Sejarah Dan Asal Usul Perayaan Tahun Baru Cina

Budaya Tahun Baru Cina merupakan adat dan pantang larang yang diamalkan oleh masyarakat Cina semasa Tahun Baru Cina seperti memberi angpau kepada kanak-kanak, berkumpul untuk hidangan malam pada malam sebelum Tahun Baru Cina dan sebagainya.

Tahun Baru Cina

Sebenarnya Tahun Baru Cina juga dikenali sebagai Xin (baru) Nian (tahun) dan mengikut orang Cina, Tahun Baru Cina dirayakan selama 15 hari iaitu dari hari pertama sehingga ke hari kelima belas pada bulan pertama dalam kalendar orang Cina.

Hari kelima belas itu juga disebut sebagai Yuen Shiau atau lebih diketahui sebagai Cap Go Meh di Malaysia.

Tahun Baru Cina disambut pada hari dan bulan pertama kalendar masyarakat Cina, dimana perayaan Tahun Baru Cina lazimnya akan disambut secara besar-besaran sebagai kedatangan tahun baru, sekeliling rumah akan dibersihkan dan ada juga perabot yang akan ditukar kepada yang baru.

Asal-usul Tahun Baru Cina

Asal-usul kedatangan Tahun Baru Cina ialah Nian iaitu berasal daripada perkataan Cina yang bererti makhluk garang. Makhluk ini menyerupai singa yang sering kali keluar menangkap kanak-kanak pada tahun baru pada zaman dahulu.

Pada suatu tahun baru, beberapa orang kanak-kanak bermain di depan rumah, tiba-tiba muncul Nian yang cuba membaham seorang kanak-kanak.

Kebetulan ibu kanak-kanak itu berada di depan pintu, lalu pada saat-saat kecemasan itu dan ibu sedang memegang sehelai kain merah. Dengan penuh ketakutan ibu mencampakkan kain merah itu ke arah Nian. Nian takut dan melarikan diri.

Mulai tahun itu, semua orang mula menggantung kain merah di depan pintu untuk menghalau Nian. Dari situlah timbul kepercayaan warna merah membawa tuah dan mampu menghalau unsur buruk yang berbahaya.

Pada masa dahulu, kanak-kanak menghadapi ancaman hidup yang pelbagai seperti penyakit, malapetaka dan masalah sosial.

Oleh itu, kanak-kanak yang berjaya melalui hidupnya setiap tahun dianggap sebagai kesyukuran. Dengan ini, ibu bapa menyelitkan wang di dalam bungkusan di bawah bantal setiap kanak-kanak pada akhir tahun agar dia dapat hidup dengan sihat pada tahun depan.

Muncullah konsep angpau yang kini dijadikan sebagai lambang wajib Tahun Baru Cina.

Sehari sebelum Tahun Baru Cina tiba, semua ahli keluarga akan berhimpun beramai-ramai untuk makan bersama-sama. Jamuan berkumpul diadakan untuk menjalinkan perhubungan sesama anggota keluarga setelah tidak bertemu agak lama.

Menjelang waktu tengah malam kedatangan Tahun Baru Cina, akan diadakan upacara memuja dewa langit sebagai aluan kepada kedatangan hari yang berbahagia.

Selepas pemujaan dilakukan, kanak-kanak akan bergembira dengan membakar mercun, kadangkala pembakaran mercun terus dilakukan hingga ke pagi.

Walau bagaimanapun ini merupakan tradisi sahaja, di negara kita sudah dilarang bermain mercun.

Hari pertama Tahun Baru Cina selalunya disambut dengan meriah, setiap orang akan menggayakan pakaian baru dengan warna yang cerah terutamanya warna merah.

Ang Pow

Semua orang dikehendaki makan makanan vegetarian, manakala mereka yang sudah berkahwin dikehendaki memberi angpau kepada saudara-mara dan sahabat yang belum berumah tangga.

Angpau ialah sejenis sampul berwarna merah yang diisi sejumlah wang, sampul merah membawa makna kesejahteraan yang berpanjangan.

Seelok-eloknya setiap penghuni rumah tidak keluar ke mana-mana pada hari pertama tahun baru. Namun pantang larang ini telah tidak begitu dipatuhi lagi pada masa sekarang.

Kunjung mengunjung yang lebih meriah dilakukan pada hari kedua dan ketiga. Apabila berziarah ke rumah jiran atau sahabat, biasanya akan membawa sedikit makanan dan buah-buahan sebagai buah tangan untuk diberikan kepada tuan rumah. Pemberian itu selalunya akan dibalas oleh orang yang menerimanya.

Proses saling bertukar bungkusan telah menjadi satu budaya yang diamalkan oleh masyarakat Cina.

Pantang Larang

Sepanjang dua hari pertama Tahun Baru Cina ini, orang Cina dilarang menyapu kerana dikhuatiri akan menghalau keluar segala tuah. Sekarang, pantang larang ini tidak lagi diikuti sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, kepercayaan tentang nasib sial yang dibawa oleh penyapu masih mendasari pemikiran orang Cina. Selepas hari ketiga barulah rumah akan dibersihkan semula.

Buah limau mandarin dan kuih bakul menjadi lambang perayaan Tahun Baru Cina dan ungkapan yang paling popular diucapkan apabila bersua adalah Gong Xi Fa Cai yang bermaksud salam sejahtera dan murah rezeki.

Untuk menjaga supaya nasib yang baik itu tidak hilang, seseorang itu tidak boleh berkelahi, mengeluarkan kata-kata yang kesat, berpergian jauh dari rumah dan menjahit sepanjang perayaan. Perbuatan-perbuatan ini ditegah kerana dianggap boleh membawa sial.

Bagi suku kaum Hokkien, hari kesembilan merupakan hari yang paling besar sepanjang perayaan Tahun Baru Cina pada hari tersebut, mereka akan melakukan pemujaan terhadap dewa langit, hari kesembilan disambut seolah-olah sebagai menandakan tamatnya perayaan Tahun Baru Cina.

Pesta Cap Go Meh

Tetapi bagi suku kaum yang lain, mereka berpesta hingga hari kelima belas yang dikenali sebagai Cap Go Meh.

Pesta Cap Go Meh mempunyai sejarah yang panjang iaitu sejak dua ribu tahun lalu dan mula disambut oleh kerajaan Han.

Pesta ini diiringi upacara pemujaan dewa-dewi untuk meminta perlindungan supaya kehidupan ahli keluarga sentiasa bahagia dan tidak ditimpa sebarang malapetaka.

Pesta ini biasanya berlangsung selama tiga hari tiga malam, sepanjang masa itu, setiap rumah akan diterangi dengan cahaya lampu. Keramaian pesta ini dimeriahkan dengan tarian singa dan tarian naga.

Pesta ini diakhiri dengan upacara melempar buah limau mandarin ke dalam laut oleh pemuda dan pemudi yang berhasrat untuk mendapatkan jodoh yang sesuai.

Adat ini semakin kurang dilakukan kerana remaja kini lebih suka mencari pasangan mereka melalui pergaulan seharian.

Walaupun begitu, pasangan muda-mudi suka berkumpul dan bersiar-siar di tepi pantai sewaktu upacara itu berlangsung dengan harapan perhubungan mereka akan berkekalan sampai ke jinjang pelamin. Pesta ini disambut sebagai menandakan tamatnya perayaan Tahun Baru Cina.

Upacara-upacara yang dijalankan itu dianggap penting kerana ia sebagai sistem simbol yang digunakan akan memberi suatu gambaran yang lebih jelas tentang kepercayaan dan nilai hidup masyarakat Cina.

BACA INI JUGA: Kisah Warna Merah Dan Sambutan Tahun Baru Cina

Sumber: utusan