SBDJ Siri 131: Menggeletek Macam Cicak

Saya mengucap panjang, bila melihat kaki kiri Khoja Lisut menggeletak macam ekor cicak yang terpisah dari badannya, sementara kaki kanannya bergerak macam badan ular.

"Terlalu banyak ilmu batin salah yang dituntutnya. Tetapi, bila dia sakit ternyata ilmunya tidak dapat menyembuhkan penyakitnya kerana itulah dia datang jumpa kamu.

Toyol jadi-jadian

"Dalam kehebatannya, masih ada kekurangannya, memang begitu adatnya yang menimpa manusia.

"Tidak ada orang yang gagah, tidak ada orang yang amat pintar, setiap yang lebih pasti ada kekurangannya," Haji Yatimi terus memberikan ceramah kecil untuk saya, Mat Upeh dan Datuk.

"Apa yang mesti dibuat sekarang?" Mat Upeh bertanya.

"Inilah kesempatan yang baik, pendindingnya sudah lemah, kita mesti mengeluarkan pendinding yang sudah sebati dengan darahnya," jelas Haji Yatimi lalu mengarah saya berdiri di hujung kepala Khoja Lisut, Mat Upeh di sebelah kanan, Datuk di sebelah kiri. Manakala Haji Yatimi di bahagian kaki.

"Dia mahu bertaubat, mahu jadi baik. Sayangnya, syaitan yang jadi pendinding menguasai diri sepenuh nya, inilah masa kita menghalaunya," tambah Haji Yatimi sambil memberitahu saya dan Mat Upeh supaya melihat apa saja yang dilakukannya.

Haji Yatimi memberi arahan kepada Datuk supaya mengepal tanah dan melemparkan ke arah mana-mana tubuh Khoja Lisut, bila dia menjerit.

Menurut Haji Yatimi, manusia berasal dari tanah dan kekuatan manusia tetap bersama tanah dan kekuatan iblis tetap bergantung pada cahaya dan akan binasa dengan api.

Setelah mengeluarkan arahan itu, Haji Yatimi pun menjamah kaki kiri Khoja Lisut yang menggeletek macam cicak.

Mulut Haji Yatimi kelihatan bergerak-gerak, bibir Datuk juga bergerak. Saya kira mereka sedang membaca sesuatu.

"Ya Allah, apa sudah jadi," bisik batin saya bila melihat kaki kanan Khoja Lisut berubah menjadi macam ular lalu membelit tubuh Haji Yatimi, Mat Upeh kelihatan cemas sekali.

Dengan tenang Haji Yatimi menepisnya dan serentak dengan itu terdengar jeritan Khoja Lisut.

Datuk segera melemparkan tanah ke muka Khoja Lisut, kaki kanannya yang berbentuk macam ular kembali pulih macam biasa, begitu juga dengan kaki kiri yang menggeletek macam ekor cicak. Tidak bergerak lagi.

Khoja Lisut tidak lagi mengaum macam harimau. Dengan tenang Haji Yatimi memegang pergelangan kaki kiri Khoja Lisut.

Dengan hati-hati Haji Yatimi menekan ibu jari kirinya ke bahagian tengah telapak kaki Khoja Lisut.

Seluruh perhatian saya dan Mat Upeh tertumpu kepada gerak-geri dan tindak-tanduk Haji Yatimi.

Sesekali saya lihat, Khoja Lisut menggeliat dan tubuhnya seakan-akan bergulung macam tubuh tenggiling membelit sebatang kayu.

JARI

Semua yang terjadi itu tidak dihiraukan oleh Haji Yatimi, dia asyik dengan tugasnya menekan ibu jari ke telapak kaki Khoja Lisut.

"Ha! Tengok tu," Mat Upeh mencuit bahu saya.

Saya segera jegilkan biji mata ke arah sekujur tubuh Khoja Lisut yang terlentang ke bumi. Wajahnya menadah langit. Haji Yatimi masih dengan tugasnya dan Datuk tetap mengepal tanah.

"Apa dia Pak Mat?" tanya saya pada Mat Upeh.

"Kau tak nampak apa-apa Tamar?"

"Memang tak nampak apa-apa pun."

"Cuba kau renung betul-betul ke arah bahagian dada orang itu," Mat Upeh menasihati saya.

Saya arahkan sepasang biji mata ke arah dada Khoja Lisut tanpa berkelip-kelip. Ya, sekarang baru saya tahu Mat Upeh tidak berbohong dengan saya. Dia bercakap benar.

Tiba-tiba saja bulu roma saya tegak, badan menggeletar. Saya melihat ada asap nipis keluar dari bahagian dada Khoja Lisut.

Asap nipis itu naik memanjang lalu membentuk lembaga seperti bentuk kanak-kanak dalam kandungan.

Lembaga itu nampak macam berada di dalam bentuk kaca yang mengeluarkan cahaya kemilau kekuningan.

Sekujur tubuh lembaga itu berbulu dan bila berpusing ke arah kami, saya lihat wajah lembaga itu amat mengerikan dengan dua batang gigi besar di kiri dan kanan mulutnya.

Lembaga itu bergerak ke kiri dan ke kanan, tidak pula melepasi kawasan jantung dan hati Khoja Lisut.

Sinar matahari petang kian runduk tetapi, muka Haji Yatimi terus dibasahi dengan peluh. Walaupun demikian dia tetap tenang cuma saya lihat Datuk saja berada dalam keadaan cemas.

Khoja Lisut yang terlentang di bumi tetap tidak bergerak, bagaikan tidak bernyawa lagi.

Asap nipis yang keluar dari bahagian dada tetap berterusan menyelimuti lembaga yang berada di awang-awangan.

Lembaga itu semakin membesar dan kelihatan merening dan bentuk kanak-kanak yang ada dalam lingkungan asap nipis juga kian membesar.

Wajahnya bertambah menggerunkan ada mirip orang Utan. Seluruh tubuh berbulu, manakala sepasang tangan seperti kaki cicak dan sepasang kaki bersisik macam sisik ular sawa.

"Dummm..."

Satu ledakan menguasai kawasan surau. Saya lihat lembaga yang terapung di udara hancur berkecai. Asap nipis yang melindunginya hilang entah ke mana.

Cebisan dari lembaga itu bertaburan di halaman surau dalam bentuk gabus berwarna putih.

Beberapa saat kemudian gabus itu terbakar dan sukar dikesan. Tidak meninggalkan sebarang tanda di tempat gabus itu jatuh.

Haji Yatimi segera bangun. Dia memberi isyarat ke arah Datuk supaya berhenti mengepal tanah. Datuk patuh dengan arahan itu.

Kemudian, saya dan Mat Upeh diarah supaya kembali ke surau. Lebih kurang lima minit kami berada di surau, kami diarah supaya berada di sisi Khoja Lisut.

Saya dan Mat Upeh (mungkin juga Datuk) terkejut besar melihat darah keluar dari ibu jari kaki kiri Khoja Lisut.

Darah itu melimpah di tanah dan jika dikumpulkan jumlah melebihi dua botol.

Saya lihat Khoja Lisut pucat lesi, dia membuka kelopak matanya perlahan-lahan. Melihat batang hidung Haji Yatimi, mendengar suaranya membaca ayat Qursi.

Kemudian Khoja Lisut merapatkan matanya kembali. Dia kelihatan amat lemah sekali.

"Dia memang tidak kenal dengan aku tetapi, aku mengenalinya. Kedatangan aku ke sini memang untuk mencarinya, bukan untuk membalas dendam, aku nak membimbing dia ke jalan benar," lagi sekali Haji Yatimi membuat kejutan.

"Kenapa Tuan Haji tak berterus terang dengan saya?" sanggah Datuk. Haji Yatimi tersenyum.

RAGU

Bagi menghilangkan keraguan itu, Haji Yatimi pun menjelaskan, semasa Khoja Lisut membelasah seorang Kiai di Asahan, secara kebetulan dia baru tiba di tempat tersebut dari Solok.

Dia datang ke Asahan untuk berjumpa dengan Pak Kiai yang menjadi guru agamanya.

"Dari Pak Kiai saya belajar hukum-hakam agama Islam. Dia ulama besar. Bila saya mendapat tahu Pak Kiai dibelasah guru silat yang angkuh, saya jadi marah dan mahu bertindak.

"Tetapi, Pak Kiai menahan saya. Katanya, orang Islam yang baik tidak mudah naik darah dan tidak mahu bergaduh sesama Islam," Haji Yatimi memulakan ceritanya.

Dia juga menceritakan kepada kami, bagaimana Pak Kiai menghembuskan nafas terakhir di depan matanya.

Sebelum itu, Pak Kiai berpesan kepadanya supaya mencari guru silat yang membelasahnya, bukan untuk membalas dendam, tetapi mengajak guru silat yang banyak mengamalkan ilmu batin yang bertentangan dengan ajaran Islam kembali ke jalan yang benar.

Jika tidak dibetulkan, mungkin guru silat itu akan mengajar ilmu songsang kepada anak muridnya.

Malah, akan menyebarkan ajaran sesat yang akan merugikan orang-orang Melayu, menimbulkan perpecahan sesama sebangsa.

"Kerana itu aku cari dia. Aku gembira bila mendapat tahu kamu berikhtiar mengubati penyakitnya. Allah memperkenankan permintaan kamu, tetapi dia tidak ikhlas," sambung Haji Yatimi lagi.

"Sekarang macam mana?" tanya Mat Upeh.

"Dengan izin Allah, nampaknya aku berjaya mengeluarkan amalannya. Darah yang kamu tengok tu, adalah darah kotor bersendikan syaitan yang mengalir dalam tubuhnya," Haji Yatimi segera menggosok kedua belah telapak tangannya.

Dia mengambil sebatang ranting yang berada dekatnya, ranting itu dilemparkan ke arah darah yang keluar dari ibu kaki Khoja Lisut.

Sebaik saja ranting jatuh di situ, maka keluarlah api lalu membakar darah tersebut hingga hilang tanpa kesan.

Memang di luar dugaan kami, tiba-tiba saja Khoja Lisut bangun. Kalau tadi, wajahnya nampak gerun dan menyeramkan dengan sinar mata yang tajam, kulit tubuhnya kelihatan tegang.

Kini, semua itu bagaikan tiada pada dirinya. Khoja Lisut kelihatan lesu, wajahnya nampak tua dan kulitnya berkedut.

"Kamu sekarang berada dalam keadaan yang sebenar. Kamu tak boleh selama-lamanya menipu sesama manusia," turut Haji Yatimi lalu bangun. Berdiri bertentang wajah dengan Khoja Lisut.

"Kamu."

Haji Yatimi segera meletakkan telapak tangan kiri ke bahu kanan Khoja Lisut. Lima jari Haji Yatimi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut dengan keras sekali.

Berkerut muka Khoja Lisut menahan rasa sakit dan dia hampir mahu rebah ke bumi tetapi, Khoja Lisut tetap berusaha agar dirinya berdiri terus.

Rebah ke bumi bererti kalah dan Khoja Lisut tidak mahu kalah lagi. Tidak rela masa lampaunya yang hitam diperkatakan oleh Haji Yatimi dengan sewenang-wenangnya di depan Mat Upeh, di depan saya dan Datuk.

Makin kuat Khoja Lisut mempertahankan diri dari rebah ke bumi, sekuat itu juga Haji Yatimi memaut tulang selangka Khoja Lisut.

Sebenarnya, antara Haji Yatimi dengan Khoja Lisut sedang berlangsung sebuah pertarungan yang tidak rasmi.

Saya tidak tahu kenapa Khoja Lisut harus memperlihatkan kemampuannya yang tidak seberapa itu kepada Haji Yatimi, sedangkan dia sudah bertaubat untuk jadi orang baik-baik.

Barangkali dia terpaksa bertindak demikian setelah mengetahui yang Haji Yatimi adalah kenalan Kiai yang dibelasahnya di Asahan dulu.

Mungkin dia memikirkan kedatangan Haji Yatimi untuk membalas dendam.

Khoja Lisut merasakan Haji Yatimi mahu memperdayakan dirinya? Semua persoalan itu berlegar dalam tempurung kepala saya.

Khoja Lisut tidak dapat bertahan, sedikit demi sedikit dia merendahkan tubuhnya. Demi menjaga maruah diri, Khoja Lisut terpaksa membengkokkan kakinya dan menggunakan kekuatan sepasang lutut bagi menahan diri dari rebah ke bumi.

Cengkaman Haji Yatimi tetap berterusan. Berpeluh Khoja Lisut menahan rasa sakit.

Mungkin kerana terlalu sakit, Khoja Lisut tidak ada pilihan lain. Dia terus meraung dengan sekuat hatinya, bagaikan raungan gajah yang naik minyak.

"Ya Allah, apa sudah jadi Tamar?" keluh Mat Upeh.

Semua biji mata tertumpu ke arah Khoja Lisut. Datuk urut dada dan saya menarik nafas dalam-dalam bersama rasa cemas dan takut.

"Apakah aku bermimpi Tamar?" Mat Upeh bersuara sambil menggosok-gosok kelopak matanya beberapa kali.

"Kamu tak bermimpi Mat," kata-kata yang dituturkan oleh Datuk memaksa Mat Upeh mengerutkan dahinya.

Raungan Khoja Lisut terus bergema. Haji Yatimi tidak ambil kisah, dia tetap tenang.

Sambil jejarinya mencengkam tulang selangka Khoja Lisut, mulutnya terus berkumat-kamit. Entah apa yang dibacanya saya sendiri tidak tahu.

Dari lubang hidung Khoja Lisut keluar darah yang sudah agak membeku. Dari kedua belah cuping telinganya berguguran butir-butir pasir menyerupai intan, berkilau-kilau disuluh matahari petang yang kian redup.

Dari celah belah sikunya kelihatan seperti serpihan emas berjatuhan atas bumi lalu hilang entah ke mana. Saya jadi panik melihat keadaan yang berlaku di depan mata saya.

Raungan Khoja Lisut berhenti dan jari-jari Haji Yatimi tidak lagi mencengkam tulang selangka Khoja Lisut.

"Sekarang sudah selesai," kata Haji Yatimi sambil menatap wajah Datuk dengan serius.

"Apa benda yang keluar dari cuping telinga dan dagunya tu Tuan Haji?" tanya Datuk.

"Yang keluar dari lutut tu ialah susuk untuk tenaga, yang kamu nampak jatuh macam keping emas tu, sebenarnya tahi besi yang diserapkan ke dalam setiap sendi tubuhnya," balas Haji Yatimi.

ARAH

Saya lihat Mat Upeh gelengkan kepala. Kemudian saya alihkan pandangan ke arah Khoja Lisut yang berusaha untuk berdiri, ternyata usahanya itu berhasil.

Khoja Lisut melangkah perlahan-lahan mendekati Haji Yatimi. Gerak-gerinya macam orang yang sudah berusia hampir sembilan puluhan. Khoja Lisut nampak cukup tua.

"Yang keluar dari cuping telinganya tu apa dia?" Mat Upeh ajukan pertanyaan.

Datuk terus menggigit ibu jari kiri, ekor matanya terus menjeling ke arah Khoja Lisut. Haji Yatimi seperti tidak mahu menjawab pertanyaan yang diajukan Mat Upeh.

Barangkali, dia sedang memikirkan sesuatu yang lebih serius tentang Khoja Lisut.

"Itu susuk emas yang saya pakai, tujuannya biar muka saya nampak muda, tak makan tua. Saya tersilap," sebuah pengakuan yang amat mengejutkan dari Khoja Lisut untuk kami. Saya dan Mat Upeh saling berpandangan.

Haji Yatimi senyum panjang. Terbayang kepuasan di wajahnya. Tanpa membuang masa dia terus menerkam ke arah Khoja Lisut lalu dipeluk dan diciumnya beberapa kali.

Apa yang mengharukan perasaan saya, mungkin juga perasaan Datuk dan Mat Upeh, bila melihat Khoja Lisut merangkum tubuh Haji Yatimi dengan erat sekali. Saya lihat Haji Yatimi menangis tersedu-sedu.

"Aku bahagia bila kamu mengakui kesilapan kamu," dalam esak tangis itu, Haji Yatimi terus bersuara tersangkut-sangkut.

"Allah membuka pintu hati saya tuan Haji," balas Khoja Lisut lalu melepaskan sepasang tangannya yang merangkum tubuh Haji Yatimi.

Mereka berpegangan tangan dan serentak menghalakan wajah ke arah saya, ke arah Mat Upeh dan Datuk.

"Seorang Islam sejati akan merasa bahagia dan bersyukur pada Allah bila dapat menyelamatkan saudaranya dari tercebur ke kancah maksiat yang diketahui oleh syaitan.

"Orang Islam yang baik selalu memikirkan tentang nasib agama Islam dan saudara-saudaranya," Haji Yatimi bagaikan memberi ceramah kepada kami.

"Saya tahu awak.. (Khoja Lisut terus meluruskan jari telunjuknya ke arah Datuk) dan Tuan Haji ini benar-benar ikhlas mahu menolong.

"Cuma aku saja ragu-ragu atas kejujuran kamu berdua, namun sekarang sudah terbukti aku yang salah hitung," sambung Khoja Lisut dengan wajah yang besar.

"Sudahlah, sekarang kamu tidak ada menyimpan ilmu hitam lagi? Kalau ada cakap segera, biar aku selesaikan," turut Haji Yatimi.

Khoja Lisut gelengkan kepala seraya berkata: "Ilmu hitam yang Tuan Haji keluarkan tadi, itulah ilmu terakhir yang ada pada saya. Memang saya berhajat nak menyimpannya kerana saya percaya dengan kata guru saya; tidak ada orang yang boleh gugurkan 'susuk' yang sudah sebati dengan darah daging saya, tidak ada orang yang tahu yang saya ada ilmu itu."

"Dan guru kamu memberitahu, jika mahu mengeluarkan susuk dari tubuh, kamu disuruh masuk hutan mencari pokok yang separuh mati dan letaknya terasing dengan pokok-pokok lain. Pokok tu mesti tumbuh di kemuncak bukit," Haji Yatimi tatap biji mata Khoja Lisut.

"Ya Tuan Haji."

"Kamu disuruh betapa di pangkal pokok selama tiga hari tiga malam. Kemudian kamu disuruh gantung diri kepala ke bawah kaki diikat dengan tali jerami pada dahan pokok. Betul atau tidak?"

Khoja Lisut termenung sejenak. Dia seperti keberatan mahu menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Haji Yatimi. Masih mahu berahsia.

"Betul atau tidak? Jawab pertanyaan aku," Haji Yatimi terus melenting.

Dia genggam penumbuk. Datuk dan Mat Upeh undur dua tapak ke belakang, menjauhkan diri dari sisi Haji Yatimi. Bimbang akan berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Iya," angguk Khoja Lisut.

"Dia juga beritahu kamu, genap empat hari empat malam kamu gantung diri kepala dari bawah kaki ke atas, susuk yang ada dalam diri mesti keluar. Sebenarnya, dia membohongi kamu. Dia menipu kamu."

"Bohong?" Khoja Lisut terkejut.

"Iya, bila kamu tergantung begitu empat hari empat malam, kamu boleh mati, setidak-tidaknya jadi habuan binatang ganas. Di mana logiknya cakap guru kamu?"

Mendengar kata-kata Haji Yatimi itu, Khoja Lisut bagaikan tergamam. Dia termenung panjang sambil melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dahinya, segera dikerutkannya.

Beberapa kali Khoja Lisut gelengkan kepalanya. Dia seperti menyesali apa yang terjadi atas dirinya.

"Saya terkena dalam baik," terpancut sebuah keluhan dari mulut Khoja Lisut.

Mat Upeh terus telan air liur dan saya terus menggigit lidah. Rasa simpati terhadap Khoja Lisut terus berbunga dalam hati.

"Sepatutnya, kamu hati-hati bila mahu menuntut ilmu, lebih-lebih lagi ilmu silat, banyak cabang, banyak simpang yang tidak sihat," sanggah Datuk.

"Salahnya, kamu sendiri tak gunakan fikiran untuk buat keputusan, kamu tunduk dengan kemahuan nafsu. Inilah akibatnya yang kamu terima," Haji Yatimi memberikan komentar tanpa memandang wajah Khoja Lisut.

GOSOK

Buat beberapa saat, semua yang ada di situ tidak bersuara. Datuk menggosok-gosok batang hidung beberapa kali. Mat Upeh menekan sepasang tumit kakinya ke bumi.

Haji Yatimi terus berpeluk tubuh dan sepasang matanya merenung ke arah pepohon yang terdapat di sekitar kawasan tersebut. Dia masih juga membelakangi Khoja Lisut.

"Sekarang kamu dah sedar tentang kesilapan kamu?"

Saya lihat Khoja Lisut terkejut mendengar ungkapan dari Haji Yatimi itu. Dia pasti kata-kata ditujukan kepadanya.

"Ya, sekarang sudah nyata cakapnya tak betul," Khoja Lisut bersuara.

Dengan serta-merta Haji Yatimi memusingkan badannya lalu menatap menentang biji mata Khoja Lisut.

Datuk dan Mat Upeh segera bergerak ke arah surau. Pada anggapan mereka, tugas membantu Haji Yatimi sudah selesai.

Tetapi, hati kecil saya keberatan untuk meninggalkan Haji Yatimi sendirian di situ.

"Apalagi ilmu yang kamu simpan? Kalau ada, sila cakapkan pada aku dengan ikhlas dan jujur. Demi kebaikan kamu," terpamer rasa simpati di wajah Haji Yatimi.

Sinar matanya seolah-olah membayangkan kesungguhan untuk membebaskan diri Khoja Lisut dari belenggu ilmu syaitan.

"Tak ada apa-apa lagi yang saya simpan," Khoja Lisut telan air liur, bulu keningnya nampak bergerak.

"Tak tahulah pula, kalau ada ilmu yang diserapkan di luar pengetahuan saya," sambung Khoja Lisut.

"Kamu sudah diiktiraf sebagai Khalifah?"

"Belum lagi."

"Buktikan yang kamu belum iktiraf sebagai Khalifah," Haji Yatimi terus merisik rahsia.

Khoja Lisut dongakkan wajah ke langit. Dia melihat awan dan langit petang. Dengan tenang dia menarik nafas untuk menghirup udara yang berlegar-legar di sekitar kawasan halaman surau.

Khoja Lisut ubah pandangan lalu menatap ke arah Mat Upeh dan Datuk yang sedang berdiri dekat tangga surau. Kemudian pandangannya itu dialihkan ke wajah Haji Yatimi.

"Buktinya? Mahu buktinya?" ulang Khoja Lisut.

"Iya," angguk Haji Yatimi.

"Saya tidak diberi songkok tinggi baldu merah berlilit kain putih. Kalau sudah diberi songkok macam itu, bolehlah mengeluarkan petua baru tentang sembahyang, puasa, zakat dan ambil haji."

"Biasanya, hukum-hukum itu berlainan dengan apa yang diamalkan oleh kebanyakan orang Islam, malah memang bertentangan.

"Pengikut Khalifah yang dianggap macam Imam paling agung, mesti disanjung, makan pakai, rumah harus disediakan oleh pengikut.

"Apa yang Khalifah mahu mesti ditunaikan. Kalau ingkar nanti kena kutuk, mati berdarah, ada yang kena petir, mati lemas atau terbakar. Bukan begitu?"

"Tepat sekali," Khoja Lisut seperti terpaku.

Dia kagum kerana Haji Yatimi dapat menyatakan apa yang menjadi rahsia dirinya secara terperinci.

"Tolong, jangan buat apa-apa dengan saya."

Khoja Lisut menerkam ke arah Haji Yatimi dan terus melutut sambil mengangkat sepuluh jari paras hidung, macam orang suruhan dalam zaman Kerajaan Melayu Melaka menyembah sultan.

Perbuatan itu tidak disenangi oleh Haji Yatimi dan dia terus memarahi Khoja Lisut.

"Jangan sembah aku," bentak Haji Yatimi.

"Berdiri lurus, cakap apa yang kamu nak cakap," kali ini nada suara Haji Yatimi lembut.

Penuh kemesraan bersama senyum persahabatan. Khoja Lisut segera patuh dengan permintaan Haji Yatimi itu.

"Jangan, buat apa-apa pada saya. Memang saya diarah cara halus supaya menentang sesiapa saja yang menentang cita-cita. Maafkan saya. Ampunkan saya jangan mengapa-apakan saya."

"Aku ke mari bukan nak balas dendam kerana kamu menyeksa guru aku, tapi..." Haji Yatimi berhenti bersuara.

Khoja Lisut bertambah resah. Dia berada dalam ketakutan yang amat sangat.

"Tapi, apa tuan haji," tanyanya lembut.

"Menyempurnakan amanat guruku, dia memaafkan kamu. Tetapi, dia juga menyuruh anak muridnya mencari kamu. Berikhtiar mengajak kamu kembali ke jalan benar."

"Kamu tidak menipu?"

"Orang Islam tidak pernah menipu, apa yang ada di hati, itu yang dicakapkan. Seseorang Islam berhak dan dituntut supaya mengembalikan saudaranya yang sesat ke jalan yang benar."

"Buktinya?" Khoja Lisut minta kepastian.

"Buktinya, aku tidak buat tak senonoh pada kamu, sekarang aku bersyukur pada Allah kerana hamba yang sesat kembali ke jalan yang benar."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 131/284

BACA: SBDJ Siri 130: Si Tua Misteri Dari Solok
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com