SBDJ Siri 138: Ular Kepala Buaya

Dalam kesukaran bernafas itu, saya terus meraba batang leher dan telapak tangan saya tersentuh sesuatu yang bulat, bila saya lurut ke kanan dan ke kiri terasa kesat dan bersisik kasar. Jari-jemari saya terus mencengkam benda bulat itu yang hampir sama besar dengan bulatan batang pinang dara.

Toyol jadi-jadian

Jari-jemari saya tidak mampu mencengkam benda bulat itu agak lama kerana licin. Sendi-sendi jari pula terasa lenguh.

Saya semakin lemah dan kesempatan itu dimanfaatkan oleh benda lembik itu untuk membelit seluruh tubuh. Sendi tubuh dan tulang terasa bagaikan patah-patah.

Saya kehabisan tenaga untuk berdiri, perlahan-lahan saya rebahkan badan ke bumi sambil memikirkan tindakan selanjutnya untuk membinasakan benda bulat yang lembik itu menjahanamkan diri saya.

Rupa-rupanya, saya tewas juga, benda bulat lembik itu terus membelit dan menjerut tubuh dengan kemas dan kejap.

Saya terus bergolek di pasir dalam usaha memaksa benda bulat itu membuka lilitan yang membelit tubuh.

Aduh! Bukannya bertambah longgar tetapi bertambah kejap, pandangan saya jadi berpinar-pinar. Lidah bagaikan mahu terkeluar, kulit leher yang kena belit terasa amat gatal.

Satu-satu ikhtiar yang dapat saya lakukan ialah terus bergolek di pasir. Dalam keadaan yang berhempas pulas itu, saya berjaya memegang bahagian pangkal benda lembik itu.

Hasil dari gerak tangan, saya dapat menduga bahawa benda yang saya pegang itu ialah, kepala ular.

Saya berazam walau apa yang terjadi kepala ular itu tidak saya lepaskan. Kepala ular itu saya tekan ke pasir. Biar matanya dimasuki pasir hingga buta.

Perbuatan saya menimbulkan kemarahan ular, jerutannya makin kuat membelit tubuh, rasanya semua tulang-temulang dalam tubuh saya sudah remuk dan hancur.

Suara saya langsung tidak terkeluar dari kerongkong dan buah halkum terasa terbenam dalam tulang dan daging leher.

Saya kira semua organ di bahagian leher sudah punah, tidak boleh digunakan lagi Biar tubuh saya menjadi debu, kepala ular tidak akan saya lepaskan.

Itu tekad hati saya yang tidak ada tolak ansurnya. Kepala ular yang entah macam mana rupanya terus saya tekan ke dada pasir.

Saya bagaikan terkejut, bila mendapati jerutan ular itu di tubuh beransur longgar, saya boleh menarik dan melepaskan nafas dengan agak lancar. Boleh menelan air liur tanpa rasa tersekat-sekat.

Kesempatan itu, segera saya manfaatkan dengan sebaik mungkin. Kepala ular yang tidak dapat dilihat itu terus ditekan ke dada pasir.

Perlahan-lahan saya gerakan kaki, ternyata kaki saya tidak dibelit oleh ular ghaib. Setelah bersusah payah, akhirnya saya berjaya bangun tetapi, gagal melepaskan belitan ular daripada bahagian pinggang ke dada.

Rasanya tulang-temulang dada berlaga antara satu dengan lain. Sakitnya bukan kepalang dan bahagian ekor ular terus menekan bahagian kemaluan.

Saya kembali mengalami kesukaran untuk menarik dan melepaskan nafas. Rasanya riwayat hidup saya akan berakhir di pasir pantai.

SEDAR

Saya menjerit sekuat hati dan bumi saya rasa bergerak sendiri. Tubuh saya seperti berada di awang-awangan. Pandangan saya berpinar dan gelap. Saya jatuh atas pasir kembali.

Kepala ular dalam genggaman terlepas. Dan ular ghaib bertindak garang. Seluruh tubuh, dari hujung kaki hingga kepala dililit oleh badan ular.

Keadaan saya tidak ubah seperti seberkas ranting kayu yang diikat dengan rapi.

Dalam keadaan yang serba payah dan kelemasan itu, saya mengolek-golekan badan di pasir. Setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

Beberapa lama saya tidak sedarkan diri, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Apa yang pasti, di saat saya sedar tubuh dan muka masih dililit oleh badan ular.

Dari celah lilitan badan ular itu, samar-samar saya melihat Datuk melangkah ke arah saya, terkejut melihat perbuatan saya menggulingkan tubuh d pasir, macam bergelut dengan sesuatu.

"Kenapa kamu ini Tamar? Agaknya kamu ni dah gila, berbaring bergolek atas pasir," cukup jelas suara Datuk menikam gegendang telinga saya.

"Ular belit saya tuk!"

"Ular? Aku tak nampak apa-apa," Datuk terus merenung kiri kanan.

Sepasang matanya di arah ke tubuh saya yang masih bergolek atas pasir.

"Kau ni mimpi Tamar."

"Betul tuk, saya tak nampak ular tu tapi apa yang saya rasa memanglah ular besar membelit saya."

Sebaik saja atuk mendengar kata-kata saya itu, dia terus termenung, wajahnya membayangkan keresahan yang amat sangat.

Datuk duduk mencangkung membelakangi saya tetapi, tangan kanannya menyentuh bahagian bahu kiri saya, bagaikan terkena kejutan elektrik Datuk menarik tangan kanannya.

Dia memusingkan tubuh lalu menghadapi saya, mukanya nampak pucat sedikit dan dahinya nampak berkedut.

"Aku macam terpegang ular di badan kamu tamar."

"Sekarang Datuk percaya tak dengan cakap saya."

"Hum," Datuk anggukkan kepala.

"Ada sesuatu yang tak kena di sini," nada suara Datuk membayangkan keresahan, kecemasan dan kebimbangan.

Beberapa sangat kemudian saya lihat reaksi Datuk berubah, dia mula memperlihatkan tanda-tanda untuk bertindak.

Datuk terus mengelilingi saya yang bergolek, gerak-geri Datuk tidak ubah macam singa lapar yang mahu menerkam mangsanya.

Keadaan diri saya tetap tidak berubah, sakit terasa di mana-mana. Tanpa putus asa saya terus berjuang untuk membuka lilitan ular di tubuh di samping mengharapkan Datuk memberi pertolongan segera.

Di saat saya berjuang itu, saya lihat Datuk secara mengejut melompat dan menerkam ke arah saya.

Tangan kirinya menyentap kepala ular yang saya pegang. Di saat itu juga saya merasakan tubuh saya tidak lagi dibelit dan dijerut oleh ular.

Dengan cepat saya bangun, menghayunkan sepasang tangan ke kanan dan ke kiri. Begitu dengan sepasang kaki.

Saya lakukan gerakan itu untuk memastikan anggota tubuh benar-benar bebas dari belenggu dibelit ghaib.

Saya mendongakkan kepala ke langit melihat awan. Saya renung pepohon di sebelah kanan dan telinga saya mula diasak dengan deru ombak dan kicau burung.

Masa saya dibelit ular, deru ombak dan kicau burung tidak kedengaran. Apa yang saya rasai di saat itu ialah suasana yang amat sepi sekali.

"Sudah hilang tuk."

Datuk jegilkan mata ke arah saya. Dia tidak kisah dengan yang saya ucapkan kepadanya. Datuk seperti berada di dunia lain.

Datuk membongkok seperti mengambil sesuatu di atas pasir. Entah apa yang diambilnya saya sendiri tidak pasti, sambil meluruskan tubuh Datuk renung ke kiri lima kali berturut-turut.

Dia menatang benda yang diambil dari atas pasir dengan kedua belah tangannya. Lucu, bila melihat Datuk keadaan begitu, dia menatang angin.

Dengan tenang Datuk menuju ke arah rumpun buluh. Datuk tunduk di situ seperti melepaskan sesuatu di perdu buluh kuning. Gerak-geri Datuk saya perhatikan dengan teliti.

DEKAT

Datuk mendekati saya semula. Saya kira kehadiran Datuk di sisi saya untuk meluahkan rasa hampa kerana orang yang ditunggu tidak kunjung tiba.

Memang saya mengharapkan Datuk membatalkan saja rancangan untuk ke Tanah Jambi.

"Kamu tahu kenapa kamu kena belit ular?" itu yang Datuk ajukan kepada saya. Lain yang diharap, lain pula yang dapat.

"Saya tak tahu tuk, lagi pun ular yang membelit saya tu, tak nampak dilihat. Saya cuma terasa dan main agak-agak saja."

"Aku dapat melihatnya, Tamar."

"Datuk dapat melihatnya?"

"Iya," Datuk anggukkan kepala.

"Macam mana rupanya tuk?"

Datuk menggigit bibir sambil menggosok batang hidungnya berkali-kali. Dia kelihatan seperti berfikir tentang sesuatu.

Mungkin juga dia memikirkan sama ada mahu menjawab atau tidak pertanyaan yang sedang saya kemukakan kepadanya.

"Macam mana rupanya," saya terus mendesak.

"Kepalanya macam kepala buaya, sisik di badannya macam sisik tenggiling, berbelang merah hitam," jelas Datuk.

Saya terdiam dan terus menarik nafas dalam-dalam. Segera saya bayangkan, andainya saya dapat melihat rupa dan bentuk ular yang Datuk katakan, pasti saya terkencing dan terberak mungkin terus pengsan. Datuk terus meraba-raba pangkal hidungnya dengan aman.

"Kamu tahu Tamar, kamu sudah menceroboh."

"Ceroboh? Ceroboh apa tuk, saya tak faham," turut saya kehairanan sambil merenung ke kiri dan ke kanan.

Fikiran saya serabut dengan tanda tanya. Apakah maksud sebenar kata-kata Datuk itu?

Agaknya Datuk mahu bergurau atau sekadar mahu menguji hati saya.

Kalaulah itu tujuannya memang tidak menyusahkan hati. Tetapi, bagaimana kalau apa yang dikatakan itu memang benar saya lakukan?

"Maksud Datuk yang sebenar apa dia?"

"Aku tak mahu cakap, cuba kamu ingat dan fikir, apa yang sudah kamu lihat di sini, kira-kira tiga bulan yang lalu," terang Datuk dengan tenang.

Saya perah otak untuk mengingati apa yang terjadi. Saya tersenyum panjang kerana sudah dapat menangkap apa yang Datuk maksudkan.

"Ada hubungannya dengan Haji Yatimi," kata saya

"Iya," Datuk anggukkan kepala.

"Kenapa dengan dia tuk?"

"Kau cari sendiri, Tamar."

Datuk segera meninggalkan saya. Dia berdiri di bibir pantai. Datuk merenung laut dan ombak. Datuk melihat sinar matahari pagi yang kian cerah.

Datuk berdiri di situ semata-mata mahu mengubati rasa resah dalam menanti kedatangan anak saudara nakhoda pemilik tongkang dari Aceh.

Di saat saya bersendirian, barulah saya teringat di waktu mahu menghantar Haji Yatimi ke Solok dulu, saya melihat ada orang berjanggut panjang memakai pakaian serba putih muncul di pantai.

Kemudian orang itu menghilangkan diri betul-betul di batang buruk itu. Bagi memastikan apakah ingatan saya ini betul atau tidak, saya segera mendapatkan Datuk.

SETUJU

Selesai saja Datuk mendengar cerita saya itu, dia terus anggukkan kepala. Setuju dengan apa yang saya turutkan.

"Silap kamu, nak menumpang duduk tak minta izin. Kamu main langgar saja. Inilah akibatnya," Datuk bersuara lantang.

"Saya tak tahu tuk."

"Ah kamu ni, sudah aku ajar segala petua dan doa. Kenapa tidak kamu manfaatkan," tempelak Datuk kepada saya.

Memang tidak ada peluang untuk saya mempertahankan diri. Kesilapan tetap berada di pihak saya dan saya hanya mampu telan air liur.

"Kamu mesti ingat, selain dari manusia, ada makhluk lain di dunia ini. Nasib baik makhluk lain tu tak marahkan kamu, kalau marah entahlah..." Datuk berhenti bercakap.

"Kenapa dia nak marahkan saya. Apa yang saya dah buat?" tanya saya dengan rasa hairan.

Buat beberapa saat Datuk termangu, mungkin dia tidak terfikir yang saya akan mengajukan pertanyaan sedemikian kepadanya.

"Kamu ni memang tak faham cakap orang. Dia marahkan kamu kerana kamu duduk di tempatnya dengan tidak minta kebenaran, sekarang kamu dah faham atau tidak?" Datuk jegilkan matanya ke arah batang hidung saya.

Tentulah saya jadi resah dan cemas bila dibuat demikian.

"Saya faham, sekarang saya faham tuk."

"Apa yang kamu rasa tadi, itu cuma dia bergurau saja," sambung Datuk lagi.

"Bergurau tuk?"

"Iya."

Memang tidak logik apa yang Datuk katakan itu. Pelik sungguh, saya diseksa setengah mati, masih dikira bergurau senda.

Ini perbuatan dan kerja orang gila, kerja orang tak ada otak. Demikian saya membuat rumusan dalam kepala.

"Teruknya makhluk lain mengusik dan bergurau tuk?"

Saya lihat Datuk tersenyum dengan kata-kata yang saya lakukan. Dua tiga kali Datuk anggukkan kepala. Saya jadi resah, susah benar rasanya mahu menerima pendapat yang Datuk ajukan.

"Kerana makhluk lain tu bergurau, kamu masih dapat bercakap dengan aku. Kalau dia marah, aku tak tahu apa jadi pada kamu. Kamu boleh jadi gila, lari ke gunung atau membunuh orang," lanjut Datuk lagi.

Dia berusaha mahu menyelesaikan soalan yang berlegar-legar dalam tempurung kepala saya.

"Saya nak tanya tuk satu perkara, boleh tak?"

"Boleh, asalkan perkara yang munasabah."

"Tadi tuk buang ular orang halus dekat perdu pokok buluh, apa yang orang halus tu kata pada tuk."

"Hmmmmmmmmmmm..." Datuk kelihatan seperti tergamam.

"Itu cuma syarat saja, memanglah sekali pandang macam aku membawa sesuatu dan melepaskan sesuatu di situ, aku ke situ cuma mematahkan tiga batang pokok kecil," Datuk berhenti bercakap. Matanya tetap tertumpu ke arah laut.

"Buat apa tuk patahkan pokok-pokok kecil tu?"

"Tanda syarat, minta maaf atas perbuatan kamu yang main langgar, tak berbudi bahasa langsung," lagi sekali saya di persalahkan.

"Minta maaf tuk diterima atau tidak?"

"Nampaknya diterima, Tamar."

"Buktinya tuk?"

"Sampai sekarang tak ada tanda-tanda yang orang halus tu nak kacau kita," lanjut Datuk lagi dengan tenang.

Kerana yakin, perasaan Datuk sudah tenang dan berada dalam gembira, saya terus mendekatinya. Berdiri di sebelah kanannya.

Kami sama-sama merenung laut dan ombak. Matahari pagi terus bangun di kaki langit.

Pada hemat saya, bila matahari sudah melepasi paras laut, pasti Datuk tidak akan membatalkan perjalanannya. Sebelum perkara itu berlaku, saya terus mengusulkan kepada Datuk.

"Kita batalkan rancangan kita ni tuk, orang yang tuk nanti tak nampak batang hidungnya. Jangan-jangan dia mainkan kita tuk."

"Kamu ni banyak cakap pula, sepatutnya kamu ni jangan dibawa tadi, buat menyusahkan aku. Kalau kamu tak senang pergilah kamu balik," Datuk meluahkan rasa tidak senangnya terhadap kerenah saya.

Saya mula merasa kesal apa yang berlaku. Sepatutnya saya jangan banyak mulut dan banyak tanya.

Bagi meredakan keadaan, secara perlahan-lahan saya menjauhkan diri dengan Datuk lalu pergi ke gigi pantai, menendang buih-buih ombak hingga kaki seluar saya basah.

Sambil bermain buih saya tetap menjeling ke arah Datuk. Saya ingin tahu, apakah yang dilakukannya bila dia keseorangan.

Ternyata Datuk memerhatikan saja apa yang saya lakukan di tepi pantai.

MENGGIGIL

Angin laut membuat saya menggigil. Bibir dan tubuh saya menggeletar sendirian. Saya terdengar suara datuk berdehem dua kali berturut-turut.

Saya segera merenung ke arahnya. Datuk tidak memperlihatkan sebarang reaksi atas renungan saya. Pandangannya tidak berubah, tetap ke arah laut lepas.

Dua tiga kali saya pejam celikkan kelopak mata dan dalam samar-samar kabus itu saya bagaikan terpandang ada seseorang yang mengayuh perahu menuju ke arah saya.

Bagi memastikan apa yang saya lihat itu benarnya bukanya khayalan, kedua belak kelopak mata segera saya gosok dengan telapak tangan.

Memang tidak salah lagi, seorang lelaki sedang bergelut mengayuh perahu di pagi yang dingin.

"Kenapa Tamar."

"Ada orang berperahu datang ke sini tuk."

Tanpa berkata apa-apa Datuk segera memegang tangan saya lalu dipimpin ke gigi pantai.

"Mana dia orangnya Tamar?"

"Di situ," saya segera menuding jari ke arah perahu di tengah laut.

Datuk segera merenung ke arah yang saya tunjukkan. Datuk tumpukan segala perhatian ke arah perahu dan orang yang nampak berbalam dan terumbang-ambing di main ombak.

Mungkin kerana Datuk dapat memastikan yang datang itu benar manusia, dia tersenyum panjang.

"Barangkali orang itu yang kita tunggu Tamar! Tapi kenapa dia menggunakan jalan laut, tidak jalan darat," Datuk seperti merungut.

Dari raut wajahnya saya dapat menduga bahawa Datuk sedang memikirkan sesuatu.

"Begini saja Tamar," kata-kata Datuk berhenti di situ saja.

"Kenapa tuk."

"Untuk kebaikan kita, ada baiknya bersembunyi di balik pokok besar, kita tengok dulu, apakah orang yang datang memang orang yang kita nantikan atau sebaliknya."

"Itu pendapat yang baik, beringat sebelum kena tuk."

"Ah, sudahlah, kamu nak tunjuk pandai pula di sini," nada Datuk agak keras bersama dengan jelingan yang tajam ke arah saya.

Dari balik pokok besar, kami melihat seorang anak muda melompat dari perahu ke pasir pantai.

Dengan sepenuh tenaga dia menolak badan perahu hingga tersadai atas pasir. Anak muda itu merenung ke kiri dan ke kanan, melihat gerak-gerinya.

Bila sudah yakin tidak ada sesiapa yang melihatnya dia pun maju ke darat. Berdiri betul-betul di depan pokok besar tempat saya dan Datuk sembunyikan diri.

Anak muda berkulit sawo matang, rambut hitam dengan parut melintang di pipi kanan melihat jam di tangan, tingginya hampir lima kaki sebelas inci. Jarang-jarang orang Melayu yang boleh mencapai tahap ketinggian seperti itu.

"Agaknya mereka belum datang lagi," anak muda itu bercakap seorang diri.

Datuk segera menyiku rusuk kanan saya. Kami berbalas senyum dan Datuk memberi isyarat kepada saya supaya jangan bertindak apa-apa.

Datuk seolah-olah menyuruh saya melihat telatah anak muda itu, apakah dia orang yang humor.

Lebih kurang sepuluh minit dia berlegar-legar di depan pokok, ternyata anak muda itu mula gelisah dan putus asa. Bersedia mahu melangkah ke perahunya kembali.

Tanpa memberi isyarat Datuk keluar dari tempat persembunyian lalu memberi salam.

"Maafkan saya kerana lambat," kata anak muda itu gugup.

"Tak mengapa," balas Datuk.

Saya segera keluar dari tempat persembunyian, melihat kehadiran saya itu, anak muda itu jadi resah.

"Saya harap tak salah orang," dia renung muka Datuk.

"Maksud kamu apa dia?"

"Saya disuruh oleh bapa saudara saya mengambil kawannya di sini. Katanya, orang itu seorang tetapi, kenapa dua orang. Agaknya saya salah orang."

"Kamu betul, akulah yang berjanji dengan bapa saudara kamu tu dan ini cucu aku. Kenapa kamu ikut jalan laut tidak ikut jalan darat macam dikatakan oleh bapa saudara kamu pada aku?" soal Datuk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 138/284

BACA: SBDJ Siri 137: Di Belit Ular Ghaib
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com