Koleksi Arkib Keratan Akhbar ( Hiburan )


Persatuan Bola Sepak Artis Wanita Malaysia (1981)

Penyanyi terkenal Rafeah Buang, di dalam ruangan penulisannya yang diterbitkan oleh majalah URTV pada 1998, telah menceritakan mengenai penyanyi 1960-an, Rickino Bajuri daripada kumpulan pop yeh yeh, The Cliffters. Gambar yang menghiasi rencana tersebut menunjukkan Rickino Bajuri pada 1981 sedang bergambar bersama pasukan Persatuan Bola Sepak Artis Wanita Malaysia.

Ahli pasukan bola sepak tersebut terdiri daripada para pelakon atau penyanyi wanita, antaranya ialah Maria Arshad, Sukarni Jaafar, Rohana Jalil, Rosnah Mohd Noor, Maria Kamal, Anisah Yahya Sulung, Suhaili Shamsudin dan 7 orang lagi yang nama mereka tidak dinyatakan, mungkin juga kerana mereka tidak begitu terkenal. Pasukan bola sepak tersebut dilihat memakai jersi yang di hadapannya bertulis "ARTIS WANITA"



Model Mak Nyah Of The Year ( 1984 )


Pertandingan yang dinamakan Model Mak Nyah Of The Year 1984 telah diadakan pada penghujung Disember tahun itu di Hotel Ria, Kuala Lumpur. Pertandingan itu diadakan sempena majlis harijadi seseorang yang bernama Miss Doris. Wartawan hiburan BAM melaporkan bahawa pertandingan itu telah dimenangi oleh seorang mak nyah yang bernama Liza. "Kagum betul BAM lihat wajahnya, sebiji macam perempuan", kata beliau. Liza atau nama sebenarnya Khairul Osman ketika itu baru berusia 16 tahun. Ya, 16 tahun. Liza yang berasal dari Kuala Lumpur dan bekerja sebagai pendandan rambut di Plaza Sungei Wang mengaku sering menerima pujian orang ramai mengenai 'kecantikannya'. "Tapi kalau lawa pun, apa boleh buat. Bukan orang boleh buat bini", komen Liza mengenai pujian yang diterimanya. Seperti segelintir mak nyah di zaman itu, Liza mempunyai satu matlamat, katanya "Tengoklah... satu hari nanti, bila saya dah dapat kumpul duit $20,000, saya akan jalani pembedahan seks di luar negeri. Bila dah jadi perempuan betul, barulah orang mahu buat bini"!



Sudir Shoppe (1990)

Sudir Shoppe ialah nama butik yang dimiliki oleh "Penghibur No.1 Asia", Sudirman Haji Arshad. Beliau yang dikenali dengan nama ringkasnya, Sudir, telah merasmikan Sudir Shoppe pada 7 April 1990. Butik tersebut yang menggunakan slogan "Shaped For The 90's" pada mulanya mempunyai dua buah cawangan yang terletak di Plaza Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Damansara Utama, Selangor.

Malangnya perniagaan tersebut tidak dapat bertahan lama kerana tidak lama kemudian Sudirman telah terlantar sakit yang berpanjangan dan beliau akhirnya meninggal dunia pada 22 Februari 1992, iaitu tidak sampai 2 tahun selepas pembukaan Sudir Shoppe.



Azwan Ali ingin jadi Perdana Menteri (1991)

"Jangan terkejut kalau Azwan katakan bahawa cita-cita Azwan adalah untuk menjadi Perdana Menteri" - Azwan Ali

Petikan tersebut ialah jawapan Azwan Ali (25 tahun, pengacara TV terkenal) apabila ditanya oleh wartawan tentang cita-citanya selepas berjaya mendapat kelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada 1991.





Chef Wan @ Parti Cit Cat ( 2000 ) 

Sempena "perhimpunan artis-artis" yang dinamakan Parti Cit Cat pada Julai 2000, diadakan beberapa acara seperti persembahan pentas dan sukaneka. Parti Cit Cit 2000 anjuran Azwan Ali Production berlangsung selama 3 hari di Desaru Impian Resort, Johor, dan melibatkan seramai 17 orang "artis ternama". Antara mereka yang terlibat ialah penyanyi Shawn Baharin dan "tukang masak profesional", Chef Wan.

Dalam satu persembahan pentas di Parti Cit Cit 2000, Chef Wan telah tampil sebagai penari dengan berpakaian "ala wanita Hindustan" bagi mengiringi nyanyian Shawn Baharin.

Selebriti lelaki berpakaian wanita lazimnya dianggap sebagai suatu bentuk 'hiburan' dan sering dijadikan selingan dalam banyak persembahan pentas sejak sekian lama.




Sumber : http://arkibnegara.blogspot.my/