Legenda Batu Panggah, Rumah Yang Di Sumpah Kerana Cinta Terlarang!

Sekiranya anda berpeluang menjejakkan kaki ke Borneo Highland Resorts, Sarawak, jangan lupa untuk melawat serta melihat sendiri keunikan Batu Panggah yang dikatakan mirip seperti wajah seorang manusia.

Legenda Batu Panggah

Panggah bermaksud Rumah Kepala, jadi Batu Panggah merujuk kepada Batu Rumah Kepala yang merupakan lambang kisah cinta terlarang antara dua insan.

Kononnya, pada suatu ketika dahulu, terdapat dua buah kampung yang saling bermusuhan sehinggakan tiada seorang pun daripada mana-mana penduduk boleh menjejakkan kaki ke sempadan kampung yang lain.

Namun begitu, akhirnya terdapat seorang lelaki dan perempuan telah saling jatuh cinta antara satu sama lain.

Suatu hari, kisah cinta mereka sampai ke pengetahuan Tuai Rumah (ketua kampung) di kampung mereka.

Maka, suatu perintah telah dikeluarkan yang memberi arahan agar menangkap pasangan kekasih ini sama ada hidup atau pun mati!

Mendengarkan arahan tersebut, pasangan kekasih ini telah nekad untuk melarikan diri, namun nasib tidak menyebelahi mereka kerana semasa dalam pelarian, hujan lebat telah turun mencurah-curah membasahi bumi.

Akibat hujan yang amat lebat, maka kedua pasangan bercinta ini telah mengambil keputusan untuk berlindung di sebuah rumah kayu.

Tetapi, rumah yang dimasuki mereka bukanlah sebarangan rumah kerana ia merupakan sebuah rumah yang digelar Rumah Kepala.

Dikatakan Rumah Kepala ini menjadi tempat menyimpan kepala dan tengkorak sebagai simbol kemenangan.

Tambahan lagi, legenda telah mengatakan bahawa orang perempuan serta kanak-kanak adalah dilarang sama sekali daripada memasuki rumah tersebut.

Akibat daripada itu, kilat telah menyambar tepat ke Rumah Kepala lalu menukarkannya menjadi sebuah batu yang amat besar serta mempunyai wajah persis manusia.

Sejurus selepas panahan kilat itu juga, segala pintu keluar dari rumah tersebut telah ditutup dan kedua-dua pasangan itu terperangkap di dalamnya.

Akhirnya, apabila orang kampung sampai ke sana, maka tahulah mereka bahawa pasangan yang dicari mereka itu telah memasuki rumah itu kerana perubahan fizikal Rumah Kepala tersebut.

Maka, Rumah Kepala terus kekal sehingga sekarang menjadi batu yang diberikan nama Batu Panggah.

Siapa sangka di Malaysia juga terdapat batu seakan-akan mirip seperti batu di Kepulauan Easter.

Nampaknya, sebelum kita mengembara jauh ke Kepulauan Easter, eloklah kiranya jika mengembara di dalam negara terlebih dahulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket