Apa Sebenarnya Skandal Watergate Yang Memusnahkan Karier Richard Nixon

Dalam sejarah presiden Amerika, tidak sah jika kita tidak menyebut skandal-skandal yang menyelubungi sesetengah presidennya dan bagi yang pernah membesar pada tahun 80-an sudah pasti masak dengan skandal Iran-Contra yang melanda pentadbiran Ronald Reagan.

Skandal Watergate

Geng 90-an sudah pasti menyengih melihat kegelisahan Bill Clinton bila diasak soalan tentang hubungan sulitnya dengan Monica Lewinsky.

Tetapi, ada satu skandal yang hampir-hampir menyebabkan Richard Nixon, Presiden AS pada masa itu dipecat: Watergate.

Pada awal pagi 17 Jun 1972, sekumpulan pencuri memecah masuk ke kompleks bangunan Watergate dengan niat mencuri beberapa dokumen dan memperbetulkan alat pendengar pada talian telefon di pejabat Jawatankuasa Kebangsaan Parti Demokrat.

Tetapi, usaha mereka tidak berjaya dan semua mereka ditahan polis selepas kehadiran mereka disedari seorang pengawal keselamatan.

Mereka yang ditahan ialah tiga bekas anggota pergerakan anti-Castro dari Cuba Virgilio Gonzalez, Bernard Barker dan Eugenio Martinez. Dua lagi yang lain ialah bekas operatif CIA iaitu James McCord dan Frank Strugis.

Penangkapan lima individu ini menjadi permulaan kepada skandal Watergate namun, bagaimana kegilaan yang melanda pentadbiran Richard Nixon ini bermula?

‘Keghairahan untuk dipilih semula’

Semua ini bermula apabila Richard Nixon melancarkan kempen pemilihan semula sebagai presiden untuk penggal kedua pada tahun 1972.

Dengan Perang Vietnam masih berlangsung dan negara masih berpecah, maka bukanlah satu kejutan mengapa Nixon beria-ia mahu kembali ke Oval Office untuk penggal kedua.

Jadi, tidak hairanlah mengapa pasukan kempennya sanggup menggunakan kaedah haram termasuk mencuri dengar aktiviti parti Demokrat di pejabat mereka.

Sebulan sebelumnya, pasukan pencuri yang ditahan sebelum ini pernah memecah masuk ke Watergate untuk mencuri dokumen sulit dan memasang alat pendengar, masalahnya alat tersebut tidak berfungsi dan memaksa mereka kembali pada 17 Jun itu.

Pada awalnya, pihak berkuasa tidak tahu kumpulan pencuri ini ada kaitan dengan kumpulan kempen Nixon.

Tetapi kecurigaan mula timbul selepas mereka menemui salinan nombor telefon jawatankuasa pemilihan semula Rumah Putih kepunyaan salah seorang pencuri.

Pada Ogos tahun sama, dalam satu ucapannya kepada khalayak awam, Nixon bersumpah bahawa beliau dan pasukan kempennya tiada kaitan dengan pencuri-pencuri itu.

Di sebalik lebih banyak pendedahan termasuk dari mana wang yang digunakan pencuri-pencuri ini semasa ditahan, tidak menghalang beliau meraih kemenangan besar mengalahkan calon Demokrat George McGovern.

Konspirasi

Tetapi selepas dipilih, ia turut menandakan permulaan konspirasi untuk menjauhkan pihak berkuasa dari menyiasat Nixon.

Misalnya, wang yang dimiliki para pencuri lebih $2,000 semasa ditahan dan bila disiasat dari mana punca wang tersebut, ia datang dari jawatankuasa pemilihan semula Nixon membabitkan bendahari Hugh Sloan, pengarah kewangan Maurice Stans dan timbalan pengarah Jeb Magrunder.

Semasa disoal siasat pihak berkuasa, Sloan mendedahkan wang tersebut disalurkan kepada G. Gordon Liddy, individu yang bertanggungjawab mengatur pencuri-pencuri ini masuk ke kompleks Watergate.

Apabila pihak Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mengesyaki wujud konspirasi lebih besar di sebalik semua ini, Richard Nixon melalui ketua stafnya H.R Haldeman cuba menghalang siasatan ke atas asal-usul dana yang digunakan untuk aktiviti pecah masuk itu.

Beliau juga tidak teragak-agak mempergunakan pemangku pengarah biro L. Patrick Gray untuk memperlahankan siasatan mereka ke atas insiden berkenaan.

Keadaan ini nyata mengecewakan seorang pegawai tinggi biro bernama Mark Felt dan beliau secara senyap-senyap mula membocorkan maklumat kepada dua wartawan The Washington Post, Bob Woodward dan Carl Bernstein.

Selain Woodward dan Bernstein, Felt juga turut meninggalkan beberapa petunjuk untuk media mengikuti skandal berkenaan sehinggalah beliau meletak jawatan pada Jun 1973.

Pada tahun 1973, tekanan ke atas pentadbiran Nixon semakin bertambah apabila beberapa pembantunya bersedia bertemu dengan pihak pendakwaraya dan menyatakan kebenaran demi menyelamatkan kedudukan beliau di Rumah Putih.

Langkah ini dinyatakan peguam Rumah Putih John Dean semasa bertemu dengan Richard Nixon pada April 1973.

Tidak lama selepas itu, Haldeman dan seorang lagi pembantu bernama John Ehrlichman meletak jawatan bersama Peguam Negara Richard Kleiendiest sementara Dean pula dipecat dari Rumah Putih.

Selepas melantik Elliot Richardson sebagai pengganti Kleindiest, Richardson memilih Archibald Cox sebagai ketua pasukan siasatan Watergate.

Tahun tersebut turut menyaksikan Senat membentuk jawatankuasa siasatan mereka diketuai Sam Ervin (Demokrat – Carolina Utara).

Konspirasi Watergate yang berterusan telah menyusahkan keupayaan pihak berkuasa untuk menyiasat skandal berkenaan tetapi semua itu berubah ketika sesi pendengaran Senat pada 16 Julai 1973.

Apabila ditanya jawatankuasa sama ada Nixon mempunyai alat perakam yang dipasang di Oval Office, pembantu Rumah Putih bernama Alexander Butterfield mendedahkan sistem berkenaan benar-benar wujud.

Pengakuan itu sudah cukup untuk Cox dan Senat memfailkan sepina untuk mendapatkan akses kepada rakaman-rakaman itu tetapi ditolak Nixon atas alasan itu merupakan kelebihan eksekutif yang dinikmatinya sebagai presiden.

Apabila Cox enggan menggugurkan sepina yang difailkan, ini membawa kepada peristiwa yang dipanggil ‘Saturday Night Massacre’.

Pada 20 Oktober 1973, Richardson diarah Nixon untuk memecat Cox tetapi memilih meletak jawatan.

Beliau kemudian beralih kepada Timbalan Peguam Negara William Ruckleshaus untuk melakukan perkara sama tetapi Ruckleshaus turut memilih meletak jawatan.

Selepas mencari siapa yang boleh melakukan tugas itu, Nixon memilih Robert Bork.

Robert Bork yang dilantik sebagai pemangku Peguam Negara juga merasakan, walaupun arahan yang dikeluarkan presiden itu sah tetapi pada masa sama, beliau juga turut mempertimbang untuk meletak jawatan kerana tidak mahu dianggap sebagai pak turut demi menyelamatkan jawatannya.

Tetapi, pemecatan Cox tetap dilakukan pada akhirnya dan itu sebenarnya menyediakan batu asas kepada kejatuhan Nixon sendiri.

Apabila Ruckleshaus meletak jawatan, Rumah Putih mengeluarkan berita bahawa beliau sudah dipecat.

Tetapi, harapan untuk melihat berita tersebut bertahan, hancur berkecai apabila Washington Post mendedahkan satu surat dari Rumah Putih kepada Bork yang menyatakan Ruckleshaus sudah meletak jawatan.

Pada November tahun sama, seorang hakim persekutuan bernama Gerhard Gesell mengeluarkan penghakiman pemecatan Cox sebagai tidak sah kerana ketiadaan bukti konkrit yang membenarkan pentadbiran untuk memecatnya.

Berita ini mencetuskan kemarahan Kongres dan orang ramai serta dianggap satu bentuk salah guna kuasa oleh presiden.

Richard Nixon yang masih menganggap dirinya kebal, mengarahkan Bork memilih penyiasat baru untuk meneruskan siasatan Watergate dan pengganti Cox ialah seorang peguam bernama Leon Jaworski.

Pada tahun 1974, sidang juri mendakwa beberapa pembantu Nixon kerana disyaki cuba menghalang siasatan Watergate dan antara individu yang terpalit dengan dakwaan ini ialah Haldeman dan Ehrlichman.

Sidang juri turut secara rahsia menyatakan pembabitan Richard Nixon tetapi dipujuk pendakwa khas untuk tidak diteruskan atas alasan presiden hanya boleh didakwa selepas meninggalkan Oval Office.

Pada Julai tahun sama, Mahkamah Agung Amerika Syarikat membuat penghakiman semua rakaman yang didakwa merupakan hak eksekutif, dianggap batal dan Richard Nixon harus menyerahkan semua rakaman kepada pendakwaraya khas.

Smoking Gun

Satu rakaman yang dianggap pemusnah tempoh penggal kedua Richard Nixon digelar rakaman Smoking Gun.

Dalam rakaman tersebut, Nixon dan Haldeman berbincang bagaimana hendak menghentikan siasatan Watergate termasuk menggunakan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) Vernon Walters untuk memaksa FBI menghentikan siasatan.

Walaupun beliau bertegas itu bukan satu bentuk halangan kepada siasatan yang dijalankan biro dan CIA mengesahkan ia tiada kaitan dengan isu keselamatan negara, itu sudah cukup untuk menjahanamkan reputasi Nixon.

Perletakan jawatan dan legasi

Pada malam 7 Ogos 1974, Nixon bertemu dengan tiga wakil Republikan iaitu dua wakil Senat Barry Goldwater dan Hugh Scott dengan John Jacob Rhodes dari pihak Kongres.

Mereka memberitahu sokongannya di Kongres sudah musnah dan mereka juga sudah bersedia mengundi berkenaan usul memecatnya.

Goldwater dan Scott turut mendedahkan sudah cukup undi bagi pihak Senat untuk mendakwanya dengan 15 anggota Senat saja yang memilih untuk tidak mendakwa.

Atas sebab itulah pada petang 8 Ogos, Richard Nixon memilih untuk meletak jawatan berkuatkuasa tengah hari 9 Ogos dalam satu ucapan yang disiarkan di seluruh negara.

Dengan Richard Nixon bersedia untuk meletak jawatan, Kongres memilih untuk menggugurkan prosiding pemecatan tetapi beliau masih boleh didakwa atas tuduhan jenayah.

Atas sebab itulah, penggantinya Gerald Ford memberi pengampunan penuh tanpa syarat kepada Nixon pada 8 September tahun sama.

Ramai berspekulasi tindakan Ford memakan diri apabila tewas kepada Jimmy Carter semasa pilihan raya presiden tahun 1976.

Ia turut memberi kesan besar kepada profesion guaman di US kerana kebanyakan yang terbabit dalam skandal berkenaan merupakan peguam.

Ini memaksa Persatuan Peguam Amerika (APA) melancarkan reformasi dengan membuat model peraturan baru dan pengenalan pelajaran etika dalam fakulti undang-undang untuk memastikan peguam-peguam sedar tanggungjawab etika mereka.

Richard Nixon cuba menggunakan platform temubualnya dengan wartawan British bernama David Frost untuk membersihkan legasinya itu pada tahun 1977.

Tetapi temubual itu hanya menambah lebih banyak kerosakan lebih-lebih lagi membabitkan Watergate dan beliau secara formal memohon maaf atas apa yang berlaku.

Dua wartawan Washington Post iaitu Woodward dan Bernstein kemudiannya menerbitkan buku All the President’s Men pada tahun 1974 sebelum diadaptasi dalam bentuk filem pada tahun 1976 yang menampilkan Robert Redford (Woodward) dan Dustin Hoffman (Bernstein).

Peranan Felt sebagai pemberi maklumat atau nama gelaran Deep Throat kepada dua wartawan ini hanya didedahkan kepada umum pada tahun 2005.

Kisah Felt ini dibukukan dalam buku biografi bertajuk Mark Felt: The Man Who Brought Down the White House, pada tahun 2006 hasil tulisan beliau dan penulis John O’Connor.

Buku itu juga diadaptasi dalam bentuk filem dengan tajuk sama pada tahun 2017 yang menampilkan Liam Neeson sebagai Felt.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots