Tanda Bayi Anda Dehidrasi Dan Cara Mengatasinya

Untuk beberapa bulan pertama kehidupan, bayi hanya bergantung kepada diet cecair, sama ada melalui penyusuan susu badan atau susu formula, dan walaupun kerap menyusu, tetap ada risiko untuk mereka mengalami masalah kekurangan air atau penyahhidratan, sama seperti individu dewasa.

Bayi Dehidrasi
Gambar hiasan.

Namun, benarkah bayi juga boleh mengalami masalah kekurangan air? Jika benar, apakah tanda dehidrasi pada bayi yang boleh dikenal pasti serta cara mengatasinya?

Dehidrasi atau penyahhidratan bermaksud bayi anda kehilangan terlalu banyak air dan tidak dapat minum (susu) secukupnya untuk menggantikannya dengan segera.

Saiz tubuh yang kecil menjadikan mereka lebih mudah kehilangan air dan mengalami penyahhidratan. Dalam kes serius, ia boleh membahayakan jika tidak dirawat.

Jadi, adakah sebarang tanda dehidrasi pada anak yang boleh ibu kenal pasti?

Tanda Dehidrasi Pada Anak

Umumnya, simptom dehidrasi adalah berbeza bergantung kepada jumlah kehilangan air yang dialami anak.

Ia juga berbeza pada bayi baru lahir, bayi dan kanak-kanak.

Tanda penyahhidratan pada bayi baru lahir:
  • Bahagian ubun-ubun bayi tenggelam.
  • Tidur terlalu lama (lebih daripada kebiasaan walaupun untuk seorang bayi).
  • Mata kelihatan tenggelam.
  • Menangis dengan hanya sedikit atau tiada air mata.
  • Meragam.
  • Tangan dan kaki yang sejuk atau berubah warna.
  • Kulit berkedut.

Tanda dehidrasi pada bayi dan kanak-kanak:
  • Tiada keinginan bermain.
  • Penat atau meragam.
  • Lampin kering untuk tempoh 6 jam atau lebih.
  • Mata tenggelam.
  • Tangisan tanpa atau sedikit air mata.
  • Mulut kering.
  • Sembelit atau sukar/kurang membuang air besar (jika masalah kekurangan air disebabkan tidak minum air secukupnya).
  • Tangan sejuk.
  • Pernafasan pantas.
  • Degupan jantung yang laju.

PUNCA DEHIDRASI PADA ANAK

Bayi baru lahir

Bayi baru dilahirkan sering mengalami sedu apabila pertama kali belajar menghisap susu.

Mereka juga mungkin berdepan kesukaran untuk menelan dan mencerna susu.

Hakikatnya, bayi yang mengalami masalah berkaitan lekapan puting dan kesukaran menghisap susu adalah situasi biasa.

Disebabkan itu, adakalanya bayi kehilangan berat badan pada minggu pertama kehidupan mereka.

Punca lain:
  • Bekalan susu ibu rendah pada minggu awal selepas bersalin.
  • Bayi tidak dapat menyedut susu dengan baik pada puting ibu atau puting botol.
  • Bayi kerap terjeluak atau muntah susu.
  • Susu badan ibu tidak seimbang atau bercampur air dan garam (keadaan jarang berlaku).

Bayi dan kanak-kanak

Bayi yang sudah besar dan kanak-kanak mempunyai punca kehilangan air yang hampir sama.

Kebiasaannya berlaku apabila mereka tidak sihat seperti selesema, sakit perut, dan mengalami intoleransi atau alahan kepada makanan. Ini boleh mengakibatkan dehidrasi.

Faktor penyebab lain:
  • Cirit-birit.
  • Muntah.
  • Berpeluh.
  • Demam.
  • Keadaan terlalu panas.

RAWATAN RUMAH CEGAH TANDA DEHIDRASI PADA ANAK

Kaedah untuk cegah penyahhidratan bergantung kepada penyebabnya dan umur anak, seperti:

Penyusuan badan lebih kerap

Lakukan penyusuan secara berkala walaupun si manja mungkin mengalami masalah dalam teknik lekapan.

Biarkan bayi anda mencuba untuk menyusu dan berehat sebentar apabila mereka tampak letih.

Cuba menyusukan anak kembali selepas 15 minit atau lebih.

Gunakan botol susu atau dropper feeding

Jika bayi sukar menyusu badan, pamkan susu dan berikannya menggunakan botol atau dropper feeding.

Andai susu badan tidak mencukupi, berikan susu formula sebagai tambahan. Ini pastinya dapat membantu mengatasi dehidrasi.

Cuba susu formula berbeza

Sekiranya bayi menyusu susu formula, anda boleh cuba menukarkan jenama lain dan lihat perbezaannya pada bayi.

Pakaian malam yang ringan

Seandainya anak mudah mengalami peluh pada waktu malam atau ketika tidur, pakaikan pakaian yang membolehkan mereka mudah bernafas.

Penggunaan air suam

Sekiranya si kecil mengalami demam, tuamkan badan mereka menggunakan air suam. Ia dapat membantu mengurangkan masalah kekurangan air dalam badan.

Aiskrim

Untuk mengatasi masalah dehidrasi, berikan anak lebih banyak cecair dan aiskrim pastinya pilihan terbaik.

Hasilkan ais krim sendiri daripada jus atau puri buah-buahan.

Makanan berjus

Jika tidak mahu berikan aiskrim, maka anda boleh membiarkan anak makan buah-buahan dan sayur-sayuran.

Terdapat pelbagai pilihan buah-buahan seperti tembikai, oren, timun atau tomato.

Kesimpulan

Bayi dan kanak-kanak mudah terdedah untuk mengalami kekurangan air kerana faktor saiz tubuh yang kecil.
Tanda dehidrasi pada anak boleh terjadi apabila mereka mengalami cirit-birit atau muntah.

Penyahhidratan yang serius boleh berlaku dan ia keadaan bahaya untuk si kecil.

Lakukan pemeriksaan doktor dengan segera sekiranya si manja demam panas atau mengalami simptom kehilangan air.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hellodoktor