Buktikan al-Qur'an Cuma 'Buku' Biasa!

Seorang hamba ALLAH SWT berkata bahawa dia hanya percaya pada apa yang dia nampak. Kalau dia tidak nampak, maka dia akan ragui.

al-Qur'an

Dia berkata bahawa dia hanya nampak al-Quran itu hanya sebuah buku biasa karangan manusia. Dia tidak nampak kuasa Tuhan pada al-Quran.

Saya jawab, “Kerana kamu hanya percaya apa yang kamu nampak, jawab soalan-soalan saya ini. Apa yang mata kamu nampak pada wajah anda sendiri? Adakah wajah anda sekarang sama dengan wajah anda 5 saat yang lalu?”

Hamba ALLAH SWT ini tergelak, “Mestilah sama Xifu. Takkanlah dalam 5 saat wajah saya berubah jadi Justin Bieber!”

Saya senyum balik, “Wajah kamu 5 saat yang lalu berbeza dengan wajah kamu sekarang kerana setiap saat kita semakin tua! Mata kamu tak nampak perubahan yang halus ini. Kamu tertipu dengan mata kamu sendiri! Saya nak tanya lagi adakah kamu cinta isteri kamu?”

Hamba ALLAH SWT kelihatan susah untuk tergelak lagi. Dia jawab, “Sudah tentu cinta!” Saya senyum lagi, “Tapi saya tak nampak 'cinta' kamu pada isteri kamu. Mana cinta kamu? Dalam poket? Dalam beg? Keluarkan supaya mata saya nampak! Saya hanya percaya pada apa yang saya nampak!”

Hamba ALLAH SWT ini makin tertekan. Macam sudah kena K.O, rebah terus dalam perlawanan tinju!

Saya terus sambung, “Saudara, saya harap saudara sudah sedar sekarang bahawa prinsip percaya 100% pada apa yang pancaindera kita nampak pasti akan memperdayakan kita. Mata kita kerap menipu kita sebenarnya. Rugi kita kalau keyakinan kita bergantung atas penglihatan kita semata-mata.”

Hamba ALLAH SWT akhirnya bersuara, “Kita masih ada akal. Akal saya memberitahu saya bahawa adalah tidak logik bahawa al-Quran itu wahyu daripada Tuhan.”

Saya tanya, “Cuba buktikan secara logik dengan akal bahawa setiap manusia pasti mati. Guna logik akal semata-mata.”

Hamba ALLAH SWT dengan begitu yakin berkata, “Saya lihat semua manusia mati, maka akal saya kata semua pasti mati. Saya tak kenal pun seorang manusia hidup selama-lamanya.”

Saya terus bantah, “Kamu tipu kerana kamu bercakap seolah-olah kamu sudah jumpa SEMUA manusia di dunia ini. Adakah anda pernah pergi ke Artik untuk memastikan bahawa manusia di sana pasti mati, tak akan hidup selama-lamanya? Hanya kerana kamu tak pernah jumpa tidak semestinya pasti tak ada.”

Dia terus berhujah, “Kalau ada manusia yang tak mati, pasti sudah heboh di media.” Saya jawab, “Adakah kamu percaya 100% dengan media? Media banyak laporkan berita-berita yang palsu. Kalau tak palsu pun, mungkin berita tak sampai pada media. Banyak kes kejayaan sains tak dilaporkan di media!”

“Jadi bagaimana kita tahu secara logik bahawa kita pasti mati?,” tanya hamba ALLAH SWT ini. Akhirnya, kelihatan ego beliau mengalah. Sudah mahu bertanya.

Ada pendakwah kita tak suka ditanya. Katanya pertanyaan mencabar iman. Pertanyaan seolah-olah mencabar agama.

Bagi saya, bila seseorang itu bertanya, itu tanda dia ingin tahu lebih. Ada keinginan mencari kebenaran. Siapa kita untuk menilai niat seseorang!

“Xifu ragui wibawa pancaindera dan akal. Kalau kita buang alat-alat deria dan kuasa akal, bagaimana kita nak kenal kebenaran?,” tanya beliau.

“Saya tak kata deria dan akal kita tak berguna langsung. Saya hanya kata kedua-dua mempunyai had kuasanya. Sebenarnya saya ingin buktikan pada saudara bahawa kitab agama yang lengkap dan benar ialah al-Quran.”

“Bayangkan Tuhan tidak beritahu kita bahawa setiap manusia pasti mati, nescaya kita tak mungkin dapat buktikan secara logik bahawa kita semua pasti mati.

"Keyakinan kita tentang kematian adalah hasil wahyu daripada Tuhan, bukan logik akal. Ini membuktikan juga kita perlu pada wahyu supaya kita ada keyakinan hidup.”

“Al-Quran adalah kitab agama yang lengkap dan benar kerana ia telah menyebut semua perkara asas yang manusia wajib yakin seperti kematian. Kita akan bincang lagi apakah perkara-perkara asas kemanusiaan ini.

BACA INI JUGA: Rahsia Menjadi Jutawan Dengan Panduan Al-Qur'an

Sumber: sh