Misteri Patung 'Robert the Doll'

Ada beberapa filem yang mengangkat anak patung sebagai watak utama yang menggerakkan cerita, termasuklah salah satu anak patung paling menyeramkan di dunia, 'Robert The Doll'. Ceritanya bermula pada awal tahun 1900-an.

Robert the Doll

Robert the Doll adalah sebuah patung yang kelihatan cantik dan baik. Saiznya menyamai seorang budak kecil serta dikenakan pula dengan pakaian manusia sebenar. Rupanya agak menyeramkan, terutamanya di bahagian mata yang kecil serta hitam.

Robert the Doll lahir daripada syarikat Steiff, salah sebuah syarikat yang bertanggungjawab menghasilkan patung 'teddy bear' pertama untuk Presiden Amerika Syarikat, Theodore Roosevelt.

Permulaan kisah Robert the Doll

Anak patung ini dimiliki oleh Eugene Robert Otto, pemberian orang gajinya yang bekerja di rumah Otto.

Dia juga telah menamakan anak patung itu sebagai Robert, bersempena namanya dan mereka menjalinkan hubungan yang rapat selepas itu.

Kisah persahabatan Otto dan Robert the Doll bermula dengan sangat baik, dengan hubungan yang agak unik.

Otto akan membawa patungnya kemana sahaja dia pergi dan bercakap dengan patung itu seakan-akan dia adalah seorang manusia sebenar.

Kejadian pertama berlaku pada satu malam ketika mana Otto terbangun daripada tidur dan mendapati Robert the Doll duduk di hujung katilnya sambil merenung tepat ke arah Otto.

Tidak lama kemudian, ibunya terjaga daripada tidur selepas terdengar jeritan meminta tolong dan diselangi dengan bunyi perabot yang terbalik. Otto lantas menyalahkan Robert the Doll ke atas kejadian tersebut.

Sejak itu, alasan yang sama digunakan oleh Otto setiap kali kejadian aneh yang berlaku di rumah terbabit.

Orang tuanya pada mulanya tidak percaya dengan dakwaan anak mereka, namun mengakui beberapa kejadian pelik telah berlaku ke atas anak mereka Otto.

Adakah 'Robert' yang lakukan semua ini?

Misteri Robert_The_Doll

Tidak ada yang tahu mengapa atau bagaimana anak patung ini boleh menggerakkan perabot yang ada di dalam bilik tidur Otto, tetapi kejadian aneh dan pelik tidak berhenti di situ.

Ibu bapa Otto juga dikatakan sering mendengar anak mereka bercakap dengan Robert the Doll dan mendapat respon oleh satu suara yang tidak dikenali.

Selain itu, mereka turut mengatakan bahawa pernah melihat patung itu bercakap dan menyaksikan ekspresi wajahnya berubah.

Dalam kejadian yang lain pula, seorang tukang paip yang sedang melakukan kerja-kerja pembaikan di rumah Otto pernah mendengar suara seorang budak sedang ketawa ketika keluarga Otto tidak berada di rumah.

Apabila tukang paip itu cuba menyiasat dari bilik ke bilik, dia mendapati patung Robert the Doll itu telah berubah tempat dengan sendirinya.

Robert the Doll terus tinggal bersama Otto sepanjang hayatnya dan setelah ibu bapanya meninggal dunia, Otto kembali ke rumah tersebut bersama isterinya, Anne.

Otto juga telah memutuskan bahawa anak patung itu memerlukan biliknya sendiri dan telah memindahkannya ke bilik atas yang menghadap ke jalan.

Cadangannya itu tidak dipersetujui oleh isterinya, Anne, yang takut lalu patung itu disimpan di loteng atas rumah mereka. Keputusan yang sama sekali tidak disukai oleh Robert the Doll.

Tidak lama kemudian, pelbagai kisah aneh yang berlaku. Tetamu yang hadir ke rumah mereka mula mendengar orang berjalan kaki di tingkat atas.

Kanak-kanak di kawasan kejiranan juga mengatakan bahawa mereka melihat Robert dari tingkap bilik tidur ketika mereka mahu pulang dari sekolah.

Bahkan beberapa perabot atau peralatan dalam rumah itu juga sering beralih tempat dengan sendiri tanpa sebarang penjelasan.

Mendengar dakwaan orang ramai, Otto mula menyiasat kejadian aneh tersebut. Dia pada mulanya tidak percaya kerana yakin telah meletakkan patungnya itu di bahagian atas rumah dan tidak mungkin Robert the Doll boleh berpindah tempat.

Namun, semuanya meleset apabila dia mendapati patung yang telah dia kunci di bahagian loteng rumah berada elok di dalam bilik tidur, Robert the Doll duduk di kerusi malas di tepi tingkap bilik yang menghadap jalan.

Sejak itu, setiap kali Otto meletakkan Robert the Doll kembali ke bahagian loteng, setiap kali itu juga dia akan melihat patungnya itu kembali ke kerusi yang sama.

Robert the Doll berpindah tangan

Otto meninggal dunia pada tahun 1974, lalu Robert the Doll berpindah tangan kepada sebuah keluarga yang baharu ketika mereka berpindah masuk ke rumah Otto.

Seorang anak perempuan telah menemui Robert di bahagian loteng rumah. Dia yang mulanya gembira dengan penemuan itu akhirnya kecewa apabila sering diganggu oleh Robert.

Anak perempuan itu mendakwa bahawa Robert mahu menyakitinya. Dia sering diganggu ketika tidur dan menjerit ketakutan di tengah malam.

Dia memberitahu ibu bapanya bahawa Robert akan berpindah tempat setiap malam dan bergerak sendiri.

Tidak lama selepas itu, Robert the Doll diserahkan kepada pihak muzium. Dia ditempatkan di East Martello Fort, di mana pengunjung dari seluruh dunia datang untuk melihatnya.

Benarkah Robert the Doll telah disumpah?

Robert the Doll dalam kaca

Ramai yang menyatakan bahawa asal usul permulaan kisah misteri Robert the Doll adalah dari orang gajinya.

Dia yang sering ditindas oleh keluarga Otto telah memberi anak patung yang dijampi dengan ilmu sihir kepada Otto dengan tujuan untuk menganiaya keluarga tersebut.

Ini adalah antara teori popular yang berlegar disebalik pengalaman misteri dan menakutkan; tetapi jika betul teori ini, bukankah penghujung sesuatu cerita itu akan berakhir dengan keluarga Otto akan menjadi porak peranda disebabkan sumpahan jahat orang gajinya?

Kini, misteri Robert The Doll terus menghantui dan menakut-nakutkan orang yang datang untuk melihatnya, terutama mereka yang berkunjung ke muzium dan cuba untuk mengambil gambar.

Mereka melaporkan kamera tidak dapat digunakan ketika cuba untuk mengambil gambar patung tersebut.

Robert the Doll, dia mungkin duduk di dalam kotak kaca; tetapi tidak pernah berhenti daripada mengganggu kakitangan dan pengunjung muzium.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket