8 Perkara Menarik Tentang Perayaan Ponggal Kaum Hindu

Ramai yang bukan berbangsa India masih kabur mengenai perayaan terbesar agama Hindu, iaitu Ponggal yang telah menjadi amalan kebudayaan turun-temurun dan disambut untuk mengalu-alukan ‘musim menuai’.

Perayaan Ponggal

Di Tamil Nadu, India, perayaan ini disambut oleh semua orang tanpa mengira anutan agama, sama seperti sambutan Tadau Kaamatan di Sabah.

Pendek kata, sambutan ini menghargai usaha keras para petani dan haiwan domestik seperti lembu dan kerbau serta alam semulajadi yang menjadi asas kepada keperluan utama manusia, iaitu makanan.

Sebagai simbolik kepada sambutan ini, ia dimulakan dengan memasak nasi manis berasakan susu, gula perang, kekacang dan minyak sapi serta beberapa manisan lain yang dipersembahkan kepada Dewa Matahari, lembu dan dimakan oleh seluruh ahli keluarga.

Mari kita lihat 8 perkara mengenai sambutan Pesta Ponggal yang mungkin anda tidak tahu.

1. Sambutan Bhogi

Sehari sebelum Ponggal, pada awal pagi, akan dimulakan dengan sambutan Bhogi.

Ia adalah amalan membakar barang lama, lusuh dan menggantikannya dengan baru, simbolik kepada permulaan bulan mulia, ‘Thai’ dengan membuang segala yang negatif di dalam diri.

2. Menghias Kolam

Kolam adalah dekorasi yang wajib ada pada sambutan Ponggal kerana ia juga meraikan serangga-serangga seperti semut sebagai sebahagian daripada eko sistem di mana ‘kolam’ itu sendiri menjadi bahan makanannya.

Lazimnya, kolam titik menggunakan tepung beras dilukis, ia berbeza dengan kolam rangoli yang menggunakan beras berwarna.

3. Ponggal ialah nama sejenis masakan

Ia merupakan nasi manis yang dimasak menggunakan susu, buah pelaga, gula perang, buah gajus, kismis dan minyak sapi.

Pada perayaan ini, nasi yang dimasak akan dipersembahkan kepada Dewa Matahari dan diberi makan kepada lembu-lembu diikuti ahli keluarga, saudara dan kenalan.

4. Hari Sambutan

Ponggal disambut selama 4 hari, bermula dengan Bhogi, awal pagi sehari sebelum sambutan sebenar.

Hari pertama sambutan adalah Ponggal rumah, hari kedua pula Ponggal untuk haiwan lembu dan hari ketiga, Ponggal lawatan di mana melawat sanak saudara.

5. Sambutan Ponggal Kedua

Pada sambutan Ponggal kedua yang meraikan lembu dan kerbau, lazimnya penternak dan petani akan mewarnakan tanduk lembu, memakaikan kain berwarna, kalung bunga serta memberi makan kepada haiwan itu.

Pemujaan kecil juga dijalankan sebagai tanda berterima kasih kepada haiwan yang turut membantu dalam kerja pertanian seperti membajak selain menawarkan susu yang menjadi salah satu makanan danminuman utama.

6. Ponggalo Ponggal

Ketika memasak nasi Ponggal, susu dimasukkan terlebih dahulu dalam periuk tanah. Hanya selepas susu mendidih dan melimpah keluar, beras dimasukkan untuk memasak nasi tersebut.

Menariknya, semua orang akan menjerit “ponggalo ponggal” ketika susu mendidih keluar. Ia menandakan ‘limpahan kegembiraan, kemuliaan dan kesejahteraan’.

7. Menghias Pintu Rumah

Pintu masuk rumah juga didekorasi dengan batang tebu, daun kunyit dan ‘thoranam’ yang dibuat menggunakan lepah pokok kelapa.

Batang tebu menandakan kemanisan yang berterusan, daun kunyit menandakan kesejahteraan dalam keluarga dan ‘thoranam’ pula tuah yang baik.

Jika anda lihat pintu rumah dengan batang tebu di kedua-dua belah, tandanya mereka menyambut Ponggal.

8. Sambutan Di Malaysia

Di Malaysia, Ponggal bukan sahaja perayaan keagamaan malah sambutan memasak nasi manis ini turut diadakan di banyak tempat sebagai sebahagian daripada festival melibatkan pelbagai kaum.

Pusat pengajian, pejabat, badan bukan kerajaan (NGO) dan banyak pihak menganjurkan sambutan Ponggal untuk disambut oleh semua orang secara bersama.

Kalau ada peluang, semua orang boleh sertai perayaan Ponggal berbentuk festival yang diadakan berdekatan dengan tempat anda dan ketahui lebih lanjut mengenai perayaan ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fmt