Bagaimana Novel Coronavirus (2019-nCoV) Mendapat Nama?

Apabila membuka mana-mana laman web perubatan, anda akan mendapati bahawa para doktor menamakan spesies yang mula menyerang manusia ini sebagai Novel-Coronavirus atau dipanggil dengan singkatan 2019-nCoV. Pasti anda tertanya-tanya mengenai perkataan novel itu bukan?

Novel Coronavirus

Maksud terminologi novel yang digunapakai dalam perubatan adalah baru dan tidak pernah diketahui sebelum ini.

Dalam kes ini, walaupun sebelumnya terdapat kes yang sama, namun, apa yang berjaya diketahui oleh para saintis yang membuat penyelidikan terperinci sejak kemunculan wabak ini adalah jangkitannya memang disahkan berasal daripada keluarga coronavirus.

Namun, ia mempunyai perbezaan daripada segi struktur RNA (genetik) serta potensinya untuk menyebabkan seseorang pesakit itu maut.

Pelbagai persoalan timbul mengenai virus ini seperti asal kewujudannya, bagaimana cara virus ini merebak, haiwan jenis apa yang membawa virus ini dan siapa individu yang mempunyai potensi tinggi untuk mendapat penyakit-berjangkit ini.

Kebanyakan persoalan hanya mampu dijawab dengan teori dan hipotesis sahaja setakat ini, dan masih lagi belum betul-betul disahkan.

Apa pun, mari kita baca satu per satu mengenai pekara yang telahpun disahkan mengenai 2019-nCoV.

Asal-usul Novel Coronavirus

Perkataan corona dalam nama coronavirus ini sebenarnya diambil daripada struktur gas yang menyelaputi matahari dan bintang yang lain.

Dalam keadaan biasa, bahagian corona ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana cahaya yang dikeluarkan daripada matahari ini sendiri terlalu terang sehingga menyebabkan kita tidak dapat melihatnya dengan jelas.

Namun, semasa gerhana matahari, saat bulan berada dalam satu garisan diantara bumi dan matahari, bahagian corona ini akan kelihatan dengan lebih jelas.

Bentuk coronavirus ini yang bulat, dan terdapat banyak ‘duri- duri’ yang mana sebenarnya adalah terdiri daripada sejenis protein kelihatan hampir sama dengan bahagian corona ataupun crown.

Jika virus ini berasal dari Malaysia, pasti kita akan menamakannya sebagai durian-virus, rambutan-virus, pulasan-virus, landaklaut-virus atau landak-virus bukan?

Daripada segi genetik atau kategori untuk coronavirus ini sendiri, spesies ini dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu alpha, beta, gamma dan delta.

Jenis yang mempunyai tendensi untuk menjangkiti manusia adalah daripada kumpulan alpha dan beta sahaja.

2019-nCoV berasal daripada kumpulan beta-coronavirus. Cara virus ini merebak adalah melalui udara dan untuk jangkitan virus-virus sebelum ini (tidak termasuk SARS-CoV dan Mers-CoV) ianya merupakan jangkitan yang agak biasa (common) untuk menyebabkan gejala demam selsema.

Di seluruh dunia, Jangkitan jenis ini merangkumi lebih kurang 30 peratus daripada jumlah kes secara keseluruhannya.

Namun, dalam penyelidikan yang dilaksanakan oleh pakar mikrobiologi, mereka mendapati struktur 2019-nCoV mempunyai persamaan diantara 70 hingga 99 peratus dengan SARS-CoV.

Mengapa julatnya begitu tinggi perbezaannya iaitu sebanyak 29 peratus?

Hal ini kerana genetik yang dimiliki oleh virus ini selalunya tidak konsisten dan mempunyai perbezaan yang amat tinggi walaupun datang daripada keluarga yang sama.

Anda juga perlu fahami bahawa perbezaan dalam peratusan rendah sedemikian amat signifikan dalam prognosis dan kadar kematian pesakit.

Perbezaan sebanyak 1 peratus, jika kita letakkan daripada aspek genetik amat ketara perbezaannya.

Manusia mempunyai perbezaan genetik 1 peratus dengan chimpanzee dan 2 peratus dengan gorilla. Nampak tak betapa besarnya perbezaan itu?

Untuk 2019-nCoV, cara jangkitannya hampir sama dengan Mers-CoV iaitu kemampuannya untuk menembusi bahagian paru- paru manusia jauh lebih dalam.

Berdasarkan laporan WHO yang bertarikh 23 Januari 2020, kadar kematian akibat penyakit ini berada pada peringkat rendah, iaitu sebanyak 4 peratus.

Walau bagaimanapun, kita harus fahami bahawa untuk masa ini, wabak ini berada pada tahap permulaan sahaja.

Apa yang menakutkan adalah, daripada segi peratusan mangsa yang terkena jangkitan 2019-nCoV ini meningkat dengan pantas.

Bayangkan saja, pada 23 Januari, seramai 581 orang dijangkiti virus ini, dan sehari selepas itu, jumlah mangsa meningkat kepada 900 orang dan pada 25 Jan, jumlahnya seramai 1,350 orang.

Dan sehingga 3 Februari, jumlah kematian akibat wabak Koronavirus di China mencecah ke angka 425 orang, manakala jumlah keseluruhan kes yang dikesan di 31 wilayah China dan rantau autonomi negara itu menjadi 20,438 kes.

Juga, mangsa daripada pelbagai negara lain juga semakin bertambah.

Virus Baharu

Terdapat beberapa perbezaan yang menjadikan 2019-nCoV tidak sama dengan Coronavirus sebelum ini, kerana sifat virus yang amat licik dalam memperdaya sistem imuniti badan kita disamping mempunyai kelebihan yang kita kenali sebagai konsep antigenic-shift dan antigenic-drift.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Januari 2020, 2019-nCoV merupakan salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan keupayaannya untuk menjalani proses antigenic-shift.

Hal ini adalah kerana seperti yang kita ketahui, penyakit ini telahpun dikategorikan sebagai sejenis penyakit zoonosis.

Proses antigenic-shift ini membolehkan virus ini menjangkiti spesies lain dari masa ke semasa dan kini, telah sampai masanya untuk virus ini menjagkiti manusia pula.

Vaksin

Pasukan penyelidik sememangnya akan cuba mencipta satu jenis vaksin, khusus untuk menangani wabak penularan virus ini.

Selalunya, selepas beberapa ketika, kes-kes jangkitan 2019-nCoV akan mulai reda.

Gabungan antibodi manusia dan penciptaan vaksin yang baru kelak akan meletakkan masyarakat dunia dalam keadaan selamat, khususnya untuk menangani wabak 2019-nCoV.

Akan tetapi, sama seperti virus influenza, 2019-nCoV akan mengalami proses antigenic-drift pula.

Ini bermaksud, antibodi yang dihasilkan secara semulajadi melalui sistem imuniti kita sendiri mahupun dengan bantuan vaksin akan menjadi tidak berkesan pula.

Untuk pengetahuan anda, hal yang saya tuliskan mengenai antigenic-drift merupakan salah satu hipotesis dan teori yang dikongsikan oleh para saintis yang terlibat dan mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit.

ASPEK KLINIKAL CORONAVIRUS

Apa yang menjadikan ramai mangsa menjadi semakin teruk apabila dijangkiti dengan 2019-nCoV ini adalah kerana gejala yang dialami oleh pesakit-pesakit ini tidak spesifik dan kelihatan seperti demam selsema biasa sahaja.

Gejala-gejala ini juga membuatkan para perawat menganggap apa yang dihadapi oleh pesakit-pesakit ini tidak serius pada awalnya.

Namun, kita harus bersyukur kerana berita penularan wabak ini tersebar dengan pantas dan seterusnya meletakkan pesakit dan perawat untuk berada dalam keadaan lebih berjaga-jaga.

Selalunya, gejala penyakit akan bermula seawal 2 hingga 14 hari selepas dijangkiti virus ini.

Jangkitan tanpa ada apa-apa gejala ini digelar sebagai incubation period.

Untuk kes 2019-nCoV ini, pesakit akan mendapat gejala seperti demam, batuk, selesema dan keletihan.

Akan tetapi, gejala ini akan bertukar menjadi semakin teruk dengan begitu pantas kepada kesukaran untuk bernafas dan memerlukan kemasukkan ke hospital dengan cepat.

Gejala ini dikenali sebagai Acute Respiratory Distress Syndrome, ARDS yang seringkali menjadi punca kematian seseorang pesakit.

Mana-mana pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan lebih awal mempunyai risiko kematian yang lebih rendah memandangkan mereka akan terus dibawa ke unit rawatan rapi atau ICU yang dilengkapi dengan alat bantuan pernafasan artifisial, atau ventilator.

Untuk pesakit yang mengalami gejala-gejala sebegini, namun melewatkan diri untuk mendapatkan rawatan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk maut.

Bagaimana pula dengan rawatan 2019-nCoV di hospital setakat ini?

Malangnya setakat ini, jangkitan 2019-nCoV tiada rawatan peyembuhan.

Apa yang ada hanyalah rawatan sokongan dalam bentuk ubat-ubatan untuk mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan pesakit dan batuan pernafasan.

Pesakit-pesakit ini akan diletakkan di dalam wad isolasi memandangkan sehingga kini, cara penyakit ini merebak masih lagi tidak disahkan, namun kebanyakan pusat perubatan dan hospital mengambil langkah dan kaedah yang sama seperti ketika penularan wabak Mers-CoV beberapa tahun yang lepas, iaitu melalui udara.

Punca kemunculan penyakit ini juga masih lagi tidak dapat disahkan.

Untuk wabak yang bermula daripada Wuhan ini, mereka mendapati kebanyakan pesakit mendapat jangkitan selepas mereka mengunjungi pasar yang menjual makanan laut dan haiwan hidup.

Juga, disebabkan peningkatan kes yang berlaku kepada pesakit yang tidak pernah mengunjungi tempat jualan haiwan dan makanan laut, terdapat 2 kemungkinan di sini iaitu, sama ada asal-usul penyakit 2019-nCoV ini bukanlah daripada pasar makanan laut dan haiwan hidup, ataupun sememangnya penyakit ini berasal daripada pasar yang menjual makanan laut dan haiwan hidup.

Namun, pesakit-pesakit lain yang tidak pernah ke tempat tersebut mendapat jangkitan virus ini daripada pesakit lain.

Untuk tempat ini, kerajaan China telahpun menutup pasar Huanan yang terletak di Wuhan, berkuatkuasa bermula 1 Januari 2020.

Ada juga yang mengatakan bahawa virus ini berasal daripada haiwan-haiwan eksotik yang dijadikan sebagai makanan buat segolongan manusia seperti kelawar, ular, musang dan lain-lain.

Hal ini adalah kerana SARS-CoV dipercayai berasal daripaa kelawar dan menjangkiti haiwan lain seperti anjing dan musang sebelum penyakit ini menjangkiti manusia.

Juga, Mers-CoV didapati berasal daripada kelawar, yang kemudiannya dipindahkan kepada unta sebelum kepada manusia.

Satu kertas kajian yang diterbitkan oleh Journal of Medical Virology bertarikh 22 Januari mengatakan bahawa terdapat sedikit sebanyak petunjuk yang mendapati bahawa kelawar merupakan haiwan yang bertanggung jawab sekali lagi sebagai pembawa asal 2019-nCoV.

Namun, anda harus fahami bahawa pengesahan asal-usul sesuatu penyakit akan mengambil masa yang agak panjang untuk mengesahkannya.

Namun, apa pun, lebih baik kita jauhkan diri buat masa ini kepada tempat-tempat tersebut, selaras daripada nasihat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.

Memegang pada konsep mencegah lebih baik daripada mengubati, pihak KKM mengeluarkan banyak nasihat dan kaedah untuk mengurangkan risiko seseorang itu daripada mendapat penyakit ini.

Antaranya termasuklah:
  • Mencuci tangan dengan sempurna menggunakan sabun mahupun hand-sanitizer.
  • Memakai penutup mulut dan hidung.
  • Mengelakkan daripada berjumpa dengan orang lain yang mempunyai gejala selesema, batuk dan demam.
  • Mengelakkan diri daripada berkunjung ke ladang haiwan, pasar dan tempat sembelihan haiwan.
  • Mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
  • Mendapatkan rawatan sekiranya terdapat gejala demam, batuk atau selesema dalam tempoh 14 hari daripada lawatan.
  • Menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China, buat sementara waktu kecuali sekiranya ada urusan yang tidak boleh dielakkan.

Untuk itu, langkah- langkah pencegahan perlu dilakukan sejurus selepas pulang ke Malaysia.

Jadi, sebagai kesimpulannya, kita seharusnya meletakkan diri dalam keadaan berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang diberikan oleh para pegawai perubatan dalam usaha untuk menangani masalah berkaitan 2019-nCoV ini.

Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya anda mengalami apa-apa gejala penyakit yang telah disebutkan di atas.

Semoga penularan wabak penyakit ini berjaya ditangani dengan kadar segera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahsains