Misteri Kota Purba El Tajin

Dalam dekad-dekad kebelakangan ini, banyak kota purba yang hilang telah ditemui semula oleh ahli-ahli arkeologi atau peneroka dan salah satu penemuan semula kota purba yang paling misteri adalah kota purba El Tajin yang terletak di Veracruz, Mexico.

Kota Purba El Tajin
El Tajin.

Kota tersebut telah pun disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 1900an memandangkan kesemua monumen yang terdapat di El Tajin, termasuklah lanskap sekitarnya telah menggagahi kurun yang panjang, tersembunyi dari manusia di sebalik hutan tropika.

MISTERI EL TAJIN

Kota purba tersebut dibina dan dihuni pada tempoh 800SM hingga 1200M oleh sebuah tamadun yang ilmuwan berpendapat dipengaruhi oleh Olmecs, walaupun siapa sebenarnya mereka masih lagi belum diketahui secara pasti.

Sebahagian ilmuwan berpendapat bahawa mereka adalah nenek-moyang kepada Toltecs, atau paling tidak, mereka adalah salah satu cabang dari bangsa Maya yang gagah.

Beberapa bukti yang ada memberikan petanda bahawa masyarakat yang membina El Tajin ini adalah nenek-moyang kepada masyarakat Huastec yang masih hidup di Veracruz pada hari ini.

Bukti arkeologi yang ditemui mengisyaratkan bahawa kota purba tersebut bersifat mewah dan kaya. Malah, ia dipercayai merupakan ibu kota bagi sebuah kerajaan yang mendominasi bahagian barat daya Mexico. Ia memainkan fungsi sebagai rangkaian perdagangan yang penting dan merupakan sebuah bandar multi-etnik.

Pada masa-masa kemuncaknya, terdapat sekitar 20,000 orang menetap di El Tajin, terutamanya di sekitar kawasan bukit. Kota purba tersebut dan kawasan sekitarnya terselamat dalam keruntuhan sosial yang berlaku di Zaman Klasik dan malah, terus berkembang maju.

Namun, pada tahun 1300 Masehi, bandar ini diserang oleh sebuah komuniti nomad yang dikenali sebagai Chitimec, yang hidup di kawasan Mexico utara.

Sebahagian daripada kota purba ini habis dimusnahkan dan ditinggalkan. Penghuninya kemudian menubuhkan sebuah kota baharu di tempat yang jauh. Kota purba El Tajin yang ditinggalkan ini diketahui oleh Toltecs dan kemudian Aztecs.

Mereka mengaitkan runtuhan kota purba tersebut dengan alam ghaib dan alam kematian. Selepas era penaklukan Sepanyol, kota ini sama sekali dilupakan.

Mungkin, kelupaan ini mempunyai kaitan dengan runtuhnya komuniti Huastec berikutan perang dan wabak penyakit.

PENEMUAN SEMULA KOTA PURBA EL TAJIN

El Tajin terletak di tanah tinggi semi-tropika dan justeru ia dengan pantas diselubungi oleh pokok-pokok hutan.

Kota purba ini tersembunyi di sebalik hutan tebal dan hanya ditemui semula oleh seorang pegawai kerajaan yang sedang mencari ladang-ladang tembakau haram pada tahun 1785 Masehi.

Model El Tajin
Model El Tajin berskala kecil.

Khabar penemuan kota purba yang hilang ini mencetuskan kekecohan, namun hanya pada kurun ke-20 barulah kota ini menjalani kerja-kerja ekskavasi. Penemuan minyak pula membuatkan kawasan hutan tersebut mula dibersihkan oleh ahli-ahli arkeologi.

Walau bagaimanapun, sehingga ke hari ini hanya 50% sahaja dari kota El Tajin telah diselidik dan diisytiharkan sebagai tapak arkeologi negara demi melindungi runtuhan-runtuhan yang terdapat di dalamnya.

KEAJAIBAN EL TAJIN, MEXICO

Bahagian tertua pada kota ini adalah kawasan yang disebut sebagai Kumpulan Aroyo (Aroyo Group), iaitu sebuah plaza yang dikelilingi oleh sejumlah piramid bertangga yang ditemukan semula di sebalik hutan tebal. Di bahagian puncaknya pula terdapat sejumlah kuil.

Sebelum kota tersebut tumbang, plaza ini digunakan sebagai pasar yang turut dihiasi dengan pelbagai patung.

Mungkin, bangunan yang paling penting yang terdapat di El Tajin adalah Piramid Ceruk. Piramid tersebut mendapat namanya lantaran banyaknya ceruk yang terdapat di setiap tingkat, seolah-olah ianya adalah gua yang mensimbolkan laluan masuk ke alam kematian.

Binaan ini diperbuat daripada batu-batu ubin (flagstone) dan berdiri setinggi tujuh tingkat. Piramid Ceruk terdiri daripada tiga sisi yang cerun dan satu dinding yang menegak – suatu ciri lazim bagi Mesoamerika.

Piramid Ceruk El Tajin
Piramid Ceruk, El Tajin.

Apa yang membuatkan piramid ini dan juga piramid-piramid lain yang lebih kecil agak menonjol adalah penggunaan sagang-sagang terbang (flying butrresses). Ramai pakar meyakini bahawa piramid tersebut pernah diwarnakan merah dan pada puncaknya terdapat sebuah patung dewata yang besar.

Tidak seperti kuil-kuil yang lain, Kuil Biru yang berada di puncak Piramid Ceruk tidak mempunyai sagang-sagang terbang.

Satu lagi kawasan penting yang terdapat di El Tajin adalah Tajin Chico, iaitu sebuah kompleks bangunan yang sebahagiannya merupakan bangunan pentadbiran. Kawasan ini terpelihara dengan baik dan ia turut diperbuat daripada batu-batu ubin.

Terdapat sekurang-kurangnya 17 buah gelanggang bola di kota purba ini, di mana para peserta bermain satu permainan yang mempunyai signifikasi keagamaan yang cukup besar.

Dipercayai bahawa tradisi ini diambil daripada kaum Maya, di mana pihak yang kalah akan dipancung dan dikorbankan kepada dewata.

TIPS SEBELUM MENGUNJUNGI EL TAJIN

Terdapat bas-bas yang bergerak dari Poza Rica/Papantla ke bandar El Tajin. Penginapan juga tersedia di kawasan berhampiran kota purba tersebut. Selain mengunjunginya secara berjalan kaki sendirian, pengunjung juga boleh mengupah pemandu pelancong.

Gelanggang bola El Tajin
Gelanggang bola di El Tajin.

Terdapat sebuah muzium yang mengandungi banyak artifak seperti altar. Relif-relif daripada sejumlah monumen seperti Piramid Ceruk juga terdapat di sana, justeru menawarkan pengalaman unik terhadap kehidupan masyarakat Mesoamerika dan kepercayaan mereka.

Pada setiap tahun dalam bulan Mac, terdapat sebuah keraian yang dilangsungkan bagi menyambut budaya dan muzik asli.

Di samping itu, bandar moden Tajin juga mempunyai mercu-mercu tanda yang penting seperti gereja Iglesias de la Asuncion.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots