaya melaungkan azan malah, penghulu Samad mengarahkan semua masuk ke dalam rumah dan memulakan bacaan Yasin.

Sepanjang sejam membaca Yasin, hujan turun dengan lebat. Malah, elektrik juga sekejap terputus sekejap ada.

Mujurlah selepas itu keadaan mula reda, malah entah dari mana bapa saudara Aina, Pak Ucu muncul dan memberi salam.

Menurut cerita Pak Ucu, dia sudah tahu Long Yunus akan meninggal pada malam itu.

Malah, dia menghilangkan diri selama empat hari kerana pergi bertemu seorang lelaki yang didakwa sebagai guru bomoh kepada arwah ketika hayatnya.

“Aku ke sana sebab nak uruskan belaan bapak kamu, mahu tercabut nyawa aku buat semua ni.

“Tapi tak apalah, aku dah terima semua dengan bantuan guru bapak kamu di sana,” ujar Pak Ucu kepada Aina dan adik beradiknya sambil disaksikan sekumpulan orang kampung.

Setelah keadaan terkawal, lebih ramai orang kampung mula datang untuk menziarahi arwah buat kali terakhir.

Namun mata dan telinga Aina juga sempat menangkap beberapa penduduk kampung yang berbisik-bisik, bercerita mengenai saka milik arwah ayahnya.

Malah, mereka mendakwa gangguan misteri mula menghantui kampung itu sejurus kematian Long Yunus. Sebelum zuhur, arwah ayah Aina selamat dikebumikan.

Malah, dua minggu selepas itu Aina sekeluarga berpindah ke rumah pusaka nenek mereka di Kuala Ibai kerana khuatir dengan saka-saka lama ayahnya yang mungkin akan membuat onar.

Biarpun sudah tiga tahun berlalu, peristiwa itu masih menghantui Aina. Setiap hari tak putus doa buat arwah ayahnya.

Ketakutan masih lagi menghantui, namun kehidupan harus diteruskan. Sesekali, Aina dan keluarganya pulang dan membersihkan rumah lama.

Biarlah Pak Ucu yang meneruskan legasi arwah Long Yunus, namun emak Aina juga tidak lekang menasihatinya agar membuang saka-saka itu supaya kejadian lama tidak berulang. Cukuplah sekali waktu kematian arwah Long Yunus.

"Apa-apapun, al-fatihah Ayah, semoga diterima amalan baik dan tenang di sana. Amin...," ujar Aina dalam hati.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar