Kebencian Ideologi Komunis Terhadap Islam

Darwinisme yang turut menjadi asas kepada komunisme, telah dijelaskan oleh pengasasnya yang pertama, Karl Marx dan Friedrich Engels, kedua-duanya merupakan ateis, melihat penghapusan ke­percayaan beragama merupakan sesuatu yang amat penting kepada komunisme.

Ideologi Komunis

Kedua-duanya memahami sejelas-jelasnya bahawa teori evolusi dapat membantu mereka mencapai hasrat yang diidam-idamkan.

Tidak berapa lama selepas buku teori Darwin diterbitkan, Engels menulis surat kepada Karl Marx yang berbunyi, "Buku Darwin yang sedang saya baca ini amat bagus sekali."

Pada 19 Disember 1860, Karl Marx membalas, "Inilah buku yang mengandungi asas sejarah untuk rujukan kita."

Di dalam suratnya yang lain kepada seorang lagi rakan sosialis, Lassalle, yang bertarikh 16 Januari 1861, Karl Marx menulis, "Hasil kerja Darwin adalah sangat penting dan memenuhi niat saya yang mana ia menyediakan asas kepada sains tulen untuk perjuangan kelas yang bersejarah."

Maka dengan itu telah mendedahkan betapa pentingnya teori evolusi kepada komunisme.

Para diktator seperti Lenin, Trotsky, Stalin dan Mao Tse-tung telah memberikan komen mereka tentang komunisme, yang mana ia menunjukkan suatu hubungan ideologi kepada idea Darwin.

Teori evolusi dijadikan asas pendidikan dan polisi pertanian di bawah rejim komunis, yang mana semua pergerakan komunis menemui asas ideologi dan justifikasi apabila mereka melihat fahaman Darwinisme.

Bagi ideologi komunis yang begitu terpengaruh dengan Darwinisme, masyarakat hanyalah; "sekumpulan haiwan, tidak bernyawa, makhluk yang dungu, mesin manusia-haiwan dan tidak berguna."

Hukum "Ada banyak kumpulan haiwan, jadi tidak mengapa jika satu hilang", telah menjadi asas pemerintahan.

Mereka yang cacat dan tidak berupaya bekerja akan disingkirkan daripada kumpulan tersebut dan akan dibiarkan mati.

Mereka dilihat sebagai sesuatu yang sakit dan berbahaya. Tidak wujud langsung sebarang perasaan kasih-sayang, belas kasihan dan kesetiaan.

Memandangkan mereka percaya tiada kehidupan selepas kematian, maka mereka hidup dengan menggunakan seluruh kuasa yang dimiliki.

Memandangkan semua orang adalah musuh dan pesaing di dalam pergelutan untuk terus hidup, maka segala tindak-tanduk dilakukan untuk menentang mereka dan kebencian menjadi satu perkara lumrah.

Adalah sesuatu yang semulajadi bagi ideologi komunis, yang mewujudkan suatu masyarakat tanpa semangat moral, sprituil dan juga kemanusiaan, turut memusuhi agama.

Sifat-sifat mulia seperti nilai-nilai moral, cinta, sayang, belas kasihan, sanggup berkorban, bekerjasama dan saling bermaafan tidak mendapat sebarang tempat di dalam model yang diwujudkan komunisme.

Apabila seseorang membaca tulisan-tulisan Marx, Engels, Lenin, Stalin, Trotsky, Mao dan para pendukung ideologi komunis yang lain, mereka akan dapat melihat kebenaran hakikat tersebut.

Marx menggambarkan agama sebagai "candu masyarakat" dan juga sebagai budaya yang dibentuk oleh kelas pemerintah yang hanya melenakan orang-orang miskin.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar sebarang kepercayaan beragama dihapuskan jika komunisme mahu bertapak dengan kukuhnya.

Di dalam artikel Lenin yang bertajuk "Socialism and Religion" (Sosialisme dan Agama), yang diterbitkan pada 1905 di dalam sebuah majalah berbahasa Rusia Novaya Zhizn, beliau menggambarkan agama sebagai "kabus" yang harus dihapuskan dan juga turut menyusun propaganda komunis yang akan dilaksanakan.

"Agama Adalah Candu Masyarakat"

Di dalam "The Attitude of the Workers' Party to Religion" (Sikap Parti Buruh Terhadap Agama) yang diterbitkan di dalam majalah Proletary pada tahun 1909, beliau sebagai pemimpin Parti Demokratik Sosial Rusia (yang kemudiannya dikenal sebagai Parti Komunis) telah menulis:

"Asas kepada falsafah Marxisme, seperti Marx dan Engels berulang-kali isytiharkan, ialah dialektikal materialisme, yang telah mengambil alih sepenuhnya tradisi bersejarah materialisme abad kelapan belas di Perancis dan juga materialisme Feuerbach (separuh masa pertama abad kesembilan belas) di Jerman yang mana ia merupakan ateis mutlak dan memusuhi semua agama dengan hebatnya."

Pernyataan rasmi oleh Marx ini telah menjadi batu asas kepada pandangan ahli-ahli Marxis terhadap agama.

Kenyataan tersebut menunjukkan permusuhan Marx terhadap semua agama dan juga telah mendedahkan kejahilannya tentang perkara tersebut.

Kenyataan-kenyataan tersebut tidak mencerminkan kebenaran hakiki. Komunisme dan ideologi-ideologi ateis yang lain menyebabkan manusia tidak dapat berfikir dan melakukan apa sahaja yang diarahkan tanpa banyak soal.

Adalah sesuatu yang jelas bahawa manusia yang tidak pernah berfikir tidak akan mencapai hakikat kebenaran, dan seterusnya menjadikan hidup mereka penuh dengan tipuan dan kesalahan.

Dengan berfikir, manusia dapat memahami tujuan dunia ini diciptakan dan juga sebab kewujudan diri mereka sendiri.

Kebenaran ini telah dijelaskan di dalam al-Quran:

"Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan segala apa yang ada antara keduanya dengan tujuan main-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan hak (kebenaran), tetapi majoriti mereka tidak mengetahui." (Ad-Dukhan, 38-39)

Penindasan Komunis

Kuasa-kuasa komunis menyebabkan umat Islam terus menderita dengan menyerang mereka yang tidak bersenjata: baik lelaki, wanita, kanak-kanak dan bayi di ribaan.

Mengikut pandangan ideologi komunis, yang dipengaruhi oleh teori evolusi Darwin, masyarakat hanyalah "sekumpulan haiwan."

Manusia adalah sebuah jentera industri yang tidak bernyawa, yang terletak di antara makhluk manusia, haiwan dan juga mesin.

Kekejaman di Chechnya telah dilakukan oleh Rusia – yang masih diperintah oleh bekas komunis – adalah bukti berlakunya amalan sistem tersebut.

Dan saat ini penindasan yang maha luar biasa terhadap etnik Uighur oleh kerajan Komunis China.

Oleh itu, setiap individu harus memikirkan pertama sekali tentang tujuan penciptaannya, dan kemudian tentang makhluk atau jasad yang dilihat di alam ini dan juga yang akan dijumpai sepanjang kehidupan mereka. Seseorang yang gagal berfikir hanya akan dapat memahami kebenarannya setelah dia mati, di hadapan Allah, tetapi ketika itu segalanya sudah terlewat.

Berfikirlah sementara kita masih punya masa, dan kemudian buatlah kesimpulan. Ia pasti akan memberikan faedah kepada kita di Hari Akhirat nanti.

Itulah sebabnya Allah menyeru manusia, dengan menggunakan utusan-utusan dan juga kitab-kitab-Nya, untuk berfikir tentang tujuan penciptaannya dan seluruh alam semesta ini.

"Dan mengapa mereka tidak memikirkan tentang (kejadian) mereka? Allah tidak menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan (tujuan) yang benar dan untuk waktu yang ditentukan. Dan sesungguhnya ramai manusia yang ingkar tentang pertemuan dengan Tuhannya." (Ar-Ruum, 8)

Namun demikian, musuh-musuh agama seperti para pemimpin komunis, telah melemparkan tuduhan-tuduhan tidak berasas yang menyebabkan ramai manusia berpaling dari agama, sehingga mendakwa agama menghalang manusia dari berfikir.

Namun, seperti yang telah kita lihat, agama sebenarnya mengajak manusia untuk berfikir.

Kesimpulan

Secara ringkas, telah jelas bahawa ideologi komunisme yang memusuhi dunia Islam telah berakar-umbi dari budaya ateis yang telah menguasai dunia Barat pada kurun kesembilan belas.

Hal ini sekali lagi menunjukkan bahawa betapa pentingnya perang intelektual dilakukan untuk menentang segala fahaman ateisme, yang mana ia bukan sahaja suatu kuasa yang cuba membinasakan kehidupan manusia di Akhirat dengan menghapuskan kepercayaan beragama.

Sebaliknya ia juga, pada masa yang sama, turut bertujuan untuk memusnahkan dunia ini, menukarkannya menjadi sebuah tempat yang dipenuhi kekacauan dan peperangan, dan ia melihat umat Islam sebagai sasaran utama.

Inilah sebabnya mengapa perang intelektual adalah baik kerana ia suatu tindakan untuk meningkatkan keimanan dan juga sebagai satu "perang moral" menentang "korupsi" yang sedang menguasai bumi ini.

Kewujudan ramai umat Islam yang sedang ditindas oleh sistem ateis di seluruh dunia telah menyedarkan kita betapa pentingnya perjuangan tersebut.

Setiap kejayaan ideologi menentang ateisme (dan juga falsafah-falsafah, ideologi-ideologi dan yang kononnya merupakan teori saintifik seperti Darwinisme yang bersandarkan kepada dasar-dasar ateis) juga merupakan kejayaan moral yang dapat membantu umat Islam yang sedang ditindas di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com