2 Tindakan 'Terbaik' Malaysia Berjaya Bendung Covid-19

Pengasingan individu yang positif COVID-19 walaupun tidak bergejala dan mengkuarantin rakyat yang pulang dari luar negara adalah dua tindakan 'unik' Malaysia yang terbukti berjaya membendung penularan wabak itu di negara ini.

Malaysia Terbaik Cegah Covid-19

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Malaysia juga adalah negara pertama dan paling cepat dalam kalangan negara di rantau ini yang mengawal pergerakan rakyat melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, bagi memutuskan rantaian virus itu dalam kalangan masyarakat.

"Kes positif kita asingkan dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan walaupun tidak bergejala atau bergejala ringan kerana mereka ada kebolehjangkitan.

"Ini berbeza dengan di luar negara, yang mana bagi mereka yang tiada gejala atau bergejala ringan, mereka hanya dikuarantin dan diasingkan di rumah saja.

"Bagi rakyat yang pulang dari luar negara, kita pastikan mereka dikuarantin selama 14 hari dan kita jalankan ujian swab pada hari pertama dan ke-13. Dengan pengawalan sebegini, kita dapat membendung penularan sama ada di dalam negara dan dari luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Temu Minda Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dihoskan menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah dan disiarkan secara langsung di beberapa stesen TV dan laman Facebook KKMM.

Dr Noor Hisham berkata, apabila PKP satu, dua dan tiga dilaksanakan, terbukti pada 18 April 2020 lalu, kes COVID-19 tidak mencapai kemuncak 6,300 kes seperti yang diramalkan JP Morgan, sekali gus membuktikan Malaysia berjaya melandaikan lengkuk kes jangkitan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana menerima nasihat Kementerian Kesihatan, selain memberi kepercayaan kepada penjawat awam sebelum membuat keputusan melaksanakan PKP melalui penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara.

"Tindakan ini diambil walaupun negara jiran belum lagi melaksanakannya. Kita mengawal sempadan dan rakyat luar tidak dibenarkan masuk ke Malaysia, sebelum kita melihat bagaimana untuk kita dapat memutuskan penularan jangkitan dalam negara," katanya.

Cegah Covid-19

Dr Noor Hisham memaklumkan, walaupun masih tiada kes COVID-19 di Malaysia ketika peringkat awal kemunculan virus berkenaan di Wuhan, China pada penghujung tahun lalu, Malaysia sudah memulakan persediaan seawal Januari lalu melalui perancangan strategik dengan mengenal pasti kaedah mengesan jangkitan, menambah baik respon kepada virus baharu dan persediaan kemudahan perubatan.

Sementara itu, ditanya mengenai jadual harian beliau dan pasukan Kementerian Kesihatan sejak COVID-19 melanda negara, Dr Noor Hisham berkata, pasukannya memulakan tugas dengan mengadakan mesyuarat pada jam 8 pagi.

"Selepas jam 9 pagi, kita bermesyuarat dengan Menteri Kanan dan menteri-menteri, dan melihat tindakan secara bersepadu membabitkan pendekatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan.

"Kadangkala, kita bermesyuarat dengan Perdana Menteri sehingga jam 1 tengah hari atau 2 petang dan kemudian kembali ke kementerian untuk melihat data kita. Perancangan kita adalah berdasarkan data.

"Kita juga selalu bermesyuarat sehingga tengah malam terutama jika kita melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD)," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian