Tidak Sah Solat Baca Al-Fatihah Dalam Hati

Membaca Surah Al-Fatihah merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan kita memang akan membaca ummul kitab itu tatkala menunaikan solat, namun dari segi lafaz berkenaan kadangkala kurang jelas didengari di telinga sendiri. Bahkan, ada segelintir orang pula membaca surah berkenaan hanya dalam hati.

Membaca Al-Fatihah

Bagaimanakah cara yang betul melafazkan Surah al-Fatihah? Adakah cukup sekadar berbisik dan bacaan itu hanya didengari di telinga sendiri?

Rukun Qauli

Sebelum menjawab kemusykilan itu, ayuh kita fahami dahulu bahawa bacaan Surah al-Fatihah tersebut termasuk dalam rukun qauli, iaitu bacaan-bacaan yang wajib dalam solat.

Rukun Qauli merangkumi takbiratul ihram, Surah al-Fatihah, tasyahud akhir dan salam.

Ketika menunaikan solat, setiap umat Islam disyaratkan melafazkan setiap rukun qauli tersebut dengan suara yang dapat didengari oleh diri sendiri jika keadaan pendengaran kita baik dan tiada halangan untuk mendengarnya seperti bunyi bising.

Bagaimanapun, jika keadaan adalah sebaliknya yang mana pendengaran kita kurang baik seperti mengalami masalah tuli atau ada halangan lain sebagai contoh bunyi bising, maka tidak diwajibkan untuk kita mendengar bacaan berkenaan.

Pun begitu, kita tetap wajib melafazkannya dengan suara yang boleh didengari ketika pendengaran kita dalam keadaan baik atau keadaan tidak bising.

Dan tidak sah bacaan setiap rukun qauli apabila ia tidak dilafazkan dengan suara yang dapat didengari oleh dirinya sendiri.

Ia termasuklah jika rukun-rukun qauli yang disebutkan di atas hanya sekadar dibaca di dalam hati, menyebabkan solat yang dikerjakan tidak sah.

Rukun qauli berasal daripada perkataan 'qaul' yang bermaksud kata-kata, adalah rukun berasaskan sebutan dan bacaan yang memerlukan seseorang melafazkan bacaan sekadar didengari telinga sendiri ketika takbiratulihram, membaca Surah al-Fatihah, membaca tahiyat akhir, selawat ke atas Nabi dalam tahiyat akhir dan melafazkan salam.

Sekiranya lima rukun qauli tidak dipenuhi, maka tidak sah solat seseorang itu.

Syarat sah rukun qauli pula menyenaraikan kewajipan menyebut bacaan makhrajnya tepat, meneliti tasydid (baris sabdu) dan menjaga bacaan supaya tidak terputus di pertengahan ayat atau kalimat.

Menurut artikel Al-KafiLi Al-Fatawi, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam mazhab al-Syafie, rukun qauli seperti Surah al-Fatihah wajib dibaca dengan bacaan yang didengari diri sendiri.

Dalam kitab I'anah al-Talibin menyatakan yang bermaksud: "(Dan wajib mendengar) iaitu takbiratulihram itu oleh orang yang bersolat itu sendiri, sekiranya pendengarannya baik dan tiada dihalang dengan benda yang mendatang contohnya bunyi bising (seperti seluruh rukun qauli) daripada al-Fatihah, tasyahhud akhir dan bagi salam."

Semoga ALLAH menerima segala amal ibadah yang kita lakukan.

(Sumber: JAKIM & Pejabat Mufti Wilayah)

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com