SBDJ Siri 156: Misteri Senjata Lama

Suasana bising dan jeritan dari dalam rumah menarik perhatian Tuk Siak. Tanpa membuang masa Tuk Siak masuk ke ruang rumah. Dia terpegun melihat si baju hitam menyerang datuk bertalu-talu. Mata liar merenung ke kiri dan ke kanan. Dia mencari saya yang bersembunyi di balik pintu.

SBDJ siri 139

Saya memberanikan diri lalu keluar dari tempat persembunyian. Bagi menarik perhatian Tuk Siak, saya ketuk daun pintu dengan buku lima beberapa kali.

Usaha saya itu berhasil. Tuk Siak segera memberikan isyarat dengan mengangkat tangan kanannya separas hidung, menyuruh saya meyembunyikan diri kembali. Saya patuh dengan permintaannya itu.

Dari balik pintu saya lihat Tuk Siak bergegas meninggalkan ruang rumah. Datuk terus mempertahankan diri dari menjadi korban lembing.

Si baju hitam tidak memberikan kesempatan untuk datuk berhenti bagi menghilangkan penat. Ternyata si baju hitam cukup handal.

Tumbukan datuk tidak memberikan apa-apa kesan pada dirinya. Saya tidak tahu bagaimana mahu memberhentikan pertarungan tersebut.

Saya menarik nafas, bila melihat Tuk Siak muncul kembali di ruang rumah. Kali ini dia ditemani oleh Haji Bagus.

"Kenapa jadi begini?" suara Haji Bagus meninggi tetapi, tidak dipedulikan oleh datuk dan si baju hitam. Mereka terus berjuang.

Melihat keadaan datuk yang kepenatan itu, Haji Bagus dan Tuk Siak segera mengatur langkah untuk membantu datuk.

Mereka rapat ke arah si baju hitam dan cuba memberkasnya. Sayangnya hasrat mereka tidak direstui oleh datuk.

"Jangan Abang Aji, jangan Tuk Siak. Biar saya selesaikan sendiri."

"Tapi, budak yang kamu lawan tu, lain macam aje nampaknya. Perkara macam ni tak boleh main-main. Ini merbahaya, dia macam kena rasuk hantu," jawab Haji Bagus yang sudah dua tiga kali cuba merampas lembing dari tangan si baju hitam.

"Tak apa, biar saya selesaikan," balas datuk tenang.

Tuk Siak hanya mengigit jari. Dia jadi bingung bila berdepan dengan perkara seperti ini. Mahu ditolong, tak boleh. Mahu dibiarkan takut ada nyawa melayang.

Si baju hitam terus menyerang tanpa mengenal rasa penat. Kekuatannya bagaikan tenaga seekor singa.

Setelah puas mengelak dan bertahan, datuk segera menukar taktik. Kali ini datuk menyerang si baju hitam bertalu-talu.

Mereka terus bertarung bagaikan Hang Tuah dengan Hang Jebat. Si baju hitam cukup tangkas.

Setelah hampir satu jam bertarung, datuk mula keletihan. Tetapi, si baju hitam masih bertenaga.

"Andi Kamarool," pekik datuk sekuat hati sambil menghentakkan tumit kaki kiri atas lantai.

Si baju hitam menoleh ke kanan, pada masa itu datuk datang menerkam dari arah kiri. Bahu kanan si baju hitam ditumbuk dengan sekuat hati.

Lembing di tangan terlucut dan si baju hitam tersungkur di lantai. Datuk segera menanti dan bersedia melepaskan buah silat, jika si baju hitam bangun untuk melakukan serangan kepadanya.

KILAT

Saya kira pertarungan berakhir, bila si baju hitam tersungkur, pada kenyataannya tidak demikian.

Lembing yang terjatuh atas lantai terus tegak berdiri, melompat-lompat. Kemudian berpusing-pusing dan terus berada di awang-awangan.

Ulunya seperti ada tangan ghaib yang memegangnya. Mata lembing terus bergerak mencari sasaran dan kaki Haji Bagus menjadi pilihan.

Bagaikan kilat mata lembing itu menghala ke arah Haji Bagus. Cepat-cepat Haji Bagus merebahkan badannya ke atas lanai. Mata lembing terpacak di tiang seri dan tercabut dengan sendiri.

Mata lembing yang berada di awang-awangan itu terus mencari sasaran. Tuk Siak jadi pilihan. Orang tua itu berjaya mengelak dengan berselindung di belakang daun pintu.

Daun pintu tembus, nasib baik Tuk Siak merendahkan badan, kalau dia berlindung sambil berdiri sudah pasti tempurung kepalanya ditembusi lembing. Otaknya akan bersemburan dan melekat pada papan pintu.

Keadaan benar-benar gawat. Penduduk kampung tidak tahu apa yang berlaku di dalam rumah pusaka.

Haji Bagus terus meniarap, tidak berani bangun. Tuk Siak diam di tempat persembunyian. Hanya datuk sahaja yang berdiri di tengah ruang rumah lama itu.

Lembing yang berada diawang-awangan itu terus menggila. Sasarannya kali ini, tidak lain tidak bukan adalah datuk. Bahagian tubuh datuk yang dipilihnya, ialah bahagian dada.

Setelah dua tiga kali mengelak dari serangan lembing berhantu itu, datuk mula penat. Saya lihat datuk, mula bergerak ke arah ibu tingkap.

Datuk berdiri di situ dengan mendada, seolah-olah merelakan rongga dadanya dirobek oleh mata lembing lama.

Tetapi, tangan kanannya bergerak lembut membuka ikatan kain cindai hitam yang membelit pingangnya.

Mata lembing lama yang berkarat tetap menyala ke dada datuk, mencari sasaran yang baik di dada.

Saya lihat datuk tenang, kain cindai sudah pun berada di tangannya.

Haji Bagus dan Tuk Siak resah sekali. Datuk saya lihat membaca sesuatu sambil membetulkan kedudukan tubuhnya. Kedudukan sepasang kakinya juga dibetulkan.

Kalau dilihat dengan teliti ternyata datuk tidak berdiri dengan betul, bahagian tubuh sebelah kanan direndahkan atau disengetkan ke kiri. Telapak kaki kirinya tidak memijak lantai, kecuali bahagian pangkal tumit.

"Ahhhhh..." terdengar suara parau.

Entah dari mana dan serentak dengan itu lembing bermata karat terbang ke arah dada datuk.

Dan secepat kilat datuk mengelak, mata lembing terbenam di papan ibu tingkap. Dengan tangkas datuk membelitkan kain cindai ke mata lembing yang berkarat.

Aneh sungguh, mata lembing tercabut sendiri lalu jatuh atas lantai. Tanpa membuang masa datuk membalut dan mengikat mata lembing berkarat dengan kain cindai.

Sepanjang usaha membalut itu dengan sedaya upaya saya lihat datuk cuba mengelakkan mana-mana bahagian tubuhnya dari menyentuh atau terkena ulu lembing.

"Kamu tak apa-apa?" tanya Tuk Siak sebaik saja dia melihat datuk bersila di lantai.

"Tak apa-apa," jawab datuk tenang sambil menarik dan melepaskan nafas dengan perlahan-lahan. Baji datuk basah diresapi peluh.

"Kenapa dibiarkan di sini," Haji Bagus membongkok di depan lembing karat dan cuba memegang ulunya.

Bagaikan kilat datuk menerpa ke arah Haji Bagus dan terus menolaknya ke belakang. Haji Bagus terlentang.

"Kenapa kamu tolak aku?"

"Maaafkan saya Abang Aji, sekejap lagi saya terangkan," datuk segera mengangkat Haji Bagus.

Tuk Siak tercengang. Saya kira dia kurang senang dengan sikap datuk yang agak kasar itu. Tetapi, dia tidak berani bersuara.

"Carikan saya kain buruk Tu Siak," pinta datuk.

"Oh, tunggu sekejap aku cari."

Tuk Siak segera turun di bahagian dapur. Beberapa minit kemudian Tuk Siak muncul di sisi datuk dengan segumpal kain buruk di tangan.

"Nah," hulurnya kepada datuk.

"Terima kasih Tuk Siak," datuk segera mengambil kain tersebut.

Dan dengan kain itu datuk memegang ulu lembing yang dibuat dari teras cengal. Datuk menatang lembing lama lalu diletakkan ke tempat asalnya.

Tuk Siak dan Haji Bagus hanya memandang saja gelagat datuk itu. Datuk keluar dari bilik menyimpan senjata lama.

"Sekarang aku faham, kenapa kamu tak bagi aku pegang ulu lembing," bisik Haji Bagus sebaik saja datuk berdiri di depannya.

"Senang hati saya, bila Abang Aji dah tahu perkara ini. Tak perlu saya menerangkannya lagi," sahut datuk sambil senyum.

Datuk melangkah ke arah si baju hiam yang tergolek di atas lantai. Haji Bagus dan Tuk Siak ikut sama. Kami segera mengelilingi si baju hitam yang terlentang.

Saya merenung ke arah cahaya matahari yang sudah menguasai hampir separuh ruang rumah. Angin yang masuk ikut tingkap si sebelah kanan memberikan sedikit keselesaan.

Ternyata keselesaan itu tidak disenangi oelh datuk. Dia menyuruh saya menaikkan ibu tingkap dan perintahnya itu segera saya patuhi.

Selesai menjalankan perintah datuk saya kembali bergabung dengan Haji Bagus, Tuk Siak dan datuk merenung si baju hitam.

Saya lihat kaki dan tangan si baju hitam mula bergerak, tersentak-sentak macam kaki kucing yang ditikam dengan jarum peniti.

"Sudah sedar," kata Tuk Siak.

"Serentak datuk dan Haji Bagus anggukkan kepala. Perlahan-lahan si baju hitam tersedar dari tidur. Dia gosok kedua belah kelopak matanya.

Renung kiri, renung kanan sambil mengedutkan dahinya. Wajah saya ditatapnya agak lama. Kemudian berubah ke wajah Tuk Siak, datuk dan Haji Bagus.

Lebih dari lima kali dia menatap wajah kami silih berganti, macam ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

Si baju hitam lunjurkan sepasang kaki, dia meraba rambut dan telinganya. Dia menumbuk kosong ke kiri dan ke kanan beberapa kali.

Tarik nafas sambil mengeliat. Saya lihat wajahnya agak tenang dan damai.

"Saya ni di mana?" pertanyaan itu diajukan kepada Haji Bagus.

"Sekarang kamu mengucap, kemudian baca Fatihah dan cuba ingat di mana kau berada sekarang," datuk yang memberikan jawapan, bukannya Haji Bagus.

"Cuba kau ingat baik-baik, kau di mana sekarang Andi," sambung datuk.

Buat beberapa ketika si baju hitam merenung sambil mengigit bibir bawah. Hujung mata sebelah kanannya saya lihat kian mengecil.

"Saya... di mana saya berada?" si baju hitam menyoal dirinya sendiri.

"Di mana?" tingkah Tuk Siak.

"Kita datang nak bersihkan rumah tapi, macam mana saya boleh terbaring disini?"

"Humm..." saya bersuara.

Datuk segera menepuk belakang si baju hitam lima kali berturut-turut. Si baju hitam bersin dan batuk.

"Mata lembing tertanggal tu sudah aku letakkan ke tempat asalnya. Sekarang kamu ceritakan pada aku apa yang kamu rasakan semasa lembing itu berada di tangan kau," desak datuk.

Si baju hitam meraba kelopak mata kanannya dua tiga kali.

"Tak payahlah," katanya.

"Tak boleh begitu," sanggah Haji Bagus.

"Ada baiknya kamu bercerita barangkali ada faedahnya untuk kami di sini," sahut Tuk Siak.

"Ceritakanlah Andi demi kebaikan orang lain," datuk terus mendesak.

Si baju hitam terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dia tersenyum panjang, macam ada sesuatu mencuit perasaannya. Sikapnya itu menimbulkan pelbagai tanggapan dalam hati datuk.

"Kamu tak mahu menceritakannya?" Datuk tenung sepasang anak mata hitamnya.

"Tidak tapi..."

Si baju hitam tidak meneruskan kata-katanya. Datuk segera memegang pergelangan tangan kanannya.

"Kenapa Andi," datuk mendekatkan bibir ke cuping telinga kanannya.

"Seram dan menakutkan," kata si baju hitam.

"Tak mengapa, teruskan. Aku ada dekat kamu," bisik datuk lagi.

Mendengar kata-kata datuk itu, si baju hitam segera meletakkan telapak tangan kirinya atas bahu kanan datuk.

Dengan tenang datuk menggosok lengan kanan si baju hitam dua tiga kali sebelum telapak tanan kiri si baju hitam diletakkan ke atas lantai.

"Ceritakan Andi," desak datuk dan kali ini desakan datuk berhasil.

Tanpa tangguh-tangguh, si baju hitam pun memulakan cerita. Katanya di saat ulu lembing berada di genggamannya, tiba-tiba saja perasaan jadi marah. Badan terasa panas.

Apa yang dilihat semuanya membosankan dan dia bersedia mahu memusnahkan apa saja yang berada di depan mata.

Dan ruang rumah secara mendadak menjadi padang yang cukup luas.

PADANG

Dari setiap sudut padang bermunculan tentera kulit putih (Belanda) lengkap dengan peralatan perang.

Tentera kulit putih memuntahkan peluru meriam ke arah kawasan perkampungan dan sebahagian daripada mereka meluru ke arahnya sambil melepaskan tembakan bertalu-talu. Ternyata dia tidak mampan oleh peluru tentera kulit putih.

Tentera kulit putih mengubah taktik. Mereka mengenakan benet di hujung senapang lalu menikam tubuhnya. Ternyata kulitnya tidak ditembusi oleh besi.

Kalau tadi dia hanya bertahan saja tetapi, kali ini dia mula bertindak. Dia menyerang, menikam apa saja.

Dalam saat-saat tertentu lembing bagaikan terbang di udara. Dia yang memegang ulu lembing turut berada di udara. Bergerak kesana ke sini mencari sasaran.

Akibatnya, beratus-ratus tentera kulit putih bergelimpangan atas padang.

"Masa saya asyik membunuh orang kulit putih dengan lembing, entah macam mana datang seorang lelaki Melayu.

"Saya tak tahu dari mana arah dia datang. Dia datang ke arah saya sambil membaca ayatul Kursi.

"Belum sempat saya bertanya, apa tujuan dia datang ke tempat saya, lelaki tua itu melepaskan pemnumbuk ke bahu kanan saya.

"Tangan saya yang memegang lembing terus menjadi lemah. Saya jatuh tersungkur atas padang," si baju hitam berhenti bercakap.

Dia menelan air liur. Semua yang berada di sisinya mendengar penuh khusyuk.

Saya jadi seronok mendengar ceritanya dan berharap dia akan terus bercerita.

"Telinga saya terus diasak dengan suara orang membaca surah Al-Falaq dan Al-Ikhlas. Bila saya buka mata, saya tak lagi berada di padang. Tetap, berada di sini. Inilah membuat saya jadi bingung," sambung si baju hitam dengan wajah jujur.

NAFAS

Dia menarik nafas sambil merenung ke arah Tuk Siak dan Haji Bagus. Si baju hitam senyum ke arah saya dan senyumannya itu saya balas.

Bila saya menoleh ke arah Tuk Siak dan Haji Bagus, saya lihat mereka kerutkan kening dan serentak mereka merenung ke arah bilik yang menyimpan senjata lama.

Datuk pula terus sandarkan badan ke dinding. Sepasang kakinya dilunjurkannya. Datuk cuba menenangkan perasaannya dengan menarik dan melepaskan nafas secara teratur dan perlahan.

Kerana bosan dengan suasana yang agak beku itu, saya bangun dan meninggalkan datuk dan kawan-kawannya yang sedang berdepan dengan si baju hitam.

Saya berdiri di depan tingkap melihat beberapa ekor burung merbah jambul melompat di dahan jambu air dalam sinaran matahari pagi yang kian meninggi.

Sengaja saya hulurkan muka keluar, agar angin pagi menyentuh kulit muka. Sayup-sayup saya terdengar kuang melalak di kaki bukit.

"Saya nak tanya sikit Tuk Siak..." kerana datuk tidak meneruskan kat-katanya mendorong saya mengalih pandangan ke arahnya.

Kerana memikirkan ada perkara yang menarik bakal diturutkan oleh datuk, Haji Bagus dan Tuk Siak, memaksa saya bergabung dengan mereka semula.

"Tanya apa?" Tuk Siak tatap wajah datuk.

Saya perkemaskan sila. Si baju hitam masih seperti tadi, masih memikir-mikirkan perkara yang sudah dilaluinya.

"Tuk Siak tahu, siapa yang punya lembing puaka tadi?" susul datuk.

Saya lihat kelopak mata Haji Bagus dan Tuk Siak pejam celik. Tetapi apa yang jelas di wajah Tuk Siak terpamer kesungguhannya menyorot masa silam.

"Aku tak ingat. Kamu bagaimana? Agaknya kamu tentu ingat tuan punya lembing tu," Tuk Siak tatap muka Haji Bagus yang masih berkerut iu.

"Sekarang pergi ambil lembing itu semula, nama tuannya ada tertulis di situ," Haji Bagus pun merenung semula ke arah bilik yang menyimpan senjata lama.

Mendengar kata-kata Haji Bagus itu, datuk segera menerpa ke arah bilik tersebut dan keluar dengan lembing puaka di tangan.

Haji Bagus dan Tuk Siak nampak cemas sekali. Dengan hati-hati datuk meletakkan lembing puaka di atas lantai. Si baju hitam segera menjauhkan diri.

"Tak merbahaya?" kata Tuk Siak.

"Dengan izin Allah, tak bahaya," balas datuk.

"Namanya tertulis di situ, nanti aku baca," Haji Bagus bergerak ke arah lembing puaka lalu bertinggung di situ.

Dia membaca tulisan jawi yang terpahat kepada buluh kering.

"Tuan punya lembing tu, namanya Usman Ali Akhbar."

"Agaknya pahlawan," kata datuk.

"Iya," angguk Haji Bagus.

"Habib Usman Ali Akhbar inilah yang memimpin orang-orang kampung menentang Belanda di Muara Jambi. Dengan lembing inilah dia membunuh beratus-ratus askar Belanda, dia tak lut peluru," Tuk Siak mula meriwayatkan tentang manusia bernama Habib Usman Ali Akhbar.

"Malangnya, Habib Usman dikhianati oleh anak Jambi sendiri. Dia ditikam dengan ranting jambu batu yang ditajamkan bahagian hujungnya.

"Habib ditikam dari belakang semasa dia mengambil wuduk untuk sembahyang zuhur di tepi sungai," Tuk Siak menamatkan cerita dengan wajah yang sedih.

Haji Bagus meraba hujung dagunya sambil menganggukkan kepala beberapa kali.

Apa yang diungkapkan Tuk Siak terbayang dalam kepala Haji Bagus.

Walaupun dia tidak pernah bertempur melawan Belanda bersama Habib Usman Ali Akhbar tetapi, dia turut mengusung jenazah pahlawan itu ke tanah perkuburan.

"Kamu masa tu dah merantau," Haji Bagus tepuk bahu datuk.

"Macam mana dengan nasib pembunuhnya?" Si baju hitam mula bersuara.

"Orang yang membunuhnya sempat melarikan diri dan dia mendapat perlindungan dari pemerintah Belanda di daerah ini.

"Si pengkhianat bangsa itu di bawa ke Jakarta dan dijadikan pengawal rumah Gabenor Belanda tapi, akhirnya dia mati juga dibunuh Belanda, " sambung Tuk Siak.

Matanya tidak berkedip merenung muka datuk dan saya. Selanjutnya Tuk Siak menyatakan semua senjata pahlawan yang gugur itu dikumpulkan di tanah lapang untuk ditanam.

Tujuan berbuat demikian bagi mengelakkan senjata itu dirampas oleh pemerintah Belanda.

Sebuah lubang digali sedalam paras dada orang dewasa. Semua senjata itu dihumban ke dalam lubang.

Semasa lubang itu mahu ditimbus, seorang tua (ayah kepada Tuk Siak) menghalang kerja-kerja itu diteruskan. Dia mengarahkan supaya senjata dalam lubang dikeluarkan kembali.

Sudah tentu arahan orang tua itu ditentang. Pihak yang mahu menanam senjata merasakan kerja mereka itu sia-sia belaka.

Mereka menyalahkan orang tua itu kerana tidak memberitahu perkara tersebut lebih awal. Akhirnya berlaku pertengkaran hebat.

Malah, ada yang menuduh orang tua itu tali barut Belanda. Sebagai orang tua yang sudah masak dengan asam garam kehidupan, suasana tegang itu dapat dikendurkannya. Senjata yang berada dalam lubang segera dikeluarkan.

Dengan nada suara yang lembut orang tua itu memberitahu, jika senjata itu ditanam akan membawa padah kepada tanaman kampung.

Daun-daun pokok berguguran, dahan menjadi rapuh. Putik buah-buahan gugur. Buah pinang dan kelapa busuk di pokok.

Padi di sawah tidak akan menjadi, tanah tempat senjata ditanam menjdai hitam. Begitulah bisa dan panasnya senjata pahlawan yang gugur.

BINCANG

Setelah mengadakan perbincangan, keputusan yang diambil semua senjata pahlawan yang gugur ditempatkan di sebuah bilik khas dan dikunci.

Dua orang dilantik untuk meneruskan kerja-kerja tersebut dan mereka tidak akan memberitahu sesiapa pun tempat mereka menyimpan senjata lama. Perkara itu menjadi rahsia mereka berdua saja.

"Siapa orang berdua tu?" tanya datuk tanpa sabar, sebaik Tuk Siak menamatkan ceritanya. Haji bagus dan Tuk Siak segera berpandangan.

"Siapa orangnya?" Si baju hitam terus berdiri untuk beberapa minit kemudian duduk kembali sambil menyandarkan badannya ke dinding.

"Orang berdua itu, aku dan Tuk Siak. Orang di kampung ini sampai sekarang tak tahu kerja itu kami yang buat. Mereka percaya senjata lama itu bergerak sendiri.

"Orang yang menjadi 'kepala' dalam hal ini, ayah Tuk Siak sendiri," Haji Bagus membuka rahsia.

"Sudahlah tu kawan, usah panjangkan kisah ayah kita. Dia mati syahid kerana menentang Belanda," sambil ketawa Tuk Siak menghalang hasrat Haji Bagus untuk menceritakan kehebatan dan kebolehan ayahnya kepada datuk.

"Saya setuju dengan Tuk Siak," kata datuk.

Dan cerita tentang ayah Tuk Siak, mati di situ. Tetapi, hati kecil saya tetap berazam. Bila ada waktu terluang, saya akan memujuk Tuk Siak agar sudah menceritakan kisah diri ayahnya kepada saya.

"Kamu tahu, susahnya menjaga senjata lama ni," keluh Tuk Siak.

"Kenapa?" biji mata datuk terbeliak.

"Setiap malam Selasa, terutama bila akan sampai waktu subuh, senjata lama yang ada dalam bilik tu berlaga sama sendiri, macam bunyi orang berperang. Kadang-kadang terdengar orang menjerit, meraung kesakitan," Tuk Siak batuk kecil.

Secara mendadak saja saya terasa seram. Si baju hitam nampak macam biasa saja, yang nampak resah sedikit ialah Haji Bagus.

"Sekarang ni, perkara macam tu ada lagi?" saya dan datuk tersentak.

Diluar dugaan si baju hitam berani mengemukakan pertanyaan yang sedemikian. Kerana ada yang minat dengan ceritanya, Tuk Siak memperkemaskan silanya.

"Masa Belanda mula berambus dari Tanah Jambi, bunyi suara orang menjerit dan meraung menjadi-jadi. Begitulah juga dengan bunyi senjata berlaga.

"Bagi mengelakkan perkara-perkara yang tak baik terjadi, orang-orang kampung mengadakan pembacaan surah yasin, setiap malam selama setahun, akhirnya kejadian aneh itu hilang begitu saja.

"Cuma hari ini aku melihat kejadian pelik di depan mata aku, agaknya penunggu senjata lama marah kerana kita kacau dia," Tuk Siak menamatkan ceritanya. Semua yang mendengar termangu-mangu.

RENUNG

Berita yang dipaparkan oleh Tuk Siak itu membuat datuk termenung panjang. Datuk renung ke kiri dan kanan dan akhirnya menuju ke bilik senjata lama.

Bilik yang penuh misteri itu direnungnya sambil telapak tangan kanannya memukul jenang pintu bilik berkali-kali.

Bila datuk menghentakkan kaki kirinya ke lantai, tiga kali berturut-turut, terdengar sesuatu yang aneh dari dalam bilik.

Bila diamati, ternyata bunyi itu adalah bunyi keris yang dicabut lebih dari lima puluh bilah.

"Sekarang."

Datuk bersuara dalam nada yang agak tinggi. Semua biji mata tertumpu ke arahnya. Masing-masing berdebar menanti, apakah kata-kata selanjut yang bakal datuk katakan.

"Tuk Siak dan Abang Aji dah dengar bunyi ganjil tu," sambung datuk.

Serentak Tuk Siak dan Haji Bagus anggukkan kepala. Datuk pun segera merapatkan daun pintu bilik dan terus di kunci.

Dengan tenang datuk meninggalkan bilik rahsia. Dia datang kepada kami.

Si baju hitam yang tadi hanya duduk saja, kini sudah bangun. Sudah berani melangkah ke mana saja yang diingininya di ruang rumah.

Haji Bagus menuju ke tingkap, berdiri di situ merenung ke arah bukit. Dia melihat helang terbang rendah, berlegar-legar di puncak bukit mencari tikus atau katak.

Tuk Siak tak berubah dari tempat asal. Sedangkan datuk ke hulu ke hilir didepannya, gerak geri datuk itu membayangkan dia sedang berusaha menyelesaikan persoalan yang sedang dihadapinya.

Datuk menuju ke tiang seri, berdiri di situ dengan menyandarkan bahu kanannya kepada tiang tersebut.

"Memang dah jadi perangai orang Melayu..." cetus datuk tiba-tiba, tetapi aneh sungguh perangainya.

Dia tidak meneruskan kata-kata sebaliknya menoleh ke kiri dan ke kanan. Dahinya dikerutkan dan kening kanannya terangkat beberapa kali.

Dengan mengejut datuk bergegas ke pintu menghulurkan separuh badannya

keluar manakala sepasang matanya merenung ke dada langit. Dia melihat kepulan awan yang bergerak.

Tentu saja perbuatannya itu menimbulkan seribu tanda-tanya dalam diri Haji bagus dan Tuk Siak.

"Apa yang kamu cari," soal Haji Bagus.

Datuk tidak menjawab tetapi melangkah kembali ke tiang seri dan bersandar seperti tadi. Kali ini kakinya disilangkan. Kaki kiri menindih kaki kanan.

"Apa yang membimbangkan kamu," susul Haji Bagus lagi.

"Tak ada apa apa, sekadar beringat-ingat."

"Tadi kamu bercakap sesuatu, kenapa cakap tu, tak kamu teruskan. Aku nak dengar buah butirnya," Tuk Siak pula bersuara.

Kali ini datuk tidak boleh berdalih lagi. Dia harus melenyapkan rasa sangsi di hati Tuk Siak dan Haji Bagus.

Seperti biasa datuk menghadapi situasi dengan tenang dan sabar.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 156/284

BACA: SBDJ Siri 155: Lembing Puaka
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com