SBDJ Siri 148: Membuang Ancak

Kononnya ada nelayan sungai yang memancing waktu malam terserempak dengan jembalang sungai menjilat dalam tulang-tulang dan memakan bunga yang terdapat dalam ancak di kawasan lubuk.

SBDJ siri 139

Mereka melihat jembalang itu timbul di permukaan sungai dengan badan sebesar kerbau, mempunyai belalai macam gajah, kepalanya macam kepala sotong dan bermata satu yang memancarkan cahaya macam bara api menerangi keseluruhan bahagian lubuk.

Sebahagian dari kulitnya menggerutu dan sebahagian lagi bersisik tenggiling. Dari hujung belalai terkeluar lidah yang cukup panjang berwarna kehijau-hijauan.

Dari bawah lidahnya menitik air liur yang menyerupai buih sabun. Lidah yang panjang itu terus menjilat-jilat tulang hingga nipis.

Masa jembalang sungai itu menjilat tulang, udang dan ikan berlompatan bagaikan bermain-main di sisinya yang jumlahnya cukup banyak.

Semua ikan, udang dan ketam besar-besar belaka. Buaya pun menimbulkan badan seolah-olah menjaga keselamatan diri jembalang sungai. Air sungai segera berombak dan melimpah ke atas tebing.

Bila semua tulang dijilat, bunga dimakan, jembalang sungai terus mengibas-ngibas belalainya ke tepi sungai.

Pokok dan tumbuhan yang kena libasan belalainya tunduk ke bumi.

Sebelum menghilang diri dalam perut sungai si jembalang berpusing-pusing di lubuk menghempas-hempaskan badan di permukaan sungai hingga melahirkan gelombang yang besar mengkara kiri kanan tebing sungai.

"Begitulah ceritanya, entahkan benar, entahkan tidak. Saya sendiri pun tak tahu. Saya juga tidak berhajat untuk menyiasatnya. Buat apa cari penyakit," kata Fuad Hassan dengan nada suara yang melucukan. Datuk dan saya tersenyum panjang.

"Sekarang, semuanya sudah terang. Kamu sendiri dah dengar cerita dari Pak Cik Fuad. Lain kali, kalau tengok benda-benda ganjil, janganlah gatal tangan pergi mengusiknya," ungkapan itu Datuk tujukan kepada saya.

"Betul apa yang Datuk kamu cakapkan tu, Tamar," Fuad Hassan mencelah.

Saya terdiam menelan air liur.

LANCAR

Bot terus membelah arus Sungai Batanghari tetapi, tidak selancar tadi.

Barangkali, demi keselamatan perahu-perahu kecil milik orang kampung yang berada di dada sungai menyebabkan Nurul Hayat memperlahankan laju bot yang dikendalikannya.

Sampan yang dinaiki oleh pemancing nampak terumbang-ambing di sungai, dilambung oleh alun hasil dari gerakan bot yang kami naiki.

Saya makin terhibur melihat pokok kelapa dan pepohon bacang yang sedang berbunga di sepanjang perkampungan di kiri kanan tebing.

"Pelik," kata saya.

"Apa yang peliknya, Tamar?" sahut Fuad Hassan yang mendengar keluhan saya.

"Siapalah yang buat kerja syirik, jamu hantu jembalang, hanyut ancak di sungai," saya hadapkan pertanyaan itu kepada Fuad Hassan.

Saya kira, dia wajar menjawapnya kerana dia tahu selok-belok, perangai dan budi bicara, adat dan pantang larang orang-orang yang mendiami perkampungan di sepanjang Sungai Batanghari.

Fuad Hassan ketawa kecil, dia menepuk bahu saya beberapa kali. Datuk hanya melihat saja gerak geri saya dan Fuad Hassan.

Dengan tenang Fuad Hassan menarik dan melepaskan nafas. Dia merenung ke arah tebing sebelah kiri. Saya masih menanti jawapan darinya.

"Hanyut ancak atau sesajian di sungai, sudah menjadi kebiasaan kebanyakan penduduk di sini.

"Lebih-lebih lagi kalau terjadi kemalangan di sungai, mati lemas, sampan karam, ditangkap buaya atau kampung dilanda banjir.

"Penduduk yang terbabit terus mengadakan jamuan atau sesajian," begitu tenang Fuad Hassan memberi penjelasan.

Di bawah hembusan angin sungai, saya anggukkan kepala. Datuk tidak memberikan sebarang komentar.

"Sepatutnya, perkara semacam tu tak patut terjadi. Bertentangan dengan agama," secara spontan terpancut ungkapan itu dari kedua belah bibir saya.

Fuad Hassan tersenyum, saya tak tahu sama ada semua itu tanda gembira atau senyum mengejek.

"Benar cakap kamu, memang tidak patut perkara macam itu dilakukan. Semua orang tahu.

"Cara itu salah tetapi, ada juga yang membuatnya. Ini menunjukkan yang mereka kurang mendalam pada ajaran agama Islam, mereka lebih percaya pada kuasa ghaib, hantu syaitan dan ancak," saya kira Fuad Hassan melahirkan pendapat yang cukup jujur dan ikhlas.

"Kita harap lama-kelamaan perkara begini akan hilang. Diharapkan apa yang kita tengok dan lihat ini, adalah sisa sisanya yang akhirnya terus lenyap. Kita yang tahu harus membetulkan langkah mereka yang silap," sahut Datuk.

Fuad Hassan mengangguk, setuju dengan pendapat yang Datuk hamburkan.

"Tak apalah, kita cuba menghapuskan kerja-kerja syaitan ni, kita datangkan tokoh-tokoh agama yang handal, luas pengetahuannya tentang kemajuan zaman moden, boleh bercakap dalam dua tiga bahasa.

"Orang-orang yang suka membuat kerja-kerja begini biasanya orang yang pandai bercakap, jumlahnya tak sebanyak mana tetapi boleh mempengaruhi penduduk kampung di pendalaman," Fuad Hassan begitu ghairah apa yang tersirat dalam dirinya.

Datuk tidak memberi komen sama ada menyokong atau membantah cadangan dari Fuad Hassan.

Datuk hanya tersenyum menyembunyikan seribu rahsia.

Secara mengejut saja Fuad Hassan meninggalkan saya dan Datuk di atas bot.

Dia menyelinap ke bahagian bawah. Lima minit kemudian dia muncul kembali di sisi kami.

"Ke mana tadi?" tanya Datuk.

"Beritahu anak saya supaya memperlahankan lagi laju bot dan cuba rapat ke tebing. Kota menyusur tebing hingga sampai ke tempat yang kita hajat."

"Begitu, jauhkan lagi," tanya saya.

"Tak jauh lagi, kau duduk diam-diam, jangan nakal-nakal," Fuad Hassan merenung ke arah saya dengan kerlingan yang agak luar biasa.

Tiba-tiba saja saya merasakan gerak-geri yang diperlihatkan oleh Fuad Hassan kurang menyenangkan. Terasa diri seperti disindir dan dipermainkan.

Bagi mengelakkan rasa marah berpanjangan dalam hati, saya mengambil keputusan mahu menjauhkan diri dari Datuk dan Fuad Hassan.

Belum pun sempat rancangan itu dilaksanakan, Fuad Hassan dengan nada suara yang agak tinggi memberitahu Datuk yang dia mahu turun ke bahagian enjin bot.

"Kenapa?" soal Datuk.

"Dah lama sangat aku membiarkan si Nurul Hayat bawa bot, dia dah letih tu."

"Kenapa dah dekat nak sampai, baru kamu sedar anak kamu letih. Kenapa tak bergilir-gilir membawanya sejak tadi. Bukannya bila dah nak sampai baru bertindak."

"Aku terlupa, dia pula tak merungut. Kau tengok haluan bot dah tak tentu arah, dia dah penat, boleh jadi dia dah mengantuk."

"Kalau begitu cepat bantu dia," kata Datuk.

Fuad Hassan bergegas ke bahagian bawah. Datuk pun mengekorinya dari belakang.

RIANG

Apa yang terjadi membuat saya merasa riang. Pada hemat saya, bersendirian lebih aman dan menyenangkan.

Tanpa mahu membuang masa saya pun mengatur langkah untuk menuju ke bahagian ekor bot.

Saya terus duduk di situ melihat bebuih dan gelombang bagaikan hasil dari putaran kipas di dalam air.

Bebuih dan gelombang bagaikan muncul dari bawah lalu berputar di bahagian ekor bot.

Keadaan dan suasana yang saya nikmati itu memberikan kepuasan kepada diri saya.

Kali ini, saya berazam tidak akan mengganggu sesuatu yang saya nampak ganjil atau abeh di permukaan sungai. Sesungguhnya, saya tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Keasyikan saya tergugat oleh bunyi derap tapak kaki. Saya pun menoleh ke belakang.

"Nurul Hayat..." bisik batin penuh debar.

Dada terasa cemas dan nafas juga jadi sesak. Suara yang mahu diluahkan bagaikan tersekat di kerongkong.

Cuma sepasang anak mata saja yang mampu merauti seluruh wajah Nurul Hayat yang tersenyum.

Nurul Hayat terpacak di depan mata menatang dulang (dibuat dari kayu meranti bukit) yang berisikan dua cawan kopi dan sepiring kuih.

Barangkali kuih jemput-jemput kerana bentuknya kecil dan bulat.

Tanpa mengucapkan sesuatu, Nurul Hayat meletakkan dulang kecil di depan saya. Dia terus duduk.

Darah gemuruh mulai menguasai saluran urat saraf seluruh badan. Sepanjang yang saya ingat, inilah kali pertama saya duduk di sisi gadis. Keadaan kami hampir berlaga kepala lutut.

Dua tiga helai anak rambutnya yang terkeluar dari tepi kain tudung terbuai buai di main angin, menambahkan seri kejelitaan Nurul Hayat. Begitulah menurut hemat saya.

Dalam usaha menghalau rasa gementar, saya menggigit bibir dan menggosok-gosok pangkal hidung.

Sesekali saya menggigit kuku di ibu jari. Saya jadi resah semacam.

Tetapi anehnya, dalam rasa gementar itu saya masih mampu menjeling ke arah kulit pipi Nurul Hayat yang kemerah-merahan.

Bau peluhnya amat menyenangkan, mungkin kerana terdapat karangan bunga cempaka dan tanjung tergantung di lehernya.

Direnung sekali imbas memang tidak dapat dikesan atau dilihat karangan bunga tersebut kerana ditutup oleh hujung kepala (selendang) yang terdampar di bahagian hadapan bajunya.

Tetapi, mata jahat saya dapat menyorot kuntum-kuntum bunga yang dicucuk dengan benang daun nenas dan dijadikan seperti kalung.

"Kenapa kamu nakal sangat?"

Tiba-tiba saja Nurul Hayat menghalakan wajah ke arah saya. Kami bertentang wajah, bertentang mata.

Saya bertambah menggelabah, semuanya serba tidak kena. Sekejap meraba pipi, sekejap garu pangkal telinga.

"Kenapa resah gelisah saja, teringatkan kampung halaman," datang pertanyaan dari Nurul Hayat.

Saya masih macam tadi, masih membisu. Cepat-cepat saya alihkan wajah ke arah lain, saya tidak mahu merenung wajahnya.

Tidak mahu menentang anak matanya yang saya kira mempunyai kuasa yang boleh membuat perasaan saya sedikit tidak tentu arah, membuat jantung saya berdegup hebat.

"Kamu tahu, syaitan dan iblis jika dipuja memang menjadi, kalau kita minta bantuan memang cepat dibantunya.

"Maklum sajalah, dia nak menarik hati kita supaya percaya dengannya. Bila kita dah percaya dan keyakinan kita kepada Allah bertambah goncang, kuasanya semakin kuat."

Nurul Hayat bagaikan memberi ceramah kecil kepada saya dan sepasang matanya yang jernih merenung bebuih dan alun air dibuntut bot yang bergerak.

"Apa yang awak cakap ni?" sengaja saya tinggikan nada suara untuk menutup rasa gementar di hati.

"Tak usah berdalih, saya tahu semuanya."

"Tahu apa?"

"Ayah saya dan Datuk awak dah ceritakan pada saya. Lucu. Saya ketawa dan simpati dengan awak."

"Haaaaaa..." mulut saya separuh ternganga. Nurul Hayat terus tersenyum.

Bot yang dinaiki terus bergerak, air sungai terus menghanyutkan dedaun dan reranting kering yang jatuh di permukaannya. Sekali sekala terlihat kilasan ikan di air yang jernih.

"Minum, kamu dahaga."

Saya segera menyambut cawan berisikan air kopi yang dihulurkan oleh Nurul Hayat kepada saya. Air kopi segera saya teguk. Terasa segar sekali.

"Kuihnya," hulur Nurul Hayat.

Segera saya sambut dan suapkan ke mulut, lalu saya telan.

"Sedap?" tanyanya.

"Saya anggukkan kepala."

"Apa rasanya?" soalnya lagi.

"Macam rasa ubi kentang goreng, tapi baunya macam bau bawang putih," jawab saya.

"Kamu suka?"

Pertanyaan terakhir yang diajukan itu membuat saya berada dalam serba salah. Apa yang harus saya ucapkan.

Apakah saya mesti mengatakan SUKA, pada hal memang saya tidak menyukainya.

Wajarkah saya berpura-pura untuk menyenangkan hati seorang gadis? Semuanya berlegar-legar dalam tempurung kepala.

Saya berperang dengan perasaan saya sendiri. Kuih yang sudah hancur dikunyah terus saya telan.

Nurul Hayat masih merenung gelombang air di ekor bot. Barangkali dia menanti jawapan dari saya.

Air kopi saya teguk lagi tetapi, saya tidak memberikan jawapan terhadap pertanyaan Nurul Hayat.

Kalau terus terang, saya bimbang perasaannya tersinggung. Kalau saya berpura-pura, perasaan saya pula yang terseksa.

BOHONG

Dalam keadaan fikiran dan perasaan yang kacau bilau itu, secara spontan saya teringatkan kata-kata yang sering Datuk ucapkan kepada saya:

"Jangan membohongi diri sendiri untuk memberi kepuasan pada orang lain. Perbuatan itu secara tidak langsung merendahkan martabat diri kamu sebagai seorang lelaki. Kamu harus jujur pada diri sendiri, katakan sesuatu yang benar, cara itu tidak akan merugikan diri kamu dan orang lain. Jujur dan ikhlas pada diri sendiri, adalah sikap yang baik."

"Kenapa lambat sangat nak jawab, asyik menung aje. Nak jawab SUKA atau TAK SUKA pun nak fikir-fikir panjang," Nurul Hayat menyindir.

Mungkin dia berbuat demikian kerana bosan menanti jawapan dari saya.

"Tak suka, tak sedap," sahut saya keras.

"Memang tak sedap. Mana ada ubat yang sedap," balasnya selamba.

"Ubat?"

"Iya, kuih ubat."

Saya kerutkan dahi, cawan di tangan saya letakkan atas dulang semula. Barangkali, Nurul Hayat mahu mempermainkan saya.

Kali ini rasa gemuruh dan gementar sudah hilang. Saya jadi berani. Saya jegilkan sepasang biji mata ke arah Nurul Hayat.

"Kamu mempermainkan aku?"

"Tidak," Nurul Hayat terus senyum.

"Aku tak faham."

"Apa yang kamu rasa macam ubi tu, sebenarnya bawang putih yang digaulkan dengan tepung beras huma. Kemudian digoreng," dengan serius Nurul Hayat memberikan penjelasan.

Melihatkan kepada gerak-geri dan gelagatnya membuatkan saya yakin dengan apa yang diucapkannya.

"Apa khasiatnya?"

Nurul Hayat mengambil sebatang ranting kayu, sebesar jari kelingking yang panjangnya tidak sampai sekaki.

Ranting kayu yang tersadai di bucu (entah dari mana datangnya) segera dilemparkan ke dalam sungai.

Ranting kering itu terapung-apung dibawa ke hilir. Angin yang bertiup lemah menyentuh kulit muka saya, terasa amat menyegarkan.

"Apa khasiatnya?" ulang saya lagi.

Macam tadi juga, Nurul Hayat tidak memberi jawapan segera. Dia cuma tersenyum. Sikapnya itu membuat saya hati panas.

Dan saya mula ragu-ragu dengan kebenaran kata-kata yang dituturkannya berhubung dengan kuih yang sudah masuk ke dalam perut.

"Apa khasiatnya?" saya mengulanginya untuk kali yang ketiga.

"Begini. Tepung beras huma untuk mengenyangkan perut, menambahkan tenaga, menghilangkan lenguh-lenguh sendi dan melambatkan rasa penat.

"Khasiat bawang putih goreng pula, apa dia?"

"Khasiat bawang putih goreng pula menghilangkan lemak, menghalau angin jahat dari dalam tubuh kita, mencegah dari sakit pinggang, menguatkan urat saraf.

"Sebenarnya, bawang putih kalau kita boleh makan dengan tidak digoreng lagi bagus khasiatnya."

"Makan bawang putih mentah boleh tapi, ramai yang tak tahan dengan baunya," kata saya.

"Fasal tu tadi digoreng. Menggoreng mesti pandai, jangan sampai rentung, tak payah pakai minyak," demikian Nurul Hayat memberikan penjelasan.

"Bagus," kata saya sambil menegakkan ibu jari kanan ke arahnya. Nurul Hayat tersenyum.

Kemudian, kami sama-sama menghirup kopi. Sama-sama mengunyah kuih yang tidak dinyatakan namanya kepada saya oleh Nurul Hayat.

Laju bot terasa makin perlahan dan makin hampir dengan tebing. Kami masih lagi duduk berdekatan.

Kalau tadi berlaga lutut, sekarang kami berlaga bahu, sudah saling jeling menjeling. Hati kecil mula terpikat dengan Nurul Hayat.

"Kamu perempuan hebat, pandai bersilat dan tinggi ilmu agama," saya mula memuji diri Nurul hayat.

"Huuuuuuuhhhh..." suara Nurul Hayat meninggi dan dia menjeling tajam sambil mempamerkan wajah yang agak bengis.

Saya terperanjat dengan tindak balasnya itu. Buat seketika kami tidak berkata-kata.

"Jangan puji aku, kalau kamu mahu aku duduk di sini," bentak Nurul Hayat dengan tiba-tiba.

Dia terus bangun sambil kedua belah tangan menggenggam penumbuk. Matanya merenung ke arah dada sungai. Dia menarik dan melepaskan nafas dengan resah sekali.

"Maafkan aku," kata saya tersangkut-sangkut. Nurul Hayat membuka genggam penumbuk tangan kanan. Nafas resahnya nampak berkurangan.

"Maafkan aku, sebenarnya aku tak berniat nak menyinggung perasaan kamu," rayu saya lagi.

Genggaman penumbuk di tangan kirinya terbuka. Nurul Hayat terus duduk kembali di sisi saya.

Aduh! Senangnya rasa hati. Perempuan yang keras hati dapat dilembut dengan rayuan. Saya senyum megah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 148/284

BACA: SBDJ Siri 147: Diusik Penunggu Sungai
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com