Telah Tiba Masanya Umat Islam Umpama Menggenggam Bara Api

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabat, bahawa akan tiba satu masa nanti, orang yang berpegang teguh dengan agama Islam akan berada dalam keadaan yang sukar sehingga mereka disifatkan sebagai menggenggam bara api.

Islam Umpama Bara Api

Sabda Rasulullah, "Akan datang satu zaman, mereka yang bersabar (dalam berpegang kepada Agama) adalah seumpama mereka yang menggenggam bara api." (HR al-Tirmizi)

Bahkan di dalam hadis yang lain, Rasulullah menjelaskan bahawa Islam akan dilihat asing, mereka yang berpegang teguh pada ajaran Islam semakin sedikit dan dilihat aneh.

Sabda Rasulullah, "Islam bermula sebagai asing (sesuatu yang dianggap asing dan ganjil). Dan ia akan kembali sebagaimana permulaannya, dianggap asing dan ganjil. Maka, beruntunglah orang-orang yang ganjil." (HR Muslim)

Ketika menghuraikan hadis ini, al-Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa, mereka yang benar-benar berpegang kepada ajaran Islam akan dilihat asing dan semakin sedikit seperti permulaannnya dahulu.

Bahkan mereka dianggap aneh dan pelik, tidak selari dengan perkembangan semasa, malah dilihat kolot atau ekstremis.

Para sahabat bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang dimaksudkan dengan asing tersebut?

Lalu Rasulullah menjawab, "(Yang dilihat asing tersebut adalah) mereka yang cuba melakukan Islah (pembaikan) ketika mana rosaknya manusia." (HR Tabrani)

Hari ini kerosakan dalam agama banyak yang berlaku. Sebahagian muslim melihat tidak mengapa dengan 'dosa peribadi', mengambil ringan isu LGBT, merasakan tidak mengapa dengan arak, bahkan menolak hukuman murtad yang dianggap keras atau mundur.

Manakala mereka yang bersungguh berpegang dengan sunnah dan mempertahankan Islam untuk memperbaiki masyarakat pula yang dianggap pelik, kolot, bahkan bercanggah dengan kemajuan.

Begitulah sunnah dalam memperjuangkan kehidupan beragama, berpegang dengan ajaran Islam.

Penindasan Terhadap Islam

Apabila kita melihat dunia Islam hari ini, kita akan dapat melihat dengan jelas usaha menghancurkan, menindas dan menghapuskan umat Islam di Bosnia, Algeria, Tunisia, Eritrea, Mesir, Afghanistan, Turkistan Timur, Chechnya, Thailand, Filipina, Myanmar, China dan juga Sudan.

Jika dilihat sepintas lalu, umat Islam di kawasan-kawasan yang berbeza itu sedang berhadapan dengan musuh-musuh yang berlainan.

Orang-orang Serbia di Bosnia, pejuang Hindu di Kashmir, orang-orang Rusia di Kaukasus, dan rejim-rejim penindas yang menentang umat Islam di negara-negara seperti Algeria, Mesir, China, Myanmar dan Maghribi.

Namun, kuasa-kuasa anti-Islam ini, yang kelihatan tiada perkaitan dengan yang lain, kesemuanya bertindak dengan logik yang sama, strategi yang serupa, dan menggunakan modus operandi yang sama. Faktor asasnya ialah mereka semua anti agama.

Kuasa-kuasa yang menafikan kewujudan Allah itu dan melihat agama-agama ketuhanan - terutamanya Islam, satu-satunya agama yang korup - sebagai musuh paling berbahaya kepada sistem sekular mereka dan seterusnya mengisytiharkan perang keganasan terhadap agama dan mereka yang beriman, sebenarnya mewakili ideologi-ideologi ateis.

Inilah sebabnya mengapa musuh sebenar Islam bukannya orang-orang Serbia, Hindu ataupun pelbagai rejim-rejim penindas yang lain, tetapi adalah pegangan tidak beragama yang menyelubungi dunia ini.

Dasar peperangan menentang Islam tersebut berakar-umbi daripada ateisme dan telah bermula sejak sekian lama.

Jihad

Seseorang yang benar-benar beriman, bertanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang mereka lihat dan dengar.

Allah menyeru umat Islam di dalam Al-Quran, "Mengapa kamu enggan berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah baik lelaki, wanita, mahupun kanak-kanak yang semuanya berdoa: "Ya Tuhan kami. Keluarkanlah kami dari negeri ini yang mempunyai penduduk yang zalim, dan berilah kami pelindung dari sisi-Mu. Dan berilah kami penolong dari sisi-Mu." (An-Nisaa', 75)

Sudah tiada sebab lagi bagi orang-orang yang memiliki kesedaran, yang patuh kepada arahan yang terkandung di dalam ayat di atas untuk terus menutup mata dan tidak mengendahkan apa yang sedang berlaku.

Adalah sesuatu yang mustahil untuk umat Islam tidur dengan nyenyak di atas katil tanpa wujud sebarang perasaan tanggungjawab di hati mereka, membazirkan masa mereka dan hanya memikirkan tentang kepentingan dan keseronokan dirinya sahaja sewaktu kekejaman yang melampau-lampau sedang berlaku di seluruh dunia.

Ini kerana orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kunci asas untuk menyelesaikan masalah peperangan yang berat sebelah, pembunuhan beramai-ramai, kekejaman, kebuluran, dan kebejatan masalah sosial atau dengan ringkas segala masalah yang ada di dunia ini, adalah dengan menyebarkan ajaran moral yang terkandung di dalam al-Quran.

Semoga Allah menyatukan hati semua umat Islam dalam berhadapan dengan golongan liberal yang merosakkan agama.

Semoga Allah membimbing kita. Amiin.

BACA INI JUGA:

sumber: ismaweb