Simbol Bulan Sabit Dan Bintang Berasal Dari Tamadun Yunani Kuno dan Rom

Hari ini, umumnya jika kita melihat bendera negara-negara Islam di seluruh dunia, boleh dikatakan hampir kesemuanya terpapar ikon bulan sabit dan bintang dalam pelbagai bentuk dan variasi gaya, dengan Jalur Gemilang kita sendiri menggunakan bulan sabit dengan bintang 14 bucu sebagai lambang perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan.

Simbol bulan sabit

Namun, asal-usul bulan sabit dan bintang yang digunakan dalam kebanyakan bendera-bendera negara Islam sebenarnya boleh dijejak di Konstantinople (kini Istanbul) yang ketika itu berada dibawah pemerintahan kerajaan Rom Timur atau Byzantine ketika itu.

Asal-usul ikon bulan sabit dan bintang tidak bermula dengan sejarah Turki seperti yang kebanyakan kita semua sangkakan selama ini.

Simbol Islam?

Kajian ikonografi menunjukkan bahawa bulan sabit dan bintang, adalah ikon yang sangat bernilai dan telah digunakan sejak zaman purba.

Manakala dari sudut yang lain, hampir seluruh dunia samada Islam dan bukan Islam menganggap bahawa bulan sabit dan bintang, secara umumnya dianggap sebagai simbol negara-negara Islam, dan sering menghiasi kubah-kubah masjid di serata dunia.

Namun, apabila kita teliti sejarah dari zaman ketamadunan sejauh Tamadun Sumeria, kita dapat menjejaki simbol bulan sabit dan bintang telah digunakan terlebih dahulu namun dalam kaedah yang sangat berbeza.

Bulan sabit mewakili "Sin" yang dianggap sebagai Tuhan Bulan. Bintang pula mewakili Venus dalam mitologi Rom Purba.

Simbol bulan sabit dan bintang sebenarnya telah muncul sebelum kedatangan Islam di tamadun Yunani Kuno dan Rom. Penggunaannya yang ketara boleh ditemui dari sejarah Byzantium yang berkaitan dengan tuhan-tuhan seperti Artemis dan juga Hecate, yang dianggap sebagai dewi pelindung kota.

Rekod sejarah juga menunjukkan bahawa, simbol ini telah digunakan secara bersama untuk kali pertama oleh kerajaan monarki Israel pada abad ke-13 dan ke-14 SM.

Selain itu, simbol bulan sabit dan bintang kebanyakannya digunakan sebagai cap mohor dalam pelbagai urusan kerajaan.

Jika kita telusuri lebih jauh lagi sekitar abad ke-2 dan ke-1 SM, kita akan menemui artifak berbentuk kepingan syiling di mana kedua simbol itu dikeluarkan sejak Ketamadunan Mesopotamia.

Dalam konteks geografi di Anatolia, Raja Pontus Mithridates VI adalah amat sinonim dalam penggunaan bulan sabit dan bintang. Bulan sabit dan bintang digunakan secara bersama pada panji-panji raja.

Zaman Helenistik dan Empayar Rom

Elagabalus Marcianpolis
Elagabalus Marcianpolis, syiling era Rom Purba.

Sekitar tahun-tahun terakhir zaman Helenistik, penggunaan bulan sabit dan bintang juga ditemui terutamanya pada duit syiling.

Di zaman Rom Pertama, bulan sabit dan bintang digunakan pada kebanyakan duit syiling juga, tidak kurang banyak juga figura dewa-dewi menurut naratif mitos Yunani digabungkan bersama dengan bulan sabit dan bintang.

Bulan sabit dan bintang telah digunakan pada beberapa tempoh berbeza sepanjang zaman Empayar Rom.

Pada abad ke-4 SM, simbol bulan sabit dan bintang digabungkan bersama-sama. Teori punca yang paling penting menjurus kepada maksud penggunaan gabungan bulan sabit dan bintang itu membawa makna "penyatuan".

Oleh itu, ketika Rom menghadapi masa yang kritikal, harapan dan keinginan untuk bersatu menghadapi ancaman dari luar telah diabadikan ke dalam bentuk syiling.

Bulan Sabit Dan Bintang Tamadun Turki

Pada tahun 1299, penggunaan bulan sabit juga telah muncul dalam Empayar Uthmaniyyah yang semakin bangkit menghampiri sempadan Byzantium, namun ia tiada simbol bintang.

Simbol-simbol bulan sabit dan bintang yang digunakan oleh Rom dan Byzantium untuk jangka masa yang lama merupakan simbol kota Konstantinople pada zaman ia baru ditakluk Uthmaniyyah.

Simbol-simbol Konstantinopel sebelum penaklukan Uthmaniyyah adalah seperti berikut: helang berkepala dua, empat ikon salib yang berlainan, bulan sabit dan bintang.

Simbol asal Kostantinople
Simbol-simbol asal Konstantinople sebelum penaklukan ditemui pada syiling.

Selepas menakluki Konstantinople dan kemudian menamakannya sebagai İstanbul, Sultan Mehmed II telah menyerap bulan sabit dan bintang, yang akhirnya menjadi simbol yang sangat dekat dengan budaya Turki dan Islam, demi memastikan kesinambungan hidup pelbagai kaum di kota.

Ia juga sekali gus menjelaskan mengapa Sultan Mehmet II menganggap dirinya sebagai pewaris Empayar Rom hingga digelar sebagai Kaiser-i Rumi (Maharaja Rom).

Apa yang menarik ialah, semasa suku Turki Gokturk mula muncul pada abad ke-8, bulan sabit dan bintang adalah kali pertama digunakan di Asia Tengah.

Sultan Mehmet II secara kebetulan telah mengadaptasi simbol versi Byzantine sebagai simbol Uthmaniyyah ketika penaklukan Konstantinople dan boleh dikatakan sangat ironi.

Bukan sahaja kita melihat bulan sabit dan bintang yang digunakan bersama-sama pada duit syiling Uthmaniyyah, tetapi juga apabila kita melihat tughra (tandatangan/cap mohor Sultan), angka-angka bulan sabit dan bintang berada dalam bentuk yang saling berkait rapat.

Bulan sabit dan bintang juga mempunyai kemungkinan besar berasal dari simbol kaum Turkic yang kemudiannya dipopularkan di dunia Islam setelah Uthmaniyyah menakluk dan memerintah timur tengah.

Turkic yang dimaksudkan adalah suku-suku bangsa berbahasa Turki.

Suku Turki
Kristian Turki

Dua gambar di atas adalah suku kaum Székelys Turk dari Hungary atau Romania, bahkan orang Kristian Székelys Turk juga turut menggunakan bulan sabit dan bintang sebagai simbol mereka.

Walaupun kini bulan sabit dan bintang diinterpretasikan sebagai "Islam" dan berbeza tafsiran dicipta mengikut budaya sesebuah negara Islam pada zaman kita.

Sesungguhnya, apabila kita melihat dari perspektif sejarah, makna dan asal usul bulan sabit dan bintang pada bendera kita mahu pun Turki sendiri jauh lebih mendalam dan mungkin sukar untuk kita terima hakikat itu.

Ia kerana, walaupun simbol bulan sabit dan bintang juga turut ditemui pada nenek moyang orang Turki dari suku kaum Gokturk, namun ia masih tidak boleh menjelaskan kaitannya dengan Islam kerana ketika itu bangsa Turk dari Asia Tengah adalah penganut agama-agama Pagan, Buddha, atau Tengrisme, dan jarak masanya masih jauh sebelum kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Kemudian, pada abad ke-19 ketika Uthmaniyyah melalui proses Reformasi Tanzimat, bendera Uthmaniyyah ditetapkan pada 1844, dengan simbol bulan sabit dan bintang berwarna putih digelar sebagai ay-yıldız (bahasa Turki untuk "bintang bulan sabit") dilampirkan pada latar belakang merah.

Ia terus digunakan sebagai bendera zaman moden Republik Turki, dengan pengubahsuaian kecil yang tidak ketara.

Salah Faham Dan Kontroversi

Kuil bulan sabit
Kuil yang pernah tular dan menjadi isu di Malaysia.

Pada abad ke-20, bintang dan bulan sabit telah mendapat interpretasi yang popular sebagai "simbol Islam", malah pernah diangkat oleh nasionalisme Arab atau Islamisme pada tahun 1970-an hingga 1980-an, tetapi akhirnya ditolak kerana salah faham dan tanggapan bahawa ia adalah simbol rasmi Islam sebagai tidak berasas pada waktu itu.

Kini, budaya salah faham itu kembali popular di Malaysia sejak ketegangan yang berpunca daripada tindakan penganut Hindu dan Sikh meletakkan arca bulan sabit dan bintang pada kubah kuil mereka.

Bahkan, budaya kubah masjid sendiri pun bukan berasal dari Islam sepenuhnya. Identiti simbolik yang paling jelas berkait dengan Islam adalah warna hijau yang jadi warna kegemaran Rasulullah SAW.

Tidaklah kita maksudkan, meneruskan penggunaan simbol bulan sabit dan bintang itu sebagai salah atau berdosa, cuma sekadar mahu mengajak masyarakat Muslim untuk membetulkan pemahaman masing-masing dalam sebarang isu.

Ini supaya agama kita tidak dijadikan bahan jenaka hanya kerana kejahilan segelintir dari kita akibat sikap semberono.

Bendera bulan bintang

Ada kesilapan pada poster yang diambil dari luar ini. Bintang dalam bendera ini diletakkan lima, tetapi hakikatnya Malaysia ada 14 buah bucu.

Setakat hari ini terdapat kira-kira 15 buah negara yang memiliki simbol gabungan bulan sabit dan bintang pada bendera masing-masing sebagai simbol identiti kebangsaan, ini termasuklah negara Malaysia.

Namun, terdapat dua negara bukan Islam yang menggunakan simbol ini dengan amat jelas pada bendera mereka iaitu Singapura dan Nepal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots